Uncategorized

Aku Menyayangimu… Mak

Ibundaku yang kucintai. Di saat ini seawal tiga pagi, aku masih menghadap laptop ini, kerana mata ini sukar sangat dilelapkan dan aku juga teringat kepadamu bondaku.

Hari ini sudah masuk hari ke 60 hari mak meninggalkan kami dan pergi yang tidak akan kembali lagi,   

  Tak ada kata lain selain rindu untukmu

  Merindumu adalah makanan sehari-hariku

  Menangis kala aku ingat senyum manismu

  Sedih rasanya hati ini mengingatkan diriku

  Di sini aku kan selalu berdoa untukmu

  Berdoa supaya engkau ada di sisiNya

  Di tempat yang paling indah di sana

  Selalu akan ku doakan yang terbaik – endah Sriwahyuni

Ceritanya, mak selalu menyebut, mahu meninggal di rumah sendiri, mahu anak-anak di sisi. Itu yang mak pinta selama  20 tahun semenjak sakit. Yang demikian mak kalau boleh tidak mahu ke mana-mana waima ke rumah anak-anak sendiri. Namun ada permintaan mak yang tidak kesampaian. Mak meninggal di rumah anak mak, enam jam sepulangnya mak dari hospital.

Pagi Rabu 28 Mac 2018,  abang, kak Piah, kak Yah dan Saadah berada di hospital. Abang dan isteri berada sejak pagi menggantikan adik bongsu Tipah yang semalaman menunggu di hospital. Kak Yah dan Saadah diminta hadir untuk bertemu dengan pakar pemakanan yang bakal memberitahu jenis makanan yang sesuai dengan kesihatan mak. Kesemua peralatan oksiyen juga sudah dicabut dan mak dibenarkan pulang. Terkejut juga tetapi alhamdulillah kerana mak sudah tidak memerlukan oksiyen lagi, kata mereka. Dan insya-Allah dibenarkan makan. Saya sendiri tidak sabar hendak memasak makanan kesukaan mak. Lagipun sudah lebih seminggu mak tidak dibenarkan makan mahupun minum. Hanya tiga hari terkemudian diberikan susu melalui tiub. Teringinnya mak menjamah makanan hanya Tuhan sahaja yang tahu, tetapi apa kan daya, kami terpaksa mendengar nasihat doktor.

Dari tengah hari, dan hari pun menjelang senja, mak yang dibenarkan keluar masih menunggu di wad ‘discharge’. Di wad yang sama, hampir masuk petang, doktor pula memberitahu mak boleh diberikan makanan, apa sahaja,  tetapi apalah yang ada sangat di kantin hospital. Mak menjamah sedikit dan memberitahu dia tidak berselera dan mahu segera pulang.

“Kita balik kampong terus,” pintanya. “Bukan petang ini mak, sebab diuruskan dulu rumah yang sudah ditingalkan lebih sebulan. “Mak mengganguk bersetuju…”Balik rumah Saadah dulu, dan katil khas pun sudah disediakan di situ.” Dalam pada itu kata Kak Yah mak membuang air besar beberapa kali dan banyak sekali. Dia kehairanan kerana lebih seminggu tidak makan dan banyak pula yang keluar tanpa terdetik di hatinya ia antara tanda seseorang akan pergi.

Jam enam petang baru sampai ke rumah, mak nampak amat letih tetapi dia selesa berada di rumah.

Sekalipun mak sudah nampak seperti sihat tetapi tiada hadiah terbaik daripada memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci tanpa henti. Dan di setiap ketika seorang dua daripada kami akan di samping mak, membisikkan Lailahaillahah.

Percaturan Allah, hanya Dia yang maha mengetahui. Ada sebabnya mak dibenarkan pulang walaupun kalau mengikut keadaannya boleh ditahan untuk beberapa hari lagi. Dan bayangkan sekiranya malam itu hanya saya sendirian yang menemani mak (kami mengadakan jadual, dan saya yang memilih bermalam malam), tujuan supaya pada setiap ketika selama 10 hari di Serdang dan lapan hari di HUKM, mesti ada seorang atau dua). Sekiranya saya tertidur atau saya sendiri yang mengadapnya pergi tentu teramat sedih dan yang lain juga mesti terkilan. Dan kalau meninggal di hospital sudah tentu mengambil masa yang agak lama untuk membawa jenazah keluar.) Doa mak dimakbulkan, arwah amat takut perginya bersendiri sahaja.

Dan saat itu tiba, saat di mana kau pejamkan matamu

  Untuk selamanya. Aku hanya bisa terdiam, tak sepatah kata mampu terucap

  Di kala di hadapanku tubuhmu terbujur kaku…

Mak kembali ke pangkuanNYA tepat jam dua pagi disaksikan sembilan anak dan menantu-menantu (cuma seorang sahaja yang di kampong, ) juga adik mak, Subky, yang meredah malam buta mengetahui kakaknya sudah kembali ke rumah dan kami khabarkan keadaannya agak membimbang. Dan minuman terakhirnya ialah air zam-zam yang saya titiskan ke mulut mak dan sebaik habis diminumnya, nafas mak berhenti. Saya nampak air mata terakhirnya meleleh di tubir mata. Innalilahiwainna ilaihiraujiun pemergian yang begitu mudah dengan wajah mak yang bertukar seri dan tersenyum. Syukur ke hadrat Ilahi kerana mak pergi begitu senang, dan seperti kehendaknya, dia mahu anak-anaknya menghadapnya pergi.

Mak kami mandikan, dikapankan dan disembahyangkan di rumah anaknya sebelum dibawa pulang ke rumahnya di kampong dan solat jenazah sekali lagi dilakukan di rumah, sebagaimana permintaannya juga, mahu orang kampong menyolatkan dia seperti suami dan ayah serta maknya yang pergi terdahulu. Teringat wanita yang membantu memandikan jenazah, “bersih badannya, berapa lama sakit?” Mendengar 20 tahun seperti dia tidak percaya. “Mak kami suka mandi, lima kali sehari. Gosok gigi pun lima kali…”

Telah banyak saya curahkan kenangan buat mak, sebelum ini, malah sudah lebih dua tahun saya menulis mengimbas kenang kenangan bersama mak. Namun yang satu ini tidak akan saya sendiri lupakan.

Sejak mak mengetahui cucunya hendak kahwin, mak antara orang yang paling gembira, tetapi dalam kegembiraan selalu memberitahu, dia barangkali tidak sempat untuk hadir, kerana katanya dia akan pergi terlebih dahulu. Namun saya sentiasa berdoa dan memberitahu, “sempat mak, dan mak nanti mesti datang…”

Saya sedih mak tidak dapat hadir pada majlis bertunang, walaupun waktu itu mak berada di KL. “Tak mengapa mak, kalau tidak sihat mak rehat, nanti dibawa menantu cucu ke sini.”

Teringat pertemuan pertama, di kampong, selepas mereka bertunang, saya melihat wajah gembiranya. “Cantik,” katanya berapa kali dan mencium pipi Janna. “Tapi opah rasanya tidak sempat nak tengok Tisham naik pelamin.”

Mak di Kuala Lumpur pada majlis perkahwinan sepupu Tisham dua minggu sebelum tarikh pernikahan Ihtisham. Hasrat membawa mak ke majlis tidak kesampaian kerana mak tidak dapat hadir lagipun katanya tidak mahu susahkan tuan rumah dan berjanji akan hadir pada majlis kami di hotel. “Okay cantik, saya book hotel dan mak boleh berehat dua tiga malam.” Kurang dua minggu daripada tarikh resepsi pula, mak minta dihantar ke kampong. “Airmata mak beria-ia keluar memberitahu betapa dia rasa masanya tidak lama dan mahu segera ke kampong. Permintaan mak dipenuhi.

Kebiasaan, dalam jangka lima enam bulan pun mak tidak akan mahu ke Kuala Lumpur lagi. Mak tahu perjalanan kurang tiga jam itu amat memenatkan, dan walaupun di sini sentiasa dikeliling anak-anak, ia tidak sama dengan rumah sendiri. Tetapi semua terkejut bila tiba-tiba mak mahu ke KL semula.  Saya dan Tisham yang paling gembira tetapi malangnya mak yang berjanji duduk dengan kami seminggu itu bertukar fikiran. Untuk tidak menghampakan mak, saya bawa bekas dan barang hantaran ditunjukkan kepadanya bagaimana rupanya nanti, sebab saya tahu mak suka sangat melihat orang mengubah dan menghias hantaran. Memang dulu masa mak tengah segar dialah yang membuatnya semua, itu kepandaian mak yang hanya anaknya Saadah daripada tujuh anak perempuannya mewarisi. Melihat contoh sahaja mak gembira, dari berbaring mak mahu didudukkan, diberikan pendapatnya begitu begini, membuat saya bangga sebab mak walau tidak berapa sihat, masih ada kreativitinya.

Hari persandingan pun tiba. Mak mengadu tidak sihat. “Apakan daya, nak buat macam mana. Dari jauh saya hanya mampu berdoa.

Syukur, Allah makbulkan doa ini. Mak minta dibawa segera ke hotel, dia mahu dipakaikan baju yang telah saya siapkan untuk dia menghadiri majlis itu. Dan sebaik disurung masuk ke dalam dewan, wajah mak tiba-tiba berseri seri. Tidak pernah saya melihat mak segembira

itu. Matanya tidak kerlip melihat cucunya bersanding di singahsana. Sebaik cucunya turun bersalaman, air mata mak mengalir laju, tidak tahu apa yang mak fikirkan tetapi saya percaya mak seronok sekali. Selama  20 tahun mak sakit dan semenjak itu mak tidak ke mana-mana. Ini membuat saya sebak. Kasihan langkah mak amat terhad, kalau ke KL pun steyennya di sebuah rumah sahaja.

Pulangnya mak daripada majlis perkahwinan Tisham, panjang ceritanya kerana ramai saudara mara yang datang bersalaman dengannya, malah kawan-kawan saya juga tidak kurang ramai mengelilinginya. Sedang berehat  tetiba mak teringat akan cenderahati yang tadi diberikan kepadanya. “Yang satu lagi tu?” masing-masing melihat sesama ini, ada satu lagi,” katanya. Yang sedihnya saya tidak pun ada menyimpan walaupun satu…”Tak apa, nanti dicarikan bunga sama dan dihiasi semula balangnya. “Tunggu minggu depan bila Saadah datang balik ke Kuala Lumpur,” saya memujuk mak.

“Mak nak bawa balik kampong, nak simpan atas almari, cantik sangat.”

Saat ini bila mengenangkan hanya air mata sahaja yang tumpah, sebab mak tidak sempat hendak melihat dan membawanya balik ke kampong. Mak sudah sangat lemah untuk mengetahui keadaan di sekelilingnya. Cuma yang saya ingat mak banyak kali minta cucunya membelikan dia tasbih, sambil menunjukkan contoh tasbih putih yang dikehendaki… berpuluh ada tetapi pada mak dia mahu yang serupa yang digunakan hari-hari tetapi batu-batunya susah haus. “Belikan opah macam ni, ini ringan, yang lain tidak mahu.” Menangis teresak-esak bila Tisham memberitahu dia akan berangkat keesokan harinya, “Opah takut tidak dapat jumpa Tisham lagi.”

“Opah, Tisham janji akan doa banyak-banyak supaya opah sihat dan kita jumpa lagi. Nanti Tisham belikan tasbih ya.”

Seperti diperkenankan, mak sempat melihat cucunya semula sekembali Tisham dari umrah. Tetapi saya nampak matanya merenung jauh ketika Tisham melawatnya di hospital, ”Opah Tisham dah balik dari Mekah…” Opahnya menganguk tanda mendengar bisikan cucunya itu. Cuma satu yang Tisham amat terkilan, entah bagaimana tasbih yang satu itu tertinggal sewaktu dia melawat opahnya di hospital sebelum pulang ke Johor. Saya teringat lama dia mencarinya di dalam kereta  tetapi tiada…”Tadi Tisham rasa sudah dibawa masuk kereta.” Tisham memang mahu menyerahkan sendiri kepada opahnya.

Hanya selepas Tisham balik ke Johor, baru saya ternampak bekas tasbih yang terjatuh dan kerana bekasnya hitam memang tidak perasaan. Saya sempat menyerahkan kepada mak malam sebelum mak pergi. Dipegangnya tetapi dilepas dari tangannya. Sempat memberitahu, “berat.” Sementelah banyak lagi tasbih-tasbih yang dibeli Tisham sebagai cenderahati untuk mak dan bapa saudaranya (yang murah-murah) lekas-lekas saya menggantinya. Seketika dipegangnya dan kemudian jatuh dari genggaman.

Semua pesan mak dan nasihatnya akan saya pegang sehingga hayat dikandung badan. Tetapi yang satu ini, yang selama saya membesar dan pada setiap kali ketemu dengan mak, pertanyaan yang tidak lekang dari mulutnya ialah, “Sudah sembahyang? (diingatkannya setiap waktu), Jangan lewatkan sembahyang? Atau jangan tinggal sembahyang? Dan bukan kepada saya sahaja tetapi kepada semua anak-anaknya. Insha-Allah tuntutan wajib mengerjakan solat itu tidaklah diabaikan.

Tiga Syawal, insha-Allah semua anak-anak mak diminta berkumpul di kampong untuk kenduri arwah. Ia juga bertepatan dengan tarikh kami mengadakan kenduri untuk arwah apak yang jatuh pada bulan Jun. Sesuatu yang mak selalu tunggu ialah majlis khas untuk apak di rumahnya sendiri. Namun  mak tidak pernah pula sebut mengebumikan dia di sebelah pusara apak. Mujurlah juga kerana sebelah menyebelah kubur apak, sudah dipenuhi dengan kuburan orang lain.

   Maafkan aku mak

  Hanya untaian kata

  Laa ilaha illallah Muhammadur Rasulullah

  Yang dapat aku hadiah pada mu

   Mak, pulangmu sungguh tenang

   Semua kasih sayangmu akan aku kenang

   Hingga nanti Tuhan akan mempertemukan kita lagi

   Tenangkan di alam yang kau diami kini…

    Aku menyayangimu…

Semoga roh mak dicucuri rahmat dan dipilihNya bersama orang yang soleh di Jannah Firdaus.

 

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Cerita-cerita Orang Kahwin

admin

Beza Susu Sejat, Susu Penuh Krim dan Lain-lain

admin

Doakan Mak Sihat

admin

Leave a Comment