DESPERADO

Gaji Dua Ribu Belanja Lima Ribu

Seperti yang diceritakan kepada Pengarang Majalahwm.com

Hari ini usia aku 60 tahun. Pada usia emas ini aku sepatutnya duduk sahaja di rumah, berehat-rehat, melancong serba sedikit dan mendekatkan diri dengan Allah. Lama mana lagi hendak hidup, 10 tahun dan paling tinggi atau panjang umur diberiNya 20 tahun lagi. Jadi sepatutnya aku banyakkan beramal ibadat tetapi tidak juga sebab kena cari untuk isi perut. Semua kerana kebodohan aku sendiri, sehingga kini walaupun aku tidak membeli apa-apa tetapi aku tetap membayar hutang kad kredit yang jumlah, puluhan ribu.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak nafsu tanggunglah sampai ke anak cucu. Pada usia 22 tahun, selepas diploma aku terus bekerja. Gaji pertama sudah RM2000 adoii besar tu bila masa student wang sebanyak itu untuk dibelanjakan dua tiga semester. Memang masa itu aku bukan sahaja ikat perut tetapi ikat hati dan perasaan. Aku benci hidup dalam serba kekurangan. Nak beli coli pun tak ada duit, kasut sepasang itulah yang aku gunakan setiap hari. Itulah kasut ke kuliah, kasut aku jogging, kasut Raya kasut parti. Aku rasa aku yang paling miskin di kolej itu. Dan sebab susah, aku macam benci pada mak ayah. Yalah, anak orang lain hidup mewah, anak awak dibenarkan susah. Makan pun tak cukup. Aku sering marah pada diri dan selalu sebut bila aku senang nanti aku hendak beli ini beli itu.

Tamat diploma, ya aku malas menyeksa diri. Baik aku mencari kerja dan aku bangga walaupun lulusan diploma tetapi gaji aku taraf ijazah. Malah kawan aku yang tungkus lumus tamat ijazah pun sudah lah lambat dapat kerja, bila dapat kerja gaji macam lulusan SPM. Aku bangga kerana aku senang dapat kerja dan, bertukar-tukar kerja tapi eh, senangnya dapat kerja, macam semua orang mahukan aku.

Yang aku perasaan, sebab aku seorang yang bergaya dan kawan-kawan kata aku expensive taste. Betul, aku melawa setiap hari dan baju aku pun paling kurang Zara dan Mango. Baju di Hari Hari, baju Giant, baju Kamdar, aku boleh ketawa bila kawan-kawan beli baju di situ. Ada seorang itu, beli baju dekat pasar malam, mana kelasnya. Dan pergi interview, belum tunjuk sijil dia macam disingkir. Pernah dia nangis beritahu aku, katanya “they go for looks, aku anak kampung tak pandai bergaya.” Aku pun jawab, “Betul lah tu, so kamu kena bergaya dan kena nampak happening macam aku. Tengok aku pasang badan, aku tayang beg LV aku dan kasut Ferragamo aku, tentulah orang nampak aku.” Aku nasihat kawan-kawan, kalau hendak diterima dalam masyarakat kena tunjuk kelas sikit, asbab dari itu kamu boleh pergi jauh.

Biar pepe asal bergaya, itulah aku. Gaji naik dan hutang aku terus meningkat. Sebab hendak bergaya, eh mana kelasnya aku pandu Kancil atau Proton, eh-eh tu student punya kereta lah, aku eksekutif, kelas aku paling tidak pun Honda. Dan aku mesti tinggal di Kondominium, itu juga sebagai tanda aku ada kelas tersendiri. Bila ditanya tinggal di mana, terus aku jawab, kondo so and so…oh-oh terus orang akan hormat aku.

Hidup aku penuh kepura-puraan dan hati aku besar. Penting sangat bagi aku berkawan dengan so and so dengan lifestyle yang orang akan tabiklah. Aku pun mula cakap menyombong, bila ajak makan gerai, sorry lah, I tak biasa makan kat situ. Takutlah sekarang banyak kes kencing tikus, you all jangan biasa makan di tempat-tempat yang kotor tu. Kalau aku hendak lepak pun lepas kerja, geng-geng pun dah faham, Linda tak main kalau di gerai-gerai, food stall atau kedai mamak. Entah, mungkin juga aku jarang hendak belanja kawan-kawan, lama-lama aku sedar, aku pun sudah tidak banyak kawan rapat, tapi kawan-kawan hai-hai bye bye banyaklah. 

Aku tidak kisah kalau ada kawan yang mengelakkan diri. Aku pun tidak suka rapat dengan orang, sebab bila rapat sangat mereka akan tanya asal usul, dari mana, anak siapa, emak ayah kerja apa? Oh no, biar pecah di perut. Tak kan aku beritahu mereka latar belakang aku sebenarnya. Aku malu ayah ku nelayan dan mak aku buat kuih untuk tampung keluarga. Dan adakah aku bantu mereka setelah bekerja? Jawabnya TIDAK, sebab aku pun nampak aje bergaya tetapi aku tidak pernah cukup, ceritanya aku berhutang sana sini. 

Hidup seperti besar periuk besarlah keraknya. Ya lah masa gaji aku RM2000 aku belanja macam orang gaji RM5000 dan bila gaji aku naik RM5000, aku belanja macam aku ini gaji belas ribu. Tukar ganti pakaian, beli itu beli ini tetapi tidak pernah terlintas hati untuk beli rumah. Aku menyewa sana sani.

Dua kali aku berkahwin, perkahwinan pertama dapat dua anak. Laki pertama pun kaki temberang dan kaki gaya. Betul kata orang bijak pandai, kalau kita kaki masjid, dapatlah orang masjid, kalau kita kaki parti dapatlah orang yang gila berparti dan kalau kita kaki borak aje lebih tatapi dalam kosong. Lalu kita akan jumpa orang yang sama perangai dengan kita. Suami pertama, konon bisnes besar. Betullah awal-awal tinggal di banglo dan pandu Mercedes. Bangganya aku dapat laki bisnes besar, dan bila kahwin pun aku hanya bawa famili ke Kuala Lumpur, tak buat dekat kampung. Adalah seorang dua pak cik mak cik aku jemput, kami buat wedding di hotel lima bintang, dan so happening dan aku rasa aku amat bertuah dikurniakan suami orang kaya berpangkat besar.

Sekejab aje aku menikmati kemewahan itu kerana bisnesnya entah apalah, lama-lama kereta ditarik, rumah banglo yang konon rumahnya rupanya rumah sewa dan mana mampu bila sewanya aje lebih RM10,000. Kami keluar masa aku sarat mengandung anak kedua, dan bila aku habis pantang, dan kerana tak sanggup dengan hidup susah aku minta cerai. “Dia pun tak cakap banyak. Rupanya dia pun memang bercadang hendak menceraikan aku kerana katanya dia pun tidak mampu melayan kerenah aku.  Dia kata aku main kelas, dan sebab itu hutangnya sekeliling pinggang.

Kahwin kali kedua juga tidak lama kerana aku sekali lagi berjumpa dengan orang kaki temberang. Kan aku dah cakap, kalau diri kita pun kaki temberang, dapat juga orang macam itu. 

Aku masih dengan fiil buruk aku kerana semua hendak ada kelas, dan pantang ada duit sikit, aku pun tonyok kad. Kerana itu hutangnya semakin meningkat, bayar sikit dan berhutang lagi. Sudah ada dua anak pun aku masih belum sedar diri, belum fikir untuk beli rumah tetapi fikir hendak tayang handbag Gucci, handbag Fendi. 

Adik beradik aku memang marah sangat pada aku sebab tidak pernah hendak ambil tahu tentang mak dan ayah. Pada mereka aku pentingkan diri sendiri. Pada mereka aku lupa daratan, lupa asal usul. Pada aku kalau kamu orang rasa hendak jaga mak dan ayah, kamu orang jagalah, jangan sibuk hal aku, dan tanya aku boleh hutang duit atau tidak, sebab sebenarnya pun aku tidak ada duit. Orang nampak saja rasa aku berduit kerana gaya hidup aku yang begitu.

Aku turun naik mahkamah. Belum selesai kes dengan suami pertama, kes pula dengan suami kedua. Nama aku pula dia guna untuk bisnesnya dan aku terperangkap. Aku diburu oleh orang yang aku tidak dikenali, oleh Along dan entah siapa, yang asyik minta hutang. Mujur aku tidak ada anak dengan dia, kalau tidak lagi susah dibuatnya.

Umur masuk 50 tahun aku pula kehilangan kerja. Simpanan pula zero, ada duit bayar kad kredit, bayar loan kereta dan entah apa loan aku ambil bersama dengan hutang-hutang bekas suami yang guna nama aku. Aku terjerat.

Bila sudah tiada gaji tetap dan tiada simpanan bagaimana aku nak hidup? Apa kepandaian aku untuk meneruskan hidup? Puas mencari kerja sesuai tetapi faham-faham sahajalah pada usia yang sudah 50 sIapa hendak beri kerja? Aku tidak kisah pun kalau gaji murah tetapi ceritanya tidak satu pun tawaran aku dapat. Aku naik letih menghantar resume ke sana sini, dan sepatutnya syarikat-syarikat ini tengoklah juga performance aku, tapi tidak, mereka kata aku sudah lanjut usia untuk kerja yang aku pohon.

Dari kondo, ke banglo, ke teres dua tingkat dan sekarang duduk di rumah flat, ini pun aku tidak berapa mampu. Anak pula tidak pandai mana, berbanding dengan sepupu-pupu mereka semua cemerlang dalam pelajaran. Aku salahkan diri aku kerana kurang memberi perhatian kepada pelajaran anak. Dan dengan masalah ayah mereka, ayah tiri mereka, masalah aku yang tidak sedar diri yang leka dengan keduniaan, akhirnya anak aku yang mendapat habuannya. Kalau dulu aku marah mak ayah kenapa membenarkan aku hidup susah, sekarang anak-anak aku pula menyoal aku, kenapa mereka terpaksa hidup susah? “Banyak yang tidak boleh lagi dalam hidup,” kata Reena. 

Kalau dulu mereka enjoy beli apa mereka suka, kini hendak makan pun sudah tidak ada punca. Kadang-kadang kami terpaksa tahan lapar, sebab tiada duit. Aku tidak tahu hendak cerita apa pada mereka. Dan sebenar satu persatu beg-beg aku jual. Orang pula bila tahu kita susah, lagi tekan. Aku menangis sebab terpaksa jual teramat murah tapi apa cara aku untuk hidup? Nak memasak pun tidak pandai, menjual online pun tak reti, dan hanya harap duit anak yang kerja jadi juru jual dan seorang lagi kerja salun. Yang perempuan asyik hendak melawa sahaja, mak dia susah dia bukan hendak bantu. Gajinya habis dengan bergaya.

Dalam diam bila aku tengok perangai anak perempuan aku itu, aku kata pada diri aku, itulah aku. Aku lupa mak ayah, aku sikit pun tidak hirau akan mereka dan betul, aku satu-satunya yang langsung tidak peduli akan nasib mereka. Kira-kira habis belajar dan dapat kerja, aku terus dengan penghidupan aku dan tidak pernah hendak ambil tahu tentang mereka. Aku tidak tanya pun dan emak ayah pun tak tanya pun, aku rasa mereka dalam diam mesti marah dengan aku. 

Tidak payah tunggu mati untuk Allah bayar balik akan dosa-dosa kita. Terutama kepada kedua orang tua. Bila kita tidak pernah berdoa untuk kesejahteraan mereka, apakah mereka akan mendoakan kesejahteraan kita? Tapi aku rasa mak ayah aku tidak sekejam aku kot, masih mendoakan aku. Dulu aku juga tidak pernah minta kepada Allah untuk kebaikan seisi keluarga kerana hidup aku semata untuk dunia. Aku tidak sujud dan meminta kepadaNya, dan aku tidak pun menghulur sedekah untuk yang susah. Pada aku, aku mesti menyenangkan diri aku sebelum aku senangkan orang lain. Dan Allah membayar ‘cash’ kepada aku.

Bila susah eh, siapa yang hendak tolong kalau dulu orang susah kita tidak tolong, malah hina tak pandai hendak cari sendiri dan sebagainya? Dan sekarang aku faham bagaimana sakitnya rasa bila kita minta tolong, bukan sahaja orang tidak tolong tetapi orang hina. Sekarang aku faham mengapa orang menjauhi aku, sebab dulu-dulu masa aku senang orang yang meminta aku jauhi. 

Mana geng-geng parti aku? Mana geng yang aku banggakan itu, geng yang joli sana sini. Ya mereka sudah lari daripada aku; tidak pernah jawab telefon. Okay aku faham, mungkin juga mereka seperti aku dalam kesusahan, atau mereka senang tetapi untuk apa menyusahkan diri untuk mencari aku yang susah.

Umur aku sudah 60 tahun kini,  dan aku pun tidak sihat mana. Mak dan ayah pun sudah lama pergi, aku tidak sempat minta maaf. Aku hanya sempat menatap wajah mak sebelum dia dibawa ke kuburan, begitu juga ayah yang pergi setahun selepas mak. Ayah pun macam tidak melayan aku, aku balik dia tidak banyak bertanya pun dan dengan anak-anak aku pun dia tidak beberapa melayan mereka. Kata Renna anak perempuan, “macam atuk benci saja kita ya.” Aku jawab atuk sakit, tetapi dalam hati, aku faham kenapa ayah cold terhadap aku, kerana aku pun tidak pernah pedulikan kan dia.

Pesan aku, jadikan cerita aku ini sebagai kisah dan teladan. Satu yang paling hendak aku ingatkan, tolong jaga mak ayah dan tolong jangan sombong dengan mereka. Juga ‘wajib’ mendoakan mereka, sama ada mereka masih hidup atau sudah mati. Dan kalau mampu bersedekah untuk mereka sekalipun mereka sudah tiada. Dan jangan lupa sedekah al Fatihah dan doakan kesejahteraan buat kita untuk mendapat surga Firdaus. 

Doa ibu tiada hijabnya dan kita sebagai ibu terus doakan kebaikan untuk anak-anak dan sebagai anak, sentiasa merendah diri kepada ibu, kerana syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Related posts

Fake Chanel – Hadiah Daripada Kekasih Orang Kayangan

admin

Suami Ditinggalkan Kerana Kanser, Menyusahkan Hidup

admin

Diari Seorang Pencabul, Pendusta dan Pemusnah

admin

Leave a Comment