DESPERADO

Aku Dikahwini Kemudian Dizalimi

Seperti yang diceritakan kepada Pengarang majalahwm.com

Tamat tingkatan lima, aku terlalu ingin melanjutkan pengajian sekurang-kurangnya memegang sijil diploma tetapi belum apa-apa satu rombongan telah datang ke rumah. Rombongan orang kayangan, “Untuk menyunting bunga di taman,” kata wakil rombongan dan di rumah hanya aku sahaja bunga yang telah belum disunting, dua kakak sudah pun berkahwin.

“Ita baru 17 tahun takkan nak menikah kot, ayah,” aku membantah. “Ita nak belajar lagi.” “Cukup, aku tak ada duit nak tanggung. Kamu nak belajar sampai ke mana? Akhirnya ke dapur juga,” samput mak. “Tolong janganlah paksa, Ita pun tidak pernah kenal dia.”

“Eh Ita, kamu ingat kamu sapa, tak ada istilah nak kenal-kenal dulu baru kahwin. Cukup jangan membantah, ayah dan mak kamu sudah pun setuju. Atau kamu tak kahwin sampai ke tua. Ini dari mulut mak kamu, dengar cakap mak. Kami dah setuju dan kami mahu mengadakankan majlis hujung tahun.”

Mengapa mak dan ayah nak sangat aku kahwin pada usia yang begitu muda? Aku tidak tahu, tapi yang pasti mereka rasa dengan mengahwinkan anak mereka dengan orang kaya, beri aku kehidupan yang senang. Kedua, kakak aku walaupun sudah berkahwin tetapi hidup kais pagi makan pagi, campur gaji suami isteri hanya mampu pandu Viva dan duduk di rumah flat. Itu alasan mak, dan kata mak, peluang keemasan usah ditolak. Sementelah ada orang kaya hendakkan anak mereka, mak juga nak tumpang sekaki, dan lagipun kata ayah yang kedekut, dia tidak payah lagi keluar duit belanja aku ke kolej. Sedih, bila ada emak ayah yang berfikiran begini. 

Bermulanya episod baru dalam hidupku

Halim, suami aku berusia 34 tahun, dan aku baru 17 tahun. Jarak usia yang jauh dan semestinya dia jauh lebih matang. Aku hendak dikatakan keanakan tidaklah, tetapi aku belum mengenal dunia seperti mana Halim, yang juga melanjutkan pelajaran di luar negara. Lima tahun di negara orang putih semestinya dia banyak pengalaman, dan pulang bekerja di sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Kerjanya juga sering membawanya ke merata tempat di dunia.

Aku sebenarnya hairan mengapa Halim bersetuju mengahwini aku sedangkan dunianya luas. Dia boleh sahaja memilih sesiapa sahaja yang dia mahu, malah rangkaian syarikatnya pun besar, jadi ramai eksekutif dan pegawai tinggi yang masih bujang, yang boleh dijadikan isteri, dan mengapa dia mahu berkahwin dengan budak yang masih meleleh air hidung? Adoi aku pun pelik, tetapi aku tidak ada pilihan, sama ada aku kahwin, atau aku keluar rumah. Demi menghormati mak ayah, aku memilih untuk berkahwin, walaupun jiwa aku sebenarnya merana.

Apakah Halim juga dalam situasi aku, dipaksa untuk berkahwin oleh kedua orang tuanya? Ini juga satu persoalan yang aku terlalu ingin tahu, tetapi entahlah aku tidak dapat bertanya kepada Halim kerana takut akan menimbulkan masalah.

Sedikit mengenai suami aku, Halim, bukanlah lelaki yang aku bayangkan bila mak memberitahu aku begini begitu. Ternyata apa yang diberitahu tidak menggambarkan sebenarnya diri lelaki yang menjadi suami aku. Dari segi rupa paras, betul rupa budak kampung, kadang aku rasa anak orang di bendang pun lebih kacak. Warna kulit Halim hitam, tetapi aku tidak beberapa kisah tentang itu kerana warna kulit tidak penting bagi aku. Apa masalahnya kalau kulitnya gelap dan aku putih, (oh agaknya keluarga Halim dan mungkin Halim sendiri berkenankan aku kerana kulit aku putih melepak). Berbeza kakak, memang aku terkenal kerana kulit aku cerah, putih melepak, tapi aku sendiri tidak pernah merasakan aku cantik, walaupun kawan-kawan mengatakan aku lawa mirip Nora Danish.

Pada usia aku yang muda, apalah yang aku tahu sangat tentang hal rumahtangga. Bila masuk rumah basuh kaki sahaja, aku rasa semuanya perfect, dan seperti apa yang mak aku cakap, aku bertuah, lepas kahwin terus masuk banglo, yang lengkap dan cantik. Aku jadi takut pula hendak menggunakannya. Pinggan mangkuk semua wedgewood, noritake, periuk belanga adoi yang chef-chef seperti Chef Wan guna. Tak payah nak sebut yang lain, dapur aku pun mengalah dapur chef. Segalanya tersusun, dan suami sediakan pula pembantu.

Tiga tahun kahwin dua anak, seorang lelaki seorang perempuan tapi entahlah, aku rasa tidak seperti isteri. Kemesraan langsung tidak. Aku sedia makanan, tetapi berakhir aku makan seorang, dia pagi keluar tengah malam balik dan balik pun bercakap sangat pun tidak. Masa anak masih kecil lagi dia sudah minta dipindahkan ke bilik sebelah. Katanya mengganggu dia tidur dan dia kata kerana dia penat bekerja, dia tidak mahu diganggu. Bila begitu, aku berakhir tidur di bilik anak sebab yang kecil masih menyusu badan dan yang sulung meragam, dan suka menangis, dan kerana daddy mereka tidak suka bising, berakhir kami di bilik berasingan.

Memang aku tidak faham mengapa dia mahu berkahwin kalau dengan anak pun tiada masa untuk melayan, dan laki bini pun macam orang asing. Memang pun aku rasa, aku orang asing di rumah sendiri. Betul aku tidaklah penat hendak memasak sangat dan mengemas, semua sudah disediakan, malah aku rasa dia lebih banyak bercakap dengan pembantu daripada dengan aku. Pembantu akan sediakan list apa yang tiada di rumah, dan seorang petugas akan kemudian menghantar segala apa yang diperlukan; ikan, ayam dan alat untuk memasak. Heh aku ni apa, kalau aku sendiri tidak boleh memilih ikan apa yang aku hendak makan, dan masakan apa yang tekak aku inginkan? Semuanya ditentukan oleh suami sendiri… malah tersedia menu untuk hidangan harian; Isnin hingga Ahad. Dan apa juga yang tekaknya hendak makan, itulah yang disediakan. Itu pun akhirnya tidak dimakan, dan kerana sayang aku makanlah. Sebab tak mahu membazir.

Mak ayahnya pula sering singgah kat rumah, tetapi helo bukankah aku ini menantu, tapi kot mereka ingat aku ini tidak pandai mana, yalah budak kampong, mereka aku rasa amat tidak menghormati aku. Datang rumah tidak beritahu, dan keluar rumah pun tidak beritahu. Mereka ada sebuah bilik khas, yang aku pun tidak pernah masuk. Ia berkunci rapat, dan hanya pembantu sahaja yang masuk untuk mencuci bilik air dan menukar cadar. Bila ada suami, bisinglah mereka anak beranak bersembang, dan aku walaupun ada bersama, tetapi macam aku rasa aku tidak diperlukan di situ. Jadi akhirnya aku pun memilik untuk melayan anak daripada duduk berbual-bual.

Aku ada beritahu mak akan perasaan aku dan cara Halim melayan aku. Bukan mak hendak bersimpati dengan tapi memarahi aku, “Ita jangan kamu hendak memalukan emak dan ayah kamu dengan orang kampung. Apa kamu tidak tahu diuntung, hidup kamu senang lenang. Kamu hendak apa lagi? Kamu duduk rumah layan aje kehendaknya dan jaga anak kamu, apa yang susahnya? 

“Tapi Halim bercakap dengan Ita pun tidak, mak.” “Yalah dia nak cakap apa dengan kamu, kamu faham ke hal kewangan, hal politik? Lagipun dia kahwin kamu bukan untuk sembang politik.” begitu ayah menyebelahi Halim. “Tapi saya isterinya, kalau sayur dan ikan pun Ita tidak boleh tentukan, dan hidangan apa yang perlu diletakkan di meja, apa gunakan Ita jadi isterinya?”  Namun semua komplain aku pada mak dan ayah, bukan mendapat simpati tetapi aku dimarahi. “Kamu Ita, diam aje, tak payah nak komplain-komplain. Apa yang kamu hendak lagi, rumah besar, kereta Mercedes, tak payah pergi jauh, kak kamu tak merasa macam apa yang kamu rasa, faham.”

Mak, ayah, mertua dan Halim selalu ingat aku ini bodoh. Bodoh aku kerana mengikut telunjuk mereka, dan konon Halim tiada apa hendak dicakapkan kepada aku. Tapi pada aku Halim lah yang paling bodoh kerana mengikut telunjuk orang tuanya.  Dan dia tidak cuba mendekati aku, dia mahu bini tetapi enggan melayan kehendak naluri bini. Anak pertama, kedua, seperti dia bukan ayahnya. Bila mengadu kepadanya tiada apa yang dilakukan. Kalau sakit akulah yang pergi ke klinik. Dia kata beritahu sahaja pada pemandunya bila-bila masa boleh membawa ke mana sahaja kami hendak pergi.

Pada aku kalau hal ehwal anak pun dia kurang ambil tahu, apa gunanya berkahwin? Wang yang ada pun untuk apa? Anak pun takut mendekatinya, to them he is just a stranger in the house. Bezanya orang asing ini yang membayar semua bil-bil. Anak bersekolah aku yang hantar, kelas tuisyen, kelas kurikulum, atau apa sahaja aktiviti sekolah, konsert dan sebagainya dia tidak pernah ambil tahu. Yang aku hairan dia langsung tidak berminat mengetahui hal-hal ini, dan aku rasa dia tidak peduli. 

Dia ingat dia hantar mereka ke sekolah private itu sudah cukup membanggakan. Dia ingat anak dia cakap orang putih berhabuk itu sudah cukup untuk melayakkan mereka menjadi orang pandai sepertinya. Dia tahu tak kalau aku yang tidak beria memaksa mereka mengaji quran, membawa ustaz yang paling sabar ke rumah ini, anak-anak dia kenal agama? Nak mengharap dia mengajar, hem, solat pun entah ke laut, kadang-kadang aku terfikir tahukah dia bersolat? Bulan puasa, hari pertama dan yang terakhir saja dia berbuka di rumah. Entah puasa entah tidak, tapi anak-anak aku paksa bangun sahur, hantar tarawih dan sebagainya. Betul jugalah kata mak, kamu jaga anak-anak kamu supaya jadi orang berguna, kalau laki tak mahu itu bukan tanggung jawab kamu, dia yang berdosa, dia yang akan menjawabnya nanti. “Tapi mak kalau isteri sendiri asyik diperintah dan bertanya pun tidak boleh, menjawab jangan sekali, apa gunanya berkahwin?”

Emak ayah aku tidak suka mendengar soalan yang begitu. Pada mereka, barangkali juga mereka tidak setuju dengan cara menantunya melayan anak mereka, tapi aku wajib setia pada perintah suami. Mak, walaupun tidak suka ayah melayannya, mengherdik dan diperlakukan seperti orang gaji, tapi mak tetap taat setia kepada ayah. Tetap sabar dengan ujian, dan dia mahu aku juga begitu, ikut perintah suami kerana syurga isteri mentaati suami. 

Sampai bila hidup aku dikongkong sebegini. Aku pun tidak tahu. Fikir balik, kalau aku keluar rumah, sepatah kata emak, 10 perempuan dia boleh cari untuk menggantikan aku. Dan apakah aku mampu menanggung anak-anakku kalau aku bawa mereka bersama? Kalau aku angkat kaki dan tinggalkan anak-anak, sudah tentu tindakan ini amat kejam dan mementingkan diri sendiri. Jadinya seperti kata mak, diam saja dan ‘enjoy’ the life of a desperate housewife, yang dahaya kasih sayang khasnya.

Dan demi anak aku terpaksa berkorban untuk hari depan mereka. Demi mak dan ayah aku juga mengorbankan cita-cita untuk menjadi anak yang tidak derhaka, dan demi suami, aku ikut perintahnya sekalipun aku makan hati, mungkin sampai mati.

Related posts

“Abah, Kami Yang Berdosa…

admin

“Puan Dah Pernah Bersedih/Kecewa Teruskanlah”

admin

Ipar Duai Terkejut, Mereka Ingat Aku Janda Merempat

admin

Leave a Comment