
Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui jawatan dan gelaran, ada segelintir pemimpin yang memilih untuk berjalan di jalur berbeza dengan melihat kepimpinan sebagai satu amanah yang melangkaui posisi. Perjalanan seorang tokoh akademia yang merentasi universiti, kementerian dan pentas antarabangsa ini memperlihatkan bahawa kepimpinan sebenar bukan sekadar tentang berada di puncak, tetapi bagaimana kita memberi makna kepada setiap tanggungjawab yang dipikul, serta kesan yang ditinggalkan kepada manusia dan masa depan.
Inilah prinsip kepimpinan yang menjadi haluan Ahli Akademik Malaysia, Prof Dato’ Dr. Noraieni Haji Mokhtar. Bagi beliau, asas kepimpinan tidak dibina dalam sehari. Ia lahir daripada pengalaman panjang di dunia akademik yang menekankan pembangunan modal insan secara holistik. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi teras mengimbangi kecemerlangan intelektual dengan nilai murni dan integriti.
“Falsafah kepimpinan saya berakar daripada usaha merangka dan melaksanakan pembangunan modal insan yang menyeluruh dan bukan sekadar cemerlang, tetapi berintegriti dan berjiwa besar,” ujarnya.
Namun, lebih daripada itu, beliau melihat setiap jawatan sebagai satu amanah yang berat. Bukan sekadar tanggungjawab kepada organisasi, tetapi juga kepada diri sendiri dan kepada Tuhan. Dalam realiti kepimpinan, tidak semua keputusan yang betul akan disenangi. Ada masanya, prinsip diuji dengan tekanan dan persepsi. Namun bagi beliau, kepimpinan menuntut keberanian untuk kekal teguh.
Membina Institusi: Lebih Daripada Sekadar Mengurus
Ketika diberi kepercayaan menerajui sesebuah institusi, fokus beliau melangkaui pengurusan harian. Yang lebih penting adalah membina asas yang mampu bertahan dalam jangka panjang. Bagi beliau, kejayaan tidak harus diukur semata-mata melalui ranking atau pengiktirafan global. Sebaliknya, ia perlu seiring dengan integriti dan tanggungjawab sosial.

“Pengiktirafan itu penting, tetapi ia tidak boleh mengorbankan nilai. Institusi yang benar-benar berjaya adalah yang memberi makna kepada masyarakat.”
Institusi yang kukuh bukan bergantung kepada individu, tetapi kepada sistem, budaya dan nilai yang dibina bersama. Inilah aspek yang memastikan kelangsungan walaupun kepimpinan silih berganti.
Beliau juga percaya institusi tidak dikembangkan untuk hari ini sahaja, tetapi untuk masa depan. Objektif utamanya supaya ia kekal relevan walau siapa pun yang memimpin sesebuah institusi tersebut.
Amanah yang Tidak Ternilai di Lautan Samudera
Ramai tahu antara perjuangan lantang Prof Dato’ Dr. Noraieni adalah mengenai kepentingan dan kesejahteraan lautan. Sebagai seorang yang dekat dengan agenda lautan, beliau melihat laut sebagai lebih daripada sekadar sumber ekonomi. Ia adalah warisan negara yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Ia adalah harta pusaka paling berharga untuk ditinggalkan kepada generasi mendatang.
Malaysia sebagai negara maritim mempunyai potensi besar. Namun, tanpa kesedaran dan pengurusan yang lestari, potensi itu boleh menjadi liabiliti. Dalam konteks Blue Economy, beliau menekankan keperluan untuk melihat pembangunan secara seimbang.

“Pembangunan tidak boleh mengorbankan kelestarian. Kita perlu mencari titik keseimbangan antara kemajuan dan pemeliharaan,” tegasnya lagi.
Penglibatan beliau dalam transformasi perikanan pesisir juga membuka ruang untuk melihat kepimpinan daripada sudut yang lebih dekat dengan rakyat. Bagi komuniti nelayan, perubahan yang diharapkan bukan sekadar angka atau statistik, tetapi peningkatan kualiti hidup.
“Apa yang kita lakukan harus memberi kesan kepada kehidupan sebenar, bukan sekadar cantik di atas kertas.”
Beliau juga menegaskan bahawa penyelidikan hanya bermakna apabila ia diterjemahkan kepada tindakan. Penyelidikan yang berjaya adalah yang keluar daripada laporan dan sampai kepada masyarakat.
Pengalaman di lapangan menjadi pengingat bahawa kepimpinan tidak boleh terlalu jauh daripada realiti. Secanggih mana pun teknologi tercipta, kepimpinan masih memerlukan sentuhan manusia. Tegas beliau, pemimpin perlu turun padang, melihat dan merasai sendiri pengalaman di depan mata, bukan sekadar menerima laporan daripada oragn bawah.
Wanita, Kepimpinan dan Masa Depan
Sebagai wanita dalam struktur kepimpinan yang sering didominasi lelaki, beliau melihat perubahan yang semakin positif dalam lanskap Malaysia. Semakin ramai wanita tampil ke hadapan, bukan sekadar mengisi ruang, tetapi membawa nilai dan perspektif yang memperkayakan kepimpinan dan meninggalkan impak besar.
“Jantina bukanlah ukuran utama. Nilai dan integriti tetap menjadi asas. Apa jua peranan kita, yang penting adalah bagaimana kita memimpin dengan nilai dan tanggungjawab?”
Apabila ditanya tentang legasi, beliau tidak melihatnya dalam bentuk pencapaian peribadi semata-mata. Sebaliknya, ia terletak pada nilai yang diwariskan kepada generasi seterusnya. Besar harapan beliau untuk melihat generasi muda membawa nilai integriti, keikhlasan dan keberanian untuk berpegang kepada prinsip.
Makna “Stewardship Beyond Position” dirumuskan dengan cukup mendalam yakni satu refleksi tentang kehidupan dan kepimpinan itu sendiri.
Tambahnya lagi, “kepimpinan bukan tentang jawatan yang kita pegang, tetapi tentang bagaimana kita menjaga amanah dan meninggalkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita warisi.”
Dalam dunia yang sentiasa berubah, kepimpinan seperti ini menjadi semakin penting menerusi kepimpinan yang tidak terikat pada posisi, tetapi berakar pada nilai, amanah dan kemanusiaan. Kerana pada akhirnya, yang benar-benar memberi makna bukanlah di mana kita berada, tetapi apa yang kita lakukan ketika berada di situ.
