COVER STORY

A TABLE FOR ONE, A HEART FOR MANY

Dato’ Chef Zam: Lelaki Yang Hidup Dengan Kasih Sayang Seorang Ibu

Ramai mengenali Dato’ Chef Zam sebagai seorang chef, pendidik, usahawan dan personaliti televisyen yang sentiasa ceria. Beliau mudah mesra. Gemar bergurau. Dan hampir sentiasa mempunyai sesuatu yang boleh membuatkan orang lain ketawa.

Namun selepas berbual panjang dengannya, saya menyedari sesuatu yang tidak saya jangkakan. Tidak kira apa soalan yang diajukan. Tentang kejayaan. Tentang kegagalan. Tentang cinta. Tentang kehidupan.Tentang anak. Malah tentang dirinya sendiri. Jawapannya hampir sentiasa kembali kepada seorang wanita.

Ibunya.

Seolah-olah seluruh perjalanan hidup lelaki ini tidak pernah jauh daripada kasih sayang seorang ibu yang membesarkannya dengan penuh pengorbanan.

Dan mungkin itulah sebabnya, di sebalik segala gelaran, pencapaian dan kemasyhuran yang dimiliki hari ini, saya melihat sesuatu yang lebih besar daripada seorang chef terkenal. Saya melihat seorang anak yang tidak pernah berhenti mencintai ibunya.

The Man Behind The Chef

Siapakah sebenarnya Chef Zam apabila kamera ditutup dan apron disimpan?

“A simple person. I’m a bit shy. Doesn’t like being in public. I like peace at home or hanging out with close friends. Most importantly, there must be food and drink and always be surrounded by cats at home.”

Ramai mungkin sukar mempercayainya.

Kerana lelaki yang petah bercakap di hadapan khalayak ramai ini sebenarnya pernah menjadi seorang budak yang terlalu malu untuk berdiri di hadapan orang.

“Saya lebih rela mati daripada dipanggil ke depan semasa perhimpunan.”

Beliau membesar sebagai seorang kanak-kanak yang obes dan sering menjadi mangsa buli sejak sekolah rendah.

Seluar koyak. Zip tercabut. Dipersendakan. Dijadikan bahan ketawa.

“Saya sering dianggap budak yang tidak pandai dan tidak akan jadi orang.”

Pengalaman itu sedikit demi sedikit meruntuhkan keyakinan dirinya. Tetapi di rumah, ada seorang wanita yang tidak pernah melihat kekurangan itu.

Arwah ibunya mungkin tidak tahu membaca dan menulis. Namun beliau tahu satu perkara.Pendidikan boleh mengubah nasib hidup seseorang. Walaupun berasal daripada keluarga B40, beliau bekerja keras tanpa mengenal penat.

Bekerja di Hospital Kuala Terengganu. Menjual makanan pagi dan petang. Menguruskan rumah. Dan dalam masa yang sama menjaga ibunya (nenek Zam) sendiri sehingga ke penghujung hayat.

Si ibu yang menghantar dan mengambil anaknya ke sekolah dengan basikal tua. Beliau melakukan semuanya tanpa banyak bicara. Tanpa mengharapkan pujian.Tanpa meminta balasan. “Walaupun arwah ada adik-beradik lain, mak ambil tanggung jawab penuh menjaga ibunya,” cerita Chef Zam.

Mungkin di situlah Chef Zam belajar tentang makna sebenar kasih sayang. Kasih sayang yang tidak memerlukan pengiktirafan. Kasih sayang yang diterjemahkan melalui perbuatan. Kasih sayang yang tetap memberi walaupun diri sendiri tidak mempunyai banyak.

“Serving our parents is very rewarding in this world and the hereafter. Never forget that even though it is hard.”

Ketika Chef Zam mengucapkan ayat itu, saya merasakan ia bukan sekadar nasihat.

Ia adalah prinsip hidup yang diwariskan oleh ibunya. Dan sehingga hari ini masih dipegang erat.

School of life

“Saya pernah gagal SRP & SPM kerana sering poteng sekolah disebabkan lemas akibat menjadi mangsa buli sejak sekolah rendah. Alam persekolahan amatlah merengsakan bagi saya,” akui Chef Zam. “Namun demi ibu saya bangkit, tingkatkan usaha dan lulus untuk melayakkan diri memohon ke ITM. Sejak dari itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi, dan terus kayuh laju ke hadapan. Kata perpatah, usaha tangga jaya.”

Sekali pun zaman persekolahan meninggalkan luka, Amerika pula menjadi tempat luka itu mula sembuh.

Sebagai pelajar tajaan MARA di Amerika Syarikat, Zam  mula membina semula keyakinan dirinya.

Daripada seorang pemuda yang hampir tidak mempunyai keyakinan diri, beliau berubah menjadi seorang yang berani menyuarakan pendapat dan percaya kepada kebolehan sendiri. “Semua itu saya dapat dari Amerika. Saya tapis dan ambil yang baik daripada mereka.”

Dan pengalaman belajar dan mengajar di London pula membuka lagi pandangan hidupnya. Zam belajar bahawa kejayaan tidak datang secara kebetulan. Ia datang melalui usaha yang berterusan. Mungkin sebab itu sehingga hari ini beliau masih percaya:

“Tiada siapa yang lahir bodoh. Kalau bodoh, boleh pergi belajar. Tapi kalau malas, tiada ubat,” katanya.

Beliau tidak percaya kepada alasan. Tidak percaya kepada simpati. Beliau percaya kepada usaha. Dan beliau percaya bahawa seseorang itu perlu menentukan nasib hidupnya sendiri.

“We determine our own destiny. Never wait or hope for others to do us any favour. But if you for some, bless your heart lah! “

Namun di sebalik semua pencapaian profesional, ada satu kehilangan yang meninggalkan kesan paling besar dalam hidupnya.

Pemergian ibunya.

Beliau tidak berselindung ketika menceritakan tentang tempoh itu. “Saya rasa lonely dan kosong selepas kematian ibu. Kadangkala ada kehilangan yang tidak boleh digantikan. Dan kasih seorang ibu adalah salah satunya. Rumah yang dahulu hidup tiba-tiba menjadi sunyi. Hari-hari yang dahulu penuh dengan tanggung jawab menjaga ibu bertukar menjadi ruang yang kosong,” suara Zam sebak sambil bercerita.

“Namun Allah SWT mempunyai perancangan yang amat indah. Suatu hari saya menerima panggilan daripada seorang kenalan yang bekerja di sebuah rumah kebajikan. Katanya ada seorang bayi lelaki yang memerlukan penjaga. Dia telefon dan tanya sama ada saya mahu jaga bayi lelaki.Saya sendiri tidak pernah merancang untuk menjadi seorang bapa. Malah pada awalnya arwah ibu kurang bersetuju kerana faktor usia dan kemampuan untuk menjaga anak kecil. Saya desak juga dan akhirnya mereka menerima bayi itu.”

Dan tanpa disedari, bayi itu bukan sahaja menemui sebuah rumah. “Saya juga sedang memasuki sebuah hati yang sedang berduka. Saya rasa Allah menghidupkan semula jiwa saya yang rapuh dengan membawa Muhammad Faiq Maliki Ar-Rahman ke dalam hidup saya.”

Ayat itu mungkin antara ayat paling indah yang keluar sepanjang sesi temuramah ini.

Kerana di dalamnya ada kehilangan. Ada kesedihan. Ada kerinduan.dan ada harapan.

Hari ini Dato’ Chef Zam tidak lagi mempunyai banyak masa untuk merasa sunyi.

Beliau sibuk menjadi seorang ayah. Beliau sibuk menjawab panggilan telefon anaknya. Beliau sibuk membantu kerja sekolah. Beliau sibuk merindui anaknya apabila berjauhan. Dan beliau bersyukur untuk semua itu.

Apabila ditanya tentang impian terbesar untuk anaknya, jawapannya cukup sederhana.

Dato’ Chef Zam tidak meminta anaknya menjadi terkenal. Beliau tidak meminta anaknya menjadi kaya. Beliau hanya mahu Faiq Maliki menjadi seorang insan yang soleh, bijak, penyayang dan mampu berdikari.

“Saya semakin tua dan dia baru hendak masuk lapan tahun,” katanya

“Sebagai seorang bapa, saya hanya berdoa agar Allah SWT memberikan kesihatan, umur yang panjang dan rezeki yang mencukupi untuk membimbing anak ini sehingga mampu berdiri sendiri.”

Dan ketika beliau mengucapkan doa itu, saya teringat kembali kepada kisah seorang ibu yang suatu ketika dahulu pernah mengayuh basikal tua untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Mungkin inilah kitaran kasih sayang.

Seorang ibu membesarkan seorang anak.

Kemudian anak itu membesarkan seorang anak yang lain. Dan kasih sayang itu terus hidup dari satu generasi ke satu generasi.

Apabila diminta menggambarkan dirinya dalam tiga perkataan, perkataan pertama yang dipilih ialah, Caring,  kemudian, Too Trusting dan Frugal.

Menurut Chef Zam, sifat itu mungkin diwarisi daripada arwah ibunya juga.

Zam masih mengingati bagaimana ibunya pernah membawa masuk seekor ayam yang cedera ke dalam rumah untuk dirawat menggunakan minyak gamat dan garam laut sehingga ayam itu sembuh.

“Lepas sembuh, ayam disembelih dan dimasak. Lucu kan,” katanya sambil ketawa.

Di sebalik jenaka itu, tersimpan satu hakikat yang lebih besar.

Beliau dibesarkan oleh seorang wanita yang mempunyai belas ihsan terhadap semua makhluk, sama ada manusia mahupun haiwan.

Dan mungkin daripada wanita itulah beliau belajar bahawa kasih sayang tidak memerlukan alasan untuk diberikan.

Padanya ibunya amat penyayang, tetapi tetap praktikal.

Too Trusting.  “What you see is what you get.”

Begitulah beliau menggambarkan dirinya.

Beliau mengakui sering menganggap orang lain mempunyai keikhlasan yang sama seperti dirinya. Malangnya, kehidupan mengajar bahawa tidak semua manusia begitu.

“Saya selalu anggap orang lain pun sama macam saya. Saya tidak pandai membaca hidden agenda mereka selagi tidak terlalu jelas.”

Kepercayaan itu pernah mengundang harga yang mahal.

Bukan sahaja kehilangan wang yang mencecah ratusan ribu ringgit melalui pinjaman yang kononnya diberikan kepada sahabat, malah beliau juga kehilangan beberapa persahabatan dan memperoleh musuh akibat kejujurannya sendiri.

Namun menariknya, pengalaman itu tidak menjadikan beliau seorang yang pahit hati. Beliau masih memilih untuk melihat kebaikan dalam manusia. Cuma kini dengan lebih berhati-hati berbanding dahulu.

Dan ini sebenarnya bahagian yang saya nampak insan yang bernama Zamzani Abdul Wahab, sangat manusiawi orangnya. Kerana pada saya, ramai tokoh tidak mahu mengaku kelemahan mereka. Tetapi Dato’ Zamzani mengaku secara terbuka bahawa beliau terlalu mempercayai orang.
Frugal. Satu lagi sifat yang dibawanya sejak kecil ialah berjimat-cermat. “Ramai orang melihat personaliti TV dan menganggap mereka hidup mewah.” Akui Zam, “kehidupan yang mengajar saya menilai setiap sen yang dibelanjakan.”
Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang bekerja keras untuk menyara keluarga, Zam memahami bahawa setiap ringgit datang bersama pengorbanan.

“Finding money requires a lot of effort, time, energy and sacrifice.”

Sebab itu beliau tidak pernah melihat kemewahan sebagai sesuatu yang perlu dipamerkan. “If there is a cheaper option, why waste it?”

Bagi beliau, kebijaksanaan bukan terletak pada berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi bagaimana mendapatkan nilai terbaik tanpa mengorbankan kualiti.

“Please yourself first, not others.”

Falsafah yang ringkas, tetapi cukup menggambarkan seorang lelaki yang tidak lagi hidup untuk memenuhi jangkaan orang lain.

 Di sinilah saya melihat Dato’ Chef Zam sangat jujur. Seorang yang sangat praktikal orangnya. Kehidupan yang kelihatan biasa. Apabila ditanya apakah makna kemewahan baginya hari ini, beliau menjawab tanpa berfikir panjang.

“A good bill of health, a peace of mind and endless money to spend.”

Kemudian beliau ketawa.

Namun seperti kebanyakan lawaknya, ada kebenaran yang terselit di dalamnya.

Pada usia dan tahap kehidupan sekarang, kemewahan bukan lagi tentang apa yang dimiliki. Tetapi tentang ketenangan.

Bab cinta pula mungkin antara yang paling menarik

Chef Zam masih hidup sebagai lelaki bujang. Ditanya sama ada itu pilihan atau takdir, beliau menjawab:

“Both.” Kemudian ketawanya kembali pecah. “I’ve never looked for a soulmate and my soulmate has never looked for me.”

Beliau mengakui sudah terlalu lama hidup sendiri. Malah membayangkan kehidupan berumah tangga juga membuatkannya tersenyum.

“Nanti kena report duty, punch card. Katil jadi sempit. Rimaaaassss!”

Tetapi di sebalik jenaka itu, ada pengakuan yang cukup jujur. “Tapi mungkin seronok jugak sebab ada orang peduli dan sayang kot. Tapi… kalau dapat isteri yang berdengkur, jawabnya, Kes Malang. Memang aku akan tekup dengan bantal sampai senyap dan biru. Ha ha.”

Lucky to those yang berjodoh sampai ke hujung. Rezeki mereka. Saya pula tidak sanggup merana kerana cinta, because I could be hopelessly in love and will get impactfully hurt. Been there, done that, and got a few t-shirts. Enough lah!”

Begitupun diakui sekali lagi oleh Zam, “Orang yang paling mengubah pandangannya tentang cinta bukanlah pasangan hidup.

Tetapi ibunya.

“There is. My late mother.”

Kasih sayang yang tidak bersyarat. Kasih sayang yang tidak meminta balasan. Kasih sayang yang tidak pernah berakhir walaupun jasad sudah tiada.

Antara dicintai atau dihormati? “Keduanya, but in moderation. Jangan terlalu obses dengan seseorang dan jangan terlalu mengharap,” katanya

Hari ini beliau mengakui cintanya lebih tertumpu kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan anak-anak. Pengalaman hidup mengajarnya bahawa tidak semua cinta akan berakhir dengan perkahwinan. Dan tidak semua cinta kekal selamanya.

Pandangan Chef Zam pula tentang leaki sejati? “Oh itu hanya wujud di Disney World, Universal Studio, Hollywood dan Bollywood.”

 “Benar lelaki juga mempunyai saat-saat rapuh yang tidak diketahui orang, kerana selagi kita bernama manusia, no matter how tough one appears to be, pasti ada soft spot yang boleh membuatkan seorang lelaki itu tumpah air mata.”

Apakah legasi yang ingin ditinggalkan?

Sekali lagi Chef Zam tidak bercakap tentang kekayaan atau nama. Sebaliknya beliau mahu menubuhkan Yayasan Chef Zam untuk membantu anak-anak Malaysia yang berminat dalam bidang kulinari tetapi tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Beliau juga mahu membina sebuah surau atau masjid atas nama arwah ibunya, Chik binti Mohamed.

Supaya manfaatnya terus mengalir. Supaya pahala itu terus hidup. Dan supaya kasih seorang anak kepada ibunya tidak pernah terputus walaupun dipisahkan oleh kematian.

Sebelum temu ramah berakhir, saya kembali memikirkan jawapan pertama yang diberikan oleh Chef Zam.

Seorang lelaki yang sukakan ketenangan.

Seorang lelaki yang gemarkan makanan dan minuman.

Seorang lelaki yang bahagia apabila dikelilingi kucing-kucing kesayangannya.

Kedengaran sederhana.

Tetapi mungkin selepas melalui segala yang pernah dilaluinya, beliau akhirnya memahami sesuatu yang ramai manusia mengambil masa bertahun-tahun untuk belajar.

Bahawa kebahagiaan sebenar tidak semestinya datang dalam bentuk yang besar. Kadangkala ia hadir dalam bentuk sebuah rumah yang tenang.

Seorang anak yang menunggu kepulangan kita.

Kenangan seorang ibu yang tidak pernah hilang daripada hati.

Dan rasa syukur kepada Allah SWT yang sentiasa mengetahui apa yang kita perlukan, walaupun ketika kita sendiri tidak mengetahuinya.

Dato’ Chef Zam mungkin duduk di sebuah meja untuk seorang.

A Table For One.
A Heart For Many.

Dan di tengah-tengah hati itu, sentiasa ada seorang ibu.

Contented In Occasional Chaos

Jika sepanjang rencana ini kita mengenali sisi mendalam seorang anak, seorang bapa dan seorang pendidik, bahagian ini pula memperlihatkan sisi santai Dato’ Chef Zam yang ramai kenali dan senangi.

Coffee atau Tea?

Coffee.

Mungkin kerana kehidupan yang sentiasa bergerak memerlukan sedikit bantuan kafein setiap hari.

Cooking or Eating?

Eating.

Jawapan yang mungkin mengejutkan ramai. Tetapi Chef Zam ketawa apabila menjawabnya. Seolah-olah mahu mengingatkan kita bahawa walaupun beliau terkenal kerana memasak, beliau masih seorang pencinta makanan terlebih dahulu.

Beach or Mountain?

Mountain.

Mungkin sebab itu ramai yang terkejut apabila mengetahui beliau pernah mendaki Bukit Broga dan Bukit Tabur sehingga ke puncak.

Morning or Night?

Morning.

Sesuai dengan rutinnya yang bermula awal setiap hari dengan solat Subuh, senaman dan pelbagai tanggungjawab sebagai bapa serta pendidik.

Books or Netflix?

Books.

Seorang pendidik akan tetap menjadi seorang pendidik.

Satu makanan yang boleh dimakan setiap hari?

Nasi Terengganu.

Walau sejauh mana beliau mengembara, cita rasa anak Terengganu itu tetap tidak pernah hilang.

Tiga orang yang ingin dijemput makan malam?

Senyum,dan tiada jawapan. Mungkin kerana beliau lebih suka menikmati makanan bersama sahabat-sahabat rapat daripada mengejar nama besar.

Negara kegemaran?

Turki, Itali, Jerman,Thailand, Indonesia dan pastinya Malaysia, tanah tumpah darahnya.

Setiap negara mempunyai keunikan tersendiri, tetapi Malaysia tetap mempunyai tempat istimewa di hati beliau.

Perkataan yang paling menggambarkan kehidupan Chef Zam hari ini?

“Contented in occasional chaos.”

Mungkin inilah jawapan yang paling tepat. Kehidupan yang tidak sempurna. Kadangkala kelam-kabut. Kadangkala memenatkan. Tetapi tetap membahagiakan.

Adakah Chef Zam seorang yang romantik?

” I am, it’s definitely my style and personality!” 🤣

Dan dengan itu, beliau ketawa lagi.

Related posts

JANNA SYAQIRA -”I WANT MY CHILDREN TO KNOW ALLAH FIRST, EVERYTHING ELSE WILL FOLLOW”

Wirda Adnan

DATO’ EMMA IBRAHIM – “I AM IN LOVE”

Wirda Adnan

SELEBRITI BERHIJAB

Jantra Naqiah

Leave a Comment