CANTIK

MENARD Cantik Bermula Dengan Cara Kita Menjaga

Ada jenama kecantikan yang kita temui, kita cuba dan kemudian berlalu begitu sahaja. Ada pula yang, setelah sekian lama, tiba-tiba hadir semula dalam ingatan apabila kita kembali berhadapan dengannya.

Begitulah MENARD.

Baru-baru ini saya menerima jemputan ke sebuah pertemuan santai yang memperkenalkan kembali dunia kecantikan MENARD. Tidak ada suasana yang terlalu formal, sebaliknya sebuah perkenalan yang cukup sederhana — namun cukup untuk membuat saya kembali teringat kepada jenama Jepun ini yang pernah saya pilih sendiri beberapa produknya untuk kegunaan peribadi suatu ketika dahulu.

Mungkin kerana semakin kita mengenali dunia kecantikan, semakin kita sedar bahawa kecantikan tidak semestinya tentang memiliki lebih banyak produk. Kadangkala ia tentang mengetahui apa yang diperlukan kulit, bagaimana menggunakannya dan, yang paling penting, melakukannya dengan betul.

Itulah perkara yang menarik perhatian saya kali ini.

Bukan sekadar tentang produk

MENARD diasaskan di Nagoya, Jepun pada 1959 dengan falsafah Seeking True Beauty. Lebih daripada enam dekad kemudian, pendekatannya masih berakar pada penyelidikan kulit, pembangunan produk, pendidikan kecantikan dan penjagaan yang dilakukan secara konsisten.

Melalui konsep BIHADA, yang membawa maksud kulit yang cantik dan sihat dalam bahasa Jepun, MENARD mengetengahkan sesuatu yang sebenarnya sangat asas tetapi sering kita abaikan — memahami kulit sendiri.

BIHADA bukan sekadar sesi memperkenalkan produk atau mengajar cara mencuci wajah. Ia lebih kepada pendidikan tentang urutan, jumlah produk, suhu air dan sentuhan yang betul. Prinsipnya mudah: penjagaan yang baik tidak seharusnya kasar, tergesa-gesa atau berlebihan, tetapi dilakukan dengan lembut dan konsisten.

Dan saya fikir, pada usia tertentu, kita mula menghargai pendekatan seperti ini.

Kita tidak lagi mencari sesuatu yang sekadar memberikan kesan segera. Kita lebih menghargai rutin yang boleh dilakukan setiap hari — sederhana, selesa dan masuk akal.

Seni membersihkan wajah

Antara perkara yang diperkenalkan semula ialah konsep double cleansing melalui rangkaian EMBELLIR.

Saya akui, perkataan double cleansing bukanlah sesuatu yang asing. Tetapi cara MENARD menerangkannya membuatkan saya melihat proses membersihkan wajah dari sudut yang sedikit berbeza.

Ia bukan bermaksud mencuci muka dua kali dengan produk yang sama.

Langkah pertama, EMBELLIR Refresh Massage, digunakan untuk membantu menanggalkan bahan berasaskan minyak seperti solekan, pelindung matahari dan sebum berlebihan. Kemudian EMBELLIR Washing menggunakan buih yang halus dan padat untuk membantu membersihkan peluh, habuk serta kotoran larut air.

Sederhana, tetapi logiknya jelas.

Dan di sinilah saya rasa pendekatan MENARD menjadi menarik — mereka tidak hanya memberitahu apa yang perlu digunakan, tetapi turut menekankan bagaimana ia digunakan.

Untuk Washing, misalnya, buih yang banyak bukan semata-mata untuk kelihatan mewah. Ia berfungsi sebagai lapisan lembut antara tangan dengan kulit, sekali gus membantu mengurangkan geseran secara langsung.

Begitu juga dengan Refresh Massage. Tekanan yang lebih kuat tidak bermakna penjagaan menjadi lebih berkesan. Sebaliknya, gerakan perlu lembut, lancar dan terkawal tanpa menarik atau menekan kulit secara berlebihan.

Kecantikan yang tidak tergesa-gesa

Mungkin itu yang paling saya sukai daripada pertemuan kali ini.

Dunia kecantikan berkembang begitu pantas — sentiasa ada bahan baharu, teknologi baru dan trend baharu — MENARD membawa kita kembali kepada sesuatu yang lebih asas: jaga kulit dengan betul.

Justeru tidak perlu pun sentiasa menambah produknya di meja solek dan mengejar apa yang baru sebaliknya cukup dengan memperbetulkan apa yang selama ini kita lakukan setiap pagi dan malam.

EMBELLIR sendiri menggabungkan pengalaman MENARD dalam penyelidikan herba Reishi yang telah dijalankan sejak 1980-an, dengan tekstur yang mewah dan pengalaman penjagaan kulit yang menekankan rasa lembap, anjal dan halus.

Namun bagi saya, kemewahan sebenar bukan hanya pada tekstur atau pembungkusan. Ia adalah saat kita mengambil beberapa minit untuk membersihkan wajah tanpa tergesa-gesa, mengurut dengan sentuhan yang lembut dan membilas dengan sempurna. Dan kemudian meneruskan rutin penjagaan dengan kesedaran bahawa kulit juga memerlukan masa dan perhatian.

Kembali kepada yang asas

Pertemuan santai dengan MENARD itu akhirnya mengingatkan saya kepada sebab mengapa sesetengah produk kekal dalam ingatan walaupun sudah lama kita tidak menggunakannya. Bukan semata-mata kerana namanya tetapi kerana pengalaman yang pernah ditinggalkannya.

Dan mungkin itulah makna sebenar Seeking True Beauty — kecantikan yang tidak dikejar secara terburu-buru, sebaliknya dibina sedikit demi sedikit melalui pengetahuan, disiplin dan cara kita menghargai diri sendiri.

Saya melihat sebuah peringatan kecil bahawa dalam menjaga kulit — seperti juga dalam banyak perkara dalam kehidupan — cara kita melakukan sesuatu kadangkala sama pentingnya dengan apa yang kita gunakan.

Related posts

OMNO Launches Nourish & Protect: The Eco-Friendly Skincare Line Combating Harsh Tropical Weather

adminwm

The Body Shop Meraikan 40 Tahun di Malaysia denganChangemaking Campus

adminwm

NEW! CHERRY DUB

adminwm

Leave a Comment