
SITI NORAINI NUAWI – QUEEN OF SUSHI Berani Bermimpi, Berani Membina, Berani Memberi
Pagi itu, di Nippon Sushi Sunway Square Mall Petaling Jaya, suasananya seperti biasa — sibuk, hidup dan penuh dengan pelanggan yang datang untuk menikmati hidangan kegemaran mereka.
Di satu sudut, seorang wanita berdiri di hadapan kamera.
Tidak ada gaya seorang pemilik empayar perniagaan. Tidak ada rombongan yang mengiringi. Tidak ada wajah yang meminta perhatian. Dia hanya berdiri, tersenyum, bergerak apabila diminta dan menurut arahan jurugambar dengan begitu mudah.
Yang menariknya, di celah kesibukan pelanggan yang keluar masuk, hampir tiada siapa yang menyedari bahawa wanita yang sedang berada di hadapan kamera itu ialah Puan Siti Noraini Nuawi — pengasas Nippon Sushi, sebuah perniagaan yang kini mempunyai 50 outlet di seluruh Malaysia.
Kami juga menyaksikan sesuatu yang mungkin kecil, tetapi cukup menggambarkan peribadinya. Dia tahu bila untuk mengarah. Dan dia tahu bila untuk menerima arahan.
Bagi saya, itulah antara sifat yang membezakan seorang pemimpin yang benar-benar bijak. Dia tidak perlu sentiasa menjadi orang yang paling dominan di dalam ruang. Dia tahu bila harus memimpin dan bila harus memberi kepercayaan kepada orang lain untuk melakukan tugas mereka.
Krew juga berasa selesa bersamanya.
Mungkin kerana di sebalik angka 50 outlet, 1,000 pekerja dan sebuah jenama yang semakin dikenali, Puan Siti Noraini Nuawi masih membawa sesuatu yang sangat sederhana — dirinya sendiri.
Dan apabila kami duduk berbual, saya mula memahami bahawa kisahnya sebenarnya bermula jauh sebelum Nippon Sushi.
DARI SELISING, SEBUAH KEHIDUPAN BERMULA
Siapakah Siti Noraini sebelum menjadi nama di belakang Nippon Sushi?

Jawapannya membawa kami jauh dari pusat beli-belah moden dan dunia F&B yang serba pantas — kembali ke sebuah pekan kecil di Selising, Pasir Puteh, Kelantan.
“Saya hanyalah seorang anak kampung yang membesar di sebuah kampung kecil di Selising, Pasir Puteh, Kelantan.”
Namun kehidupan kecil itu tidak semestinya mudah. Ayahnya meninggal dunia ketika beliau berusia 10 tahun. Empat tahun kemudian, ibunya pula pergi meninggalkannya. Pada usia baru 14 tahun, beliau sudah menjadi anak yatim piatu.
Ada kehilangan yang mengajar manusia tentang kesedihan. Tetapi ada juga kehilangan yang, perlahan-lahan, memaksa seseorang belajar berdiri sendiri. Bagi Siti, pengalaman itu membentuk sifat berdikari, ketahanan dan rasa tanggungjawab terhadap kehidupan sendiri.
Namun ada satu lagi warisan yang lebih halus daripada ayahnya — dunia perniagaan.
Ayahnya seorang usahawan. Di kedai Selising, beliau menjual barangan elektrik, barangan kaca Niko dan bahan binaan. Beliau juga mempunyai sebuah studio fotografi.
Sebagai seorang anak kecil, Siti hanya melihat ayahnya bekerja. Melihat bagaimana pelanggan dilayan. Bagaimana hubungan dibina dalam sebuah komuniti kecil. Bagaimana sebuah perniagaan memerlukan kesungguhan untuk terus hidup.
Dan satu perkara paling penting yang diperhatikannya: Setiap pelanggan itu penting.
Ketika itu beliau tidak tahu bahawa sebenarnya beliau sedang belajar tentang keusahawanan. Beliau hanya melihat ayah bekerja. Bertahun-tahun kemudian, ketika membina perniagaannya sendiri, beliau menyedari bahawa sebahagian daripada pelajaran itu tidak pernah hilang.
BERANI MENINGGALKAN YANG SELAMAT
Sebelum F&B, Siti Noraini berada dalam dunia korporat. Sebuah dunia yang lebih tersusun, lebih stabil dan memberikan keselamatan kerjaya.
Jadi, mengapa meninggalkan sesuatu yang sudah selesa?
“Saya rasa sifat berdikari memainkan peranan besar dalam keputusan itu.”
Pengalaman korporat memberinya asas yang penting — pemasaran, kewangan, dan pengurusan tetapi akhirnya muncul satu keinginan yang semakin kuat: Membina sesuatu yang benar-benar miliknya.


Bukan keputusan yang mudah. Ada ketakutan dan ketidakpastian. Namun mungkin kehidupan sejak kecil sudah mengajarnya bahawa seseorang tidak boleh selama-lamanya menunggu orang lain membuat keputusan untuknya. Kadang-kadang, kita perlu cukup berani untuk membuat keputusan sendiri.
“SAYA TAK TAHU, JADI SAYA BELAJAR.”
Masuk ke dunia F&B pula membawa cabaran yang berbeza. Beliau tahu mengurus perniagaan dari sudut korporat dan pemasaran tetapi mengurus sebuah restoran adalah cerita yang lain.
Dapur. Penyediaan makanan. Inventori. Kos makanan. Kakitangan. Khidmat pelanggan. Operasi harian. Semuanya perlu difahami. Dan beliau tidak memilih untuk berpura-pura tahu. Sebaliknya, Siti Noraini belajar.
Sebelum memulakan Nippon Sushi, Noraini mengambil sebuah perniagaan francais dalam industri kafe sebagai ruang untuk memahami F&B dari bawah. Beliau mahu tahu apa yang berlaku di belakang tabir — bagaimana sebuah outlet bergerak, bagaimana kakitangan diuruskan, bagaimana kos dikawal dan bagaimana sebuah restoran perlu berfungsi setiap hari.
Ada satu prinsip yang jelas daripada jawapannya: Kalau tidak tahu sesuatu, jangan takut untuk belajar. Tidak perlu mengetahui segala-galanya sebelum bermula tetapi mesti bersedia untuk belajar dengan cepat.
Dan mungkin di situlah terletaknya salah satu kekuatan beliau — tidak malu untuk bermula sebagai seorang yang belum tahu.
2018: NIPPON SUSHI LAHIR

Apabila Nippon Sushi bermula pada 2018, Siti Noraini melihat satu ruang yang cukup jelas. Makanan Jepun semakin popular, tetapi beliau mahu menjadikannya lebih mudah dinikmati oleh rakyat Malaysia, khususnya pengguna Muslim.
Bukan sekadar restoran Jepun. Tetapi pengalaman makan yang mampu milik, mesra dan benar-benar halal — supaya keluarga boleh menikmatinya tanpa was-was.
Beliau juga tidak mahu Nippon Sushi menjadi sebuah tempat yang eksklusif. Beliau mahu orang datang bersama keluarga, makan bersama dan mencipta kenangan.
Di situlah halal bukan sekadar perkataan pada menu. Bagi beliau, halal adalah soal kepercayaan dan ketenangan hati. Pelanggan Muslim perlu masuk ke restoran dan berasa yakin dengan apa yang mereka pesan. Itulah sebabnya komitmen kepada halal menjadi antara asas penting Nippon Sushi.
ANTARA JEPUN DAN SELERA MALAYSIA
Mencipta makanan Jepun halal untuk selera Malaysia bukan perjalanan yang mudah. Banyak bahan dan teknik tradisional perlu difikirkan semula. Bukan sekadar membuang bahan tertentu, tetapi memastikan identiti rasa masih sedap dan menarik. Dan di sinilah muncul satu ayat Puan Siti yang cukup menarik:
“Saya bukan pandai masak, tetapi saya tahu apa yang sedap.”
Beliau mungkin bukan orang yang berdiri di dapur memasak setiap hidangan tetapi beliau seorang Pelanggan. Siti Noraini tahu apa yang beliau suka. Lebih penting, beliau memerhatikan apa yang rakyat Malaysia suka.
Apa yang mereka dipesan, yang tidak dihabiskan dan apa yang pelanggan katakan. Kadang-kadang, katanya, maklum balas paling kecil pun boleh memberitahu sesuatu yang lebih besar. Ia sama ada orang benar-benar menikmati apa yang mereka makan.
Dan rakyat Malaysia pula mempunyai satu sifat yang menarik. Kita suka mencuba sesuatu yang baharu, tetapi pada masa yang sama kita juga mencari rasa yang kita familiar dan biasa makan. Maka rahsianya ialah mencari keseimbangan antara authenticity dan localisation.
DARI SATU OUTLET KEPADA 50
Jika 50 outlet hari ini kelihatan seperti sebuah kejayaan besar, jangan lupa bahawa semuanya bermula dengan sebuah outlet pertama. Dan di sebalik setiap permulaan, ada rasa teruja. Dan ada juga rasa takut.
“Saya ingat keterujaannya, tetapi saya juga ingat ketakutannya.” Ketika membuka outlet pertama, segala-galanya terasa peribadi. Setiap pelanggan penting. Setiap pinggan penting. Setiap ringgit penting.

Dan ada satu kenangan yang tidak dilupakan — kira-kira lapan tahun lalu, beliau sendiri berdiri di luar kedai di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, mengajak pelanggan masuk.
Itulah antara pengalaman yang menarik. Kerana setiap pelanggan yang masuk sebenarnya mempunyai pilihan. Mereka memilih untuk memberi Nippon Sushi peluang. Dan peluang itu tidak pernah diambil mudah.
Mungkin kerana itu juga apabila pelanggan mula datang semula dan membawa keluarga serta rakan-rakan, beliau tahu bahawa Nippon Sushi sudah berubah daripada sekadar menjual sushi kepada membina kepercayaan. Dan apabila kepercayaan sudah ada, barulah pertumbuhan mempunyai asas. Namun begitu pertumbuhan datang bersama tanggungjawab yang lebih besar.
CABARAN SEBENAR BUKAN MEMBUKA CAWANGAN
Apakah cabaran terbesar apabila perniagaan semakin berkembang?
Jawapannya hanya satu perkataan: Konsistensi.
“Membuka sebuah restoran adalah satu perkara. Memastikan kualiti yang sama dikekalkan di puluhan cawangan, dengan 1,000 pekerja, adalah perkara yang jauh berbeza.”
Ia memerlukan sistem. Latihan. Teknologi. Rantaian bekalan yang teratur. Dan manusia yang benar-benar percaya kepada standard yang sama.
“Pertumbuhan memang mengujakan, tetapi pertumbuhan yang mampan memerlukan disiplin,” pintasnya.
Itu mungkin antara ayat yang paling menggambarkan fasa Nippon Sushi hari ini. Kerana membesarkan perniagaan bukan sekadar menambah pintu. Ia tentang memastikan jiwa yang sama berada di sebalik setiap pintu.
BUKAN SEMUA ORANG MAHU MAKAN DENGAN CARA YANG SAMA
Mengapa pula beberapa konsep berlainan F&B dibangunkan? Kerana pelanggan tidak sama. Ada yang mahu makanan segera dan mudah. Ada yang mahu makan bersama keluarga. Ada yang sukakan buffet. Ada yang mencari pilihan yang berpatutan dan pantas.”
Maka konsep berbeza dibangunkan berdasarkan keperluan pelanggan, tetapi nilai asas tetap sama: kualiti, kemampuan dan halal.
Dan dalam keusahawanan, beliau belajar satu lagi perkara — jangan takut untuk mencuba. Tidak semua idea akan berjaya. “Dan itu tidak mengapa kerana kegagalan bukan semestinya penghujung sebuah idea. Kadang-kadang ia hanya maklum balas,” katanya.
APABILA 1,000 MANUSIA MENJADI TANGGUNGJAWAB
Di sinilah kisah Siti Noraini berubah daripada seorang usahawan kepada seorang pemimpin. Pada suatu ketika, beliau menyedari bahawa tanggungjawabnya bukan lagi sekadar memastikan restoran berjalan. Setiap keputusan yang dibuat boleh memberi kesan kepada kehidupan orang lain.
Seramai 1,000 pekerja bukan sekadar angka di dalam organisasi. Mereka mempunyai keluarga. Komitmen. Impian. Kehidupan sendiri.

“Saya tidak melihat mereka sebagai sekadar hanya pekerja. Mereka sebahagian daripada tanggungjawab yang datang bersama membina sebuah perniagaan.”
Mungkin sebab itu beliau sanggup menutup outlet untuk membawa kakitangan mengikuti company retreat. Secara kewangan, menutup outlet bermakna kehilangan hasil. Tetapi bagi beliau, manusia ialah aset paling penting. Kadang-kadang kita perlu berhenti daripada rutin perniagaan untuk melabur kepada manusia.
“Bagi saya, retreat itu bukan satu perbelanjaan. Ia adalah pelaburan kepada pekerja kami.”
Apa yang beliau mahu mereka rasa?
Bahawa mereka penting. Bahawa Nippon Sushi bukan sekadar tempat mereka bekerja. Mereka sebahagian daripada perjalanan itu. Dan apabila syarikat berjaya, beliau mahu mereka turut merasakan bahawa mereka mempunyai bahagian dalam kejayaan tersebut.
GAJI PENTING, TETAPI BUKAN SEGALANYA
Apa yang membuatkan seseorang pekerja memilih untuk kekal?
Jawapan Siti cukup manusiawi.
Mereka mahu berasa selamat, dihormati dan melihat ada peluang untuk berkembang.
“Gaji penting tetapi bukan segala-galanya.” Mereka mahu tahu bahawa sumbangan mereka dihargai, mempunyai masa depan dan majikan benar-benar mengambil berat.
Bagi Siti, pekerja ialah keluarga Nippon Sushi. Beliau tidak mahu membina sebuah syarikat di mana hanya pengasas yang berjaya. Beliau mahu membina sebuah syarikat di mana orang yang membesar bersamanya turut boleh membesar dalam kehidupan mereka sendiri.
DI RUMAH, DIA HANYA “MUMMY”
Kemudian kami masuk ke satu ruang yang lebih peribadi.
Siapakah Siti Noraini apabila pintu pejabat ditutup?
“At home, I’m simply a mum and wife.”
Keluarga, katanya, membuatkan beliau terus berpijak di bumi. Walau sesibuk mana kehidupan dan sebesar mana tanggungjawab di luar, rumah ialah tempat beliau boleh menjadi dirinya sendiri.
Beliau mempunyai dua anak, Muhammad Raiyyan Aimar dan Raiyyana Nursyakirin, yang kini sedang melanjutkan pengajian di Bayes Business School, London. Sebagai ibu, beliau bangga tetapi ada satu prinsip yang jelas dalam cara beliau melihat masa depan anak-anak: Mereka perlu membina identiti sendiri. “Saya dan suami boleh membimbing, bukan menentukan masa depan mereka.”
Dan jika suatu hari mereka mahu menyertai perniagaan keluarga, pintu itu terbuka. Begitupun keputusan tersebut mesti datang daripada mereka sendiri bukan kerana mereka anak kepada pengasas.
Dan di sebalik ketegasan seorang wanita yang mengemudi perniagaan dengan puluhan cawangan dan 1,000 pekerja, ada sisi lain Puan Siti Noraini yang jauh lebih peribadi — seorang wanita yang juga belajar tentang erti balance.

“Saya tidak fikir sesiapa pun benar-benar boleh mencapai perfect balance,” katanya jujur apabila ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara keibuan dan keusahawanan.
“Ada waktunya rasa bersalah datang mengetuk. Ada komitmen perniagaan yang membuatkan saya tidak dapat hadir dalam setiap detik penting anak-anak. Namun, dalam perjalanan itu saya belajar bahawa menjadi ibu yang baik bukan bermakna perlu berada di sisi anak setiap minit. Yang penting ialah being emotionally present apabila anak-anak memerlukan kita.”
Bagi Siti, anak-anak juga belajar bukan hanya daripada apa yang ibu dan ayah mereka ajarkan, tetapi daripada apa yang mereka lihat. Beliau mahu anak-anaknya melihat ibu yang bekerja keras, berani berdepan cabaran dan, paling penting, tidak mudah menyerah.
Dan di rumah, ada seorang insan yang turut memahami sisi perjalanan itu — suaminya, Muhammad Riduan Jasmi.
“Kami mempunyai very different strengths, dan saya rasa itulah yang membuatkan hubungan kami berjalan dengan baik.”
Mereka saling menghormati kerjaya masing-masing dan memahami tuntutan yang datang bersama tanggungjawab. Di rumah, mereka boleh mencabar cara fikir satu sama lain, bertukar pandangan dan melihat sesuatu daripada perspektif yang berbeza.
“Having someone who understands the pressures of leadership is very valuable.”
Mungkin itulah bentuk pasangan yang paling bermakna bagi seorang wanita yang membina sesuatu yang besar — bukan seseorang yang perlu berjalan di belakang atau di hadapan, tetapi suami yang mampu berjalan di sisi, memahami tekanan, mendengar, dan sesekali memberikan perspektif yang kita sendiri mungkin terlepas pandang. Kerana apabila pintu pejabat ditutup dan segala angka, mesyuarat, keputusan serta tanggungjawab ditinggalkan di luar, Siti Noraini kembali menjadi dirinya yang paling sederhana.
Di rumah, dia bukan CEO. Siti Noraini hanya isteri dan ibu.
WARISAN PERTAMA YANG MAHU DITINGGALKAN: HUMILITY
Jika anak-anaknya suatu hari nanti mahu memimpin, apakah perkara pertama yang beliau mahu mereka pelajari?
Jawapannya: Humility.
Dan bukan sekadar merendah diri sebagai sebuah konsep. Beliau mahu mereka memahami perniagaan dari bawah. Merasai bagaimana bekerja di outlet. Berhadapan dengan pelanggan. Menghadapi situasi sukar. Bekerja bersama kakitangan barisan hadapan. Kerana seseorang tidak akan mampu memimpin manusia dengan baik jika dia tidak memahami pekerjaan mereka.
Ini mungkin juga menjelaskan mengapa Siti sendiri boleh berdiri di hadapan kamera pagi tadi dan menerima arahan tanpa rasa perlu membuktikan bahawa beliau ialah “boss”.
Pemimpin yang yakin tidak perlu sentiasa menunjukkan kuasanya.
“THE PEOPLE.”
Apakah yang paling membuatkan Puan Siti bangga?
Sekali lagi, jawapannya bukan 50 outlet. Bukan pertumbuhan perniagaan. Bukan angka tetapi “The people.”
Sudah tentu beliau bangga dengan perkembangan Nippon Sushi tetapi kebahagiaan yang lebih besar datang daripada mengetahui bahawa perniagaan itu telah mencipta pekerjaan, peluang dan ruang untuk begitu ramai manusia berkembang. Dan beliau bangga kerana berjaya membina sebuah jenama makanan Jepun halal yang boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Itulah barangkali sebabnya apabila ditanya apa yang membuatkannya terus berjalan, jawapannya bukan hanya ambisi. Ada tanggungjawab dan ada passion. Tetapi semakin usia bertambah, semakin kuat satu perkataan lain muncul: Purpose.
Beliau mahu apa yang dibina mempunyai makna yang lebih besar daripada dirinya sendiri. Sesuatu yang terus mencipta nilai — untuk pekerja, pelanggan dan komuniti.
LEGACY BUKAN JUMLAH RESTORAN
Dan akhirnya kami sampai kepada satu soalan yang mungkin paling besar maknanya kepada seorang wanita yang sudah membina begitu banyak.
Apakah legacy yang mahu ditinggalkan?
Siti Noraini tidak mahu legasinya diukur semata-mata melalui jumlah restoran. Beliau mahu dikenang sebagai seseorang yang membina sesuatu dengan integriti. Seseorang yang mencipta peluang. Yang menghormati manusia. Yang membuktikan bahawa sebuah jenama Malaysia juga boleh berani bermimpi besar.
Untuk anak-anaknya, beliau mahu mereka mengingati ibu mereka sebagai seorang wanita yang cukup berani mengejar impian. Dan untuk orang-orangnya, beliau mahu mereka mengingati satu perkara: Bahawa dia percaya kepada mereka.
WANITA YANG MENGANGKAT WANITA
Bagi Siti, pemberdayaan wanita bukan tentang siapa yang lebih hebat. Bukan tentang bersaing. Sebaliknya, wanita perlu menyokong wanita. Kadang-kadang, seorang wanita tidak memerlukan seseorang untuk menyelesaikan masalahnya. Dia cuma memerlukan seseorang untuk percaya kepadanya dan berkata: “You can do this.”
Itulah semangat yang mahu dibawanya melalui penglibatan dalam Kelab Wanita Ikon Malaysia — menggalakkan lebih ramai wanita menjadi yakin, berdikari dan berani mengejar impian.
Kerana empowerment, katanya, bukan pertandingan. Ia adalah membina sebuah komuniti di mana wanita mengangkat wanita lain dan berkembang bersama.
Dan kepada wanita yang masih takut untuk mengambil langkah pertama? Nasihatnya mudah. Cari bakat dan kelebihan anda dan mulakan sesuatu walaupun kecil. Tidak perlu mempunyai semua jawapan sebelum bermula.
Beliau sendiri tidak memilikinya. Akan sentiasa ada ketakutan, akan sentiasa ada orang yang meragui dan akan sentiasa ada alasan untuk menunggu. Tetapi ada waktunya seseorang hanya perlu mengambil langkah pertama dan belajar sepanjang perjalanan.
Jika beliau boleh kembali bertemu dirinya yang lebih muda, nasihatnya juga sederhana: Percaya kepada diri sendiri. Bekerja keras. Kekal merendah diri dan jangan takut untuk bermula.
Kemudian beliau menutup dengan satu pemikiran yang mungkin paling tepat untuk seorang wanita yang kini berdiri di belakang 50 cawangan dan 1,000 warga kerja:
Kejayaan bukan tentang setinggi mana kita mendaki tetapi berapa ramai yang kita bawa bersama.
WANITA DI SEBALIK JENAMA ITU

Pagi itu, di Sunway Square Mall, saya melihat seorang wanita berdiri di hadapan kamera. Tiada siapa di sekelilingnya tahu siapa beliau. Dan mungkin itulah yang membuatkan saya tersenyum. Kerana kadang-kadang, orang yang benar-benar sudah jauh berjalan tidak perlu memberitahu dunia sejauh mana dia telah pergi.
Dia hanya terus berjalan. Membina dan terus belajar. Dia juga membawa manusia bersamanya. Dan sesekali, seperti pagi itu, dia berdiri di hadapan kamera — sederhana, bersahaja — dan membiarkan orang lain melihat sendiri wanita di sebalik jenama itu.
Siti Noraini Nuawi. Bukan sekadar pengasas Nippon Sushi tetapi wanita yang belajar berdiri sendiri sejak kecil, kemudian memilih untuk membina sebuah kehidupan di mana semakin tinggi dia berdiri, semakin ramai pula yang dibawanya naik bersama.
DAN KEMUDIAN, DIA BERGEGAS PERGI
Sesi fotografi selesai menjelang jam dua petang. Siti Noraini perlu bergegas ke satu lagi mesyuarat.
Waktu kami masih mengemas peralatan, menyusun barang dan menarik nafas selepas beberapa jam bekerja, beliau sudah bersedia untuk meneruskan satu lagi tanggungjawab yang menantinya. Tetapi sebelum pergi, pesannya kepada kami cukup sederhana: “Please stay for lunch and order what you all like.”
Begitu sahaja. Kemudian beliau bergegas pergi.
Kami tinggal di situ — saya, Afiza, Ayang, Fakjri dan Nik — menikmati hidangan Nippon Sushi yang terbaik. Dan entah mengapa, dalam kesibukan pagi itu, ayat yang pendek itu terasa lebih bermakna daripada yang mungkin beliau sedari. Kerana mungkin begitulah cara seorang pemimpin menunjukkan penghargaan. Bukan dengan ucapan yang panjang. Bukan dengan sesuatu yang perlu diumumkan tetapi dengan memastikan orang yang bekerja bersamanya tidak dilupakan.
Saya kembali teringat kepada kata-katanya tentang lebih 1,000 pekerja. Bahawa mereka bukan sekadar manpower. Mereka mempunyai keluarga, tanggungjawab dan impian masing-masing. Bahawa bagi beliau, manusia adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang datang bersama kejayaan.
Dan pagi hari itu, kami sendiri melihat sedikit daripada apa yang dimaksudkannya. Di hadapan kamera, dia seorang model untuk beberapa ketika.
Di dalam perniagaan, dia pengasas, dia CEO. Di meja makan, dia menjadi tuan rumah. Dan di sebalik semua itu, dia tetap seorang wanita yang tahu bahawa sebuah perniagaan akhirnya bukan hanya tentang berapa banyak outlet yang boleh dibuka. Ia tentang berapa ramai manusia yang boleh kita bawa bersama dalam perjalanan itu.
KREDIT
FOTOGRAFI: FAKHRI RAZZI
PENYELARAS FOTOGRAFI: NIK ERWAN
SOLEKAN & PENATA HIJAB: AYANGKAMELL
PAKAIAN: iORA (BAJU HIJAU & PUTIH), KASHFI ZULKUFLI (BAJU JINGGA, PINK & GOLD)
PENGARAH SENI & TEKS: WIRDA ADNAN
PENYELARAS: MAHANI AWANG, AFIZA KAMARULZAMAN
LOKASI: NIPPON SUSHI, SUNWAY SQUARE MALL
