Dato’ Azie Sheikh Mohamed, “I Am Proud Of What I’ve Accomplished’. Inilah cadangan tajuk pada blurb setelah mengambil kira kejayaan demi kejayaan yang beliau cipta sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai entrepreneur dan sejak dinobatkan Wanita Ikon Malaysia yang pertama. Namun cepat beliau mencelah, “That’s not me! Sounds so arrogant.” Itulah Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed, seorang yang down to earth sekalipun barisan kejayaan yang diraihnya begitu hebat dan cemerlang, namun beliau sentiasa berada di landasan dan berpijak di bumi nyata.
Dalam dunia perniagaan di negara ini, namanya besar dan syarikat perniagaan yang diterajuinya bukan calang-calang. Graf kecemerlangannya terus mencanak hinggalah ke hari ini dan memenangi begitu banyak anugerah serta pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
“Saya lebih suka jika, ‘No Regrets In My Life’. Sedap sikit untuk bercerita bagaimana bersyukurnya saya dengan apa yang ada, dan terjadi dalam perjalanan hidup saya sejak mula berniaga hingga sekarang. Saya puas jika dapat kongsikan dengan ramai wanita di luar sana,” pintasnya ingin menurunkan ilmu bagaimana beliau mampu mengekalkan prestasi dan bersaing hingga menjadikan siapa dirinya kini.
Tajuk itu juga dipilih kerana ada signifikannya dengan kempen ‘Are you ok?’ yang sedang beliau dan teamnya jalankan. “Ia ada kaitan dengan masalah kesihatan mental masyarakat yang semakin berleluasa khususnya di kalangan wanita. Ia juga menjadi isu negara dan dikenal pasti di peringkat dunia.”
“Saya ingin tanamkan di kepala dan di hati wanita supaya jangan ada kekesalan dalam diri. Itu sangat penting untuk terus ke hadapan. Kekesalan akan hanya menjunamkan kita dan membuat kita berasa seperti hampas yang hanya layak dibuang.”
Menurut Azie dia mahu wanita bangkit menjadi kuat dan punya azam yang teguh, serta tabah menghadapi cabaran. Semakin hari dunia semakin mencabar dan setiap orang mesti belajar kaedah bagaimana menerima situasi dan cabaran itu seadanya.Dengan keyakinan itu mereka mampu mencari solusi dan menanganinya. Kekuatan inilah yang membolehkan mereka keluarkan apa jua kemelut yang dihadapi. Wanita juga harus sedar, semua ini bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga orang di sekeliling, ahli keluarga, anak-anak dan masyarakat khususnya generasi akan datang.”
Menyentuh hal itu Dato Azie tegas mengajak kaum wanita berfikir secara terbuka dan bina jiwa besar. “Saya tahu ramai malu, ragu dan takut menyuarakan pandangan dan idea sebab takut buat silap. It’s time to wake up and no regrets later!”
Dalam keadaan dunia yang amat mencabar, masyarakat perlu disedarkan dan diajar membentuk asas diri atau self-foundation yang teguh demi menghadapi hari mendatang. Situasi masa kini banyak membebankan kaum wanita dan menuntut mereka bersifat multi-tasking bersama tanggungjawab yang amat besar dan begitu mencabar.
Contohi, Dekati Mereka Yang Berjaya
Sering kita dengar, jika mahu berjaya, kelilingilah dengan mereka yang punya nilai diri yang tinggi, berjiwa besar dan berwawasan jauh. Sekiranya benar saranan itu, Wanita Ikon inilah yang perlu anda cari; Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed. Beliau adalah orangnya, kerana aura dan dinamiknya luar biasa. Nama yang bukanlah asing di Malaysia, beliau telah memulakan perniagaan kecantikan seawal tahun 90-an lagi.
Sepanjang mengenali beliau sejak di awal tahun 90-an hinggalah kini, kami memang banyak berurusan baik atas dasar kerja mahupun sekadar hubungan kawan baik. Azie satu-satunya orang yang paling tepati janji dan sentiasa menghormati masa. Jika anda rancang temujanji dengan Azie, jangan bimbang beliau lewat, dan setiap panggilan telefon mesti berjawab.
Jika Azie berada di luar kawasan atau sedang berurusan dan dalam mesyuarat, beliau pasti segera meninggalkan pesanan ringkas supaya anda tidak tertunggu-tunggu atau termangu memikirkan langkah yang patut diambil.
Kali pertama bertemu Azie, ketika beliau bertugas sebagai penyelia dan pakar kecantikan di sebuah butik kecantikan eksklusif Kayla Beverly Hills. KBH ialah jenama produk kecantikan dari Amerika Syarikat yang dibawa masuk ke Malaysia. Wanita inilah yang membantu pemiliknya menjulang nama Kayla serata negara hingga menjadi produk dan pusat kecantikan yang begitu popular di kalangan golongan elit dan ternama.
Pendekkan cerita, atas sebab pengurusan dan kesibukan pemilik Kayla dikhabarkan berhasrat menghentikan impot produk Kayla dan menutup premis tersebut. Begitupun dengan kebijaksanaan dan kepantasannya berfikir, Kayla beliau selamatkan dan diteruskan dengan ikatan perjanjian perniagaan unik yang beliau perkenalkan kepada pemilik asal. Akhirnya Azie mengambil alih Kayla dan terus menjadi satu jenama produk dan pusat khidmat kecantikan yang hebat dan muncul sebagai pesaing sengit dalam industri kecantikan.
Kepelbagaian Genre Niaga – Feminin ke Maskulin
Bermula daripada industri kecantikan, ilmu perniagaannya semakin meningkat dari semasa ke semasa. Maka lahirlah seorang strategis dan usahawan wanita yang berwawasan tinggi. Dato’ Azie semakin berani, beralih kepada bidang perniagaan yang bukan sahaja lari daripada genre perniagaan lumrah wanita dalam industri kepada industri maskulin yang tidak pernah diceburi oleh wanita sebelumnya.
Beliau satu-satunya wanita di negara ini yang terbabit dalam perniagaan Sistem Piping (Paip dan Peralatan Paip), juga dalam industri perkilangan dan kejuruteraan. Kewibawaannya sebagai seorang entrepreneur terserlah dan terus berkembang.
Perniagaan yang menyediakan perkhidmatan untuk industri Air, Marin, dan Minyak & Gas, dan popular sebagai satu bidang yang rata-rata didominasikan oleh kaum lelaki terus melonjakkan namanya dalam dunia perniagaan, secara umum dan diberi gelaran ‘The Piping Lady’.
“Dua puluh tiga tahun menguasai industri itu, ramai menggelarkan saya Wanita Paip,” tambahnya melawak namun, dalam kelucuan, Azie mengimbas bahawa laluannya bukan semudah yang dilihat. “Mula-mula ramai tidak yakin, maklumlah wanita seperti saya yang buat produk kecantikan tiba-tiba mahu mengurus satu perniagaan serius dan berhasrat memecah benteng, tentulah saya nampak seperti mahu mencabar. Men don’t like competitors. What more a woman?.
“Memanglah saya selalu kena usik dan diberi reaksi sinis oleh usahawan lelaki. Tetapi saya kuatkan semangat dan apabila kejayaan demi kejayaan saya raih, mereka mula mengambil saya serius. I mean business,” pintas iron lady yang mengidolakan Michelle Obama walaupun bukan sebagai seorang ahli perniagaan ulung, tetapi Michelle punya daya pemikiran hebat dan bijak membuat tindakan serta seorang yang penuh wisdom dan positif.”
“Kehadiran saya di mesyuarat-mesyuarat peringkat tinggi baik swasta mahupun kerajaan mula diberi perhatian serius,” cerita Azie yang kini baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah Tekun, Malaysia. Sejak itu kepelbagaian kemahirannya tidak dapat disangkal.
Pada usia 53 tahun, Dato’ Azie terkenal dengan kepakaran perniagaannya dan kecekapan dalam menyelesaikan masalah.
Azie memulakan perjalanan perniagaannya pada usia yang masih muda, iaitu 25 tahun. Sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai seorang entrepreneur dan pemilik syarikat, beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Urusan di empat syarikat korporat. Antaranya Megapadu Sdn. Bhd. yang mempunyai tiga kilang pembuat dan kejuruteraan yang memberi perkhidmatan serata Malaysia dan Asia Tenggara.
“Ketika itu syarikat saya merupakan yang pertama membawa masuk teknologi perpaipan secara besar-besaran ke Asia Tenggara dan kami mengeksport produk kami bukan sahaja dalam negara malah ke Asia Tenggara.”
Selain itu beliau juga adalah Pengarah Urusan Euro Mega Manufacturing Sdn. Bhd. Klife Global Sdn. Bhd dan Carelife International Sdn. Bhd. juga sebagai Pengarah Bellini Resources (M) Sdn. Bhd.
Pengalamannya yang meluas dalam bidang perniagaan produk kecantikan menarik perhatian Dato’ Seri Khalid Mohd Jiwa dan Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin membina dan mengasaskan jenama Simplysiti. Beliaulah tulang belakang di sebalik kejayaan jenama Simplysiti.
Bina Empayar Perniagaan
Kesungguhan dan karismanya telah meletakkan beliau teratas dalam industri hingga diundang dan muncul sebagai jurucakap bagi agensi Kerajaan, NGO dan swasta seperti SME Corp, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia Dan Sukan. Dalam forum, seminar dan bengkel tersebutlah Dato’ Azie mencurahkan pengalaman dan petua berniaga.
“Kaedah saya berniaga sebenarnya biasa. Pada setiap perniagaan saya tidak akan terus terjun sekalipun ada peluang,” katanya serius. “Pertama sekali saya akan buat market research secara teliti. Ini meliputi seluruh perkara yang berkaitan projek dan produknya.”
Beliau akan pastikan product demand, di mana produk akan dijual, produksi dan hal-hal seperti bekalan mentah dan tenaga kerja sehinggakan perkara remeh-temeh, barulah beliau dapat memastikan jumlah modal yang diperlukan dan mengira margin keuntungan. Selain itu terdapat risiko yang tersembunyi yang perlu digali dan memerlukan waktu untuk dicari. Selepas itu baru membuat keputusan sama ada perniagaan itu boleh diteruskan dan berbaloi atau sebaliknya. Setelah pasti semua itu, barulah saya rancang hal lain yang bersangkutan.
“Apapun jangan terburu-buru. Memang adakalanya peluang dan rezeki itu datang, ia perlu disambar cepat. Begitupun ia masih perlu dibuat kajian terperinci. Adakalanya kita sebagai manusia, walau cekap sekalipun, kita tidak dapat lari daripada membuat silap. Mungkin ada faktor lain yang tersembunyi dan di luar jangkaan boleh berlaku.
“Namun jika sudah terlanjur dan berada dalam kancah situasi cemas, jangan panik kerana ini tidak bagus untuk syarikat dan outlook sebagai seorang ketua. Kesilapan terbesar juga pernah saya lalui, dan ingat ini, kita mesti percaya pada pekerja tetapi jangan percaya seratus peratus.
“Saya pernah ditipu oleh akauntan saya yang sudah bekerja selama lapan tahun, ya sebanyak setengah juta. Memang terduduk dan saya tanya diri, kenapa ini terjadi? Patutkah saya salahkan dia sahaja atau saya sendiri yang cuai?”.
“Saya kumpulkan segala tenaga serta kesabaran dan bersikap positif. Yang penting saya perlu berperikemanusiaan. Walaupun sudah jadi kes, saya masih guna budi bicara. Itulah pengajaran paling besar saya lalui dan selalu katakan pada diri, jika saya nak belajar sampai dapat Masters dan PhD pun harganya sebegini.” celahnya lagi melawak.
“Seperkara, penting pekerja mesti diberi gambaran yang syarikat dalam keadaan baik walaupun sedang mengalami sesuatu musibah. Mereka juga patut tahu sedikit sebanyak perkembangan syarikat bagi meneruskan semangat juang dan jatuh bangun bersama. Begitupun semua itu ada had dan masanya.”
Paling utama tegasnya, jangan pernah menyesal dengan setiap tindakan yang telah diambil. “Win or lose, move on dan bangkit. Dan berazamlah untuk cari punca masalah, gunakan strategi yang sesuai dan atasi masalah tersebut.”
Meminta Dato’ Azie berkongsi kata-kata motivasi, katanya itu terlalu cliché. Namun tegasnya, yakinlah apabila anda telah melakukan setiap kajian dan bersiap dengan langkah awal sebelum membuat keputusan, InsyaAllah usaha demikian akan berjalan lancar.
Bantu Orang, Bantu Diri – Konsep Kelab Wanita Ikon
Di sisi lain, Dato’ Azie yang mempunyai pengalaman lebih 32 tahun di dalam dunia perniagaan berpegang kepada prinsip bahawa untuk berjaya kita perlu bantu orang lain. “Membantu orang secara tidak langsung membantu diri sendiri.”
“You will never succeed on your own. Jangan fikir sesuatu kejayaan yang anda miliki kerana anda bagus dan cekap. Setiap tugas atau projek menuntut kepakaran yang berbeza-beza. Jika anda bantu orang bermakna anda memberi peluang, lagipun setiap orang punya kelebihan atau kepakaran tersendiri. This fits the jigsaw puzzle. Dan saya amat yakin kejayaan akan datang. Dalam sesuatu kerja kita perlukan kepakaran orang lain untuk menjayakannya.”
Kerana sifatnya yang sentiasa mahu membantu dan cuba meningkatkan kehidupan orang lain, Dato’ Azie menubuhkan Kelab Wanita Ikon Malaysia, (satu organisasi tanpa keuntungan) bersama-sama barisan finalis Wanita Ikon yang lainnya. Objektifnya untuk memberi kepelbagaian bantuan yang bukan sahaja berbentuk motivasi bahkan juga menyalurkan mereka ke arah usaha yang lebih fokus dan bersepadu hingga mendapat bantuan kewangan bagi membina kerjaya dalam perniagaan. Dengan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Amanah.
Tekun, beliau berharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak bagi menjayakan program yang telah direncanakan.
Datang daripada keluarga miskin, pernah tinggal di rumah setinggan, usah cerita tentang kesulitan mencari duit kepadanya. Jangan sekali-kali mengeluh apabila rumahtangga porak peranda dan jangan cerita hal-hal rumahtangga seperti kepenatan mendidik anak dan apa sahaja cabaran hidup dengannya, kerana semua itu telah dilalui dan diharungi.
Alam Rumahtangga dan Keluarga
Ramai tumpang gembira mendengar kisah kebahagiaan pasangan romantis Azie dan Riezman Khuzaimi. Mereka mendirikan rumah tangga pada 2016, dengan usia perkahwinan sudah mencecah lapan tahun. Perjalanan cerita cinta dua sejoli ini penuh dengan momen-momen indah dan bahagia. Riezman, pelakon kacak yang pernah membintangi beberapa filem dan drama khususnya, menurut Azie adalah suami penyayang dan amat menghargai dirinya.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Riezman dan perkahwinan ketiga bagi Azie. Lumrah kehidupan, bukan semua senang melihat kebahagian orang lain. Berkahwin dengan pemilik empayar perniagaan seperti Dato’ Azie, pantas mengundang spekulasi kononnya pelakon Riezman lebih terpikat dengan kemewahan dimiliki isterinya,
“Apakah saya mesti bersuami orang kaya, berpangkat Tan Sri, atau Datuk Seri?” tanyanya. Dan mengapa Riezman?
“Memang saya dikelilingi oleh ramai lelaki yang kadangkala rasa macam gula pula bila semut datang meremut,” katanya ketawa besar. “Tapi itu bukan yang saya cari. Saya ada semua itu. Saya mencari kebahagiaan. Kebahagiaan yang belum pernah saya kecapi. Riezman seorang amat penyayang, prihatin dan setia.”
Akuinya, kebanyakan lelaki yang ditemuinya amat ego dan hanya berbual tentang duit, kekayaan dan hal-hal kerja yang membuat Azie lemas. Apabila Riezman muncul, hidupnya tenang dan puas. Paling penting baginya ialah menjaga perasaan anak-anak.
“Pengalaman memperkenalkan Riezman kepada anak-anak berjalan lancar dan menyeronokkan,” ceritanya. “Sebaik diperkenalkan secara rasmi dengan Riezman, mereka terus jatuh hati kepadanya. Sifatnya yang merendah diri, mesra dan penyayang membuat mereka berasa senang dan selesa.”
“He is a great cook, which I’m not! Anak-anak memang suka berkumpul bila Riezman ada. Mulalah kami dihidangkan pelbagai menu dari air tangannya. Walaupun dia bukanlah father figure tetapi kehadirannya menyatukan kami sebagai sebuah keluarga bahagia. Bila ada saja cuti semua akan berkumpul dan mereka tidak sabar menikmati juadah dan hospitality nya.”
Bukan sifatnya memburukkan bekas suami kerana beliau sedar dalam sesuatu kancah kehidupan mesti ada dua pihak yang harus bertanggungjawab. Pantas dia menekankan dalam kesibukannya, dia sendiri mungkin membuat silap kerana tidak memberi masa secukupnya untuk membelai suami.
Sebaik membuat keputusan berkahwin kali ketiga, ibunya menasihati supaya beliau slow down, “Ibu kata tiba masanya saya fikirkan masa depan dan kebahagiaan saya sendiri. Cukuplah apa yang telah saya buat dan berikan kepada keluarga.””
“Sampai saja pekarangan rumah, Im Azie and he is Riezman. No title and no status,” pintasnya. “Ego kami buang jauh-jauh.” Inilah janji yang mereka berdua akur, yakni ‘menyangkut’ gelaran, status dan populariti di luar pagar sebaik tiba di rumah.
“Sejujurnya Riezman tidak hairan pun dengan kekayaan atau status yang saya ada. Dia yang membeli beras dan beri saya makan. Itu tanggung jawabnya sebagai suami.
“Tidaklah kami ni sehati sejiwa, dia dengan kerja dan hobi dia, dan saya pula cara saya, tapi mungkin kerana kami sebaya di segi usia, jadi banyak perkara yang boleh kami nikmati dan kongsi bersama, misalnya pergi ride bermotosikal kuasa besar, jalan-jalan cari tempat makan dan beberapa hal lain yang sering kami lakukan bersama. At least we have lot more things or something in common. We thrive on common ground.”
“Janji kami berdua, kami akan cuba menepis apa juga cabaran dan rintangan yang mendatang. Riezman anak seni, dia juga menjadi tumpuan peminatnya.”
Melalui dua perkahwinan terdahulu, Normaziah mempunyai empat anak dan lima cucu.
Secara keseluruhan, Dato’ Azie boleh diangkat sebagai epitome, satu cerita kejayaan yang melalui pelbagai cabaran onak dan duri, merangkak dari bawah, hinggalah berjaya menawan puncak impiannya.
Kami percaya, dengan rentetan kisah hidup yang amat mencabar dan cemerlang, Dato’ Azie akan meneruskan perjuangan membantu lebih ramai wanita untuk berjaya. Tiada siapa dapat menyangkal, dengan cara dan kewibawaan beliau dalam episod kejayaan yang beliau cipta, pasti ada sesuatu yang masih dirahsiakan.
Sebelum mengakhiri temubual, kami ingin tahu apakah perancangan beliau and what’s in the pipeline? Ketawa, ringkas jawabnya, “Kalau boleh nak bersara. Adalah satu dua perniagaan dan bahagian untuk anak-anak dan yang saya pilih untuk meneruskannya. Ada yang telah saya jual dan ada masih dalam perbincangan untuk diambil alih.”
Selebihnya kami mahu melancong dan mengelilingi dunia bersama, sambil menziarahi tempat-tempat yang belum pernah bepergian.
Tulisan: Mahani Awang
Gambar: Syarief Nurlette
Solekan dan Dandanan: Dato’ Azie
Pakaian: Himpunan Koleksi Dato’ Azie
Lokasi: Kediaman Dato’ Azie
Pengarah Seni: Wirda Adnan