Tanggal 20hb Ogos, Sarah tiba agak lewat. “Hantar anak ke sekolah dan uruskan mereka dulu,” jelasnya sambil memohon maaf atas kelewatan itu. Dia yang memakai sut track merah samar lengkap berhoodie terlari-lari anak dan agak mencungap, bersalaman dan duduk di kerusi yang disediakan untuk terus disolek.
Apa pun kami semua mampu menghela nafas lega, orang yang ditunggu-tunggu sudah di depan mata. Suasana yang agak cemas bila Sarah melewati call time, mula tenang dengan kehadirannya, Alhamdulillah, studio yang dari awal pagi tadi diselubungi cuak dan bimbang sudah mula kedengaran bualan santai dan gelak riang. Amat kami bimbang, mana kan tidaknya, manalah tahu, kalau tiba-tiba Sarah membuat kejutan.
Memang kami tiada plan B, sedangkan segala persiapan telah dibuat seminggu lebih awal. Seandainya Sarah tidak dapat hadir sesi penggambaran Majalah WM pagi itu, maka tidak juga dapat menunaikan janji untuk sesi podcast Borak WM pada sebelah petangnya, memang berat. Aduh! Saya tidak sanggup memikirkannya.
Rupanya Sarah baru saja pada sebelah malamnya touchdown dari Singapura.
Beliau di sana beberapa hari mempromosi produk perniagaannya, tentulah dia penat dan paling membimbangkan ada pula berita sensasi yang menggemparkan di media sosial dan menular – Syamsul Yusof Bercerai Dengan Ira Kazar.
“Takut Sarah tak datang?”
“Kenapa pulak?” pintasnya bersahaja dan serius bagaikan tidak tahu berita yang sedang menular, “Oh fasal tu, Sarah pun baru tahu ni. Kan baru balik and busy. Pagi-pagi lagi ramai call.” “Tak ada kena mengena pun dengan Sarah. Sebenarnya Sarah pun baru tahu hal ni.”
Perbualan kami berhenti di situ bagi membenarnya Sarah segera disolek.
Pelbagai Andaian Serong Terhadapnya
Setiap kali mahu melangkah keluar, dia tahu, akan ada mata-mata yang menerjah, memandang tajam lalu bersimpati atas takdir yang menimpa dirinya. Mereka menyokong dan sentiasa berada di belakangnya. Namun, kenyataan sebenar tidak sentiasa begitu, ada juga yang suka membuat pelbagai andaian dan memandang serong serta menuduh semahunya.
Pedihnya, ada yang membuat kecaman melulu yang bukan-bukan dan hatinya hancur malah emosinya sentiasa terganggu. Dia mengakui kehidupannya waktu itu amat mencengkam dan saban hari berendam air mata.
Itulah pengalaman Puteri Sarah bila tersiarnya berita mengenai perceraiannya. Semua itu tidak semudah untuk dilaluinya kerana dia bukan wanita biasa tetapi dia Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, seorang pelakon, model, ibu dan isteri kepada pelakon dan pengarah filem terkenal Syamsul Yusof, menantu pula kepada pelakon dan pengarah filem tersohor negara, Datuk Yusof Haslam.
“Sebelum kehancuran rumah tangga kami menjadi rasmi, ramai yang tidak tahu sebenarnya kami telah tidak bersama lebih dua tahun. Hanya ahli keluarga dan mereka yang rapat sahaja yang tahu.” “Dalam dua tahun itulah, pintas Sarah, ada sesuatu yang masih bermain di kepala dan mengganggu emosinya, “Tak apalah itu episod hitam dalam hidup saya,” tiba- tiba dia kembali tersenyum. Senyuman menawan, penuh aura and all the positive
vibes fill the room.
Ada cahaya terpancar di matanya. Dan senyuman itu menyerlahkan barisan gigi yang teratur rapi bak seutas rantai mutiara, langsung melakar satu lukisan indah di depan mata. Itulah Puteri Sarah hari ini, yang kini seorang berjiwa besar dan bersikap positif dalam segala hal, malah seperti yang diakuinya sejak mula tadi, tiada dendam di antara mereka. Itu dahulu. awan dan titik hitam dalam kehidupannya sudah berlalu pergi.
Kini Sarah ibu tunggal kepada dua anak, berani dan bahagia dengan perjalanan kehidupan hariannya. Sebaliknya Sarah bersyukur, bukan bersyukur dengan musibah yang menimpa, tetapi kerana Allah menguji dirinya sebegitu hebat namun di sebalik ujian itu sebenarnya ada pelangi yang menanti untuk muncul.
“Betullah, setiap musibah dalam takdir itu sebenarnya tersembunyi hikmah dan hanya yang sabar dan redha akan melihatnya, itupun jika kita melihat musibah itu daripada perspektif yang berbeza,” sambung lagi. Pemergiannya ke Mekah membawa diri bersama anak-anak dan pembantu rumahnya kala kisahnya sedang rancak diperkatakan di seluruh negara adalah tindakan terbaik. Walaupun peristiwa pahit itu begitu mencengkam menyebabkan
Sarah amat tertekan dan mengalami tekanan jiwa, namun takdir menemukan cahaya ketenangan kala di sana. Hinggalah satu ketika Sarah terfikir, sampai bila dia mahu berterusan meratap dan menyesali segala yang berlaku.
Apa pula akan terjadi kepada anak-anaknya?
“Saya tersedar dan mula tertanya-tanya sendiri, apa sebenarnya yang saya lalui ini? Saya merenung muka anak-anak, saya dapat membaca apa yang terpancar dari kaca mata mereka, itu membuat saya insaf,” jelas Sarah yang pernah menulis memoir, Puteri Sarah – Terus Melangkah. “Kak Mahani, janganlah tulis kisah-kisah sensasi tu lagi. Sikit-sikit okaylah. Sebab Sarah fikir bukan Sarah saja, ramai dan peminat pun sudah jemu nak dengar.”
Demi menghormati permintaan Sarah itu dan untuk para pembaca, Sarah berpesan ikuti perkembangan terkininya yang positif saja dan doakan yang baik-baik untuknya seperti mana dia sentiasa mendoakan kesejahteraan buat semua. Ikuti perjalanan hidup Puteri Sarah Liyana kini.
Setelah apa yang terjadi dan diperlakukan sedemikian, Sarah kata tiada dendam di hati. Kenapa?
“I have moved on. Semua itu sudah berlalu dan ada perkara-perkara lebih penting yang perlu difikirkan dan diberikan keutamaan. Pertama sekali buat diri Sarah sendiri, perlu bangkit dan terus kuat demi anak-anak dan ahli keluarga yang lain juga. Dendam akan hanya menambah rosak suasana. Demi kebahagiaan mereka dan demi pembesaran secara sihat, mereka memerlukan suasana dan persekitaran yang baik.
“Sarah bersyukur kerana dapat mengawal perasaan hingga dapat berfikir dengan waras; berdendam akan hanya menghancurkan segala yang Sarah cuba perbaiki.” “Sebaik kami selesaikan hal perceraian di mahkamah, kami menjadi kawan biasa. Dan Sarah rasa pun tidak sepatutnya mengheret anak dalam hal ini kerana bukan
salah mereka, malah apa yang terjadi antara kami, tiada kena mengena langsung dengan mereka.”
Sarah tegar menolak dengan keras setiap kali ada desas desus, khususnya netizen yang mengatakan Sarah bakal rujuk kembali dengan Syamsul?
“Tentullah. Tak terasa ke terlalu awal untuk Sarah fikirkan hal itu? Sebenarnya
dengan peranan sebagai pengusaha produk, menjaga anak dan mengatur hal rumahtangga sudah cukup berat untuk Sarah tanggung. Jadi Sarah tiada ruang untuk memikirkan hal yang tidak penting. Apa yang netizen tulis tiada kena mengena dengan perasaan dan keputusan Sarah buat masa ini. Itu hak mereka dan Sarah amat berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan yang baik-baik buat Sarah dan anak-anak.”
Habis, apa pula cerita jejaka Indonesia yang juga rakan kongsi perniagaan Andi Arsyil yang nampak begitu rapat dan mesra sekali dengan Sarah. Dalam media sosial yang dimuat naik, hingga timbul desas-desus yang mendakwa dia telah melamar Sarah?
“Memang rapat kerana Andi rakan kongsi. Apa yang orang lihat dan kata dalam media sosial Sarah tak boleh kawal. Dia seorang rakan perniagaan yang profesional dan melayani Sarah dengan baik dan jujur sebagai kawan dan sebagai rakan kongsi perniagaan. Itu yang membuat kami serasi. Itu saja yang dapat Sarah
katakan.”
Apa yang membuat Sarah serik hingga Sarah berasakan tidak mungkin kembali bersama Syamsul? Bagaimana sekiranya takdir menentukan sebaliknya?
“Setelah apa yang Sarah lalui… sikap, perangai dan macam-macam. Diaibkan, disisih dan ditinggalkan. Tak perlulah sebut-sebut lagi. Terlalu pahit buat Sarah.
Cukuplah. Sarah mendoakan ketenangan dan mendambakan kebahagiaan. Bukan ahaja untuk Sarah tetapi juga untuk semua. Semoga Syamsul temui apa yang dia cari. Sarah pula tahu apa yang Sarah mahu dan cari sekarang.
“Ketika di Tanah Suci Sarah banyak berdoa. Dan doa Sarah sangat khusus, hanya memohon agar mendapat ketenangan dan kebahagiaan. MasyaAllah! Itulah yang Allah kurniakan. Sekembali di Malaysia Sarah jadi tenang dan dapat berfikir dengan waras. Bila kita tenang, kita mampu mengatur rancangan dengan lebih baik dan
bangkit semula. Inilah yang membuat Sarah berasa sangat bahagia.”
“Takdir? Itu di luar kawalan Sarah. Kita sebagai manusia tidak sempurna, tapi buat masa ini Sarah tahu apa yang Sarah mahu dan akan tetap mencari kebahagiaan itu. Tentu faham maksud Sarah tu kan?”
Apa fokus Sarah dalam kehidupan sekarang ini?
“Anak-anak dan kerja. Perniagaan sedang rancak sekarang ini. Anak memerlukan Sarah dan apabila Sarah fokus pada mereka secara tidak langsung Sarah berasa penting untuk kerja keras. Itulah yang memotivasikan diri dan sebabnya perniagaan yang Sarah usahakan kini amat penting dalam hidup Sarah sekarang. “Bila kita fokus pada sesuatu yang memberikan hasil positif dan memotivasikan diri, kita akan menjadi lebih yakin dan tidak fikir hal lain. Menguruskan anak-anak, kemudian di set penggambaran, pelbagai aktiviti sebagai duta dan menghadiri jemputan majlis semua itu penting, stock check, mesyuarat, temu janji, aktiviti promosi dan macam-macam lagi. Betul Sarah sibuk memenuhi senarai aturcara yang telah disusun.”
“Memang ada pembantu dan penolong peribadi tetapi ada beberapa perkara Sarah suka buat sendiri. Ya lah, enam tahun jadi suri rumah, jadi hal-hal dalam rumah banyak yang Sarah lebih suka pantau sendiri dan hands-on. Cara itu sampai terbawa-bawa ke dalam urusan kerja, dan Sarah ambil masa untuk teliti setiap urusan bisnes supaya semuanya dalam pengawasan.
“Sarah tidak mahu mengalami lagi perkara-perkara yang tidak diingini seperti yang pernah Sarah lalui. Tak perlulah Sarah sebutkan sebab ramai pun sudah tahu pengalaman pahit Sarah ditipu. Bagi Sarah peristiwa itu juga sudah berlalu dan ia telah mengajar Sarah menjadi lebih teliti serta berhati-hati dalam mempercayai orang dalam urusan kerja dan bisnes.
“Aduh! Penat… tapi semua ini amat berbaloi bagi Sarah kerana ia memberi hasil yang positif dan buat Sarah always on the go. Honestly, it’s a great feeling! Tak pernah Sarah rasakan sebelum ini. Syukur Allah atas kurniaan keajaiban ini!”
Bagaimana perkembangan perniagaan kini?
“MasyaAllah! Miracles do happen. Sekembali dari Mekah Sarah teringat seorang teman dari Indonesia. Hubungi dia dan the miracle happened, next thing I know, kami dah jadi rakan kongsi berniaga produk kecantikan Lumier yang diasaskan di Indonesia.
“Produk ini sudah pun berada di pasaran sana sekian lama dan amat popular serta diyakini pengguna. Jadi Sarah fikir ini adalah cara terbaik dan cari selama ini. Sarah buat sedikit market research dari beberapa segi termasuk pasaran, permintaan dan beberapa hal lagi yang punyai strategi pemasaran, akhirnya Sarah yakin inilah yang
Sarah mahukan. “Sarah tidak menyangka sambutan begitu baik sekali dan jualan produk mendadak macam orang kata goreng pisang panas. Sarah yakin itu adalah kerana kerja keras, percaturan perniagaan yang baik dan tentulah dengan izinNya Sarah mampukan lakukan semua itu. Sekiranya ada yang mahu tahu lebih lanjut boleh saja layari di
Google atau mana-mana sosial media yang ada.”
Sarah berjaya mengaut keuntungan satu juta hanya dalam jangka waktu setahun, apa perancangan dan impian perniagaan Sarah seterusnya, mungkin untuk lima tahun yang akan datang?
“Memang banyak yang Sarah nak buat dan cuba. Tentulah, jika boleh mahu kembangkan lagi produk yang sedia ada, dan Sarah berhasrat untuk keluarkan produk kecantikan barangan wanita yang lain. Tetapi dengan pencapaian sekarangpun Sarah amat sibuk, semua itu masih dalam rangka strategi perniagaan dan pasti akan kongsi bila tiba masanya nanti.”
Pada Julai 2024, Sarah mendapat pengiktirafan apabila diberikan anugerah khas pada Majlis Pelancaran & Malam Anugerah MommyHana? Cerita sikit?
“Sebenarnya Sarah sendiri terkejut, dan tak pernah rasakan yang diri ini kuat. Malah, ia secara tidak langsung memberi satu kesedaran yang membuat Sarah rasa amat dihargai dan mahu terus bangkit. Sara sendiripun tidak menyangka apa yang Sarah lalui, dan cara serta tindakan Sarah menangani musibah itu telah memberi impak positif kepada masyarakat di luar sana khususnya kaum wanita. “Tentulah Sarah terharu apabila diberi anugerah Ikon Wanita Kuat & Ibu Tunggal yang besar maknanya. Tetapi lebih seronok ialah Sarah dapat memotivasikan wanita lain yang ada di luar sana.
“Menariknya, daripada kes Sarah itu, barulah ramai wanita maju ke hadapan dan lebih berani menyuarakan hak-hak mereka. Contohnya soal nusyuz. Selepas Sarah memfailkan tuntutan nusyuz terhadap bekas suami, barulah ramai netizen, wanita khususnya, menyokong dan membuat pengakuan yang mereka tidak pun tahu yang lelaki juga boleh nusyuz. “Dalam hal ini Sarah sedar, di mana seorang wanita harus menjadi kuat, bukan sahaja untuk anak-anak dan keluarganya tetapi juga punya peranan dalam pembangunan masyarakat,”
Selain produk kecantikan, sebelum ini Sarah juga ada beberapa produk yang Sarah usahakan. Kenapa produk bayi? Boleh kongsi sedikit tentang itu?
“Selain tudung jenama Arasyi dan Lumier yang semua itu adalah produk keperluan wanita, Sarah terpanggil untuk mencuba sudut perniagaan baru yang memang tidak banyak orang ceburi secara tempatan.
“Sebagai ibu kepada dua anak, dan daripada pengalaman sendiri, Sarah tahu memang agak sukar untuk mendapatkan produk makanan bayi yang organik dan selamat. Kini Alhamdulillah Sarah berjaya menjadikannya kenyataan dan sekarang ini sedang ligat mempromosikan produk makanan bayi Vegan Baby iaitu sejenis produk makanan bayi organik yang selamat.
“Perancangan promosi dan pemasaran membawa Sarah ke merata tempat seluruh negara dan baru-baru ini Sarah telah mengikut satu ekspo perdagangan di Singapura. Alhamdulillah boleh Sarah katakan sambutan dan minat terhadap produk-produk yang Sarah perkenalkan amat baik.”
Membahagi masa sesuatu yang sukar dan mencabar memandangkan Sarah sibuk sekarang dan anak-anak pula berada di usia yang amat memerlukan tumpuan Sarah ketika ini. Selepas enam tahun menjadi suri rumah sepenuh
masa, apakah Sarah tidak kekok mengimbang alam rumahtangga dan dunia kerjaya yang sedang memuncak?
“Benar, selepas enam tahun tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, tentunya membahagi masa untuk bekerja di luar, menjaga rumah tangga dan anak-anak menjadi berat. Ia bukan kerja yang mudah.Sarah beruntung kerana mempunyai support system yang teguh iaitu keluarga terdekat daripada kedua-dua pihak. Merekalah yang banyak menyokong dan membantu Sarah kala Sarah bekerja. Walaupun ada pembantu tetapi tanpa mereka Sarah tidak mungkin boleh bergiat aktif di luar tanpa rasa risau akan keadaan anak-anak. Tanpa ehsan dan keikhlasan mereka menjenguk dan sama-sama membantu memantau keadaan mungkin akan lebih sukar buat Sarah.”
Apa perkembangan seni terkini Sarah?
“Sebab teramat sibuk dengan tugas yang sedia ada, Sarah tidak dapat memenuhi semua undangan, malah tawaran dari segi filem juga drama. Begitupun Sarah sedang dalam penggambaran siri tv Polis Peronda yang diterbitkan oleh bekas bapa mentua dan keluaran Skop Production. Siri tv tersebut adalah projek drama siri yang menggantikan siri Gerak Khas. “Satu lagi perkembangan seni terbaru Sarah ialah berlakon dalam filem seram berjudul Budak Pendamping yang diterbitkan oleh Saphire Screen Sdn Berhad. Dalam filem tersebut Sarah berlakon di samping Ezlan Yusof, EdanIdin, Syafie Naswip yang mana penggambaran diadakan di sekitar UPSI daerah Mualim, Perak.”
Harapan dan impian Sarah untuk diri dan anak-anak?
“Sarah mahu berikan yang terbaik untuk anak-anak hingga mereka berjaya bila besar nanti. Membesar dalam keluarga yang mengutamakan pendidikan, Sarah mahu anak dibesarkan dan dididik dengan pendidikan akademik setinggi boleh. Apabila semua itu dah sempurna, mereka bebas memilih kerjaya atau apa yang mereka mahukan untuk mencari rezeki.
“Yang penting Sarah mahukan mereka seronok dengan apa yang mereka kerjakan dan bukan sekadar kerana mencari duit. Walaupun Sarah akui bahawa wang ringgit penting, contohnya macam sekarang Sarah punya pendapatan sendiri yang agak teguh boleh sampai membawa ahli keluarga termasuk ibu dan ayah semuanya
melancong ke luar negara, adik-beradik juga ke umrah dan sebagainya, tetapi keseronokan bekerja mestilah setimpal dengan wang ringgit yang kita dapat.
“Malah Sarah rasa bertuah melakukan bisnes yang Sarah suka dan pada masa yang sama dapat menggembirakan orang lain. Sarah rasa puas kerana dalam berbisnes secara tidak langsung telah membuka peluang mencari rezeki pada ramai orang. Memang tiada yang lebih memuaskan hati daripada membantu orang lain supaya
mereka boleh hidup lebih selesa dan bahagia bersama keluarga.”
Sepintas Mengenai Puteri Sarah
Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin lahir pada1 Disember 1985 di London England dibesarkan di Kuala Lumpur serta Johor Bahru, Johor. Beliau memulakan kerjaya awal sebagai pelakon iklan, kemudian berlakon di televisyen dan filem sejak 2008 hingga beliau berkahwin. Memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dan ketika namanya sedang memuncak, Sarah mengambil keputusan menutup episod glamor dan kemuncak popularitinya dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
Sementara dalam dunia lakonan, Sarah bermula sebagai pelakon undangan untuk sitkom Dunia Anita yang disiarkan di TV3, seterusnya menjadi pelakon tambahan dalam filem Tipah Tertipu The Movie lakonan kumpulan Ruffedge. Antara drama lakonannya ialah Sari Maya 2, Asmaradana , Indera Joned, Evolusi KL Drift: The Series, Sabarlah Duhai Hati pada 2021 dan Andai Itu Takdirnya pada tahun 2023. Antara filemnya ialah Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Usin UFO dan Radhi Rudy Bin Dadu.
Pada 2010, berlakon bersama pelawak Nabil Ahmad dalam filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie dengan memegang watak Natasya. Pada tahun itu juga, Puteri Sarah berlakon dalam beberapa drama TV yang semuanya disiarkan di TV3, antaranya ialah Asmardana, Janji Kekasih dan Tipah Vavavoom. Dari Oktober 2012 sehingga Mac 2013, beliau berlakon dalam drama Evolusi KL Drift: The Series yang diadaptasi daripada filem 2008.
Pada Mac 2023, beliau menulis lagu pertamanya, “Terus” yang dinyanyikan oleh Sarah Fazny dan Zayani hasil nukilan Faizal Ulwi. Beliau berlakon bersama Shukri Yahaya dan Hannah Delisha dalam drama adaptasi novel, Andai Itu Takdirnya dengan memegang watak Umairah.
Puteri Sarah melancarkan autobiografi pertamanya, Puteri Sarah: Terus Melangkah yang dilancarkan pada 30 Mei 2023 semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023. Buku ini mendedahkan kisah peribadi sebenar beliau yang tidak pernah dikongsikan kepada umum.
Pakaian: Rizman Ruzaini
Solekan: DyaZara
Fotografi : Azmi, RESTU TV/Yayasan Restu