
Ada manusia merancang perjalanan bertahun-tahun.
Ada yang menyimpan wang sedikit demi sedikit.
Ada yang menunggu nombor giliran begitu lama.
Tetapi akhirnya, hanya satu perkara yang menentukan segalanya — sama ada Allah SWT sudah menulis nama kita untuk menjadi tetamuNya atau belum.
Haji bukan sekadar sebuah perjalanan ke bumi suci. Ia bukan tentang kapal terbang, pakaian ihram, hotel, mahupun bergambar di hadapan Kaabah. Haji adalah panggilan. Panggilan yang tidak semua manusia menerimanya walaupun memiliki kemampuan, wang, atau masa.
Dan apabila nama kita dipilih menjadi tetamu Allah… saat itu sebenarnya seluruh hidup berubah.
Tanggal 2018, saya dipanggil oleh Yang Maha Esa untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima — mengerjakan Haji. Hingga hari ini, saya masih mencari kata-kata yang benar-benar mampu menggambarkan nikmat itu. Kerana sesungguhnya, ada rasa yang terlalu suci untuk diterjemahkan dengan bahasa manusia.
Di hadapan Kaabah, manusia akhirnya sedar bahawa segala yang dikejar di dunia ini terlalu kecil. Pangkat, nama, kekayaan, fesyen, pujian manusia — semuanya tiba-tiba menjadi sunyi. Yang tinggal hanyalah jiwa seorang hamba yang datang dengan dosa, harapan, air mata, dan kerinduan kepada TuhanNya.
Itulah keindahan Haji.
Saat melihat Kaabah (itu adalah kali ketiga, dua kali umrah terdahulu) saya percaya seratus kali pun kita melihatnya kita masih tidak mampu mengawal perasaan. Ada sesuatu yang berlaku di dalam hati yang sukar dijelaskan. Seolah-olah seluruh luka, penat, dan keresahan hidup runtuh perlahan-lahan di hadapan rumah Allah.
Dan ketika jutaan manusia memakai pakaian ihram yang sama — tiada beza antara yang kaya dan miskin, terkenal atau tidak — kita belajar bahawa di sisi Allah, yang membezakan hanyalah iman dan taqwa.
Haji mengajar manusia tentang kecilnya diri.
Tentang sabar.
Tentang reda.
Tentang pengorbanan.
Dan tentang hakikat kehidupan yang sebenar.
Di bumi suci, kita berjalan dalam panas yang membakar, bersesak bersama jutaan manusia, tidur dengan kelelahan yang luar biasa, namun hati terasa begitu hidup. Kerana setiap langkah di sana dipenuhi doa. Setiap pandangan membawa rasa syukur. Dan setiap detik terasa terlalu dekat dengan langit.
Wukuf di Padang Arafah pula menjadi antara detik paling menyentuh jiwa. Itulah tempat di mana manusia datang membawa seluruh penyesalan hidup, memohon keampunan dengan air mata yang tidak mampu ditahan. Pada hari itu, tiada topeng dunia yang tinggal. Hanya seorang hamba dan Tuhannya.
Mungkin sebab itu ramai mengatakan — selepas Haji, hati seseorang tidak akan benar-benar sama lagi.
Kerana Haji bukan hanya ibadah fizikal. Ia adalah perjalanan membersihkan hati.
Ada manusia pulang dengan gelaran “Haji”.
Tetapi yang lebih indah adalah apabila seseorang pulang dengan jiwa yang lebih lembut, lebih tenang, dan lebih dekat dengan Allah.
Sesungguhnya, nikmat dipanggil menjadi tetamu Allah adalah nikmat yang tiada tandingan. Tidak mampu dibeli dengan kemewahan dunia. Tidak mampu diganti dengan apa pun.
Dan bagi mereka yang masih menunggu panggilan itu, jangan pernah berhenti berdoa.
Kerana apabila Allah menjemput…
seluruh jalan akan terbuka dengan cara yang tidak pernah kita sangka.
“Labbaikallahumma Labbaik…”
Aku datang memenuhi panggilanMu ya Allah.

Hingga hari ini, setiap kali mengingatnya, hati masih bergetar. Kerana saya percaya, bukan semua manusia yang pergi ke tanah suci itu hadir atas kekuatan dirinya sendiri. Ada yang bertahun menunggu. Ada yang memiliki kemampuan tetapi belum dipanggil. Dan ada pula yang Allah buka jalannya dalam cara yang langsung tidak dijangka.
Saya sendiri menunggu panggilan daripada Lembaga Tabung Haji, namun belum tiba waktunya. Akhirnya digerakkan hati menjawab satu panggilan, yakni melalui Haji Furada — pakej khas bukan melalui Tabung Haji.
Ramai orang takut.
Takut ditipu.
Takut wang hilang.
Takut pakej tidak sah.
Takut itu dan ini.
Tetapi satu perkara yang saya pegang erat ketika itu — kalau Allah sudah menentukan waktunya untuk kita menjadi tetamuNya, jangan terlalu banyak menyoal dengan rasa takut kepada manusia sehingga terlupa percaya kepada ketentuan Allah.
Saya hanya membuat sedikit semakan dan mempercayai kata-kata adik ipar yang mengatakan pakej itu sah dan benar-benar membawa jemaah ke tanah suci. Selebihnya, saya serahkan sepenuh hati kepada Allah SWT.
Dan benar… apabila Allah berkata “kun fayakun”, tiada siapa mampu menghalang.
Saya dipanggil oleh Allah hanya sekitar sembilan hari sebelum wukuf di Padang Arafah.
Sembilan hari.
Sedangkan ketika itu ramai yang sudah lama mendaftar dan masih menunggu visa. Tetapi saya dan adik perempuan saya, antara yang terakhir mendaftar, menjadi antara yang terawal dimaklumkan visa sudah diluluskan.
Di situlah saya belajar — jangan pernah meragui aturan Allah.
Saya pergi bersama adik perempuan saya. Suami ketika itu tidak dapat turut serta kerana tanggungjawabnya menjaga kedua ibu bapanya yang sedang sakit. Anak-anak pula masih belajar. Ada amanah yang lebih memerlukan dirinya di rumah.
Dan saya percaya, pengorbanan itu juga sebahagian daripada ibadah.
Haji mengajar saya bahawa perjalanan ke tanah haram bukan tentang kemewahan pakej atau keselesaan hidup. Sebaik kaki melangkah ke bumi suci, sebenarnya kita sedang belajar menjadi manusia yang paling kecil di sisi Allah.
Kunci mulut.
Kunci hati.
Dan hanya mengakui kebesaranNya.
Kalau dijanjikan empat orang sebilik tetapi akhirnya menjadi lima mahupun enam orang, terimalah seadanya. Kalau makanan yang disediakan tidak menepati selera, makan sahaja sekadar perlu atau keluar mencari sendiri tanpa rungutan. Jangan sibuk mengeluh. Jangan sibuk membandingkan.
Kerana kita datang bukan untuk dimanjakan dunia.
Kita datang sebagai tetamu Allah.
Saya juga belajar bahawa di tanah haram, adab lebih penting daripada ego.
Apabila ketua rombongan meminta kamu menunggu dan tidak pergi tawaf sendiri dahulu, ikut sahaja arahannya. Walaupun hati terlalu rindu mahu segera melihat Kaabah, sabarlah.
Kadangkala kita terasa sudah tahu semuanya. Rasa mampu bergerak sendiri kerana ada wang dan keberanian. Tetapi di tanah suci, jangan cuba menjadi “hero”.
Taat.
Sabar.
Dan ikut aturan.
Walaupun jarak dari Al-Aziziyah tempat penempatan sebelum ke (Mina dan Arafah) ke Baitullah tidaklah terlalu jauh, cuma kira-kira enam hingga lapan km dan mengambil masa cuma 15 hingga 20 minit, kalau ketua ketua rombongan halang pergi, dengar arahan kerana dia lebih memahami keadaan, waktu dan keselamatan jemaah. Masa di Mekah masih panjang. Akan ada banyak waktu lagi untuk solat di depan Kaabah. Jangan tergesa-gesa.
Kerana Haji bukan perlumbaan siapa paling cepat sampai ke depan Kaabah.
Ia tentang bagaimana hati belajar tunduk kepada Allah.
Antara pengalaman yang paling memberi kesan kepada saya berlaku di Mina. Ketika itu saya berbual dengan seorang wanita yang akhirnya memberi saya satu pengajaran besar tentang kekuasaan Allah SWT.
Wanita ini bercerita bagaimana dia dan suaminya terbabas dalam banjir ketika menuju ke KLIA. Akibatnya mereka tiba lewat dan pesawat sudah pun berlepas. Reda, tetapi keesokan hari dipanggil untuk terbang.
Tahu apa yang terjadi, rupanya pesawat asal yang membawa rombongan jemaah mereka terkandas di Manila akibat banjir besar dan gagal meneruskan perjalanan tepat waktu. Apabila penerbangan dibenarkan semula, lapangan terbang di Jeddah sudah ditutup kerana hari itu adalah hari wukuf.
Akhirnya, hanya dia dan suaminya sahaja daripada kumpulan itu yang sempat tiba dan diterima untuk menunaikan Haji pada tahun tersebut.
Seorang lagi jemaah yang duduk di sebelah saya pula berkongsi kisah yang membuat hati saya benar-benar tersentuh. Dia dan suaminya datang untuk mengikuti pakej Haji, tetapi mereka hanya memiliki RM40 ribu, sedangkan wang sebanyak itu hanya untuk satu pakej, berdua RM80 ribu.
Bukan RM40 ribu.
Mereka pulang dengan tenang menerima ketentuan Allah. Tidak mungkin mampu mengumpul wang sebanyak itu dalam masa terdekat. Tetapi Allah melihat niat suci mereka. Lalu Allah menggerakkan hati seorang hambaNya untuk menaja supaya suami isteri dapat pergi bersama.
Dan akhirnya mereka sampai ke Mekah sebagai tetamu Allah.
Di situlah saya benar-benar memahami bahawa Haji bukan tentang kemampuan manusia semata-mata.
Ia tentang rahmat Allah.
Kalau Allah sudah menulis nama kita menjadi tetamuNya, laut yang bergelora pun akan menjadi tenang. Jalan yang tertutup pun akan terbuka.
Tiada siapa mampu menghalang panggilan Allah.
Sebab itu saya percaya, bagi mereka yang masih menunggu peluang menunaikan Haji — jangan pernah putus harapan.
Jangan terlalu takut kepada perjalanan hingga lupa kepada Yang Mengatur perjalanan itu sendiri.
Apabila Allah memanggil, Dia juga akan menjaga.
Dan apabila kita berada di tanah haram, rendahkan hati sebanyak-banyaknya. Kerana di situlah tempat manusia belajar bahawa sebesar mana pun dirinya di dunia… di hadapan Allah, kita hanyalah seorang hamba yang datang membawa doa dan air mata.
“Labbaikallahumma Labbaik…”
Aku datang menyahut panggilan-Mu ya Allah.
Dan sesungguhnya… itulah nikmat terindah yang tiada tandingan.
Bagi saya sendiri, perjalanan Haji itu terlalu indah untuk diungkapkan sepenuhnya dengan kata-kata. Setiap rukun dan ritual Haji terasa begitu lancar.
Walaupun berjuta manusia berada di depan Kaabah…
berjuta melakukan Sa’ie…
ratusan ribu mengutip batu untuk melontar…
dan ribuan khemah memenuhi Mina dan Arafah
Berjuta mahu menyiapkan rukun Haji yakni Tawaf di Kaabah, Allah tetap memberikan pengalaman yang begitu tenang kepada saya.
Melontar berjalan mudah. Tawaf wajib terasa begitu dekat dengan Kaabah seolah-olah tangan mampu mencapainya sendiri. Tawaf Wida’ juga dapat dilakukan dalam suasana yang lapang dan damai. Dan paling saya syukuri — setiap solat wajib dan solat sunat dapat dilakukan dengan penuh ketenangan. Ada hari-harinya saya dapat bersolat sunat betul-betul dekat dan menghadap pintu kaabah, dan kawasannya nampak lapang seolah semua orang sudah pulang ke bilik masing-masing.
Sungguh kesihatan saya juga berada dalam keadaan terbaik sepanjang berada di tanah suci, malah masa pulang ke tanah air, tiada demam atau sakit tekak, syukur Allah menyediakan segalanya dengan mudah dan terbaik.
Sebab itu setiap kali musim Haji tiba, kenangan datang kembali lagi dan lagi. Hati saya akan kembali rindukan Mekah. Rindukan suara talbiyah. Rindukan saat melihat Kaabah seperti saat pertama kali pergi, linangan air mata yang laju mengalir di pipi.
Dan hingga hari ini, doa saya masih sama.
Semoga Allah memberikan saya peluang sekali lagi untuk menunaikan Haji sebelum tiba waktu saya dipanggil menghadapNya.
Dan saya juga berdoa agar di masa terdekat ini, saya dapat melihat seluruh keluarga kami — anak-anak, menantu, dan cucu-cucu — pergi bersama-sama ke tanah suci.
Kalau bukan untuk Haji…
biarlah untuk Umrah.
Kerana tidak ada nikmat yang lebih besar daripada dipilih menjadi tetamu Allah.
“Labbaikallahumma Labbaik…”
Ya Allah, jika Engkau masih menulis nama kami sebagai tetamuMu lagi suatu hari nanti… jemputlah kami dengan penuh kasih sayangMu.
