AGAMA

Memuliakan Tetamu dan Kebaikan Rumah Terbuka

Memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia. Di dalam al-Quran, ada diceritakan bagaimana para nabi dengan kemuliaan hati mereka menerima, menyambut dan melayan tetamu. Di antaranya ialah Nabi Ibrahim A.S. Allah SWT merakamkan perkara ini di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ (٢٤) إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌۭ قَوْمٌۭ مُّنكَرُونَ(٢٥) فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍۢ سَمِينٍۢ(٢٦) فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya : Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? (24) Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. (25) Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). (26) Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

(Surah al-Zariyat: 24-27)

Perbuatan Nabi Ibrahim A.S menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun Baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah Malaikat namun Baginda tetap melayannya.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah. Kata Amin al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim A.S ini ada beberapa pengajaran yang boleh diambil di antaranya:

  • Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu.
  • Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah.
  • Mendekatkan makanan kepada tetamu.
  • Bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu. (Lihat Tafsir Al-Quran al-Azim, 4/300.)

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِِاللَّهَِّ وَالْيَوْمِ الْْآخِرِ فَلََا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِِاللَّهَِّ وَالْيَوْمِ الْْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِِاللَّهَِّ وَالْيَوْمِ الْْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ.

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik atau diam.”

Riwayat Bukhari(6163)

Berdasarkan hadis ini, di antara kesempurnaan iman adalah mempunyai sifat suka memuliakan tetamu. Al-Munawi berkata: “Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Menyambut tetamu dengan wajah yang ceria, memberikan saguhati dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.(Lihat Tafsir al-Bayan,5/445-446)

Antara cara memuliakan tetamu dengan menyediakan makanan dan minuman menurut kadar kemampuan dan layanan yang baik seperti memberi tempat duduk yang sepatutnya serta menghantar pulang ke pintu lebih lagi dari pekarangan. Inilah sifat melayan tetamu kerana kedatangan tetamu boleh membawa kebaikan kepada seseorang.

Seorang ulama terkemuka iaitu al-Laith bin Saad berpendapat: “Penerimaan tetamu dan memuliakannya adalah wajib selama masa satu malam. Tetapi mereka (para ulama) telah berbeza pendapat tentang apakah penerimaan tetamu itu diwajibkan atas orang kota dan orang kampung atau hanya ke atas orang kampung sahaja?”

Hukum memuliakan tetamu telah disebut oleh para ulama’:

  • Imam al-Syafie berpendapat bahawa penerimaan itu diwajibkan atas orang kota dan orang kampung.
  • Imam Malik pula berpendapat bahawa penerimaan tersebut hanya atas orang-orang kampung. Ini kerana orang-orang musafir di dalam kota atau pekan biasanya senang mendapat kemudahan dalam perkara seperti tempat penginapan atau persinggahan, juga dalam urusan membeli makanan dan selainnya.
  • Sementara itu, Qadi Iyadh berpendapat bahawa dhiafah (menerima tetamu) itu wajib dilakukan terhadap seorang musafir yang memerlukan kepada sesuatu dan keadaannya di dalam kesusahan.

Dalam masyarakat Melayu, budaya menerima tetamu amat baik seperti menjamu dan melayannya dengan mesra. Akan tetapi alangkah baiknya apabila ditingkatkan lagi seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Tiga jenis akhlak pada zaman jahiliyah yang baik, yang digalakkan kepada kaum muslimin untuk meneruskannya:

  • Jika tetamu datang berkunjung, nescaya dia bersungguh- sungguh menghormati dan menjamunya.
  • Jika isteri sudah tua, nescaya mereka tidak akan menceraikanya.
  • Jika jiran tetangganya mendapat kesukaran nescaya mereka akan menolongnya termasuk membayar hutang.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Ungkapan ‘ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ’ (‘hendaklah ia memuliakan tetamunya…’) menyatakan bahawa adanya hak tetangga dan tetamu, keharusan berbuat baik kepada mereka dan menjauhi perbuatan yang tidak baik terhadap mereka.”

Justeru, seorang mukmin wajib menghormati tetamu, dan menjaga hubungan silaturrahim sepertimana yang telah dicontohi oleh nabi Allah Ibrahim. Inilah adab yang diajar oleh islam dan tanggungjawab yang seharusnya dipegang oleh setiap mukmin dalam kehidupannya. Ia harus berusaha untuk menghormati tetamu ketika dia datang, dan melayaninya dengan sepenuh hati.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Rumah terbuka

Zaman berumah, tetamu datang hanya apabila diundang. Maka konsep Rumah Terbuka adalah yang terbaik untuk menggalakkan dan mengeratkan silatulrahim

Rumah terbuka ialah medan pertemuan yang paling sesuai untuk .memperkukuh hubungan kekeluargaan dan silaturahim termasuk jiran tetangga selain jambatan mengeratkan tali persaudaraan dan ikatan perpaduan antara kaum ke
arah hubungan yang lebih kukuh, dinamik serta harmoni.

Konsep Konsep rumah terbuka pada setiap perayaan ini merupakan sesuatu program yang murni sekiranya dilaksanakan mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam yang mulia. Namun, apabila dilaksanakan dengan mengabaikan tuntutan syarak, maka ia tidak lagi menjadi ibadat sebagaimana yang diharapkan. Antara tujuan mengadakan rumah terbuka ialah untuk menghidupkan amalan ziarah menziarahi pada Hari Raya. Sebagaimana yang dimaklumi, amalan ini merupakan tradisi yang
disyariatkan dalam Islam. Kita perlu menitikberatkan sifat penuh keikhlasan dalam menjayakan konsep rumah terbuka ini. Apa yang lebih ziarah- menziarahi antara satu
sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai. Sebenarnya, ia tidak terbatas dengan adanya rumah terbuka atau pada Hari Raya tetapi ia perlulah dilakukan dari semasa ke semasa demi
mengukuhkan ikatan ukhuwah dan persaudaraan sesama kita.

Suatu idea yang menarik, dalam keadaan ekonomi yang berkembang sederhana dan harga barangan yang kurang memberangsangkan ini, terdapat trend terbaharu
rumah terbuka. Beberapa kejiranan di taman-taman perumahan berkongsi secara kelompok untuk mengadakan rumah terbuka dengan beberapa jiran tetangga. Mereka berpakat dan menghidupkan semula semangat bergotong-royong untuk menyediakan juadah bagi mengadakan rumah terbuka secara berkongsi. Ini dapat mewujudkan suasana yang sangat meriah. Di sesetengah tempat pula, rumah terbuka dianjurkan oleh kariah atau surau taman kediaman masing-masing. Kaedah ini dilaksanakan dengan masing-masing menyediakan masakan mengikut kepakaran mereka dan membawa makanan sendiri (pot luck). Bermanfaat

Aktiviti ini turut diisi dengan pelbagai perkara bermanfaat seperti bacaan Yasin dan mendoakan mereka yang sakit agar segera sembuh serta supaya kawasan perumahan tersebut berada dalam keadaan aman damai. Dengan kata lain, aktiviti yang dijalankan menghidupkan tradisi kampung walaupun mereka tinggal di bandar. Ini juga antara konsep rumah terbuka yang agak menarik. Itulah sebenarnya suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan supaya umat Islam mengeratkan silaturahim, saling bermaaf-maafan yang tentunya memberikan kesan mendalam dan berpanjangan.

Related posts

Mari mulakan setiap pagi dengan lafaz zikir. Semoga kita sentiasa di dalam lindungan dan rahmatNya

adminwm

Musibah, Sabar dan Syukur

admin

Tujuh Keinginan Dimakbulkan

admin

Leave a Comment