GAYA HIDUP

TETAMU SENJA: Selamat Jalan, Abang Samad…

Kenangan peribadi Wirda Adnan buat seorang sasterawan, sahabat keluarga dan insan yang akan sentiasa dirindui.

Ombak yang menjamah

Kakiku sekali

Takkan dapat

Kukenali lagi –  A. Samad Said

Pemergian Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said pada 24 November 2026 membawa pergi seorang tokoh besar dunia persuratan Melayu. Namun, bagi saya, pemergian Abang Samad bukan sekadar kehilangan seorang sasterawan yang karya-karyanya pernah saya baca dan kagumi sejak di bangku sekolah. Saya kehilangan seorang sahabat keluarga, seorang insan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kami, dan seorang yang sejak dahulu saya panggil dengan penuh mesra, Abang Samad. (bukan Pak Samad.)

Saya mula mengenali namanya melalui buku-buku yang dibaca ketika masih bersekolah. Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni dan Hujan Pagi (1987) antara karya yang pernah saya selami. Ketika itu, saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti, penulis yang begitu saya kagumi akan menjadi seseorang yang begitu dekat dengan keluarga sendiri.

Abang Samad berjiran dengan bapa saudara saya, Allahyarham Subky Latif. Masih segar dalam ingatan saya zaman mereka tinggal di Taman Tan Yew Lai. Ketika itu saya masih bersekolah.  Rumah kami dan rumah Abang Samad terletak betul-betul bersebelahan. Reka bentuk rumah ketika itu agak berbeza daripada kebiasaan. Ruang dapur, ruang tamu dan ruang makan berada di tingkat utama, manakala bilik-bilik terletak di bahagian bawah, seakan-akan aras bawah tanah. Kedudukan kedua-dua rumah begitu rapat sehingga  seseorang boleh sahaja melangkah dengan sebelah kaki sahaja untuk sampai ke rumah sebelah.

Mungkin kerana kedudukan rumah yang begitu dekat, ditambah pula dengan kehidupan ketika itu yang tidak terlalu tergesa-gesa, hubungan kami terasa seperti sebuah keluarga besar. Hampir setiap pagi, sebelum berangkat ke pejabat, Abang Samad dan isteri akan singgah ke rumah. Ada kalanya beliau membawa kopi sendiri, ada kalanya membawa sedikit makanan untuk sarapan. Apa sahaja yang ada, kami makan bersama. Sambil bersarapan, kami berbual tentang pelbagai perkara sebelum masing-masing meneruskan urusan hari itu.

Kadang-kadang, apabila pulang dari kerja, beliau singgah lagi sekadar untuk bertanya khabar. Begitu mudah dan dekat hubungan kami. Bukan sekadar jiran yang saling mengenali, tetapi jiran yang berkongsi kehidupan.

Sebenarnya, hubungan kami dengan Abang Samad bukan hanya terjalin melalui bapa saudara tapi seluruh keluarga terutama kakaj saya yang tinggal bersama Chek waktu itu. Allahyarham ayah dan ibu, abang serta kakak-kakak saya, semuanya pernah bergaul dan berbual dengannya. Abang Samad mempunyai daya tarikan tersendiri. Tutur katanya lembut, peribadinya mesra dan beliau begitu mudah membuatkan orang berasa selesa. Setiap kali ada kesempatan bertemu, pasti ada cerita dan perbualan yang membuatkan orang seronok berada di sisinya.

Pagi tadi sebelum ke masjid, kakak sulung saya turut mengimbau satu kenangan lama. Ketika beliau bertunang dahulu, Abang Samad bersama keluarganya datang ke kampung. Begitu juga jiran-jiran lain, termasuk Saudara Rahman Adam. Persahabatan yang terjalin di kawasan kejiranan bukan hanya terhenti di halaman rumah. Ia dibawa bersama dalam kehidupan keluarga, malah sampai ke kampung halaman.

Apabila bapa saudara saya berpindah ke Subang Jaya, kenangan itu tidak terhenti begitu sahaja. Abang Samad masih menjadi berjiran cuma selang empat rumah teres dua tingkat. Jika kebetulan beliau ternampak kereta bapa saudara saya ketika dalam perjalanan ke pejabat, beliau akan berhenti seketika untuk singgah, kadang mengopi bersama atau sekadar bertegur sapa.

Ada satu lagi kenangan kecil yang cukup saya sukai. Kadang-kadang, tanpa sebarang janji atau perancangan, kami bertemu di perhentian bas. Jika kebetulan menaiki bas yang sama, kami akan berbual sepanjang perjalanan. Saya menikmati saat-saat begitu. Perbualan yang sederhana, tanpa protokol dan tanpa perlu mencari topik, tetapi sentiasa ada sesuatu yang boleh dipelajari.

Abang Samad seorang yang bertutur dengan nada lembut. Namun, di sebalik kelembutan suaranya, tersimpan begitu banyak cerita, pengetahuan dan pengalaman. Ada kalanya saya sendiri berasa malu dengan keterbatasan pengetahuan apabila berhadapan dengannya.

Satu soalan yang hampir menjadi kebiasaannya setiap kali bertemu saya.

“Wirda sedang baca buku apa?”

Satu soalan yang nampak begitu mudah, tetapi cukup membuatkan saya berfikir. Malu juga jika ketika itu saya tidak mempunyai jawapan. Beliau pula akan bercerita tentang buku yang sedang dibacanya, berkongsi kisah dan pemikiran daripada bahan bacaannya. Tanpa disedari, setiap pertemuan menjadi satu ruang kecil untuk saya belajar.

Setelah saya berpindah dan tidak lagi berpeluang bertemu sekerap dahulu, ada kalanya apabila kesepian, saya akan mencapai semula novel-novel lamanya atau mencari puisi-puisi yang pernah ditulis. Ada sesuatu yang selalu membawa saya kembali kepada tulisan-tulisannya. Bahasa yang begitu indah, pemikiran yang mendalam, tetapi disampaikan dengan kesederhanaan yang cukup mengagumkan.

Antara puisi yang saya paling ingat ialah Rimba Tercinta. Saya suka bagaimana beliau mengungkapkan kecintaan terhadap belantara dan tanah air. Antara baris yang begitu saya ingati:

“Jelas kita terlihat ajaibnya belantara baka, tanah air kita ini paling, paling tercinta.”

Dan ungkapannya tentang belantara sebagai sumber hujan dan udara mesra, serta tanggungjawab kita untuk memeliharanya, mengingatkan saya bahawa keindahan bahasa Abang Samad sentiasa hadir bersama pemikiran dan kesedaran yang besar. Beliau bukan sekadar menulis untuk dibaca, tetapi mengajak kita melihat dan menghargai kehidupan.

Namun, ada sebuah lagi puisinya yang hari ini terasa begitu dekat dengan hati saya. Tetamu Senja.

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja.
Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya.
Kita datang ini kosong tangan dada,
bila pulang nanti bawa dosa pahala.

Saya sering terkesan dengan ungkapan ini. Ada kalanya, ketika kesepian, saya akan membacanya semula. Bahasanya begitu sederhana, tetapi maknanya begitu dalam. Kita datang ke dunia ini sebagai tetamu. Tidak membawa apa-apa ketika dilahirkan, dan apabila tiba waktunya untuk pulang, yang dibawa hanyalah amalan, dosa dan pahala.

Hari ini, setelah Abang Samad sendiri kembali kepada Pencipta-Nya, bait-bait tersebut terasa jauh lebih mendalam. Seolah-olah puisi itu sedang berbicara kepada kita semua tentang hakikat kehidupan. Kita hanya singgah sebentar di dunia ini. Setiap daripada kita akan sampai pada detik untuk pulang.

Dan kini, Abang Samad telah pulang.

Satu perkara yang paling menyentuh hati saya berlaku ketika saya menemui isterinya Datin Rashidah Dahan di masjid untuk solat jenazah. Sebaik sahaja bertemu, antara perkara pertama yang disebutnya ialah:

“Abang Samad selalu sebut nama you dan tanya you.”

Saya hanya mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Tetapi sebaik sahaja berpaling dan melangkah pergi, air mata saya jatuh tanpa dapat ditahan.

Entah mengapa, kata-kata itu begitu menyentuh perasaan. Selama ini saya yang menyimpan begitu banyak kenangan tentang Abang Samad. Saya tidak menyangka bahawa dalam perjalanan kehidupannya juga, nama saya masih sesekali disebut dan diingatinya.

Rupa-rupanya, bukan saya seorang yang mengenang.

Saya dan Shidah juga pernah menjadi rakan sekerja di Jelita. Sebelum itu, ketika di Taman Tan Yew Lai dan kemudian di Subang Jaya, Allahyarhamah Salmi Manja, isteri Abang Samad  yang merupakan sebahagian daripada keluarga besar kami. Anak-anak mereka, Siti Senja, Helmi dan Sita, saya kenali sejak kecil. Kini mereka sudah dewasa, masing-masing membawa kehidupan sendiri. Kak Salmi Manja juga telah lebih dahulu kembali ke rahmatullah.

Apabila Siti Senja, anak sulung mereka yang menetap di London, pulang ke Malaysia, jika ada kesempatan dan kebetulan saya bersama teman, Norida, kami akan meluangkan masa bersama. Kali ini, hati saya turut bersedih mengenangkan Senja yang tidak sempat pulang untuk bersama-sama mengiringi ayahandanya ke tempat persemadian terakhir.

Sedihnya sebelum pemergiannya, saya terbaca berita bahawa Abang Samad sedang dirawat di hospital. Saya mahu mencari nombor Shidah untuk bertanyakan khabarnya. Tetapi pencarian itu terhenti apabila saya terbaca satu pesanan ringkas daripada adik saya di kampung yang memaklumkan bahawa Abang Samad telah meninggal dunia.

Air mata terus berlinangan.

Saya sebenarnya menyimpan hasrat untuk menziarahinya di hospital. Tidak terlintas bahawa saya tidak lagi berpeluang bertemu dan mendengar suaranya. Hasrat itu tidak kesampaian.

Pagi ini, saya akhirnya berada di masjid untuk memberikan penghormatan terakhir dan bersama-sama menunaikan solat jenazah buatnya. Kemudian turut mengikuti perjalanan jenazah ke tanah perkuburan, sehinggalah beliau disemadikan.

Sepanjang perjalanan itu, ada perasaan yang sukar saya ungkapkan. Seolah-olah saya tidak mahu melepaskannya pergi. Mungkin kerana terlalu banyak kenangan yang tiba-tiba datang bertamu. Wajahnya, suaranya, perbualan di meja sarapan, pertemuan tidak dirancang di perhentian bas, dan soalan yang selalu ditanyakannya setiap kali bertemu.

“Wirda sedang baca buku apa?”

Hari ini, saya tidak lagi berpeluang menjawab soalan itu kepadanya.

Abang Samad bukan sahaja seorang Sasterawan Negara keempat yang menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1985. Beliau juga seorang lelaki yang pernah duduk semeja bersama kami menikmati sarapan pagi, seorang jiran yang sudi berhenti untuk bertanya khabar, seorang sahabat keluarga dan seorang abang yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu.

Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada kenangan zaman muda saya. Terima kasih kerana melalui buku-buku dan pertemuan kecil itu, Abang mengajar saya bahawa ilmu tidak pernah selesai dicari, dan membaca bukan sekadar mengisi waktu, tetapi memperkayakan kehidupan.

Hari ini, saya mengucapkan selamat jalan kepada seorang idola yang saya kenali sejak di bangku sekolah, tetapi akhirnya menjadi insan yang begitu dekat di hati.

Selepas ini, saya percaya setiap kali saya kesepian dan mencapai semula buku-buku Abang, saya tahu akan ada kenangan yang datang bersama setiap halaman. Dan setiap kali mendengar dendangan ‘Tetamu Senja’ yang telah dijadikan lagu, saya akan teringat kepada Abang Samad.

Kita semua hanyalah tetamu. Dan apabila tiba waktunya, kita akan pulang kepada-Nya.

Selamat jalan, Abang Samad. Karya-karya Abang akan terus hidup, dan kenangan kita akan sentiasa saya simpan.

Al-Fatihah.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan tempat persemadiannya di Bukit Kiara (yang kebetulan beberapa langkah sahaja dari pusara suami). Semoga  ditempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Wirda Adnan

Related posts

Kerjasama unik antara TGV dan SHARP

adminwm

BENDERA PUTIH – Meminta Pada Yang Kasih, Memberi Pada Yang Sayang

Mahani Awang

SPESIES BERNAMA RHUBARB

adminwm

Leave a Comment