
“Kemerdekaan bukan sekadar sejarah yang kita warisi, tetapi amanah yang kita teruskan. Negara dibina oleh mereka yang sanggup memikul amanah, bukan sekadar menyandang jawatan.”
Ada yang bertanya mengapa Woven Modern (WM) memilih seorang lelaki sebagai wajah kulit hadapan Ogos ini.
Jawapannya mudah. Kerana kemerdekaan tidak mengenal jantina.
Kemerdekaan adalah kisah manusia yang bekerja dengan jujur, memimpin dengan hikmah dan meninggalkan legasi untuk generasi akan datang.
Sejak helaian pertama diterbitkan, WM berdiri atas satu keyakinan bahawa wanita mempunyai suara yang besar dalam membentuk masyarakat. Kami meraikan wanita yang anggun, bijaksana, berani dan berjiwa besar. Dan keyakinan itu tidak pernah berubah. Namun apabila negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya, kami ingin melihat Malaysia daripada lensa yang lebih luas.
Malaysia tidak dibina oleh wanita sahaja.
Malaysia juga tidak dibina oleh lelaki sahaja.
Sebaliknya, negara ini berkembang kerana adanya kesatuan antara pemimpin dan pekerja, ibu dan ayah, guru dan murid, usahawan dan petani, penjawat awam dan anggota keselamatan—semuanya memainkan peranan yang saling melengkapi.
Atas semangat itulah, Woven Modern memilih seorang tokoh korporat lelaki sebagai penghias kulit hadapan.
Bukan kerana beliau seorang lelaki tetapi kerana nilai yang beliau wakili. Kami percaya bahawa membina sebuah negara memerlukan lelaki dan wanita yang saling melengkapi. Kemajuan tidak pernah dibina oleh satu gender, tetapi oleh manusia yang mempunyai nilai, integriti dan keberanian untuk memimpin. Pencapaian dan gelaran menjadi buruan, namun masih ada pemimpin yang memilih untuk membiarkan hasil kerja berbicara lebih lantang daripada dirinya sendiri. Pemimpin yang memahami bahawa jawatan hanyalah amanah, manakala kepimpinan ialah tanggungjawab.
Sempena bulan kemerdekaan ini, kami meraikan nilai itu.
Malaysia hari ini memerlukan lebih ramai pemimpin yang membina kepercayaan, bukan ketakutan. Yang menghubungkan manusia, bukan memisahkan. Yang memimpin dengan hati sebelum memimpin organisasi.
Bagi WM (Woven Modern), inilah wajah kemerdekaan moden. Bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi bebas untuk memilih integriti daripada kepentingan diri. Memilih perpaduan daripada perpecahan. Dan memilih untuk meninggalkan negara yang lebih baik daripada yang kita warisi.
Inilah yang kami temui pada Group Chief Executive Officer WTCKL, Encik Fauzy Abdul Wahab

Di sebalik jawatan dan pencapaiannya, beliau memimpin dengan ketenangan, mendengar sebelum berbicara dan meletakkan amanah sebagai asas setiap keputusan.
Bagi WM, inilah wajah Malaysia moden.
Malaysia yang tidak hanya mengejar kemajuan ekonomi, tetapi juga membina masyarakat yang saling menghormati, bekerja bersama dan percaya bahawa kejayaan negara adalah hasil usaha semua.
Sempena ulang tahun kemerdekaan, kami meraikan bukan sahaja seorang pemimpin korporat, tetapi satu nilai yang semakin penting dalam dunia hari ini—kepimpinan yang berjiwa. Kerana akhirnya, kemerdekaan bukan hanya tentang bebas daripada penjajahan. Ia juga tentang kebebasan untuk membina masa depan yang lebih baik, bersama. — Wirda Adnan, Editor in Chief Woven Modern.
Fauzy Abdul Wahab-Malaysia’s Modern Leaders
Pentas dunia yang berubah pantas. Kepimpinan bukan lagi mengenai siapa yang paling berkuasa, tetapi siapa yang paling mampu membawa orang lain melangkah ke hadapan bersama.
“Yang kekal bukan batu batanya,
tetapi nilai yang dipertahankan.
Yang abadi bukan bangunannya,
tetapi manusia yang menghidupkannya.”
Begitulah sifat sebuah legasi.
Ia tidak dibina dalam sehari, dan tidak diwarisi hanya melalui nama. Legasi lahir daripada amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab, diperkukuh oleh masa, lalu diteruskan oleh mereka yang memahami bahawa sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk disambung.
Di tengah denyut nadi Kuala Lumpur, berdiri megah World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) — sebuah mercu tanda yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Malaysia selama lebih empat dekad.

Bangunan ini bukan sekadar menghiasi latar langit ibu kota. Ia menjadi saksi kepada ribuan pertemuan yang mengubah masa depan. Di sinilah pemimpin dunia berjabat tangan. Usahawan melahirkan kerjasama baharu. Persidangan antarabangsa menghimpunkan pelbagai bangsa. Pameran perdagangan membuka pintu ekonomi. Malah, warisan budaya dan gastronomi Malaysia turut dipersembahkan kepada tetamu dari seluruh dunia.
Setiap dewan mempunyai ceritanya. Setiap ruang pernah menyaksikan detik yang meninggalkan makna.
Namun seperti sebuah rumah yang indah tidak akan bermakna tanpa penghuninya, begitu juga lah WTC. Keagungannya bukan hanya terletak pada seni bina, keluasan ruang atau kemudahan bertaraf antarabangsa.
Jiwanya terletak pada manusia.
Hari ini, denyut nadi itu diterajui oleh Group Chief Executive Officer WTC Encik Fauzy Abdul Wahab. Beliau bukan sekadar memimpin sebuah organisasi, tetapi menggalas amanah untuk memastikan sebuah institusi yang menjadi kebanggaan negara terus kekal relevan dalam dunia yang berubah dengan begitu pantas.
Bagi beliau, sebuah bangunan tidak sepatutnya hanya menjadi tempat berlangsungnya acara. Ia harus menjadi tempat lahirnya hubungan. Tempat berkembangnya idea. Tempat budaya diraikan. Dan tempat Malaysia memperkenalkan wajah terbaiknya kepada dunia.
Menjaga Sebuah Amanah
Apabila seseorang diberi tanggung jawab memimpin sebuah institusi yang telah melalui lebih empat dekad sejarah, cabarannya bukan sekadar mengekalkan kecemerlangan.
Cabaran sebenar ialah memastikan sejarah itu terus bergerak ke hadapan.
Fauzy memahami bahawa WTC memiliki satu kekuatan yang tidak boleh dibeli—kepercayaan.
Selama bertahun-tahun, WTC telah menjadi lokasi pilihan untuk pelbagai persidangan antarabangsa, ekspo perdagangan, majlis korporat, pameran dan acara berskala besar. Kepercayaan itu dibina melalui profesionalisme, hospitaliti dan standard perkhidmatan yang konsisten. Namun beliau juga sedar bahawa sejarah semata-mata tidak menjamin masa depan.
Sebuah institusi hanya akan terus dihormati apabila berani berubah tanpa kehilangan jati dirinya. Justeru, WTC hari ini bergerak seiring dengan transformasi digital, kelestarian, inovasi dalam pengurusan acara dan pengalaman pelanggan, sambil mengekalkan nilai-nilai yang telah membina reputasinya selama ini.
Apabila Dunia Terhenti
Setiap pemimpin pasti diuji.
Bagi Fauzy, antara detik yang paling mengubah cara beliau melihat kepimpinan ialah ketika pandemik Covid-19 melanda dunia. Dalam keadaan negara berdepan krisis kesihatan yang belum pernah dialami, WTC berubah daripada sebuah pusat acara kepada salah sebuah pusat vaksinasi terbesar di Malaysia. Bangunan yang sebelum ini menerima delegasi antarabangsa kini menerima ribuan rakyat setiap hari.

Dalam suasana yang penuh ketidaktentuan itu, beliau belajar bahawa kepimpinan bukan tentang jawatan. Ia tentang keberanian membuat keputusan. Tentang keupayaan menyesuaikan diri. Dan yang paling penting meletakkan kepentingan masyarakat mengatasi segala-galanya.
Pengalaman itu turut membuka lembaran baru buat WTC. Ia mengajar bahawa organisasi yang berjaya bukanlah organisasi yang paling besar, tetapi yang paling pantas belajar, berubah dan bangkit semula apabila diuji.
Rumah Kepada Warisan Malaysia
Apabila WTC menjadi tuan rumah pelancaran buku Sedap Do’oh! Menjejaki Resipi Warisan Terengganu, ramai melihatnya sebagai sebuah acara penerbitan. Namun bagi Fauzy Abdul Wahab, ia jauh lebih besar daripada itu.


Beliau percaya sebuah venue bertaraf dunia tidak seharusnya hanya menjadi ruang untuk acara komersial. Ia juga perlu menjadi pentas yang mengangkat identiti negara.
Di sinilah budaya diraikan. Di sinilah seni dipersembahkan. Di sinilah juga warisan kulinari diperkenalkan kepada generasi baharu dan kepada tetamu antarabangsa. Kerana makanan, menurut beliau, ialah bahasa sejagat yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa dan negara. Melalui usaha mengangkat gastronomi, seni dan budaya tempatan, WTC turut memainkan peranan menyokong agenda pelancongan negara serta memperkenalkan Malaysia dengan cara yang paling autentik.
Kepimpinan Yang Dekat Dengan Manusia
Di sebalik ketegasan seorang Ketua Pegawai Eksekutif, terserlah seorang insan yang percaya bahawa integriti adalah asas kepada segala-galanya.
Beliau tidak gemar birokrasi yang melambatkan keputusan. Fauzy menghargai masa. Fauzy mahu setiap mesyuarat mempunyai tujuan. Namun yang lebih menarik, Fauzy percaya bahawa seorang pemimpin tidak perlu sentiasa kelihatan serius. “Sedikit humor di tempat kerja,” katanya, “adalah satu seni kepimpinan.”
Dalam dunia korporat yang sering dipenuhi tekanan, beliau memilih untuk membina suasana yang positif. Kerana bagi beliau, organisasi yang hebat tidak hanya menghasilkan keuntungan. Ia juga melahirkan manusia yang gembira untuk datang bekerja setiap hari.
Legasi Yang Sebenarnya
Apabila ditanya apakah legasi yang ingin ditinggalkan, jawapan Fauzy Abdul Wahab cukup sederhana tetapi mendalam.
Beliau tidak bercakap tentang bangunan baharu. Tidak juga tentang rekod keuntungan. Sebaliknya, beliau bercakap tentang manusia. “A leader is ultimately recognised by how many leaders they produce.”

Bagi beliau, kejayaan sebenar bukanlah apa yang dicapai sepanjang tempoh beliau memimpin WTC, tetapi sejauh mana beliau berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin baharu yang mampu membawa organisasi ini lebih jauh daripada apa yang telah beliau lakukan.
Kerana akhirnya, bangunan boleh diperbaharui. Teknologi boleh diganti. Tetapi manusialah yang akan menentukan sama ada sesebuah legasi terus hidup ataupun hanya tinggal sejarah.
Fauzy percaya bahawa kepimpinan terbaik bermula dengan kepercayaan, integriti dan kesediaan untuk berkhidmat. Dengan pengalaman luas dalam dunia korporat, beliau menggabungkan visi strategik dengan pendekatan yang berpaksikan manusia, membina organisasi yang bukan sahaja berkembang, malah memberi manfaat kepada masyarakat. Tenang dalam membuat keputusan dan sentiasa memandang jauh ke hadapan, beliau mewakili generasi pemimpin moden yang memahami bahawa kejayaan sebenar diukur bukan sekadar pada pencapaian, tetapi juga pada legasi yang ditinggalkan.
Di Sebalik Lensa
Ada sisi seorang pemimpin yang tidak mungkin ditemui di dalam bilik mesyuarat dan kami menemuinya di hadapan kamera.
Sesi fotografi untuk rencana ini berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, bangunan yang begitu dekat dengan dirinya. Anehnya, walaupun setiap ruang di situ begitu dikenalinya, berdiri di hadapan lensa kamera ternyata bukan sesuatu yang biasa buat CEO ini.


Pada awalnya, beliau kelihatan sedikit kekok. Senyumannya masih berhati-hati. Posisinya agak formal, seolah-olah lebih selesa berdiri di hadapan para pelabur atau mempengerusikan mesyuarat daripada menjadi wajah kulit hadapan sebuah majalah.
Beberapa minit kemudian, suasana mula berubah. Gelak tawa kecil daripada kru fotografi memecahkan rasa canggung. Arahan jurugambar pula semakin santai. Sedikit demi sedikit, senyumannya menjadi lebih asli. Bahunya mula mengendur. Sesekali beliau sendiri ketawa apabila melihat hasil rakaman di monitor kamera.
Lebih lucu apabila tiba masa menukar persalinan. Daripada satu sut ke satu lagi, daripada satu lokasi ke lokasi yang lain, beliau hanya menggeleng sambil berseloroh,
“Rupanya susah juga jadi model.”
Semua yang berada di situ ketawa.

Ketika itu, kami tidak lagi melihat seorang Group Chief Executive Officer yang sedang menjalani sesi fotografi rasmi. Yang kami lihat hanyalah seorang lelaki yang cukup merendah diri, tidak kekok mentertawakan dirinya sendiri, dan sanggup mengikuti setiap arahan pasukan kreatif demi menghasilkan yang terbaik. Barangkali di situlah kami melihat sisi dirinya yang sebenar.
Begitu pun, momen yang paling kami ingati bukanlah ketika lampu studio dipasang atau kamera berhenti merakam. Sebaliknya, ia berlaku selepas semuanya selesai.
Tanpa sebarang protokol, beliau mengajak seluruh pasukan WM menikmati makan tengah hari di Riverside Cafe yang terletak di dalam WTC. Katanya, beliau mahu kami mencuba sendiri beberapa menu baharu yang bakal diperkenalkan oleh pasukan kulinari mereka.
Makan tengah hari itu akhirnya bertukar menjadi sebuah perbualan yang panjang. Tiada lagi bahasa korporat. Tiada lagi gelaran yang memisahkan. Yang ada hanyalah gelak ketawa, cerita tentang kehidupan, pengalamannya bekerja sebagai pelayan dan kisah-kisah kecil yang menjadikan suasana begitu sederhana tetapi menyenangkan.
Di meja yang sama turut bersama dua pegawainya.
Menariknya, hubungan mereka tidak memperlihatkan jurang yang sering dikaitkan dengan seorang Ketua Pegawai Eksekutif. Arahan tetap diberikan apabila perlu, keputusan tetap dibuat dengan tegas, namun di sebalik profesionalisme itu jelas terpancar rasa hormat dan kepercayaan antara seorang pemimpin dengan pasukannya.
Kami melihat sendiri bagaimana seorang CEO boleh menjadi seorang ketua tanpa perlu meletakkan tembok yang memisahkan dirinya daripada orang lain.
Mungkin itulah bentuk kepimpinan yang semakin jarang ditemui hari ini. Tegas apabila membuat keputusan. Jelas apabila memberi arahan. Namun apabila tugas selesai, beliau kembali menjadi seorang rakan yang mudah diajak berbual, ringan mengusik, dan sentiasa membuatkan setiap orang di sekeliling berasa dihargai.
Kadangkala, karakter sebenar seseorang tidak terserlah ketika beliau berdiri di atas pentas. Sebaliknya, ia hadir dalam detik-detik kecil yang tidak dirancang.
Dan bagi kami di WM, di situlah kami mengenali Fauzy Abdul Wahab yang sebenar.
Bisikan WM
Ada bangunan yang megah kerana seni binanya.
Ada bangunan yang gah kerana sejarahnya.
Namun hanya segelintir yang benar-benar bernyawa.
WTCKL ialah salah satunya.
Bukan kerana dewan-dewannya yang luas. Bukan kerana lokasinya yang strategik.
Tetapi kerana di sebalik setiap pintu yang terbuka, sentiasa ada manusia yang percaya bahawa hospitaliti ialah seni memuliakan tetamu, bahawa budaya ialah wajah sebuah negara, dan bahawa legasi bukan sesuatu yang diwarisi begitu sahaja—ia dibina, dipelihara dan diserahkan kepada generasi seterusnya dengan penuh amanah.
Dan mungkin, di situlah ukuran sebenar sebuah kepimpinan.InsyaAllah kita semua terus menjadi warga yang bukan sahaja mencintai Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada masa depannya.
“Semoga setiap helaian yang kita baca hari ini menjadi ilham untuk kita menulis helaian kehidupan yang lebih bermakna esok.”
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan.
