COVER STORY

EVA COULOMB: JOURNEY THROUGH HERITAGE, IDENTITY & LIFE

Eva Coulomb rakyat Malaysia berdarah kacukan Perancis dan Cina. Berakar umbi Barat dan Timur, yang mana kedua-dua keturunan itu pula mempunyai warisan teguh dari segi budaya dan cara kehidupan tersendiri malah saling mempengaruhi.

Eva beranggapan ketentuan zuriatnya adalah satu anugerah yang tidak ternilai. “Ia memberi saya ruang dan peluang untuk berkembang dalam acuan saya yang tersendiri,” katanya.

Walaupun kehidupan hariannya penuh dengan pelbagai pilihan daripada cara makan, memilih makanan, berpakaian atau adap kesopanan di dalam rumah juga kala di luar, Eva berasa dirinya beruntung kerana dia bebas memilih yang terbaik di antara semua itu.   

Hidup dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum, beliau mencerminkan gaya hidup silang budaya yang unik. Identitinya merupakan paduan antara keanggunan fesyen Paris dan kekayaan budaya masyarakat Cina Malaysia yang mendalam.

Gabungan Paris-Asia: Estetikanya merupakan cerminan langsung latar belakang warisannya. Di pentas peragaan, beliau menampilkan pengaruh *haute couture* Eropah yang tulen. Di luar waktu kerja pula, beliau menikmati gaya hidup Malaysia yang santai namun penuh keceriaan dan penuh kemesraan.

Gaya peribadinya merupakan satu paduan yang teliti antara konsep minimalisme Perancis dengan elemen Asia Tenggara yang berani dan berwarna-warni. Seperti orang Malaysia katanya, bagaikan satu potpouri yang terdapat bunga-bungaan Barat dan Timur, harumannya segar dan unik.

Menetap di Petaling Jaya, Selangor, Eva berjaya menggabungkan tradisi Timur dengan gaya Barat yang anggun dan bergaya. Tentu ramai ingin tahu bagaimana Eva melalui kehidupan hariannya yang sangat unik, rancak, sambil berlatarkan nilai-nilai budaya Melayu dan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Ikuti wawancara santai bersama Eva mengenai diinya, warisan bangsa dan budaya melalui darah campuran yang mengalir di dalam dirinya.

Bagaimanakah pengalaman zaman kanak-kanak, remaja, dan kehidupan anda pada masa kini?

Saya melalui zaman kanak-kanak yang sangat bahagia yang mana ibu bapa saya menyediakan sebuah kediaman yang penuh dengan kasih sayang serta gelak tawa. Malah mereka turut menyokong impian-impian saya yang luar biasa dan aneh; saya amat bersyukur sebagai insan yang hadir daripada dua dunia yang jauh berbeza dan atas segala-galanya.

Ketika meningkat remaja, saya menjadi lebih berdikari dan mula menemui minat saya, terutamanya dalam bidang peragaan. Kini, saya berasa lebih matang, namun pada masa yang sama, saya masih terus belajar setiap hari untuk menjadi insan yang lebih baik

Sila ceritakan sedikit bagaimana ibu bapa anda membentuk asas warisan pelbagai budaya demi manfaat terbaik anda. Adakah terdapat sebarang tolak ansur atau pengorbanan di pihak mereka? Bagaimanakah mereka mengimbangi perkara tersebut?

Mereka mengajar saya untuk menghargai kedua-dua sisi warisan saya sejak kecil lagi. Mereka memastikan saya meraikan kedua-dua tradisi turun temurun ini, dan memilih untuk menghormati ciri-ciri terbaik daripada kedua-dua budaya yang saya warisi.

Secara bersahaja mereka juga mengajar saya bersikap bertolak ansur dan tidak pernah berasa seolah-olah saya perlu memilih satu berbanding yang lain… be it French or Chinese. Pada pendapat saya, mereka mengimbangi perkara ini melalui sikap saling menghormati dan memilih yang terbaik daripada kedua-duanya.

Bagaimanakah pengalaman anda dibesarkan oleh ibu bapa anda?

Sejujurnya, mereka adalah ibu bapa terbaik yang boleh saya banggakan. Rumah kami sentiasa riuh dengan gelak tawa kerana kami sering berseloroh dan menyakat antara satu sama lain.

Mereka memberikan saya zaman kanak-kanak yang sangat bahagia, namun pada masa yang sama, mereka mendidik saya supaya sentiasa bersikap merendah diri, bekerja keras, dan melayan orang lain dengan penuh hormat dan kebaikan

Apakah erti Tahun Baru Cina dan Krismas bagi anda dari sudut warisan tradisi dan keagamaan?

Sambutan Tahun Baru Cina membantu saya mengekalkan hubungan dengan warisan Cina saya. Ia antara saat yang paling saya gemari sepanjang tahun kerana saya dapat bertemu dengan sanak-saudara, menikmati pelbagai tradisi serta juadah perayaan, dan meraikannya bersama-sama.

Hari Krismas pula istimewa bagi saya disebabkan oleh makna keagamaannya; ia adalah masa untuk menzahirkan rasa syukur dan meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga. Saya sentiasa menantikan saat membuka hadiah, membakar biskut halia (gingerbread), dan menikmati hidangan ayam belanda pnggang bersama-sama.

Pengalaman membesar dengan meraikan kedua-dua perayaan ini membuatkan saya menghargai betapa bertuahnya saya memiliki latar belakang berbilang budaya. Bukankah itu satu keunikan yang tidak ramai rasai?

Sila kongsikan sebarang peristiwa atau pengalaman bermakna yang berkaitan dengan topik tradisi dan warisan.

Oh! ya, seingat saya, semasa saya masih budak-budak, ada kalanya saya berasa seolah-olah tidak benar-benar dapat menyesuaikan diri kerana saya berdarah kacukan. Namun, ibu bapa sentiasa mengingatkan saya bahawa warisan saya adalah sesuatu yang wajar dibanggakan dan saya tidak sepatutnya berasa malu kerananya.

Mereka menggalakkan saya untuk menghayati kedua-dua budaya dengan meraikan tradisi kami ini dan bersama-sama berbangga dengan keunikan itu. Ini membantu saya membesar dengan penuh keyakinan terhadap siapa saya dan mengukuhkan jati diri saya.

Bagaimanakah anda menerangkan campuran itu dalam tiga perkataan?

Potpuri, indah, unik.

Bahagian manakah warisan anda paling banyak kelihatan dalam kehidupan harian anda — makanan, bahasa, nilai, gaya?

⁠Saya akan katakan ia agak seimbang tetapi lebih kepada warisan Cina saya. Mungkin pengaruh ini adalah kerana kehidupan dan masa saya banyak di sini.

Adakah membesar dengan kaum majmuk di Malaysia menjadi penyebab membentuk bagaimana anda dilihat dalam industri pemodelan?

Saya tidak fikir menjadi bangsa campuran telah menentukan kerjaya saya. Pada penghujung hari, pelanggan mencari seseorang yang sesuai dengan visi mereka, jadi saya masih perlu berusaha untuk mendapatkan setiap peluang.

Peragaan dan Kerjaya. Apa yang membuatkan anda mahu menjadi seorang peragawati? Adakah ia mimpi sejak zaman kanak-kanak atau adakah seseorang menemui anda?

Ibu bapa sayalah yang menyarankan saya ke dunia peragaan dan mereka yakin bahawa saya akan berjaya dalam bidang ini. Cukup lucu, mereka mengambil masa dua tahun untuk meyakinkan saya untuk mencuba sebelum saya melakukannya.

Sebagai model Malaysia dengan penampilan yang unik, apakah jenis pekerjaan, kempen atau promosi yang paling banyak anda mendapat tempahan memperaga?

⁠Saya bermula dengan pentas peragaan di acara pertunjukan fesyen. Dan juga paling banyak tempahan yang saya terima adalah untuk pentas peragaan.

Apakah salah tanggapan terbesar orang ramai tentang peragawati di Malaysia?

⁠Bahawa kami sombong dan tidak boleh didekati kerana kami adalah peragawati. Begitupun saya beruntung kerana selama ini, peragawati yang saya pernah bekerja dan berkawan, sangat menyokong malah merendah diri dan menyeronokkan untuk diajak berbicara atau bersantai.

Penggambaran muka depan hari ini, apakah aksi atau ekspresi anda apabila jurugambar dan kamera menjalankan kerjanya?

Dalam peragaan, tuntutan gaya berbeza-beza. Untuk pakaian tradisional Melayu untuk hari ini, saya suka memberikan senyuman yang sebaik mungkin dan yang mana saya cuba bersama-sama memberikan gaya ekspresi seanggunnya.

Setiap pakaian ada cerita dan sejarahnya yang tersendiri, lebih lagi pakaian tradisional. Saya beranggapan, adalah tugas saya untuk memartabatkan tradisi tersebut serta menghormati kerja pereka yang bertungkus-lumus menghasilkannya. Yang pasti, setiap genre pakaian menuntut aksi dan ekspresi tertentu.

Tentang budaya dan jati diri. Keanggunan Perancis dan disiplin Cina serta gabungan  kemesraan Malaysia, benar atau tidak benar untuk anda?

⁠Saya rasa ada kebenarannya. Saya menghargai keanggunan Perancis, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kesederhanaan dengan gaya. Saya telah belajar disiplin dari pihak Cina saya, saya belajar di sekolah Cina untuk beberapa lama. Dan membesar di Malaysia pastinya telah mengajar saya untuk bersikap mesra dan terbuka kepada orang yang berbeza kerana Malaysia sangat berbilang budaya dan gaya hidup kita sememangnya unik.

Apakah satu tabiat masyarakat Perancis dan satu tabiat masyarakat Cina yang menjadi sebahagian penting dalam hidup anda?

Satu tabiat masyarakat Cina yang sangat sebati dengan diri saya ialah menanggalkan kasut sebelum masuk ke dalam rumah. Saya sering perlu mengingatkan diri sendiri supaya tidak menanggalkan kasut apabila memasuki rumah saudara-mara di Perancis.

Adakah anda boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Mandarin, Kantonis, atau Melayu? Dalam bahasa apakah anda bermimpi?

⁠Saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin; malah saya rasa saya juga layak mengatakan bahawa saya boleh bertutur dalam ‘Manglish’ (campuran bahasa Inggeris dan bahasa tempatan), haha. Saya juga boleh sedikit berbahasa Melayu. Bermimpi? Rasanya dalam bahasa Inggeris.

Sila sambung ayat ini …“Saya bukan sekadar wajah yang menarik; saya juga seorang…”

Saya bukan sekadar memiliki wajah yang menarik, saya juga seorang yang gigih dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Beauty with a brain sounds cliché… More or less, that’s me!

Related posts

RATU CANTIK LINDSEY YAP

Wirda Adnan

WIRDA/MAHANI TOGETHER WE CAN MAKE A DIFFERENCE

Wirda Adnan

NADIA ALI CHANNAN THE ALGORITHM OF BEAUTY-Apabila Kecantikan Ditafsir Semula Oleh Teknologi

Wirda Adnan

Leave a Comment