
“Kadangkala tubuh tidak meminta kemewahan. Ia hanya inginkan ruang untuk berehat, pulih dan kembali menjadi dirinya sendiri.”
Saya harus mengaku sesuatu. Setiap kali bertemu dengan Dato’ Hajjah Zaiton Mohd Jiwa, pasti ada sedikit rasa cemburu yang hadir dalam hati saya.
Bukan cemburu yang negatif. Tetapi cemburu seorang wanita apabila melihat wanita lain yang masih mampu mengekalkan bentuk badan yang langsing, penampilan yang kemas dan kulit yang kelihatan segar walaupun usia semakin matang. Boleh mengenakan apa sahaja busana dan semuanya nampak cantik, terletak di badan. Tidak kira dalam persalinan kasual mahupun elegan, ada sesuatu tentang dirinya yang membuatkan ramai wanita tertanya-tanya:
“Apa sebenarnya rahsia Kak Ton.”
Kulit wajahnya sentiasa tampak bercahaya. Tenaganya tidak pernah surut. Dan senyumannya sentiasa mengundang rasa selesa kepada sesiapa yang berada di sekelilingnya.
Sudah beberapa kali beliau mengajak saya dan Mahani mencuba sendiri rawatan di pusat wellness miliknya, Jiwa Penyayang Wellness Centre. Namun seperti kebanyakan wanita yang terlalu sibuk menguruskan pelbagai tanggungjawab, kami sering menangguhkan jemputan tersebut.
“Nanti kami datang.” Minggu masuk ke bulan baru, masih belum sempat meluangkan rasa. Memikirkan balik rasa sedikit menyesal kerana tidak menerima pelawaan itu lebih awal. Dan rupa-rupanya, ada sebab mengapa ramai pelanggan setia terus kembali ke sini.
Dan selepas melalui sendiri pengalaman di Well Centre ini, saya mula memahami bahawa kecantikan yang sebenar bukan sekadar apa yang kita lihat pada wajah seseorang, tetapi bagaimana seseorang itu menjaga tubuh dan jiwanya dengan penuh disiplin dan kasih sayang.
“Menjaga diri bukan soal melawan usia. Ia tentang menghormati tubuh yang telah setia membawa kita melalui setiap musim kehidupan.”
PERJALANAN BERMULA DENGAN WAJAH
Sebelum diperkenalkan kepada Sauna Infra Merah yang terkenal itu, saya terlebih dahulu menikmati sesi facial yang lengkap.
Bukan sekadar rawatan wajah biasa, tetapi satu pengalaman yang membuatkan saya benar-benar berhenti daripada kesibukan harian yang tidak pernah berpenghujung.
Saat berbaring dan menyerahkan wajah kepada sentuhan terapis yang berpengalaman, saya dapat merasakan segala keletihan yang terkumpul sejak berminggu-minggu mula dilepaskan sedikit demi sedikit. Apabila rawatan selesai, wajah terasa lebih segar dan ringan.
Namun pengalaman yang paling menarik masih menunggu.
Saya kemudian dibawa ke salah satu bilik rawatan paling popular di Jiwa Penyayang — Sauna Infra Merah.
BUKAN SEKADAR SAUNA BIASA
Ramai membayangkan sauna sebagai bilik panas yang membuatkan badan berpeluh.Namun sauna di sini menawarkan pengalaman yang jauh berbeza.
Ia menggunakan teknologi haba infra merah yang memberikan rasa hangat yang lembut dan menyeluruh kepada tubuh. Saya menghabiskan hampir satu jam di dalam ruang yang menenangkan itu.
Pada mulanya saya hanya ingin mencuba. Tetapi semakin lama berada di situ, semakin saya memahami mengapa ramai pelanggan begitu menyukainya. Kerana tubuh terasa semakin relaks. Otot yang tegang mula mengendur. Fikiran yang sebelum ini dipenuhi pelbagai perkara juga mula menjadi lebih tenang. Apa yang paling menarik perhatian saya ialah sistem pencahayaan terapinya yang boleh ditukar kepada beberapa warna berbeza.
Menurut konsep chromotherapy atau terapi warna yang sering digabungkan dengan rawatan wellness moden, setiap warna dipercayai membawa suasana emosi yang berbeza. Contohnya,
Merah sering dikaitkan dengan tenaga, semangat dan vitaliti.
Hijau melambangkan keseimbangan, ketenangan dan pemulihan emosi.
Kuning pula dikaitkan dengan keceriaan, keyakinan diri dan pemikiran yang lebih positif.
Ketika duduk dalam ruang yang dipenuhi cahaya lembut itu, saya mula memahami bahawa pengalaman ini bukan hanya mengenai tubuh. Ia memberi peluang kepada minda untuk berehat.
KELEBIHAN SESI SAUNA INFRA MERAH
✓ Membantu tubuh berasa lebih relaks
✓ Memberikan rasa nyaman pada otot yang tegang
✓ Membantu proses peluh semula jadi badan
✓ Menjadikan badan terasa lebih ringan dan segar
✓ Memberi ruang untuk merehatkan minda daripada tekanan harian
✓ Menjadi pelengkap kepada rutin gaya hidup sihat dan wellness
APABILA TUBUH MULA BERNAFAS SEMULA
“Apabila tubuh diberi ruang untuk berehat, jiwa, juga menemukan jalannya untuk pulang kepada ketenangan.”
Salah satu perkara yang menarik tentang rawatan berasaskan haba infra merah ialah pengalaman relaksasinya yang mendalam. Ramai pelanggan memilih rawatan ini sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan diri kerana ia membantu mereka mendapatkan semula rasa segar selepas melalui hari-hari yang meletihkan.
Selepas sesi tersebut, saya memahami mengapa sauna menjadi antara rawatan paling popular di Jiwa Penyayang Wellness Centre ini. Ia bukan hanya berpeluh. Ia memberi ruang kepada diri sendiri untuk berhenti seketika. Untuk berehat. Untuk melepaskan segala ketegangan yang terkumpul dalam tubuh dan emosi.
DESTINASI KESEJAHTERAAN YANG MENYELURUH
Apa yang menjadikan pusat kecantikan ini begitu istimewa bukan sekadar satu rawatan ialah ia menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dan kesejahteraan dari hujung kaki hingga ke rambut.
Daripada rawatan wajah, penjagaan kulit, terapi tubuh, urutan, program kesejahteraan wanita sehinggalah kepada pelbagai rawatan kecantikan moden, semuanya berada di bawah satu bumbung.
Lebih meyakinkan, pelanggan bukan sahaja dibantu oleh terapis berpengalaman, malah turut mendapat khidmat daripada pakar perubatan dan pakar kecantikan yang bertauliah.
Gabungan pengalaman, kepakaran dan sentuhan profesional inilah yang memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
SALAH SATU YANG TERBAIK DI BANDAR
“Wellness bukan kemewahan. Ia adalah pelaburan terhadap diri yang akan kita bawa sepanjang hayat.”
Sebagai seseorang yang pernah mencuba pelbagai pusat kecantikan dan kesejahteraan, saya harus memberikan kredit kepada pasukan Jiwa Penyayang Wellness Centre ini. Mereka bukan sahaja memahami aspek kecantikan, tetapi turut memahami kepentingan kesejahteraan secara menyeluruh. Layanan yang diberikan penuh profesionalisme namun tidak pernah menghilangkan sentuhan kemanusiaan.
Di sinilah pelanggan bukan sekadar mendapatkan rawatan. Mereka diraikan. Mereka didengari. Mereka diberi ruang untuk kembali menyayangi diri sendiri.
Dan bagi saya, itulah definisi sebenar wellness.
TIPS WM: CANTIK BERMULA DARI DALAM
1. Jadualkan waktu untuk diri sendiri
Sekurang-kurangnya sekali seminggu, berikan masa khusus untuk berehat tanpa gangguan telefon atau urusan kerja.
2. Minum air secukupnya
Kulit yang cantik dan tubuh yang sihat bermula dengan hidrasi yang baik.
3. Tidur adalah rawatan kecantikan terbaik
Tiada serum yang mampu menggantikan manfaat tidur yang berkualiti.
4. Belajar melepaskan tekanan
Tekanan kronik sering menjadi punca wajah kelihatan letih dan cepat menua.
5. Rawat tubuh sebelum sakit menjadi serius
Jangan tunggu sehingga badan memberi isyarat yang terlalu kuat. Dengar keperluan tubuh sejak awal.
“Kecantikan bukan sekadar apa yang terlihat pada wajah. Ia adalah ketenangan yang terpancar daripada jiwa yang terjaga.”
