
Ada insan yang hidup panjang. Ada pula yang hidupnya meninggalkan jejak panjang. Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah kedua-duanya.
“Kenapa baru 100 tahun baru nak jemput saya dan sambut?”
Soalan itu keluar daripada mulut wanita yang diraikan pada petang tersebut.
Seluruh ruang ketawa.
Dan saya fikir, mungkin tidak ada cara yang lebih sempurna untuk menyambut usia 100 tahun selain dengan jenaka daripada wanita yang sedang diraikan sendiri.
Petang itu, Yayasan Kepimpinan Perdana berubah wajah. Bunga-bunga ada di mana-mana — pada pakaian, pada corak, pada topi dan pada gaya para tetamu wanita yang datang dalam warna-warni yang begitu indah. Muzik mengisi ruang. Ada gelak tawa. Ada sahabat lama. Ada wajah-wajah yang datang membawa kenangan.
Dan di tengah-tengah semuanya ialah seorang wanita yang telah melalui satu abad kehidupan.
Ketika itu saya melihatnya bukan sekadar sebagai isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri, bukan hanya sebagai salah seorang wanita Melayu terawal yang menjadi doktor, dan bukan semata-mata sebagai seorang tokoh yang namanya sudah begitu lama kita kenali.
Saya melihat seorang perempuan.
Seorang anak perempuan yang pernah mempunyai impian. Seorang pelajar perubatan yang muda. Seorang doktor, isteri dan ibu. Seorang wanita yang pernah menunggu seorang lelaki melafazkan cinta. Dan seorang manusia yang, tanpa kita sedari, telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Malaysia sendiri.
Beberapa minggu kemudian, saya tidak pernah menyangka bahawa saya akan menulis tentang beliau dalam suasana yang begitu berbeza.
Pada 28 September 2026, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun. Pemergiannya disahkan oleh anaknya, Datuk Seri Mokhzani Mahathir.
Tiba-tiba angka 100 itu tidak lagi terasa seperti angka untuk diraikan.
Ia menjadi sebuah titik. Sebuah noktah.
Dan apabila seseorang yang sudah melalui begitu banyak zaman pergi, kita tidak hanya kehilangan seorang manusia. Kita kehilangan sebahagian daripada ingatan sebuah negara.
SEBELUM ADA GELARAN
Siti Hasmah binti Mohamed Ali dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, anak keenam daripada 10 beradik. Beliau membesar pada zaman ketika pendidikan tinggi untuk wanita Melayu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi bidang perubatan.
Beliau belajar di Methodist Girls’ School, kemudian meneruskan pendidikan sebelum memasuki King Edward VII College of Medicine di Singapura.
Di situlah hidupnya berubah. Dan di situlah seorang gadis Melayu bertemu seorang pemuda bernama Mahathir Mohamad.
Mereka bukan bermula sebagai pasangan yang sudah tahu ke mana arah hubungan itu. Mereka bermula sebagai dua orang pelajar perubatan. Dua orang anak muda yang sedang belajar menjadi doktor.
Namun seperti banyak kisah cinta yang paling lama bertahan, cinta mereka tidak bermula dengan bunga atau kiriman puisi cinta.
Ia bermula dengan persahabatan.
Mahathir sendiri kemudian menceritakan bagaimana mereka sering duduk bersama di taman asrama, belajar atau sekadar berbual.
Kemudian datang satu hari pada tahun 1949. 23 April.
Mereka baru pulang menonton sebuah filem dan sedang berjalan kembali ke asrama Holne Chase. Mahathir memberitahu Hasmah bahawa dia mahu mengatakan sesuatu.
Kemudian, satu demi satu, beliau menyebut tiga perkataan:
“I love you.”
Begitulah yang dicatatkan dalam kisah hidup mereka — tiga perkataan yang sangat sederhana, tetapi menjadi permulaan kepada lebih tujuh dekad kehidupan bersama.
Saya terfikir, betapa banyak cinta di dunia ini bermula dengan sesuatu yang kecil. Bukan bunga. Bukan cincin. Bukan makan malam di restoran mahal.
Hanya keberanian seorang lelaki untuk akhirnya berkata apa yang ada di hatinya.
CINTA YANG MENUNGGU
Mahathir seorang yang pemalu ketika muda, tidak begitu menggemari aktiviti luar. Dia lebih suka duduk di rumah, membaca. Hasmah pula mempunyai sisi romantiknya sendiri, bermain muzik dan menikmati suasana yang tenang.
Ada lagu-lagu yang dekat dengan hatinya.
Always.
Lagu-lagu lama, lagu cinta yang membawa kita kepada suatu zaman ketika cinta tidak perlu ditunjukkan kepada seluruh dunia.
Mereka juga menikmati waktu-waktu sederhana. Apabila bercuti, Mahathir membawa Hasmah ke Alor Setar untuk bertemu ibunya dan keluarga. Ada ketika mereka menyeberang ke Johor pada hujung minggu. Pada masa itu Mahathir mempunyai sebuah motosikal.
Bayangkan dua orang doktor muda, belum punya nama, belum punya kuasa, belum tahu apa yang menunggu mereka di hadapan — hanya dua anak muda yang sedang membina hidup.
Namun cinta mereka tidak terus membawa kepada perkahwinan.
Mereka menunggu.
Hasmah perlu menamatkan pengajian dan menjalani housemanship. Mahathir juga melalui perjalanan hidupnya membuka klinik MAHA.
Akhirnya, selepas hampir sembilan tahun sejak mereka pertama kali bertemu, mereka mendirikan rumah tangga pada Ogos 1956. Sumber rasmi dan laporan media pada 2026 menyebut tarikh perkahwinan mereka sebagai 5 Ogos 1956.
TIGA MALAM SEBUAH PERKAHWINAN
Perkahwinan mereka bukan sekadar satu majlis untuk selesai sehari. Adat Melayu pada waktu itu diraikan dengan penuh warna dan tertib.
Tiga malam.
Malam pertama, Hasmah mengenakan busana dengan benang emas, sanggul lintang yang tinggi dan besar untuk berinai besar.
Malam kedua, berpakaian tradisi India sari.
Dan malam ketiga, busana Barat untuk bersanding di atas pelamin.
Ibunya orang Melaka. Dalam memoirnya, Mahathir sendiri mengingati pakaian tradisional yang dipakai Hasmah sebagai pakaian yang dipengaruhi busana wanita istana Melaka, lengkap dengan sanggul lintang.
“Aku tak peduli, kau doktor atau tidak,” adat kena ikut, kenang Siti Hasmah tentang ibunya.
Beliau malah bergurau mengenainya bertahun-tahun kemudian.
Mas kahwinnya RM18. Hantaran pula, kalau berdasarkan ingatan Hasmah, sekitar RM1,000 — angka yang pada zaman itu bukan kecil.
Tetapi yang menarik bagi saya bukan jumlahnya.
Yang menarik ialah bagaimana sebuah perkahwinan yang bermula dengan adat, keluarga dan doa akhirnya berkembang menjadi sebuah perjalanan selama 70 tahun.
DOKTOR, ISTERI DAN IBU

Siti Hasmah bukan seorang wanita yang hanya berdiri di belakang suaminya. Sebelum dunia mengenal beliau sebagai isteri Perdana Menteri, beliau sudah mempunyai dunianya sendiri.
Beliau antara wanita Melayu terawal yang menjadi doktor perubatan. Dalam perkhidmatan kesihatan awam, beliau mencipta sejarah dalam bidang kesihatan ibu dan anak — menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak Kedah pada 1965 dan kemudian wanita pertama menjadi Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah pada 1974.
Bidang yang dipilihnya sangat dekat dengan kehidupan manusia.
Ibu. Anak. Kelahiran. Kesihatan. Kampung-kampung. Wanita-wanita yang mungkin tidak mempunyai suara besar tetapi mempunyai kehidupan yang perlu diselamatkan.
Menurut Yayasan Kepimpinan Perdana, ketika beliau berkhidmat sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah, kadar kematian bayi di negeri itu menurun dengan ketara, daripada 75 bagi setiap 1,000 kelahiran kepada 7 bagi setiap 1,000.
Dan mungkin di situlah kita benar-benar melihat siapa Siti Hasmah.
Bukan pada gelaran tetapi pada kerja.
MEREKA MEMBINA KELUARGA
Mahathir dan Hasmah akhirnya mempunyai tujuh cahaya mata — empat lelaki dan tiga perempuan, tiga daripada itu anak angkat.
Menjadi ibu pada zaman itu sambil menjadi doktor bukan perkara mudah. Kedua-duanya bekerja dan mempunyai tanggungjawab.
Ada malam mereka sama-sama bertugas. Ada ketika telefon di rumah berbunyi tanpa henti kerana kerja hospital dan klinik. Ada masa keluarga terpaksa memahami bahawa ibu dan ayah mereka bukan sentiasa boleh berada di rumah.
Dalam memoir A Doctor in the House, Mahathir mengakui bahawa Hasmah menguruskan keluarga ketika beliau sibuk dengan kerja, politik dan kemudian negara. Beliau menulis bahawa Hasmah dan anak-anak memahami bahawa apabila beliau menjadi Perdana Menteri, banyak masa beliau bukan lagi milik keluarga.
Itulah satu lagi sisi seorang wanita yang jarang kita lihat.
Di belakang seorang lelaki yang memegang jawatan besar, sering ada seseorang yang memastikan kehidupan kecil di rumah terus berjalan.
Anak-anak membesar. Rumah tetap hidup. Makan malam tetap ada. Dan apabila seorang ayah tidak sempat hadir, seorang ibu belajar menjadi dua orang.
DI SISI SEORANG LELAKI YANG MEMILIH POLITIK
Apabila Mahathir masuk lebih jauh ke dalam politik, kehidupan Hasmah juga berubah.
Pada 1979, Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dan pada 1981, beliau menjadi Perdana Menteri. Selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003, Hasmah menjadi isteri kepada Perdana Menteri Malaysia.
Kemudian sejarah membawa mereka kembali ke Putrajaya apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi pada 2018. Dr Siti Hasmah kembali menjadi isteri Perdana Menteri.
Bagi sebuah keluarga, itu bukan perkara kecil. Tetapi Tun Hasmah melaluinya dengan cara yang sangat tersendiri. Beliau tidak cuba menjadi Mahathir. Beliau menjadi Hasmah.
Beliau hadir dalam majlis-majlis rasmi, dalam kerja kebajikan, dalam program kesihatan, dalam lawatan antarabangsa dan dalam banyak kegiatan masyarakat.
Tetapi dalam masa yang sama, beliau mengekalkan sesuatu yang sangat peribadi.
Muzik. Keluarga. Buku. Pembelajaran. Dan rasa ingin tahu terhadap kehidupan.
WANITA DAN KERJA KEBAJIKAN
Sepanjang kehidupannya, Siti Hasmah terlibat dalam pelbagai kegiatan berkaitan kesihatan, wanita, keluarga, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Beliau juga aktif dalam usaha kesihatan mental, pencegahan penyalahgunaan dadah dan isu wanita, termasuk mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1995.
Melalui BAKTI dan pelbagai pertubuhan yang dinaunginya, beliau menggunakan kedudukan dan pengalamannya bukan sekadar untuk menghadiri majlis, tetapi membawa perhatian kepada perkara-perkara yang mungkin tidak selalu mendapat tempat di hadapan.
Sebagai seorang doktor, mungkin pendekatan itu terasa begitu semula jadi baginya.
Kesihatan bukan sekadar tentang hospital dan ubat-ubatan. Ia pendidikan, pencegahan, penjagaan ibu dan anak, kesejahteraan keluarga dan peluang untuk mereka yang kurang bernasib baik menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Begitu juga dengan penglibatannya dalam pertubuhan yang berkaitan dengan orang kurang upaya. Di situ, peranan seorang penaung bukan hanya pada namanya di atas kertas. Ia juga tentang menggunakan suara dan kedudukannya supaya perhatian masyarakat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Kerana kadang-kadang sejarah terlalu mudah menjadikan wanita seperti beliau sekadar “isteri kepada seseorang”. Sedangkan kehidupannya sendiri sudah cukup besar untuk berdiri — sebagai doktor, pekerja kesihatan awam, ibu dan tokoh masyarakat.
MUZIK YANG TIDAK PERNAH MENINGGALKANNYA
Ada sesuatu yang saya sukai tentang Hasmah.
Di sebalik segala protokol, beliau mempunyai sisi yang sangat lembut.
Beliau seorang pemuzik.
Piano. Biola. Kemudian, ketika sudah berusia, beliau belajar bahasa Perancis dan mempelajari erhu pula — seolah-olah usia tidak pernah menjadi alasan untuk berhenti belajar.
Beliau menyukai muzik klasik dan lagu-lagu lama.
Come Back to Sorrento.
One Day When We Were Young.
Song of the Volga Boatmen.
Dan lagu-lagu P. Ramlee seperti Getaran Jiwa, Gelora dan Jangan Ditanya Ke Mana Aku Pergi.
Beliau juga mempunyai minat terhadap badminton dan pernah terus bermain sehingga usia yang jauh lebih lanjut daripada kebanyakan wanita seusianya. Mungkin kerana itu, apabila saya teringat kepada beliau, saya tidak mahu hanya melihat gambar rasmi.
Saya lebih suka membayangkan seorang wanita berusia yang masih boleh tersenyum apabila mendengar lagu lama, bermain biola, berbual tentang kehidupan dan masih mempunyai rasa ingin tahu untuk belajar sesuatu yang baharu.
Kerana usia mungkin mengubah wajah tetapi tidak semestinya mengubah jiwa.
RAHASIA SEBUAH PERKAHWINAN PANJANG
Tujuh puluh tahun adalah masa yang terlalu panjang untuk hanya disebut sebagai “bahagia”.
Dalam tujuh puluh tahun, pasti ada perbezaan pendapat dan masa sukar. Ada masa menunggu, ada marah dan diam, be cool. Dan ada masa seorang suami dan isteri terpaksa belajar menerima bahawa mereka tidak akan sentiasa melihat dunia dengan cara yang sama.
Mahathir pernah menulis tentang perbezaan kecil antara mereka — beliau seorang yang sangat menitikberatkan masa, sementara Hasmah terkenal dengan tabiat bersiap agak lambat.
Beliau menulis bahawa lama-kelamaan mereka belajar menyesuaikan diri dengan tabiat masing-masing.
Dr Siti Hasmah pula pernah menyebut bahawa kepercayaan dan cinta merupakan antara ramuan penting dalam perkahwinan mereka.
Bukankah begitu sebenarnya sebuah rumah tangga?
Bukan mencari manusia yang sempurna tetapi belajar hidup dengan manusia yang kita pilih.
DARI ALOR SETAR KE DUNIA
Ada satu sisi kehidupan mereka yang mungkin tidak selalu kita fikirkan.
Mereka bukan hanya hidup dalam dunia politik. Mereka juga mengembara.
Pernah ke Jepun pada tahun-tahun awal perkahwinan, ketika perjalanan ke luar negara masih menjadi sesuatu yang agak istimewa bagi rakyat Malaya.
Kemudian datanglah tahun-tahun sebagai pasangan pemimpin negara.
Hasmah mengikuti Mahathir ke pelbagai negara. Menurut Yayasan Kepimpinan Perdana, beliau akhirnya mengunjungi hampir setiap benua, termasuk Antartika.
Bayangkan seorang gadis dari Kampung Jawa yang suatu ketika dahulu masuk ke kolej perubatan sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang itu, akhirnya berdiri di banyak tempat di dunia.
Itulah perjalanan hidup.
Kita tidak pernah tahu sejauh mana Allah akan membawa kita.
SERATUS TAHUN
Pada 12 Julai 2026, Tun Dr Siti Hasmah genap 100 tahun.
Persatuan Wanita Islam Perihati dan Yayasan Kepimpinan Perdana meraikan ulang tahun tersebut dengan sebuah sambutan yang penuh bunga, muzik dan kenangan. Malah sebuah pameran khas mengenai kehidupannya turut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Julai 2026.
Saya masih teringat petang itu.
Cara beliau tersenyum.
Cara beliau bergurau.
Cara orang di sekelilingnya bercakap tentang beliau bukan seperti seorang tokoh yang jauh, tetapi seperti seseorang yang mereka kenali.
Dan saya fikir, mungkin itulah ukuran sebenar sebuah kehidupan. Bukan berapa banyak gelaran yang kita kumpul dan gambar kita masuk akhbar.
Bukan berapa ramai orang berdiri ketika kita masuk ke sebuah dewan, tetapi berapa ramai yang masih mahu datang apabila kita sudah tidak perlu memberikan apa-apa kepada mereka.
Pada petang itu, seorang wanita berusia 100 tahun masih bermain biola dan menyanyi bersamanya. Ada podcast yang ceria dan lucu, dengan soalan tentang kisah cinta dan pengalaman bersama orang tercinta.
Dan kami masih diberi kesempatan untuk meraikan beliau ketika beliau masih bersama kita.
PEREMPUAN DI SEBALIK GELARAN
Hari ini, apabila kita menoleh kembali kepada Tun Dr Siti Hasmah, saya tidak mahu hanya melihat seorang wanita yang hidup di sisi seorang pemimpin besar.
Saya mahu melihat seorang wanita yang mempunyai sejarahnya sendiri.
Seorang wanita yang memilih perubatan ketika tidak ramai wanita Melayu melakukannya. Seorang doktor yang bekerja untuk ibu dan anak. Seorang ibu kepada tujuh cahaya mata. Seorang isteri yang berjalan bersama suaminya melalui tujuh dekad kehidupan.
Dan seorang perempuan yang tetap mengambil berat tentang penampilan, pakaian dan cara membawa diri.
Perkara-perkara kecil seperti ini mungkin tidak masuk ke dalam buku sejarah. Tetapi bagi saya, perkara kecil itulah yang menjadikan seseorang manusia lebih dekat.
Kerana kita tidak hanya mahu tahu apa yang telah dicapai oleh seorang wanita.
Kita mahu tahu bagaimana dia menjalani hari-harinya.
Apa yang membuatnya tersenyum. Apa yang disukainya. Bagaimana dia bersama keluarga. Apa yang masih dilakukannya ketika usia sudah jauh meninggalkan zaman muda.
Mungkin di situlah makna sebenar Usia & Diri.
Usia mengambil banyak perkara daripada kita. Tetapi pada masa yang sama, ia juga memberikan sesuatu yang tidak boleh dibeli oleh wang atau dipelajari dalam sebuah buku — masa untuk mengenal diri sendiri.
Dan Tun Dr Siti Hasmah mempunyai seratus tahun untuk melalui perjalanan itu.
APA YANG TINGGAL
Seratus tahun membawa seseorang jauh melampaui pengalaman peribadinya. Ia menjadi sebahagian daripada ingatan sebuah keluarga. Sebahagian daripada perjalanan sebuah masyarakat. Dan, dalam kes Dr Siti Hasmah, sebahagian daripada sejarah sebuah negara yang berubah begitu banyak sepanjang hidupnya.
Saya lebih suka membayangkan seratus tahun itu sebagai helaian-helaian yang terkumpul.
Ada helaian seorang anak perempuan.
Helaian seorang pelajar.
Doktor muda.
Isteri.
Ibu.
Wanita yang berdiri di sisi seorang pemimpin. Dan akhirnya, helaian seorang wanita berusia seratus tahun yang masih membawa seluruh kehidupannya bersama.
Mungkin itu sebabnya kita tidak harus hanya bertanya berapa lama seseorang hidup.
Kita juga perlu bertanya:
Apa yang telah dilakukan oleh usia itu kepada dirinya?
Dan siapa pula dirinya setelah melalui semuanya?
Itulah yang ingin kita telusuri tentang Hasmah.
Seabad seorang wanita.
Dan di sebalik angka itu, masih ada seorang Hasmah yang pernah menjadi muda.
Saya sendiri pernah dua kali diterima ke kediamannya — pertama sebelum beliau menjadi isteri Perdana Menteri dan kali kedua pada awal pimpinan negara yang diketuai oleh suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mungkin kerana itu, kisah ini terasa lebih dekat kepada saya. Saya tidak mahu mengingatinya hanya melalui gelaran atau gambar rasmi. Saya mahu mengingatinya sebagai seorang wanita yang pernah saya temui. Seorang wanita yang pernah tersenyum, bergurau, bercerita dan menjalani hidupnya di hadapan kita.
Dengan ilmu.
Dengan keluarga.
Dengan cinta.
Dengan khidmat.
Dengan muzik.
Dan dengan bunga-bunga yang masih berbunga, walaupun musimnya sudah sampai ke penghujung.
Siti Hasmah telah pergi. Tetapi pemergiannya tidak benar-benar mengosongkan sebuah ruang.
Sebaliknya, ia meninggalkan terlalu banyak kenangan di dalamnya.
Dan mungkin itulah yang paling indah tentang sebuah kehidupan panjang: bukan kerana kita berjaya mengelak daripada masa, tetapi kerana kita sempat meninggalkan sesuatu yang membuat orang lain mahu berhenti seketika, menoleh ke belakang dan berkata—
Saya pernah mengenal wanita ini. Selamat jalan, Tun. Terima kasih kerana meninggalkan begitu banyak kenangan untuk kami simpan.
