EYE ME

Modern Timeless Essence

Menyingkap kisah-kisah yang saya ukirkan edisi Julai, saya tersenyum sendiri. Buah-buahan warisan yang semakin sukar ditemui. Seni tekad yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Kain-kain lama yang pernah menjadi kebanggaan dunia Melayu. Dan kemudian saya membawa kisah opah saya sendiri yang mempunyai mata yang luar biasa terhadap keindahan. Pada pandangan pertama, semuanya mungkin kelihatan seperti cerita tentang masa lalu. Tetapi bagi saya, ia sebenarnya cerita tentang masa hadapan.

Sering saya mengatakan bahawa saya mencintai warisan. Namun semakin menua, semakin saya sedar bahawa saya tidak pernah mahu hidup di dalam masa lalu. Saya hanya tidak mahu kehilangan perkara-perkara indah yang pernah lahir daripadanya. Mungkin kerana saya membesar melihat opah yang mempunyai cita rasa yang begitu tersendiri. Beliau dilahirkan kalangan kayangan, ayahnya orang pertama yang memilih kereta waktu itu, seorang pedagang yang rumah mereka menjadi pusat, malah tempat tinggal bukan sahaja anak beranaknya tetapi sepupu sepapatnya. Namun opah tidak sombong, begitu down to earth dan kesenian yang lahir semula jadi itu dikongsi bersama. Memiliki pakaian yang cantik-cantik, perhiasan yang unik, opah tidak pernah tamak dan senang berkongsi dengan saudara mara yang lain dan menghadiahkan kepada berkenan serta tidak mampu. Daripada cara beliau memilih kain, menyimpan pakaian dan menghargai sesuatu yang dibuat dengan baik, saya belajar bahawa gaya bukan sekadar tentang apa yang kita pakai. Ia adalah cara kita melihat dunia.

Hari ini, saya menyedari bahawa sebahagian daripada diri saya datang daripada warisan itu. Kecintaan terhadap fesyen. Seni. Kraftangan. Budaya.

Dan kecenderungan untuk sentiasa melihat sesuatu daripada sudut yang sedikit berbeza. Namun pada masa yang sama, saya juga tidak pernah menjadi seseorang yang menyukai sesuatu hanya kerana ia lama, atau antik.

Saya tidak mahu rumah saya terasa seperti muzium. Saya tidak mahu warisan disimpan sehingga tidak lagi disentuh. Dan saya tidak percaya bahawa menghargai budaya bermaksud kita perlu mengulangi segala-galanya seperti dahulu.

Jika saya menggayakan songket, saya akan memadankannya dengan cara yang mencerminkan diri saya hari ini. Saya menghias rumah dengan warisan lama, tapi saya akan mengimbangkannya dengan elemen kontemporari yang menjadikan ruang itu terasa hidup. Kerana bagi saya, keindahan berlaku apabila dua dunia bertemu. Yang lama memberi jiwa. Yang baharu memberi nafas.

Dan apabila kedua-duanya digabungkan dengan harmoni, lahirlah sesuatu yang terasa abadi tanpa pernah kelihatan ketinggalan zaman. Mungkin itulah sebabnya Woven Modern membawa tagline Modern Timeless Essence.

Kerana kami percaya bahawa warisan tidak perlu kekal beku dalam masa untuk dihargai.

Ia boleh berkembang. Ia boleh berubah dan boleh diberi interpretasi baharu waktu sama masih boleh mengekalkan jiwanya.

Jika kita mahu anak-anak dan cucu-cucu terus mencintai warisan, kita perlu membenarkan mereka menemuinya dengan cara mereka sendiri. Bukan memaksa mereka hidup dalam zaman yang telah berlalu sebaliknya mengajak mereka membawa keindahan masa lalu ke dalam kehidupan mereka hari ini. Kerana warisan yang benar-benar hidup bukanlah warisan yang hanya dipamerkan.

Ia adalah warisan yang masih dipakai. Masih digunakan. Masih diraikan. Dan masih memberi inspirasi kepada generasi yang akan datang. Tetapi kerana saya melihat keindahan dalam perkara-perkara yang mempunyai cerita, jiwa dan sejarah — lalu saya menterjemahkannya semula dalam bahasa hari ini. Bukan kerana nostalgia semata-mata. Bukan kerana mahu kembali ke zaman dahulu.

Semoga edisi ini mengingatkan kita bahawa masa lalu dan masa hadapan tidak perlu bersaing antara satu sama lain.

Kadangkala, perkara yang paling indah lahir apabila kedua-duanya berjalan seiring.

“Saya tidak mahu mewariskan sebuah muzium kepada generasi seterusnya. Saya mahu mewariskan rasa — dan kebebasan untuk mentafsirkannya mengikut zaman mereka sendiri.”

Dan yang paling penting, saya  tidak pernah melihat warisan sebagai sesuatu yang perlu dikekalkan dalam bentuk lamanya, sebaliknya warisan perlu cukup dihormati untuk dikekalkan jiwanya, dan cukup dicintai untuk dibenarkan berkembang.

Saya rasa itu sebenarnya falsafah yang sangat dekat dengan Modern Timeless Essence.

Bila anda selesai membaca Eyeme saya ini, saya harap anda tidak hanya berfikir tentang songket, tekad atau buah keranji.

Saya harap anda teringat seseorang. Seorang ibu. Seorang nenek. Seorang datuk.

Atau mungkin satu sudut rumah yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Kerana di situlah warisan benar-benar hidup. Bukan pada objeknya. Tetapi pada hubungan emosi yang kita masih simpan terhadapnya. Dan secara peribadi, saya rasa edisi Julai ini mempunyai benang merah yang sangat cantik:

Daripada Tekad Opah kepada Almari Opah, daripada kain kepada kraftangan, daripada warisan kepada masa hadapan — semuanya bermula dengan satu perkara yang sama: rasa.

Dan inilah warisan paling berharga ditinggalkan kepada saya. “Saya tidak mewarisi kain-kain Opah. Saya mewarisi cara opah melihat keindahan.”

Bagi saya, ayat ini layak menjadi jiwa keseluruhan edisi Julai WM. 

Related posts

Cinta yang Mengerti Jiwa

Wirda Adnan

Sayang, Sendu Yang Belum Hilang 

Wirda Adnan

Warkah Untuk Teman-Temanku

Wirda Adnan

Leave a Comment