EYE ME

Masa Mengubah Segalanya, Kecuali Nilai

“Masa tidak pernah berhenti berjalan. Yang berubah bukan hanya usia kita, tetapi cara kita melihat kehidupan.”

Di kampung, di rumah emak yang sudah lama tidak dikunjungi. Saya mencari sesuatu, almari baju emak yang masih teguh saya selongkar. “Mencari apa?” tanya kak Nah.

Manalah tahu dalam beberapa bungkusan yang dibalut emak, ada baju pengantinnya. Orang dulu kalau songket dibungkus cantik kerana tidak mahu benang emasnya rosak. Dan saya percaya emak memakai songket kerana majlis perkahwinan orang dulu-dulu terutama kalau kenduri yang pertama dibuat besar-besaran. Lagipun mengenangkan kenduri-kenduri anak Opah yang lain, seluruh kampung hadir dan paling kurang dua ekor lembu tumbang, berpuluh ekor ayam disembelih dan beberapa pokok kelapa juga ditebang untuk umbut sebagai sayur.  Saya boleh bayangkan kenduri kahwin mak dan apak. Waktu sama, saya juga hendak mencari baju kebaya yang saya bayangkan dipakai emak sewaktu ke padang menyambut Hari Kemerdekaan pertama negara, tempat darah keturunan ini, yakni Malaysia.

Yang saya jumpa akhirnya terselit sebuah album gambar, album saya sendiri di bahagian paling tinggi di almari yang di sebelahnya. “Eh, di sini rupanya kamu ya?”

Di beranda, saya leka membelek satu persatu gambar, dan kenangan jauh membawa saya pada satu masa. Wajah-wajah yang suatu ketika dahulu memenuhi pejabat, bilik editorial dan pentas peragaan. Ada yang masih bersama kita. Ada yang sudah pergi meninggalkan kenangan. Ada juga yang kini hanya hidup dalam helaian gambar yang semakin pudar warnanya.

Lalu saya tersenyum sendiri. Betapa banyak yang telah berubah.

Saya membesar dalam sebuah Malaysia yang dikelilingi sawah padi, ladang getah dan pokok-pokok kelapa. Kami mengenal musim menuai, menghitung rezeki daripada hasil bumi, dan belajar bahawa setiap sen datang daripada titik peluh.

Hari ini, cucu-cucu saya membesar dalam dunia yang sama sekali berbeza. Mereka mengenali kecerdasan buatan sebelum memahami bagaimana surat ditulis dengan tangan. Mereka hidup dalam dunia tanpa sempadan, di mana ilmu berada di hujung jari dan perubahan berlaku hampir setiap hari.

Masa benar-benar mengubah sebuah negara. Daripada jalan tanah merah kepada lebuh raya. Mesin taip kepada komputer dan kamera filem kepada telefon pintar. Daripada ladang getah kepada pusat data dan daripada surat yang menunggu berhari-hari kepada mesej yang tiba dalam beberapa saat.

Saya juga melihat bagaimana masa mengubah dunia fesyen.

Suatu ketika dahulu, fesyen ialah tentang kemewahan yang dipamerkan. Hari ini, ia lebih banyak berbicara tentang identiti, kelestarian, ketukangan dan nilai. Jenama yang benar-benar bertahan bukan semata-mata kerana logo atau harga, tetapi kerana kisah dan warisan yang dibawanya.

Begitu juga dengan keluarga.

Dulu, malam-malam kami diisi dengan perbualan di beranda rumah. Atau di ruang tamu dengan satu peti televisyen yang sizenya kecil dan ditonton satu keluarga, kalau anak 10 orang berasak-asak lah dalam ruang tersebut.  Duduk bersila sopan, depan mak ayah, siapa berani duduk cara tak senonoh? Atau mendengar radio yang di letak tinggi di atas almari, berkumandang tanpa seorang pun anak berani menukar ke saluran lain kecuali sang ayah yang menukarnya.

 Hari ini, setiap orang mungkin memegang telefon masing-masing. Di bilik anak-anak sudah tersedia big computer screen atau laptop, mereka boleh saksikan apa sahaja tanpa sesiapa pun mengganggu, tengoklah Piala Dunia sehingga jam tiga pagi membawa ke subuh. 

 Namun  apapun ceritanya, kasih sayang tidak pernah berubah. Pelukan seorang ibu masih memberi ketenangan yang sama. Gelak tawa cucu masih menjadi muzik yang paling indah di telinga seorang nenek.

Dan saya sendiri? Masa turut mengubah saya.

Daripada seorang wartawan muda yang mengejar tarikh tutup, kepada seorang editor yang belajar memimpin. Daripada mengejar kejayaan kepada lebih menghargai makna. Daripada sibuk membina kerjaya, kepada memahami bahawa legasi sebenar bukan apa yang kita miliki, tetapi apa yang kita tinggalkan dalam hati orang lain.

Apabila usia semakin bertambah, kita mula sedar bahawa masa bukan musuh. Masa ialah guru yang paling jujur. Ia mengajar kita menerima kehilangan tanpa kehilangan harapan. Mengajar kita bahawa kejayaan tidak datang dalam sehari. Ia mengajar kita bahawa setiap kegagalan sebenarnya sedang menyediakan kita untuk menjadi lebih kuat.

Mungkin itulah hadiah terbesar yang diberikan oleh masa.

Bukan kedutan di wajah tetapi kebijaksanaan bagi membezakan antara apa yang penting dan apa yang hanya sementara. Sayugia, saya percaya kehidupan ini bukan tentang menahan perubahan. Perubahan akan tetap berlaku. Yang menjadi pilihan kita ialah sama ada mahu berubah bersama masa atau membiarkan masa meninggalkan kita.

Kerana masa mengubah manusia. Masa mengubah keluarga. Masa mengubah negara dan masa juga mengubah fesyen. Saya ketawa melihat abang,  bapa saudara dan sepupunya memakai bell bottom dipadankan dengan skirt ketat. Senyum melihat rambut afro mereka macam sarang tabuan. Suka melihat gambar emak-emak saudara dan sepupunya dalam Saloma retro styles dan berkebaya ala Saloma.

Kenangan datang dan pergi. Dan yang paling diharapkan ialah kasih sayang yang abadi seisi keluarga sehingga mati. Peribadi tinggi, berbudi kepada bumi serta bersyukur atas segala kurniaanNya. Bahawa walau sejauh mana kita melangkah ke hadapan, akar yang baik akan sentiasa mengingatkan kita dari mana kita bermula.

Itulah warisan sebenar yang patut kita tinggalkan.

Related posts

Merdekakah Kita?

Wirda Adnan

Saya Dan Sosial Media

Wirda Adnan

This Is Wirda

Wirda Adnan

Leave a Comment