EYE ME

Bila Tiba Masa Mohon Derma…

“Ingat bahwa orang yang paling bahagia bukan orang yang mendapatkan lebih banyak, tetapi mereka yang memberi lebih.”

Mahani, Nora dan saya ter’semput’ seketika. Syarikat yang kami amat berharap menaja dalam skala yang agak besar sudah membuat keputusan, yakni tidak menyertai penajaan malam amal ‘The Cloth Concert’ yang kami sebenarnya begitu mengharapkan sangat. Dengan penajaan mereka dijangkakan banyak usaha amal dapat dijalankan oleh Persatuan Veteran RTM (PVRTM). (Baca rencana khas Mahani Awang – bulan Oktober bertajuk ‘Dana Diperlukan Oleh PVRTM dan di keluaran September Fesyen dan Irama Bersatu Di Pentas PVRTM.The Cloth Concert yang akan berlangsung pada 22.10.22.)

Bagaimana kami terbabit? Secara ringkasnya kami terkesan dengan nasib sebahagian besar ahli-ahli PVRTM, ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang lembab, ditambah dua tahun PKP, kebanyakan mereka hilang sumber pendapatan. Lebih memilukan banjir besar yang melanda tanah air, dan sebahagian besar mereka juga yang menerima musibahnya. Diberitahu kebanyakan ahli adalah pekerja tidak berpencen, dan apabila pendapatan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pun tersangkut, sokongan persatuan teramat diperlukan. Ada yang dikatakan tiada tempat berteduh malah terdapat gelandangan di kalangan mereka. Ada yang amat memerlukan bantuan perubatan kerana terlantar sakit dan sebagainya. 

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali daripada bisikan-bisikan orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan kedamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.” (an Nisa:114)

Saya jarang dalam keadaan begini, sayu dan pilu. Bukan kerana kehilangan seseorang tetapi mengenangkan beberapa peristiwa yang buat tidur malam saya tidak lena. Dua bulan sudah kami memberikan tumpuan untuk menjayakan majlis, beratus email dan panggilan telefon dihantar kepada kenalan (yang bahasa orang sekarang mereka orang ‘have-have’). Tidak, kami tidak mendekati mereka yang kami sedia maklum tidak berkemampuan. Tetapi yang kami jejaki adalah mereka yang kami tahu hidup senang lenang. Yang bisnes mereka tidak terkesan kerana PKP malah di saat ekonomi negara hampir tumbang, mereka berdiri teguh. 

Mereka yang kami dekati, yang berderet kereta-kereta mewah di porch rumah mereka, yang kami cari untuk menjadi penaja utama, penaja bersama, pembeli meja-meja yang berharga RM3,000, RM5,000, RM10,000, RM20,000 juga adalah yang bling-bling emas dan berlian tebal di badan. Yang para isteri mereka punya puluhan tas tangan mewah, yang selama ini menunjukan kemewahan mereka, yang selama ini sering mewar-warkan suka menderma, dan kononnya mengimpakkan sebahagian besar daripada wang ke arah kebajikan.

Ya yang Allah curahkan rezeki besar untuk mereka, yang kami harapkan mereka inilah yang dapat menyumbangkan seribu dua untuk kesejahteraan individu-individu yang malang ini.

Tetapi apakah sekadar mencanangkan sahaja, cakap tak serupa bikin, kerana apabila individu-individu ini didekati, terlalu banyak alasan yang diberikan. “Syarikat kami tidak menyumbang dalam bentuk wang ringgit. Kalau hendak taja yang lain, dalam bentuk sokongan bolehlah.” 

“Syarikat kami tidak amalkan menyokong majlis-majlis berbentuk hiburan. Syarikat kami ada pusat-pusat tahfiz, dan badan-badan tertentu, regret we are unable to support them this time.”  “Regret, you all datang lewat, kami telah salurkan bantuan ke tempat lain.” 

(Waktu inilah saya terutamanya dapat merasai apa yang dirasai oleh sang peminta sedekah, kerana dikecewakan). “Kecil hati I, bila mereka minta tolong, I tidak pernah hampakan, tetapi bila tiba masa kita mohon sesuatu (bukan pun untuk diri sendiri) individu-individu ini ‘bersembunyi’ dan talian terus dimatikan.” Kata Nora. Apa pula jawapan kawan you Mahani, “Not this time Mahani, we have given to another charity that is closer to our heart.”  

“Pada sang-sang individu yang selalu canang memberi bantuan sana, bantuan sini, antara kata meluat, “kami tidak ada dalam negeri waktu itu.” Dalam hati, saya menjawab, “Tak pe tak de dalam negeri waktu itu, beli sahaja meja dan sedekahkan kepada mereka yang teringin nak duduk sama dewan dengan Permaisuri Selangor yang menjadi penaung Konsert amal berkenaan.”

Dan mereka yang teringin melihat secara live persembahan penghibur kesayangan mereka Anuar Zain dan Ning Baizura misalnya. Tidak mengapa jika sibuk dan tidak dapat hadir, tetapi masih menyumbang untuk memberi orang lain keseronokan. Malah mendapat dua ganjaran, satu menderma kepada tabung dan kedua, menderma kepada orang teringin dan berharap sangat untuk hadir tetapi tidak berkemampuan. Mungkin inilah masa meja-meja yang berharga yang makan sedap, dan merasa menjamu mata melihat persembahan live penyanyi dan peragawati di pentas meraikan pakaian ciptaan pereka terkenal negara. Dan ciptaan ini sesungguhnya dibuat khas untuk tatapan tetamu malam itu. 

Barangkali inilah masa terbaik warga B40 khasnya merasai nikmat yang selama ini hanya dirasakan oleh orang kayangan sahaja. Kerana pada warga B40 sememangnya dalam kamus mereka tidak akan ada hari untuk hadir pada majlis seumpama ini.

Firman Allah S.W.T’ Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

Mahu diingatkan, sesungguhnya banyak sekali balasan yang Allah berikan kepada golongan yang gemar memberi (bersedekah). Diriwayatkan daripada hadis at-Tirmidzi, “Sedekah itu dapat menghapuskan sebagaimana air itu memadamkan api.” 

Dan bersedekahlah kamu sekalian, kerana sesungguhnya sedekah itu pemisah dari neraka. Baginda Rasulullah bersabda, “jauhkan dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) sebutir kurma.’

At Thabrani memberitahu, Nabi SAW bersabda, sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang Mukmin akan bernaung di bawah bayang-bayang sedekahnya.

Kawan, jangan kamu sesekali bimbang akan berkurangya rezeki kerana memberi sedekah kepada orang lain. Sesungguhnya dengan bersedekah akan meluaskan dan membukakan pintu rezeki kepada kita kerana Allah S.W.T berjanji, tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah kecuali bertambah bertambah dan bertambah.”

Dan tahukah kamu, bersedekah boleh memanjangkan umur, mencegah kematian yang buruk dan Allah akan menghalang diri kamu daripada bersifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.

‘Dan apabila anak cucu Adam itu mati, maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah, anak yang soleh yang memohn ampunan untuknya (ibu dan bapanya).  
Jom kawan-kawan, masih ada ruang untuk anda memberi demi menjayakan majlis amal cetusan idea penaungnya sendiri. Ingat,  “We make a living by what we get. We make a life by what we give.”

Related posts

Kawan, Aku Sedih. Kamu Tidak Kenal Aku Rupanya…

Wirda Adnan

CINTA DADDY

Wirda Adnan

You Gotta Have Style

Wirda Adnan

Leave a Comment