EYE ME

Rakyat Mahu Bebas

‘Sebagai anak merdeka, aku sangkakan negara akan terus aman dan kita bersama-sama akan menikmati pertumbuhan ekonomi, supaya dapat diagihkan sama rata, supaya anak cucu dapat terus hidup maju. Hari ini apa yang kita nampak adalah kian hari kian malap, kian hari kian tersungkur kita-kita yang tidak punya kuasa, yang hanya mencari wang menggunakan kepandaian ilmu yang ada. Benar, kelembapan ekonomi menambah kepada tingginya indeks pengangguran. Anak-anak kita yang tamat pengajian yang mengharapkan untuk berdikari terpaksa lagi duduk di bawah bumbung ibu bapa, itu pun kalau bumbung mereka tidak tiris dan dimakan anai-anai. Ayah ibu yang ingat mereka boleh tidak lagi membanting tulang empat kerat, nampaknya terpaksa terus bekerja sehingga tua dan sehingga tidak berupaya lagi bergerak.’

Petikan di atas adalah daripada rencana saya (EYEME OGOS 2020).

Ya, setahun sudah berlalu, kita sangkakan keadaan ekonomi negara akan bertambah baik. Kita sangkakan 2021 akan memberi lebih sinar, kita sangkakan tidaklah lagi kita dipaksa lockdown dan terperap menghadap empat dinding rumah sahaja, anak-anak dapat ke sekolah, ke kolej, ibu ayah meneruskan kerjaya dan kita semua bisa meraikan hidup seperti selalu. Yang ibu ayah di kampung tidaklah lagi kerinduan menunggu kepulangan anak, yang mahu mengutip durian, mengait manggis dan rambutan di kebun masing-masing dapatlah merasa rezeki daripada hasil tanaman. Yang ingin menziarahi pusara orang yang dicintai, dapatlah menaburkan bunga dan menyedekahkan al fatihah, dan yang mahu berpergian ke tempat-tempat peranginan boleh lah menghilangkan stress di sana.

Yang hendak berkenduri kendera, dapatlah merasa kemeriahan mengahwinkan anak, dapatlah bertemu saudara mara dan sahabat handai, dapatlah  sang perancang perkahwinan, si designers, jurusolek, juru dandan, jurukamera mencari makan. Dapatlah pengantin baru bepergian berbulan madu.

Yang hendak beribadah di rumah Allah boleh sahaja pergi bila-bila masa, setiap waktu, bukan menunggu giliran untuk ke situ. Bukan terpaksa menunjukkan kad ‘my Sejahtera’ dua dos baru boleh masuk masjid. Bukan sahaja yang umur-umur tertentu sahaja yang dibenarkan beribadah. Habis orang muda tidak boleh ke masjid, dan yang tua tidak boleh solat di masjid?

 Yang lama merindui menjejak kaki di tanah suci, bisa bepergian, jika pun di sana sudah sedia memberikan visa, tetapi di sini dibatasi untuk ke luar negeri, aduh jiwa ini bertambahlah sepi. “Hidup tanpa kebebasan seperti tubuh tanpa roh,” kata Khalil Gibran. Sayugia semua hanya tinggal angan-angan, duduk rumah lagi nampaknya sehinggalah ke akhir 2021 dan apa akan terjadi seterusnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Yang pasti kerajaan yang ada sekarang gagal menangani virus Covid-19 yang semakin menganas, yang telah meragut  nyawa seramai 10.019 (4 Ogos 2021) dan angka positif covid sahaja keseluruhan mencecah 1,224,595. Hari ini 6/8/21 jumlahnya pula ialah 20,889. Angka terus meningkat, ekonomi menjunam, politik negara terus bergolak, bercakaran, tuduh menuduh, hentam menghentam, kutuk mengutuk, keji mengeji, segala macam fitnah dilemparkan, segala macam cara dilakukan untuk kekal menerajui negara dan yang di sebelah sana tidak kurang menyebut angka untuk menumbangkan yang berkuasa tetapi begitulah… hanya menang sorak, kerusi tetap tidak beralih. Dan katak diumpan untuk melompat. MasyaAllah, rasuah menjadi-jadi.

Enam puluh empat tahun Malaysia sudah Merdeka? Merdekakah kita?

Malang, kemerdekaan kita terbatas, kebebasan untuk bergerak sana sini tersekat, kebebasan bersuara juga menjadi kesalahan yang boleh mengheret ke bilik tahanan dan untuk bebas bersyarat dengan ikat jamin. Sekatan di sana sini. Anak muda yang hilang punca keluar membawa sepanduk, (memang tidak wajar dalam keadaan wabak si virus menganas kamu pula senang hati keluar beramai-ramai, ingat! Virus tidak mengenal siapa kamu.) “Tetapi diam di rumah berbulan-bulan juga kata si anak muda, angka positif, angka kematian terus menjulang naik, maka ‘alright’lah kami beramai-ramai bersuara supaya didengari. Kami mahukan perubahan, kami mahukan tindakan, kami mahukan kepemimpinan yang lebih bijak menangani segala permasalahan negara. Kami bukan mahu Timbalan Perdana Menteri, kami bukan mahu melihat lagi seorang lagi penasihatan bertaraf Menteri, semua itu kami tidak mahu. Apa yang kami mahu adalah keadilan, kemakmuran, keamanan, pemimpin yang peduli masalah rakyat, kami mahu PM yang bijak dan menteri-menteri yang bukan cuma hendak mengukuhkan kerusi mereka sebalik yang bergerak pantas mengukuhkan kementerian masing-masing agar ekonomi negara terancang dengan baik dan pantas mencapai matlamat negara maju. Kami mahu pekerjaan yang menjamin masa depan kami. Kami mahu meneruskan hidup di dalam negara yang aman dan maju.

Apa yang kami nampak hari ini, semakin ramai yang mati dijangkiti Covid-19, yang bunuh diri kerana tekanan, tanah perkuburan yang tidak henti-henti digali lagi dan lagi setiap hari, sudah sendat dan nanti hendak dikebumi di mana lagi? Frontliners sudah ada yang tersungkur tidak sanggup lagi menghadapi tugas yang perit lagi membahayakan diri. Dan sudah ramai yang tidak sanggup lagi meneruskan bakti, memilih untuk berhenti. Sudah ada yang meninggal dunia dalam usia menyelamatkan orang lain. Hospital sudah tidak menerima pesakit, ambulan sudah tidak cukup. Apa lagi? Alat pernafasan tidak mencukupi, ramai juga yang ditidurkan, Allahuakbar.

Ribuan rakyat hilang punca pendapatan dan ribuan terpaksa menadah tangan bagi meneruskan hidup seharian mereka.

Rakyat jelata menderita.  Sebagai rakyat di negara yang merdeka, kami tidak mahu melihat percakaran terus berlaku. Hentikan perebutan kuasa, hentikan permainan politik kotor, hentikan dahyah membodohkan rakyat, hentikan tikam menikam, hentikan rasuah. Hentikan! Hentikan. Kembalikan kepada yang berhak untuk memerintah negara, berikan kepada mereka yang bijak pandai mengemudi negara.  

Kami mahu bebas. Kami mahu semua rakyat Malaysia bersatu di bawah satu payung keamanan dan kemakmuran.  Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara ke 64.

Related posts

Sebuah Kisah dan Teladan

Wirda Adnan

You’re Beautiful

Wirda Adnan

Saya Dan Sosial Media

Wirda Adnan

Leave a Comment