Melancong

PERLIS: MENGAPA PERMATA INI BELUM CUKUP BERSINAR?

Kampung Warna Warni

 Saya pernah menyusuri terusan di Amsterdam dan melihat bagaimana laluan air yang suatu ketika dahulu dibina untuk tujuan perdagangan kini menjadi antara tarikan pelancongan paling ikonik di dunia.

Saya pernah berdiri di tebing Sungai Seine di Paris, memerhatikan bot-bot pelancong yang membawa pengunjung menikmati sejarah, seni bina dan kehidupan sebuah kota yang memahami nilai warisannya.

Saya juga pernah melihat bagaimana New Zealand mengangkat tasik, gunung, lembah dan hutan menjadi pengalaman yang begitu tersusun sehingga alam semula jadi bukan lagi sekadar pemandangan, tetapi sebuah industri yang menggerakkan ekonomi negara.

Saya pernah melihat bandar-bandar kecil di Eropah yang hidup kerana mereka memahami nilai apa yang dimiliki.

Dan ketika saya berdiri di Perlis, melihat senja yang perlahan-lahan melabuhkan tirainya di Kuala Perlis, menyaksikan ketenangan Tasik Timah Tasoh, menyelusuri laluan air yang membelah bukit batu kapur di Kampung Wai serta menikmati kehijauan sawah yang terbentang sejauh mata memandang, saya tidak dapat mengelakkan satu persoalan.

Mengapa permata ini masih belum bersinar seperti yang sepatutnya?

Kerana jika diukur pada keindahan, Perlis tidak pernah kekurangan apa-apa. Yang masih belum dimaksimumkan ialah bagaimana keindahan itu diterjemahkan menjadi pengalaman yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada setiap pengunjung yang datang.

Perlis tidak perlu menjadi Amsterdam.

Perlis tidak perlu menjadi Paris.

Perlis juga tidak perlu menjadi New Zealand.

Perlis hanya perlu menjadi versi terbaik dirinya sendiri.

Negeri Kecil Dengan Aset Yang Besar

Apabila berbicara tentang Perlis, ramai akan terus mengaitkannya dengan Harum Manis.

Memang benar, Harum Manis adalah kebanggaan negeri ini. Setiap kali musimnya tiba, ribuan pengunjung datang semata-mata untuk menikmati aroma dan rasa yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana varieti mangga lain. Namun Perlis sebenarnya menawarkan jauh lebih banyak daripada itu.

Tasik Timah Tasoh mempunyai pemandangan yang mampu menyaingi destinasi alam semula jadi terkenal di rantau ini.

Wang Kelian menawarkan panorama bukit batu kapur dan kehijauan hutan yang begitu mempesonakan.

Gua Kelam menyimpan sejarah geologi yang unik.

Kuala Perlis menghadiahkan pemandangan matahari terbenam yang begitu indah sehingga sukar dipercayai ia masih belum menjadi antara lokasi sunset paling terkenal di negara ini.

Dan kemudian ada Kampung Wai. Sebuah lokasi yang membuatkan saya tertanya-tanya mengapa ramai orang tidak mengetahuinya. Di sini, pengunjung berpeluang menaiki beca bermotor yang dihias ceria, menyusuri kawasan desa yang tenang berlatarkan sawah padi sebelum menaiki bot atau berkayak melalui laluan air yang dikelilingi bukit batu kapur.

Perjalanan melalui terowong yang gelap dan panjang itu memberikan pengalaman yang unik dan sukar dilupakan. Ketika berada di situ, saya tidak melihat apa yang kurang pada alamnya. Saya melihat apa yang masih boleh ditambah pada pengalamannya.

Pelancong Datang Untuk Pengalaman
Terowong Kampung Way

Inilah perbezaan antara destinasi yang cantik dan destinasi yang berjaya.

Keindahan menarik perhatian. Pengalaman membuatkan orang kembali. Di banyak destinasi pelancongan terkenal dunia, perkara yang paling diingati oleh pelawat bukanlah pemandangannya semata-mata. Sebaliknya bagaimana mereka dilayan. Bagaimana cerita disampaikan. Bagaimana perjalanan itu membuatkan mereka merasa sebahagian daripada tempat tersebut.

Pemandu bot bukan sekadar mengemudi bot. Mereka menjadi pencerita.

Penarik beca bukan sekadar membawa penumpang. Mereka menjadi duta budaya.

Petugas pelancongan bukan sekadar pekerja. Mereka menjadi wajah pertama sesebuah destinasi.

Bayangkan jika di Kampung Wai, setiap pemandu bot memakai uniform yang kemas dengan identiti Perlis. Bayangkan jika setiap penarik beca mengenakan pakaian batik negeri yang direka khas. Bayangkan jika sepanjang perjalanan, mereka berkongsi kisah tentang sejarah kawasan, bukit batu kapur, budaya tempatan dan kehidupan masyarakat setempat.

Pasti, perjalanan yang indah akan menjadi pengalaman yang luar biasa.

Perkara Kecil Yang Membawa Makna Besar

Kadangkala kejayaan sesebuah destinasi tidak bergantung kepada projek bernilai jutaan ringgit. Ia bermula dengan perkara-perkara kecil.

Tandas awam yang bersih. Gerai yang tersusun. Papan tanda yang jelas. Kawasan rehat yang selesa. Tempat letak kereta yang teratur. Latihan hospitaliti kepada petugas. Konsistensi dalam penyelenggaraan.

Perkara-perkara ini mungkin kelihatan biasa, tetapi inilah yang menentukan sama ada pelawat akan pulang dengan kenangan indah atau sebaliknya.

Apabila seseorang pelawat berkongsi pengalaman mereka di media sosial, mereka bukan hanya berkongsi gambar. Mereka berkongsi bagaimana mereka merasa ketika berada di sana.

Perlis Yang Belum Diceritakan Sepenuhnya
Bot nelayan di Kuala Perlis

Dalam perbualan saya bersama rakan yang turuf sama dalam Kembara Utara kami, mereka yang telah banyak mengembara ke luar negara, Datin Nazliah Hamid anak kelahiran Perlis, dan satu ketika punya Agensi Pelancongan sendiri, akuinya banyak juga perubahan semenjak dia meninggalkan Perlis puluhan tahun yang lalu untuk menetap di Kuala Lumpur, namun waktu sama masih banyak yang boleh diterokai dan dinaik taraf, katanya. Sementara Dato’ Jamaiyah Yusuf, yang sudah tamat perkhidmatan sebagai duta, negara terakhirnya sebelum bersara ialah Mexico, sebelum itu di Brazil dan Senegal, dengan hobinya kini melancong ke destinasi dunia, berkongsi pandangan yang sama, Perlis negeri kaya keindahan namun tidak diterokai seluas dan sebaiknya.

“Perlis adalah sebuah negeri yang unik namun terlalu sedikit orang yang mengetahui apa yang sebenarnya dimilikinya,” saya mencelah dalam perbualan santai kami sambil makan laksa. (Satu lagi panggilan kuat untuk ke Perlis, tapi inilah masalahnya, bila laksa yang baru dihidangkan itu kuahnya hanya suam, mana enaknya kuah laksa tak pana, frust sungguh!).

Benar masalahnya bukan pada produk. Masalahnya ialah cerita tentang produk itu belum sampai kepada khalayak dengan lebih luas.

Hari ini ramai yang mengenali Padang Besar kerana membeli-belah. (Itu pun kami agak kecewa kerana hampir setiap kedai menjual produk sama; pakaian yang sama, buah yang sama, pes-pes sama, adoi masuk empat kedai, semua sama, tak tahu nak beli apa lagi.)

Sungguh, berapa ramai Malaysia yang mengetahui tentang Tasik Timah Tasoh? Berapa ramai yang pernah mendengar tentang pengalaman menyusuri laluan air di Kampung Wai? Berapa ramai yang mengetahui bahawa antara pemandangan matahari terbenam yang paling indah di Malaysia boleh disaksikan di Kuala Perlis?

Kadangkala sesuatu destinasi tidak memerlukan tarikan baharu. Ia hanya memerlukan cerita yang lebih baik.

Sudah Tiba Masanya
Sawah Padi yang menghijau pastinya menjadi tarikan pelancong ke Perlis

Perlis berada pada kedudukan yang unik. Ketika dunia semakin mencari destinasi yang tenang, asli dan tidak terlalu sesak, Perlis sebenarnya memiliki semua ciri tersebut.

Inilah masanya untuk melihat semula potensi yang ada. Bukan dengan membina sesuatu yang baharu semata-mata. Tetapi dengan memperkukuhkan apa yang telah sedia ada.

Dengan memperhalusi pengalaman pelawat. Dengan melatih mereka yang berada di barisan hadapan pelancongan. Dengan memperindahkan kemudahan awam. Dengan menceritakan kisah Perlis kepada dunia dengan lebih yakin.

Kerana hakikatnya, Perlis tidak kekurangan keindahan. Perlis tidak kekurangan tarikan. Perlis tidak kekurangan identiti. Yang masih diperlukan hanyalah keberanian untuk mempercayai nilai yang sudah dimilikinya. Dan apabila itu berlaku, negeri terkecil di Malaysia ini mungkin akan menjadi antara destinasi yang meninggalkan kesan paling besar dalam hati para pengembara.

“Perlis tidak memerlukan keajaiban baharu. Keajaiban itu sudah lama wujud di sini. Pada Harum Manis yang harum, pada tasik yang tenang, pada senja yang melabuhkan tirainya di Kuala Perlis, pada gua yang menyimpan sejarah berjuta tahun dan pada kampung-kampung yang masih memelihara jiwa Malaysia yang sebenar. Yang diperlukan hanyalah visi untuk menjadikan semua itu sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.” — Wirda Adnan

Related posts

Scoot ke Khazanah Tersembunyi di Asia

adminwm

Terokai Tradisi SPA dan Penyembuhan yang Abadi di Pamukkale

adminwm

4 Tempat Unik untuk Dijelajahi di Malaysia Musim Cuti ini!

adminwm

Leave a Comment