KUALA LUMPUR: Hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2019.
KUALA LUMPUR: Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati dalam tempoh Januari hingga Disember 2020, sebanyak 1,080 kes cubaan bunuh diri dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM. – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
KUALA LUMPUR: Statistik merangkumi 2.3 peratus rakyat negara ini berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri. KUALA LUMPUR: Kajian NHMS pada 2017 juga mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan trend bagi prevalen idea bunuh diri iaitu 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.
Menyebut penyakit mental tentu ramai bimbang kerana menganggapnya satu gejala sukar ditangani dan berakhirnya satu kehidupan. Lebih menakutkan, bilangan kes membunuh diri meningkat dari hari ke hari kerana bermasalah mental dan dengan kehadiran pandemik Covid-19, tentulah memburukkan lagi keadaan sedia ada.
Penyakit mental sebenarnya boleh berlaku pada sesiapa dan bila-bila masa saja atas pelbagai sebab. Selain tekanan kehidupan seperti kehilangan pekerjaan, putus cinta, mengalami penyakit kronik dan hilang keyakinan diri serta berasa tiada harapan untuk satu kehidupan yang sempurna atau normal seperti orang lain mengakibatkan kemurungan akut.
Kemurungan yang melampau dan tidak dibendung selepas mengalami sesuatu kegagalan atau kekecewaan membuat mereka yang bermasalah hilang semangat dan fokus dalam hidup, lebih menyedihkan apabila ada yang mengambil keputusan untuk mengakhiri hayat mereka dengan membunuh diri. Data menunjukkan masalah masyarakat berkaitan mental akan menjadi lebih buruk dengan faktor-faktor tambahan khususnya Covid-19. Hari ini ramai yang kemurungan kerana terkesan dengan pandemik sama ada diberhentikan kerja atau dipotong gaji, dan seperti yang kita maklum, sejumlah besar peniaga kecil dan sederhana (sme) juga peruncit terpaksa gulung tikar, sementara itu ada pula
mendapati bekerja dari rumah amat membebankan, banyak kekangan dan tidak begitu produktif bagi sesetengah pekerjaan.
Ramai tidak menyedarinya, dalam masyarakat kita ramai menghadapi masalah kesihatan mental di peringkat awal seperti was-was, kebimbangan melampau yang membuat mereka kemurungan. Tekanan berterusan memberi kesan terhadap keupayaan individu untuk bekerja, hilang motivasi, tiada keyakinan diri untuk mengekalkan hubungan dan untuk meneruskan kehidupan mereka.
Ekoran daripada faktor-faktor tadi, timbul pula kes-kes berkaitan seperti keganasan domestik termasuk perbalahan dalam rumah tangga yang parah, penderaan dan kes perceraian yang kian meningkat. Keadaan ini bukan sahaja dialami di Malaysia malah setiap negara di dunia, khususnya negara maju yang mencatatkan peningkatan begitu membimbangkan.
Menyedari perlunya sokongan kepada mereka yang menghidap penyakit mental, Persatuan Sokongan Pesakit Melankolia Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Melancholia Patient Support Association (KLMePSA) ditubuhkan. Menurut Pengerusinya Datin Zam Zainuddin, hasratnya adalah untuk menjadikan ia sebagai platform membantu mereka yang terkesan dan untuk membawa perubahan dalam pemikiran masyarakat; menghapuskan stigma serta tanggapan negatif yang sering diberikan kepada pesakitnya.
Walaupun hasrat untuk menubuhkan satu kumpulan kerja bagi menangani hal ini telah sekian lama tersemat di hati dan dibuat secara senyap, namun beliau belum mahir tentang selok-belok perkara ini dan tidak pasti bagaimana harus dimulai.
Ikuti pengalaman Datin Zam dan AJKnya merencanakan usaha mereka, dan bagaimana beliau terpanggil untuk menubuhkan KLMePSA?
Segalanya bermula dengan satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang tidak dikenalinya. Rintihan dan luahan hati wanita tersebut membuat beliau tidak mampu melelapkan mata pada malamnya, apatah lagi tidur lena kerana tidak dapat melupakan kata-kata wanita tersebut.
“Saya hanya mampu menasihati dia dan mohon agar dia bertenang dan bersabar,” kata Datin Zam. “Malam esoknya kami berbual lagi, tanpa saya sedari kami berbual hampir ke subuh. Saya tiada jawapan segera untuk dia pada ketika itu, saya juga tiada pengalaman atau ilmu bagaimana menanganinya tapi saya tahu, saya perlu terus mendengar rintihannya. Itu saja yang mampu saya lakukan.”
“I never thought how much a lending ears can do… not until, that very day,” tegasnya, “Beberapa hari kemudian saya jemput dia datang ke rumah saya dan ternyata, tindak balas saya telah berjaya menambat hati dan membuka mindanya untuk meneruskan dan melihat kehidupan dengan positif. Hari ini Alhamdulillah, keadaan dia semakin baik.” Sebelum peristiwa ini, beliau juga pernah mengalami saat getir apabila sahabat baiknya Lesley Douglas, seorang jururawat yang bertugas di Hospital Bath membunuh diri dengan terjun dari tingkat 10 kerana mengalami penyakit
schizophrenia pada 1991. Peristiwa ini telah memberi kesan yang mendalam kepadanya dan membuat beliau berazam untuk berbuat sesuatu.
Tegas Datin Zam lagi, apabila berada dalam kekalutan seperti itu, mereka ini perlu rasa dirinya dihargai dan disayangi. Mereka perlu tahu ada yang sudi mendengar rintihan mereka dan ambil peduli. Itu pun sudah cukup untuk melegakan beban yang ditanggung. Yang penting mereka tahu mereka tidak bersendirian.
Stigma Penyakit Mental Dan Usaha Mendidik Masyarakat
Pada pandangan beliau, selain pentingnya usaha menyokong pesakit dan orang terdekat di sekitar mereka yang terkesan, kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap penyakit tersebut haruslah jelas. Stigma pesakit mental yang sering dikaitkan dengan ‘gila’ harus dihapuskan.
“Di Barat masyarakatnya tidak berasa kekok atau malu menyebut yang mereka sedang mendapat rawatan atau berhasrat untuk berjumpa pakar sakit jiwa. But here, let alone going to see a psychiatrist, they won’t even mention or discuss about it… takut nanti orang kata mereka gila,” pintas Datin Zam yang lebih 15 tahun tinggal di United Kingdom mengikut suami bertugas.
Di situlah beliau banyak belajar bagaimana penyakit ini diterima baik oleh masyarakat sekeliling sebagai satu masalah yang bukan sahaja perlu dirawat malah memerlukan sokongan moral di semua peringkat.
Penyakit mental adalah ‘Penyakit Masyarakat’ yang perlu dibendung bukan sahaja ahli keluarga tetapi memerlukan bantuan masyarakat sekeliling. KLMePSA telah pun mengenalpasti tentang perkara ini dan sedar bagaimana ia penting dibendung supaya usaha seterusnya boleh dijalankan dengan lancar dan berjaya.
Memandangkan pentingnya pendidikan dan kesedaran tersebut, KLMePSA menubuhkan satu jawatan kuasa kecil khas yang bertujuan mengendalikan aktiviti dan program-program berkaitan supaya kempen kesedaran yang dianjur berjaya dan berkesan.
“Awareness campaign is vital,” tegas beliau, “Walaupun menangani masalah mangsa adalah keutamaan, namun ahli keluarga mangsa dan orang terdekat mereka juga sebenarnya perlu diambil peduli. Kerana bukan mudah menangani pesakit mental dan ahli keluarga atau mereka yang terbabit juga sedikit sebanyak boleh terkesan dengan tekanan.”
Demi kelestarian usaha yang dijalankan, KLMePSA akan terus giat dengan aktiviti mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak lagi memandang serung kepada pesakit mental dan menerima penyakit ini sebagai satu penyakit yang boleh dirawat dan bukan sesuatu yang berbahaya dan berjangkit. Sambil itu KLMePSA akan teus tegar memberi sokongan mental, moral dan apa jua bentuk bantuan untuk orang terdekat mereka.
Kekangan
Dengan keadaan dunia yang bermasalah dan ekonomi yang sedang meleset, perbelanjaan bagi menangani penyakit pula bukan murah atau tidak semudah yang dilihat. Secara purata seseorang pesakit mental atau kemurungan memerlukan ratusan hingga mencecah ribuan ringgit bagi mendapatkan rawatan yang sempurna.
“Bagi setiap sesi rawatan bermula daripada RM250 dan tertakluk kepada jenis penyakit mental yang mereka hadapi,” jelas Datin Zam Zainuddin. “Itu untuk satu sesi rawatan dan belum lagi termasuk ubat-ubatan yang perlu diambil, biasanya dalam jangka masa yang agak panjang. Bayangkan apabila ini terjadi kepada ahli keluarga kumpulan B40. Bagaimana agaknya harus mereka tanganinya?,” tanya Datin Zam bimbang dan menyeru masyarakat agar menghulurkan bantuan.
Bantuan yang beliau maksudkan boleh dihulurkan dalam pelbagai bentuk misalnya dari segi moral, fisikal, ilmu juga kewangan bagi yang mampu. Bukan semua orang mampu untuk membantu dengan wang ringgit tapi cukup sekadar memberi sokongan moral. Misalnya seseorang itu boleh saja menjadi tempat untuk berhubung atau untuk mereka mencurahkan perasaan dan masalah. Selain itu mereka yang berilmu dan punya latar belakang serta berpengalaman berkaitan, boleh menyertai pelbagai aktiviti motivasi dan terapi yang bakal dianjurkan KLMePSA. “Saya menyeru masyarakat agar membuka minda dan faham betul-betul penyakit yang sedang melanda dunia ini. Bagi saya mereka bukan sahaja boleh menghulurkan bantuan dan sokongan bersama KLMePSA tetapi di mana-mana persatuan atau pertubuhan lain yang memerlukan sukarelawan dan bantuan.”
Datin Zam juga turut berkongsi, walaupun KLMEPSA baru mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) namun ia telah pun aktif hampir dua tahun dengan menjalankan kegiatan-kegiatan seperti perbincangan dan aktiviti sokongan secara senyap dan kecil-kecilan.
“Kami sempat mengadakan beberapa perjumpaan dan aktiviti bersama individu dan kumpulan lain termasuk satu sesi bersama mereka yang terkesan. Menariknya kami juga mendapat sokongan yang baik daripada individu dan masyarakat amnya,“ tambah beliau, “Misalnya penghujung 2019 kami telah menganjurkan satu aktiviti bicara bersama pesakit, bekas pesakit dan beberapa orang sukarelawan.” Bagi menjayakan sesi tersebut KLMePSA bernasib baik mendapat sokongan Dato Chef Ismail. Beliau bukan sahaja menaja Restoran Rebung sebagai tempat acara, malah membantu secara moral dan menyuarakan hasratnya untuk menyokong usaha KLMePSA di masa mendatang.
Dari kiri atas: AJK KLMePSA, kunjungan hormat di pejabat Senator Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba binti Mohd Radzi dan mesyuarat Zoom bersama Dato’ Hussamuddin Yaacub, Editor Pengurusan Sinar Harian dan merupakan pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
Namun begitu, apabila berlakunya wabak pada Januari 2020, beberapa kegiatan yang telah rancang oleh KLMePSA tergendala. Kegiatan-kegiatan tersebut menurutnya adalah untuk menggalak perbincangan yang berbentuk “out of the box” and ‘Open-up drive’, yang merupakan kempen kesedaran dan aktiviti yang menjurus kepada kesejahteraan umum dan memupuk daya tahan menangani stres di kalangan masyarakat khususnya kumpulan B40 dan kawasan yang high density atau berketumpatan tinggi.
Program Pemulihan Inklusif
“Setiap program dan aktiviti perlulah inklusif. Apa yang saya maksudkan, program pemulihan yang dirancang untuk mereka yang menghadapi masalah mental perlulah menyeluruh yang melibatkan dan mengambil kira sokongan semua pihak daripada peringkat keluarga, masyarakat dan badan komuniti setempat selain sokongan pihak berkuasa.” Datin Zam juga menyeru kepada ahli keluarga terdekat dan jauh, masyarakat sekitar agar menunjukkan rasa empati dan elak sikap memandang serung apatah lagi bersikap menghakimi. Setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab
masing-masing dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakatnya. Ramai orang tidak sedar, mereka yang tidak sehat mentalnya, menghasilkan masyarakat yang tidak sihat.
Itu sahaja cara yang beliau lihat berkesan dan boleh membantu pesakit dan semua yang terbabit juga masyarakat. Hanya pendekatan ini mampu menghasilkan kesan berterusan dan lestari dalam kehidupan pesakit. Apabila pulih mereka boleh bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat sambil mereka mendepani cabaran-cabaran mendatang dengan lebih yakin dan seterusnya boleh berjaya.
Dalam pada itu, beliau yakin pihak media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tepat dan membangun, bukan yang negatif. Dalam hal ini masyarakat katanya diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa untuk tidak merekod video atau menyebarkan gambar mangsa yang membunuh diri misalnya.
“Manfaatkan penggunaan teknologi maklumat dengan cara bijak dan berkesan. Misalnya bagi mengekalkan hubungan dengan individu terbabit serta memberi galakan sosial seperti menghasilkan satu chat group yang dipantau dan menghantar hanya pos-pos yang berunsur motivasi serta ceria, kata-kata semangat, mungkin juga kata-kata hikmah dari sudut keagamaan. Melalui chat group seperti Whatsapp misalnya bolehlah diadakan aktiviti harian yang menyeronokkan, tips urusan seharian dan macam-macam lagi.”
Peranan netizen juga penting dan mereka perlu disedarkan setiap pos yang mereka hantar, mereka bertanggungjawab ke atas risikonya. Perlu elakkan salah tafsir kerana foto dan video yang tidak dipantau boleh mengelirukan fahaman terhadap kesihatan mental. Akibatnya mereka yang terkesan malu ke hadapan, tidak mendapat rawatan hingga menjurus kepada tindakan yang lebih berat seperti bunuh diri.
“Hal-hal sebegini yang harus kita tangani dan cuba hindari untuk mengelak pesakit berasa malu bagi mendapatkan bantuan segera. Seperkara lagi masyarakat perlu dididik dengan ilmu budi bicara,” jelasnya. “Supaya membolehkan mereka melayani pesakit atau mereka yang punya simtom menjurus kepada permasalahan mental dilayani sewajarnya dan dihargai dalam masyarakat. Lebih lagi apabila mereka telah mendapatkan rawatan dan kembali ke dalam kehidupan normal.”
Aktiviti dan Perancangan KLMePSA
Beberapa aktiviti telahpun dirancang hingga akhir tahun 2021. Oleh kerana kekangan SOP yang ketat dan tidak menentu bila berakhirnya, persatuan telah menyenaraikan beberapa aktiviti yang dibuat secara maya.
Selain itu menurut Datin Zam lagi, antara aktiviti yang bakal diteruskan persatuan termasuk mengadakan kumpulan sokongan dan terapi melalui beberapa pendekatan termasuk daripada pendekatan keagamaan, khususnya Islam, dan bengkel. Begitupun kelangsungan dan kejayaan setiap program dan semua perancangan katanya, banyak bergantung kepada kekangan PKP, namun demikian pihak
KLMePSA akan berusaha sedayanya untuk menjalankan sebanyak mungkin aktiviti yang terancang.
Berikut adalah senarai aktivit dan program KLMePSA:
- Pertandingan Penulisan Kreatif – Esei/Puisi Berkaitan Kes Penyakit Mental
- Bualbicara Zoom bertajuk ‘Mental Health in an Unequal World‘ seperti mana tema yang telah diwar-warkan untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober 2021 dan yang telah dirasmikan oleh Presiden WFMH, Dr Ingrid Daniels pada Mach 2021.
- Larian Maya KLMePSA Sempena Hari Malaysia pada Septemebr 2021
- Program Sokongan Bersama Media, Kumpulan Karangkraf yang merangkumi bualbicara, kempen kesedaran dan tips pengetahuan berkaitan penyakit mental termasuk aktiviti dan program sokongan khusunya kaunseling/bualmesra dari sudut keagamaan.
- Larian Maya KLMePSA Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober 2021.
- Ikuti Siri 2 yang bakal menghuraikan antara tanda-tanda dan amaran awal yang setiap orang perlu dan mungkin menyelamatkan nyawa yang bakal melayang.
- KLMePSA juga mengalu-alukan sukarelawan untuk menjadi ahli dan menyertai aktiviti serta program yang dianjurkan. Sila hubungi Pn Khadeja binti Ishak di talian 017 – 525291 atau Puan Tan Chu Lan di talian 013 – 3993905.
Nota: Bersambung. Bulan hadapan Mahani Awang akan menemui anda lagi dalam rencana bertajuk ‘Tanda dan Amalan Awal Penyakit Mental’. Jangan lupa terus melayari majalahwm.com dan berikan komen serta bantu ‘share’ pada kawan-kawan, agar ramai lagi beroleh maklumat terkini mengenai penyakit mental ini khasnya.