Setibanya Syawal, ramai akan berasa puas kerana telah selamat menyempurnakan tuntutan ibadah berpuasa. Selain itu Syawal juga dinanti-nantikan kerana sepanjang bulan tersebut ramai akan mengambil peluang menziarahi saudara mara dan kenalan sambil menikmati hidangan istimewa yang disediakan.
Beraya tahun ini bakal memberi seribu makna kerana sekian lama tidak dapat beraya seperti lazimnya kerana pandemik. Dengan kelonggaran SOP yang diumumkan pihak berkuasa, ia telah menyemarakkan semangat masyarakat khususnya yang beragama Islam untuk merayakannya dengan lebih menyeronokkan lagi.
Begitupun seronok dan ghairah untuk meraikan, janganlah pula kita lupa, walaupun SOP kian longgar, kita harus patuhi peraturan yang masih berkuatkuasa seperti memakai pelitup muka juga jarak bila berada di kawasan dan ruang yang tertutup. Selain SOP, ada satu lagi perkara penting perlu anda pastikan; jangan lupa adab sopan dan tertib bertamu!
Teringat pesan arwah Mak ketika kami adik-beradik kecil-kecil dulu, “Pergi rumah orang, jangan terkinja-kinja macam kera, makan jangan berterabur, bila ambil makanan jangan sampai penuh pinggan, ambil apa yang diberi saja dan jangan minta itu ini!”
Bila kami dah dewasa, ayatnya lain pula, “Mata jangan merayau, mulut tu jangan bertanya macam-macam. Takut kalau-kalau seronok mengomel tersalah cakap hal-hal yang tak patut.” Arwah memang prihatin hal-hal sebegitu dan selalu cakap, jangan samapi tuan rumah tidak selesa kalau tetamu masuk pintu terus mengomel tanya macam-macam, terus masuk ke dapur jenguk itu ini. Kalau ke rumah saudara mara dekat atau kawan rapat yang memang dan biasa macam keluarga tidak mengapa tapi kalau tidak biasa eloklah hadkan di ruang tamu dan ruang makan saja.
Hari ini selain mematuhi syarat SOP, seperkara yang paling penting juga untuk diingatkan kala berkunjung ialah menjaga adab sopan dan mengawal segenap deria. Mungkin ramai yang mengatakan itu hal remeh yang semua sudah tahu, namun apa salahnya jika kita imbas sepintas lalu checklist ‘Adab Bertamu’ berikutnya supaya tingkah laku kita sempurna dan tip-top.
1. Hormati Tuan Rumah – Beri salam bila tiba dan masuk hanya apabila dijemput.
Mungkin anda mahu bawa sedikit buah tangan seperti kuih kegemarannya atau boleh saja buah-buahan. Ia tidak wajib tapi manis ada buah tangan sebagai tanda penghargaan dijemput. Terpulang pada budi bicara anda.
Ada pendapat mengatakan bila kita sudah minta izin untuk masuk dan diizinkan masuk, sebelum tuan rumah membuka pintu, berdirilah di sebelah kiri atau kanan pintu. Ini bagi menjaga kehormatan tuan rumah, lagi sekiranya tuan rumah berada dalam situasi yang kurang selesa baginya untuk melayan terus tetamu.
Ini juga adalah antara kelaziman yang dilakukan Nabi SAW kala baginda berziarah. Satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Bisyr r.a, sewaktu baginda menziarahi rumah orang, baginda tidak berdiri di hadapan pintu, sebaliknya baginda berdiri di sisi kiri atau kanan pintu lalu mengucapkan salam. Ini kerana pada ketika itu, rumah-rumah belum dilengkapi dengan pintu/tirai.
2. Duduk di Tempat Yang Disediakan – Sekiranya sudah mendapat izin untuk masuk ke dalam rumah, tunjuklah hormat dengan duduklah di tempat atau ruang yang tuan rumah tunjukkan, hormatilah permintaannya dan duduk di ruang tersebut.
3. Kawal Deria – Jaga Mata, jaga mulut dan semua deria termasuk juga anggota badan –
Mata jangan meliar kala masuk ke rumah orang, mungkin anda seronok melihat deko dalamannya tetapi pastikan jangan berlebihan meninjau barang-barang yang ada di dalam rumah tersebut. Bila bercakap pilih perkataan dan perkara yang baik-baik saja dan cakap sesuatu yang menggembira dan menyeronokkan tuan rumah.
Anggota badan juga antara yang perlu dikawal pergerakannya; Jangan usik itu ini, bergeraklah dengan perlahan dan tertib untuk bangun atau kala mengambil hidangan. Jangan pegang-pegang barang hiasan di dalam rumah tersebut kecuali tuan rumah bercerita tentangnya dan mahu kita menyentuhnya.
4. Jangan Kritik Makanan dan Tidak Dihabiskan- Ini satu kelaziman yang memang kita selalu dengar bila bertandang ke rumah saudara mara atau kawan-kawan. Bila makan, ada saja nak komen seperti tak enak lah, kualiti makanan atau minuman yang dihidangkan tidak sesuai dan macam-macam. Hormati dan kasihanilah tuan rumah yang telah bersusah-payah menyediakan juadah untuk tetamunya. Apa yang mereka hidangkan adalah mengikut citrasa dan kemampuan masing-masing. Jadi janganlah biadab memberi komen negatif.
Dalam peradaban Islam pula, menurut Abu Hurairah r.a, baginda Rasulullah SAW tidak pernah memperlekeh sesuatu makanan tetapi baginda akan terus makan jika menyukainya dan meninggalkan ia jika tidak menyukainya.
Sebab itu juga dinasihati supaya mengambil makanan sedikit dulu dan jika suka barulah tambah. Jangan ambil banyak kemudian tidak dihabiskan. Tidak kisahlah hidangan itu sedap atau tidak, pastikan anda habiskan apa yang anda ambil.
5. Jangan Berziarah Terlalu Lama – “Ehh! Tak pe inikan Raya, jangan balik lagi,” janganlah percaya kata-kata sopan daripada tuan rumah jika anda sudah berada di rumahnya lebih dua jam. Itu sekadar adab sopan dan budibicara saja.
Pada masa kini yang mana SOP masih berkuatkuasa jadi tuan rumah selalunya menjemput tetamu berperingkat-peringkat dan sekiranya ada waktu yang ditetapkan dan tertera di dalam jemputan, pastikan anda mematuhinya. Misalnya pastikan anda datang tepat pada waktu dan mintalah diri sebaik-baiknya paling lewat 10 minit dari waktu yang ditetapkan. Ini membantu dan memberi ruang kepada tuan rumah melayan tetamu mereka dengan lebih selesa dan tenang malah tidak melanggar arahan SOP
6. Jangan Pakai Pakaian Yang Menjolok Mata – Bagi tetamu, bukan sahaja terhad kepada yang beragama Islam, pakaian biarlah sopan. Masa kini ramai anak muda yang gemar mengikuti trend fesyen begitupun janganlah terikut-ikut hingga mengenepikan hukum syarak dengan pakaian yang mendedah tubuh dengan potongan yang ketat.
Inilah gaya sopan dan mengikut tuntutan Islam kala bertandang di rumah terbuka atau menziarahi saudara mara.
7. Bantu Hanya Perlu – Sekiranya anda tetamu terawal yang tiba, tuan rumah tidak menggunakan khidmat caterer, dan nampak sibuk menyiapkan juadah dan peralatan meja, mungkin anda boleh menawarkan untuk membantu. Namun jika tuan rumah nampak ‘berkeras’ tidak mahukan bantuan anda, mungkin anda patut mematuhinya.
8. Jaga Tertib Anak-anak – Mak juga selalu pesan, kalau bertamu, bukan kita saja yang harus menjaga peradaban tetapi pastikan juga anak-anak yang kita bawa diajar bagaimana menjaga tertib mereka sebaik memberi salam. Selain memastikan anak-anak juga menjaga SOP, elakkan anak-anak makan atau minum sambil berjalan-jalan, pastikan mereka tidak merayau ke segenap ruang rumah atau membelek-belek barang perhiasan. Jangan biar anak-anak terumanya masih kecil mengambil makanan sendiri kerana bimbang tertumpah atau berkecah.
Sebelum keluar rumah, pesan anak jangan buka paket duit Raya depan tetamu lain apa lagi mengira dan membandingkan isi paket lain di khalayak ramai. Ini bukan sahaja menunjukkan kanak-kanak tersebut kurang beradab malah mencerminkan kepribadian ibu bapa mereka juga yang tidak sensitif.
Lumrah kanak-kanak mereka aktif dan seronok kala menerokai ruang baru, tapi ibu bapa harus sentiasa mengawasi dan menegur lembut anak-anak yang aktif. Jangan juga biarkan anak-anak buat bising ketika berada di dalam rumah orang, jangan berlari-lari, melompat-lompat, memanjat kerusi, main dengan menekan-nekan punat atau menukar channel tv misalnya.
Pastikan anak-anak tidak menjerit-jerit, mengacau itu ini atau kanak-kanak lain. Antara lain yang tidak patut anak-anak kita lakukan bila bertamu ialah membuka peti ais, masuk ke bilik atau masuk di mana-mana ruang dalam rumah tersebut.
9. Jangan Makan Selagi Tidak Dipersilakan Makan oleh Tuan Rumah
ini adalah sifat yang amat memalukan. Masuk sahaja ke dalam rumah, dan di meja terhidang, anda terus mengambil tempat duduk. Sedang si tuan rumah menguruskan tetamu lain untuk makan bersama, anda telah pun makan sebelum tuan rumah mempersilakan anda makan. Barangkali tuan rumah ada atur caranya, mungkin memulakan bacaan doa atau mahu membuka upacara dengan sepatah dua kata. Jangan tunjukkan anda lapar sangat sehingga tuan rumah terkedu dibuatnya.
10. Jangan Kerana Anda Bayar Anda Ada Kuasa
Seperkara lagi, ada juga majlis berkumpul atau makan-makan dibuat di rumah salah seorang daripada kumpulan. Maka tetamu ‘pot luck’, masing-masing membawa makanan sendiri, atau majlis sedemikian adalah majlis ‘berbayar’ kerana tuan rumah hanya menyediakan ‘venue’ sahaja bukan makannan. Jangan kerana anda bayar anda ada ‘kuasa’ untuk makan bilamana belum dijemput untuk makan dan lebihan makanan anda bungkus dan bawa balik (tanpa pengetahuan tuan rumah) kerana anda juga membayar. Tolong jaga adab dan tatasusila. Saya berada di satu majlis (bukanlah majlis rumah terbuka, tetapi majlis harijadi kawan, dan semua tetamu yang datang mencarum untuk majlis itu.) Ya betul awak bayar tetapi tunggu upacara bermula… supaya semua makan sekali. Jangan biadap dan kata “heh aku pun bayar, so what?”
10. Bawa Buah Tangan, Bukan Bawa Balik – Ada sesetengah orang gemar membawa pulang makanan malah ada juga meminta untuk membawa pula. Sekiranya saudara mara dan teman rapat ini adalah perkara biasa dan ramai tuan rumah memang melayan permintaan ini. Begitupun sekiranya rumah yang kita kunjungi itu adalah bos di tempat kerja, orang yang baru kita kenali atau kenalan sosial.
11. Mendoakan Kebaikan Kepada Tuan Rumah – Berapa kali agaknya anda ingat untuk mendoakan terbaik buat tuan rumah?Sambil beredar keluar rumah danselepas dilayan dengan baik oleh mereka, jangan lupa mendoakan kebaikan buat mereka seisi keluarga yang telah menjamu kita dengan baik. Inilah ‘buah tangan’ terbaik yang harus kita hadiahkan setiap kali bertamu.
Antaranya doa yang mudah, “Ya Allah, berkatilah rezeki mereka, limpahkanlah rahmatMu kepada dan bahagiakan mereka sekeluarga dunia dan akhirat, dan ampunilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim). Ini satu lagi doa yang biasa dan mudah boleh anda praktikkan, “Ya Allah, berilah makanan kepada orang yang memberiku makan dan berilah minum kepada orang yang memberiku minum.” (Hadis Riwayat Muslim). Boleh rujuk kepada gambar di bawah.