
Undangan rumah terbuka mungkin datang dan pergi saban tahun meraikan Syawal, namun kalau anda antara yang bertuah menjadi tetamu untuk rumah terbuka sosialit, Noor Nabila atau Bella ini, pasti akan mengenanginya sebagai Rumah Terbuka Terbaik Aidilfitri 2026. Setuju?


Ia bukan sekadar kerana keindahan dekorasinya atau kemewahan menunya, tetapi kerana keikhlasan yang terpancar di sebalik majlis yang dianjurkan. Inilah yang dapat dirasai daripada sebuah rumah terbuka yang pada zahirnya tampak cukup gah, namun di hati tuan rumah, segalanya bermula dengan niat yang sangat sederhana.
“Honestly, dari awal plan pun, I tak terfikir pun nak nampakkan majlis itu gah atau meraih pujian orang. Dan, I memang tak expect orang akan react macam tu,” kongsi Bella penuh rendah diri.


Baginya, penganjuran majlis ini hanyalah untuk menghidupkan tradisi berkumpul, makan-makan bersama, sambil mengeratkan silaturahim dengan keluarga serta sahabat handai yang lama tidak bersua. Dan, Syawallah detik terbaik untuk menjernihkan hubungan, mendekatkan yang jauh dan meraikan yang terlupa.
Apa pun niat tuan rumah, tidak dapat tidak semua mata pasti menjeling-jeling dekorasi dan pemandangan keseluruhan lokasi majlis. Ditanya tentang idea tema tersebut, menurut Bella ia bermula dengan beberapa rujukan suasana yang diberikan kepada Reka Teemor, selebihnya adalah garapan ilhamnya sendiri. Hasilnya? Sebuah ruang yang memukau dengan sentuhan moden Moroccan Raya vibe — elegan, eksotik, dan cukup memukau pandangan. Setiap mata pasti terpana, setiap senyuman pasti terlirik.
Namun di sebalik estetika yang mempesona itu, suasana tetap terasa hangat dan intim, jauh daripada rasa kaku atau terlalu formal. Ia tetap kembali ke niat asal tuan rumah untuk menjadikan setiap tetamu bagai berada di kediaman sendiri. Selesa dan penuh rasa.
“Memang tujuan I buat untuk meraikan tetamu di sebuah majlis rumah terbuka, tiada apa-apa yang tersurat atau tersirat,” katanya sambil tertawa kecil.




Tetamu yang hadir terdiri daripada mereka yang dekat di hati: keluarga, sahabat rapat, kenalan lama, serta individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya. Tiada protokol berlebihan, tiada jurang, hanya hubungan yang diraikan dengan penuh tulus.
Siapa tidak kenal Bella yang sangat mencintai dunia masak-memasak dan ia jelas diterjermahkannya dalam majlis ini. Tuan rumah sendiri turun ke dapur, menyediakan hidangan istimewa yang membawa sentuhan peribadi ke suapan tetamu. Antara yang menjadi sebutan ialah Laksa Siam, Boat Noodles, dan Nasi Kerabu resipi Umi yang menjadi menu yang bukan sahaja enak, tetapi sarat dengan nilai sentimental buat keluarga mereka.



Pada masa yang sama, pilihan hidangan lain menampilkan gabungan cita rasa antarabangsa, daripada briyani yang harum, lamb skewers yang juicy, hingga shawarma yang menggoda selera. Sentuhan Mediterranean ini melengkapkan tema, menjadikan pengalaman menjamu selera terasa lebih eksklusif tanpa meminggirkan kehangatan rasa tempatan.
Di sebalik kemeriahan itu juga, terselit satu nilai yang lebih besar yakni berkongsi rezeki.
“I memang suka entertain orang, suka masak untuk family and friends. Dan kalau ada rezeki lebih, I percaya dengan amalan berkongsi dengan cara yang bermakna,” ujarnya.



Bagi beliau, majlis ini bukan sekadar sebuah perayaan meraikan tetamu sahaja, tetapi juga satu bentuk kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan vendor dan semua yang terlibat menjayakannya.
Oh, ada juga usik-usikan nakal yang berdesis, ”kalau open house pun dah gini, majlis kahwin Bella nanti macam manalah pula?”
Apabila ditanya tentang kemungkinan majlis perkahwinan yang bakal menyusul, beliau hanya tersenyum.
“Wedding is a different kind of moment… nanti bila sampai masa, baru I fikirkan betul-betul.”



Jawapan yang cukup menggambarkan keperibadiannya yang tidak tergesa, tidak berlebihan, dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
Diasak dengan persoalan bajet majlis tempoh hari? Bella tidak mahu mengulas panjang. Dibiarkan sebagai rahsia peribadi. Namun satu perkara yang jelas, bagi Bella, nilai sebenar sesebuah majlis tidak diukur pada angka.
“Apa yang penting semua tetamu I selesa, enjoy, and have a good time. Itu sudah cukup menggembirakan I.”
Dan mungkin di situlah terletaknya magis sebenar apabila kemewahan tidak pernah mengatasi keikhlasan, dan keindahan tidak pernah mengaburi tujuan. Sebuah rumah terbuka yang bukan sahaja gah pada rupa, tetapi juga besar pada makna.
