DONE, SEEN & HEARD

Mengenang Ramadan Kenapa Perlu Lebih Sepi?

Ramadan sudah berlalu dan Syawal juga tinggal sia-siakan. Pun begitu saya percaya rencana ini tidak akan basi dan menarik untuk saya kongsikan kepada pembaca majalahwm.com — Mahani Awang

Belumpun masuk Ramadan ramai telah menghantar pelbagai pesanan ringkas Whatsapp, Tik Tok, Twitter dan lain-lain, sekadar saling mengingati amalan-amalan baik untuk dipraktikkan bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Seperti yang semua umat Islam sedia maklum, telah dijanjikan oleh Allah SWT jika seseorang itu lakukan perkara-perkara baik sepanjang bulan mulia ini, pahala mereka itu digandakan daripada waktu-waktu lainnya.

Di antara banyak-banyak post yang menarik saya terima, kiriman daripada seorang teman bertajuk RAMADAN SEPATUTNYA LEBIH SEPI tulisan Abd Ghani Haron menggamit wacana minda. Awalnya saya tertanya-tanya, apa maksud penulis Ramadan sepatutnya sepi? Setelah membacanya barulah saya tahu. Walaupun ia agak santai tetapi mencuit hati untuk bertafakur sejenak dan mengimbau semula apa yang tersurat dan tersirat.


Begini permulaan tulisannya: Seorang siak masjid saya tanya, “Tak niaga di pasar Ramadan tahun ini?” Jawabnya, “Saya rugi banyak tahun lalu, bukan rugi duit, rugi peluang yang Allah beri. Rugi kerana menolong orang memuas nafsu makan.” Lalu penulis itu mengajak pembaca sama-sama mengulas jawapan tersebut secara santai namun lebih diperincikan membuat sesiapa yang membaca tersedar dan ingin jadikan ia sebagai tauladan dan sempadan.

Menyebut hal berbuka puasa, memang sejak muda kala menjadi wartawan dan editor sepanjang Ramadan kami sering diundang oleh para klien dan kenalan konteks kala bertugas untuk menjamu selera di hotel-hotel lima bintang. Sejak di tahun-tahun 80-an, 90-an dan hingga sebelum dilanda pandemik, acara jemputan berbuka puasa di hotel lima bintang, restoran dan di rumah-rumah juga menjadi kebiasaan dan begitu signifikan kala tibanya bulan penuh barakah ini.

Sejujurnya saya amat setuju dengan tegurannya, Ramadan patut disambut dengan hati yang bersih dan penuh tawaduk; dengan rasa rendah hati, insaf dan harapan menggunung untuk merebut peluang menebus dosa sementelah ganjaran pahala yang berlipatganda Allah SWT janjikan sepanjang bulan mulia itu, khususnya 10 hari-hari terakhirnya.

Kita juga tahu pada bulan Ramadan peluang untuk kita menebus dosa dan mencari pahala terbuka luas, namun begitu entah mengapa di akhir zaman ini sifat tawaduk menjadi satu ujian yang sukar buat kita untuk mengamalkannya. Seperti yang tersurat dalam karangan agungnya Kitab Ihya ‘Ulumiddin. Syeikhul Islam Imam al-Ghazali Rahmatullah ‘alaih yang mana antaranya menyebut adalah penting untuk menanamkan sifat tawadhu dalam segenap sudut kehidupan.

Tawadhu adalah akhlak yang sangat terpuji yang lahir dari jiwa orang bertakwa dan para Solihin. Sifat tawadhu akan melahirkan jiwa yang tenang, emosi yang seimbang, wajah yang bercahaya dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Taala, oleh kerana itulah karangannya itu dinamakan ‘Ihya’ yakni menghidupkan kembali fungsi ilmu dan ibadah bagi melahirkan manusia yang tunduk kepada Allah Taala dan tawadhu dalam kehidupannya lebih lagi kala bulan Ramadan yang mengunjurkan umat Islam lebih bersederhana dalam segala hal.

Begitupun entah mengapa ramai pula berebut-rebut mencari rezeki apabila tiba sahaja bulan barakah ini. Malah dua tiga bulan sebelumnya tiba Ramadan ada yang sudah bercengkang mata membuat persiapan untuk memuaskan nafsu yang menjadi halwa tekak dan mata. Bagi sesetengah ahli perniagaan, mereka merasakan ia tidak dapat dielakkan kerana inilah masanya mereka mencari rezeki apa lagi setelah dua tahun perniagaan mereka terganggu kesan pandemik.

Tidak tahu siapa harus dipersalahkan? Masyarakat yang sentiasa mencari dan dahagakan sesuatu yang baru atau pembekal yakni ahli peniaga yang kreatif dan tidak pernah jemu berusaha menghasilkan sesuatu yang baru dan segar baik untuk hidangan kala iftar mahupun dalam penyediaan pakaian dan juadah menjelangnya Syawal? 

Satu hal yang amat menyedihkan seperti cerita Wirda, yang kebetulan bazar Ramadan di jalan hadapan rumahnya. Di mana mereka bersolat? Sebelum Zohor sudah didirikan bazar, waktu Asar sibuk menjual, Maghrib berkemas. Bila masa tiga solat fardu ini sempat dilaksana sedangkan juga surau atau masjid jauh dari tapak? Dan Wirda mencadangkan kepada MPSJ atau mana-mana Majlis Perbendaran menyediakan ‘surau khas sementara’ untuk mereka menunaikan ibadah.

Malah untuk menyemarakkan lagi ‘Pesta Makan Ramadan’ banyak restoran gah dan hotel-hotel lima bintang menyediakan hidangan Buffet Ramadan yang hingga mencecah lebih 200 jenis makanan. Saya juga tidak terkecuali, dijemput berbuka puasa oleh seorang kenalan. MasyaAllah memang seronok. Tapi, Allahu Akbar! Apakah perlu hidangan sebegitu banyak untuk berbuka puasa? Hingga ada yang kelu dan tergamam untuk membuat pilihan. 

Berniaga itu sunnah dan digalakkan kerana sembilan  daripada 10 pintu rezeki datang daripada aktiviti berniaga tetapi perniagaan yang cenderung ke arah merosak amal kebajikan, dengan mengambil kesempatan atas nafsu dan memancing nafsu makan dari orang berpuasa, tentulah kurang elok dan jauh daripada etika berniaga mencari rezeki. Bukankah sepatutnya kita bersama mengekang nafsu? Kenapa bila Ramadan baru nak makan itu ini, nak meronda pasar Ramadan, sedangkan waktu bulan lain tidak pula begitu. Apakah ini semua semata-mata kerana nafsu?

Kita sering melihat Ramadan sebagai pintu rezeki sedangkan Nabi tidak menyebut sedemikian dan tidak menyuruh merebut rezeki yang kononnya melimpah-ruah di bulan mulia ini. Begitu ramai peniaga runcit makanan berebut-rebut mencari ruang tapak berniaga, nak buka pasar Ramadan, dan berniaga aneka juadah dan persiapan. Pendek kata, bila bulan Ramadan terhidanglah pelbagai jenis makanan yang unik yang tidak dijual pun pada bulan-bulan lain.

Hairannya sesetengah hanya memilih bulan Ramadan sahaja untuk berniaga. Apapun itu rezeki masing-masing malah ada yang terpaksa melakukannya dan mengambil kesempatan tersebut. Menurut ramai peniaga, inilah masa ambil peluang masyarakat terbuka hati untuk membeli-belah.

Tiada salahnya jika waktu itu menjadi punca rezeki bagi sesetengah orang dan amat dinanti-nantikan kedatangannya setiap tahun, begitupun pandai-pandai mengatur dan merencana setiap langkah dan aktiviti kehidupan harian agar ganjaran yang Allah janji dan Ramadan berlalu begitu saja dan sia-sia. Jadilah hamba dan umat yang bijak merebut ganjaran dunia dan habuan akhirat.


Ramadan sepatutnya menjadi bulan untuk kita berehat dan menumpukan kepada amal ibadat dan larikan diri dari merebut dunia. Puasa kita sepatutnya diisi dengan beramal seperti membaca Al Quran, berzikir, bertadarus dan sebagainya. Ia satu ibadat mengekang hawa nafsu; sepatutnya dikurangkan makan dan kuantitinya, tidak perlu berlebih-lebihan dari segi pilihan sebagai bukti kita cuba menentang hawa nafsu, bukan sebalikmya melayan tekak dan mata dengan berbagai juadah.


Tidak kurang juga ada yang melihat Ramadan sebagai bulan perayaan, maka mereka berebut dan bergelut dengan menyiapkan baju dan kuih Raya, membeli perabot baru, dan sebagainya sedangkan semua perkara ini tidak diberi penekanan langsung oleh Nabi SAW Tidak kira di mana, khususnya di pejabat orang sudah mula sibuk menempah kuih Raya, bila waktu rehat tengahari, pekerja merayau di pusat beli-belah mencari baju Raya dan barang perhiasan rumah.

Sedangkan semua itu tidak dituntut tetapi sebaliknya untuk kita mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadah siang dan malam. Ramadan adalah cara untuk melatih diri selama sebulan agar belajar erti beristiqamah dengan ibadat. Pastikan kita peruntukan wang untuk bersedekah jariah, memberi makanan berbuka kepada fakir dan orang berpuasa, bertadarus, menghidup malam-malam Ramadan khususnya 10 hari-hari terakhir dan sebagainya.

Dalam kata lain, janganlah dirosakkan Ramadan dengan budaya dan amalan yang yang bercanggah. Membakar mercun, bunga api, meriam karbait bahkan memasang lampu dan pelita yang berlebihan dengan fahaman Islam boleh bercanggah dan mencemar kesucian Ramadan.

Sesetengah berpendapt memang elok kita ketepikan aktiviti tersebut. Budaya membakar mercun dan meriam adalah budaya Cina untuk menghalau hantu, budaya pasang pelita adalah mirip budaya Hindu. Ramadan sepatutnya sunyi kerana orang sibuk dengan beribadah di masjid, surau dan di rumah, bukannya meriah dengan letupan, bunga api. Ramadan sepatutnya bulan yang emosional kerana kita dituntut beribadat, menghisab diri, memohon ampun dan sebagainya. Hari Raya bukan disambut dengan nyanyian, tetapi disambut dengan pujian kepada Allah.

Bertadarus antara amal ibadah yang dituntut di bulan mulia ini.


Bahkan Nabi bersabda yang bermaksud, “Akan datang kepada kamu Ramadan, ucapkan selamat datang kepadanya.” Buktikan anda bersedia menyambut Ramadan dan Ramadan tahun ini akan lebih sepi kerana kita sibuk dengan ibadat.  MARHABAN YA RAMADAN!

Related posts

FENOMENA ‘ALAMAK RAYA LAGI’

Mahani Awang

DONE, SEEN & HEARD/Mahani Awang

admin

What Another Year Of Extreme Horror After 2020!

adminwm

Leave a Comment