GAYA HIDUP

Silent Beauty Pressure-Daripada Polaroid ke Dunia Yang Terlalu Sempurna

Saya masih ingat saat itu, ya dengan sangat jelas.

Kami berkumpul rapat di set—sunyi seketika, seolah-olah semua orang menahan nafas. Jurufoto Bustamam Moktar menekan shutter, dan beberapa saat kemudian, sekeping gambar kecil keluar perlahan dari kamera Polaroid.

Itulah test shot kami.

Kami tunggu.
Kami lihat.
Kami nilai.

Tiada filter.
Tiada retouch.
Tiada ruang untuk “nanti kita betulkan”.

Hanya satu soalan yang berlegar di kepala saya pada waktu itu:

Adakah ini sudah cukup sempurna… sebelum kita bermula?

Dan anehnya, dalam keterbatasan itulah, kecantikan terasa paling jujur.

Hari ini, saya masih berdiri di set. Masih memimpin team. Masih menentukan wajah, cahaya, naratif.

Tetapi soalan itu telah berubah.

Bukan lagi, “adakah ini cukup sempurna sekarang?”
Tetapi, “berapa banyak yang boleh kita sempurnakan nanti?”

Dan di situlah saya benar-benar merasakan apa itu ‘silent beauty pressure’.

Saya telah hidup dalam industri ini hampir tiga perempat daripada hayat saya. Saya telah melihat segalanya berubah—perlahan pada awalnya, kemudian dengan sangat pantas.

Dulu, seorang model yang petite… kekal petite.
Wajah yang bulat… tetap bulat.
Hidung yang tidak mancung… kita pelajari sudut terbaiknya, Razlan Bahari mengolah lagi dengan alat solek supaya tambah mancoung, tapi bukan mengubahnya.

Kita bekerja dengan apa yang ada.
Dan dalam proses itu, kita belajar menghargai karakter.
Hari ini, hampir tiada apa yang tidak boleh “diperbetulkan”.

Pendek boleh ditinggikan.
Wajah boleh dibentuk semula.
Mata boleh diwarnakan.
Bibir boleh dimungilkan.

Baju yang biasa boleh menjadi luar biasa.
Kasut rendah boleh menjadi lima inci lebih tinggi—tanpa sesiapa pun tahu.

Dan saya katakan ini bukan sebagai pemerhati.

Saya berada di dalamnya.
Saya tahu bagaimana semua ini berlaku.

Tetapi semakin banyak yang boleh kita ubah… semakin saya bertanya pada diri sendiri:

Apa yang masih kita pilih untuk kekalkan?

Kerana kecantikan hari ini bukan lagi sekadar enhancement.
Ia telah menjadi reconstruction.

Dan apabila reconstruction ini menjadi kebiasaan, maka lahirlah satu tekanan yang sangat halus—tetapi sangat kuat.

Tekanan untuk menjadi versi yang telah diperbetulkan.
Bukan lagi versi yang sebenar.

Saya melihat bagaimana media sosial mempercepatkan semuanya.

Wajah-wajah yang kita lihat setiap hari—licin, seimbang, hampir terlalu sempurna untuk dipersoalkan. Dan tanpa sedar, kita mula membanding.

Bukan kerana kita mahu.
Tetapi kerana kita terdedah… berulang kali.

Dan kemudian datang pula AI—mencipta wajah yang tidak pernah wujud, tetapi cukup “cantik” untuk dijadikan standard.

Di situlah garis antara realiti dan ilusi mula kabur.

Dalam rencana saya, Silent Battles: Apabila Jiwa Berjuang Dalam Diam, saya menulis tentang perjuangan yang tidak terlihat.

Hari ini, saya melihat satu lagi bentuknya.

“Apabila kita terlalu lama melihat kesempurnaan yang dicipta, kita mula meragui keindahan yang sebenar.”

Ini bukan sekadar tentang kecantikan.

Ini tentang bagaimana kita melihat diri sendiri… selepas semua yang kita lihat setiap hari.

Sebagai seseorang yang masih dan akan terus memimpin shoot, memilih wajah, membentuk cover—saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini.

Saya tidak percaya kita perlu berhenti mencipta kecantikan.

Tetapi saya percaya—
kita perlu lebih sedar ketika melakukannya.

Untuk tahu bila kita sedang menyempurnakan…
dan bila kita sedang mengubah terlalu jauh.

Untuk tahu bahawa tidak semua ketidaksempurnaan itu perlu diperbetulkan.
Kerana di situlah letaknya keaslian.
Di situlah letaknya jiwa.

Jika suatu ketika dahulu dunia fesyen dibentuk oleh ketegasan Anna Wintour dan ketajaman analisis Suzy Menkes—
hari ini, kuasa itu berada di tangan kita semua.

Dan bagi saya, secara peribadi—
perjalanan daripada Polaroid ke dunia digital ini bukan sekadar evolusi teknologi.

Ia adalah ujian.

Kadangkala saya terfikir—jika kita kembali kepada sekeping Polaroid, tanpa pilihan untuk membetulkan… adakah kita akan lebih menerima apa yang kita lihat?

Atau adakah kita sudah terlalu terbiasa dengan kesempurnaan… sehingga kejujuran itu terasa asing?

Kerana setelah melalui semuanya—
daripada sekeping Polaroid kecil di tangan…
hingga ke skrin yang boleh menyempurnakan segalanya—

saya semakin percaya, kecantikan yang paling kuat adalah yang masih berani untuk kekal sebenar.

Related posts

APAKAH MASA DEPAN KAMI? Apabila Sistem Pendidikan Tercabar, Patriotisme Terkubur dan Lumpuhlah Tamadun

admin

INFINIX MALAYSIA EMPOWERS ESPORTS TALENTS WITH MLBB PARTNERSHIP

adminwm

A Hingga Z Kahwin

admin

Leave a Comment