GAYA HIDUPKisah Artist

Pulanglah Zal…

Kala mengetuk keyboard laptop, dada masih berdebar dan tangan terus gementar.
Kehilangan seorang yang pernah kita kenali tentu saja mengusik hati dan membuat minda tidak berhenti menyoal. Di manakah agaknya dia berada, sihatkah dia dan paling memilukan apakah dia bersendirian?

Hilang sembilan bulan tanpa khabar dan berita diberi kepada ahli keluarga terdekat
termasuk anak sendiri, bukan perkara main-main. Jangka waktu itu bukanlah satu waktu yang pendek dan pelbagai perkara boleh berlaku. Ini yang amat membimbangkan semua yang mendengar berita itu, khususnya ahli keluarga yang setiap saat menunggu berita dan kepulangannya.

Ramai yang musykil kenapa kes Zalina hanya dihebahkan setelah sembilan bulan ianya berlaku? Mengapa tidak disegerakan supaya ramai tahu dan boleh ambil tindakan sewajarnya?

Menurut laporan polis bekas personaliti TV3, Zalina Azman, tiada melakukan pergerakan keluar negara ataupun menerima rawatan perubatan di mana-mana hospital, malah nombor telefon juga tidak aktif sejak dilaporkan hilang pada November tahun lalu.

Itu antara hasil siasatan diperolehi pihak polis yang melakukan pelbagai usaha untuk mengesannya, termasuk saling bertukar maklumat dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pertukaran maklumat itu mengambil masa dan membabitkan proses tertentu untuk mendapatkan keputusannya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa sebelum pertukaran maklumat dilakukan, polis sudah memulakan siasatan sebaik saja menerima laporan kehilangan mangsa daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 November 2021.

Begitupun pihak Polis Shah Alam telah berusaha mencari pekerja ubahsuai rumah Zalina dan pertukaran maklumat dengan beberapa agensi sudah dilakukan. Pihak polis juga mengenepikan kes yang konon Zalina Azman ditemui adalah bukan Zalina. Malah mereka percaya bahawa Zalina tidak jauh. Moga-moga itulah hendaknya dan kita semua tetap mendoakan kesejahteraan dan keselamatannya.

Selepas usaha mencari Zalina tidak membuahkan hasil, pihak polis bertindak mengeluarkan hebahan bagi membantu siasatan dan turut menjelaskan bahawa memaklumkan hebahan orang hilang kepada umum adalah langkah terakhir dalam usaha menjalankan siasatan kes orang hilang. Jawapan pihak berkuasa menjawab segala persoalan orang ramai.

Media sebelum ini melaporkan polis giat mencari Zalina yang dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Ramai Yang Menanti Kepulangan Zalina
Menurut luahan penyampai dan bekas personaliti TV3, Zakiah Anas mengenai berita kehilangan sahabatnya, Zal adalah seorang sahabat yang sangat baik dan disenangi di kalangan rakan sekerja. Mereka semua juga begitu terkejut mendengar berita itu malah lebih bimbang dan terharu apabila menyedari dia telah hilang lebih sembilan bulan lamanya.

Ramai personaliti TV3 seangkatannya seperti Dato Aznil Haji Nawawi, Dang Suria
Zainurdin, Sharifah Shawati, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan ramai lagi termasuk juga Datin Sri Normala Shamsudin turut merasa resah dan bimbang dengan kehilangan beliau. Mereka ini juga adalah geng lama suatu ketika dulu ketika bekerja di studio TV3, Bangsar.

Ramai kenalannya kesal kerana puas mereka cuba menghubungi namun tiada respon daripadanya. Mereka juga menyatakan bahawa Zal sejak kebelakangan memang tidak begitu mudah dihubungi dan lebih menyendiri.

Mereka tidaklah mahu mengganggunya dan menganggap Zalina mahu menjalani kehidupan ‘low profile’. Sebagai menghormati pendiriannya, mereka mendiamkan saja dan menerima sikap Zal itu sebagai biasa hinggalah, apabila mereka mendapat tahu yang anaknya membuat laporan polis tentang kehilangannya. Jiran-jiran juga menganggap Zalina seorang yang tidak bergaul dengan jiran tetangga dan lebih menyendiri.

Daripada cerita teman-teman yang lebih rapat dan mereka yang mengenali Zalina, dia telah banyak melalui pelbagai cabaran dalam kehidupannya secara peribadi sejak muda lagi khususnya dalam berumahtangga. Pernah berkahwin beberapa kali dan mengalami keretakan rumah tangga juga mungkin sebab membuat Zal mencari ketenangan jiwa dan akhir-akhir ini menurut mereka, Zalina ada menyertai kumpulan tarikat untuk ‘mencari dirinya’.

Zalina Yang Saya Kenal
Pernah mengenali Zalina Azman atau lebih mesra dengan panggilan Zal atau Zally yang saya kenal adalah seorang yang ceria namun tidaklah sebegitu peramah dengan semua orang yang ditemuinya. Walaupun tidak serapat teman-teman sejawatnya di TV3 tetapi kami pernah bertugas di satu bumbung ketika TV3 ditempatkan di bangunan Berita Publishing iaitu anak syarikat The New Straits Times di Jalan Liku, Bangsar, tempat saya bertugas sebagai wartawan di Majalah Jelita sebelum ditukarkan ke Berita Harian.

Zal mempunyai wajah yang manis dan comel tetapi tidak jenis yang mudah untuk
didampingi kerana dia sering muncul dengan wajah yang bersahaja dan kadang-kala nampak serius. Mungkin tugasnya sebagai pembaca berita dan mengacarakan program serius seperti Money Matters yang banyak menuntutnya membuat persiapan di belakang tabir, tidak memberinya banyak ruang untuk bersantai-santai, jadi seringnya kami hanyamenyapa dan bertukar senyuman bila bersua.

Begitupun, mengenalinya walaupun beberapa ketika dia lebih terbuka dan mudah berbicara, namun kami pernah berbual perkara-perkara santai saja seperti kegemaran kami dalam hal fesyen dan perhiasan wanita.

Selain biasa bertembung di kawasan sekitar bangunan kami bekerja dan kala ke majlis-majlis, saya pernah terserempak dengan Zal di satu jualan Mega Habib Jewel di Jalan Ampang. Waktu itu beliau bersama ibunya dan saya dengan ibu mertua sekadar menjenguk jualan murah dan ‘cuci mata’. Seingat saya kami sibuk membanding-bandingkan barang kemas yang dipamerkan dan bercerita sedikit tentang aksesori dan barang kemas yang kami suka.

That much I know of Zal as a friend and from far. Apa pun saya dan warga Majalah WM mendoakan agar Zal dalam keadaan selamat. Kami harap-harapkan kenangan kami tidaklah hanya tinggal kenangan indah bersamanya. Moga Zal menemui jalan pulang dan selamat sejahtera body, mind and soul wherever you are Zal. We miss you!


Related posts

Kes Penyakit Mental Di Tahap Kronik

Mahani Awang

PERSATUAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK ISTIMEWA SELANGOR (ORKIDS)

adminwm

Focus Point Signature di Pavilion

admin

1 comment

Shiela Razak July 23, 2022 at 9:52 pm

Thank you for your article Kak Mahani. Tis is Shiela. Ex Money Matters and I know you sometime ago. I don’t know if u remember me. Am trying to reach out to as many ppl especially our Ex Money Matters Team. And yes after we left TV3, some of us chose to leave our Broadcasting world and to lead a Private life myself include.
Thank you Kak Mahani. Thank you

Reply

Leave a Comment