GAYA HIDUP

WIM GEMBLENG TENAGA TUBUHKAN KOPERASI & AKADEMI

Tanggal 17hb November 2024, satu bengkel khas lagi bersejarah telah dianjurkan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) bagi tujuan merangka pelan induk hala tuju wanita negara kelab tersebut.

Bengkel Blueprint Pelan Hala Tuju Strategik Wanita Ikon Negeri, Malaysia 2024/25 menggabungkan pelbagai info dan secara langsung mengumpul data dan maklumat penting bagi membantu secara strategik perancangan Wanita Ikon Malaysia dan hala tuju aktiviti setiap ikon negeri.

Bengkel yang diadakan di Sumai Hotel Kuala Terengganu bakal menjadi saksi kepada perhimpunan bersejarah ini, di mana ikon-ikon wanita negeri dari seluruh negara dan pihak agensi kerajaan bersatu, mengukir impian, dan memperkasakan visi yang mereka cipta.

“Objektif menganjurkan bengkel ini adalah untuk menghimpunkan data-data penting yang bakal menjadi blueprint kepada setiap perancangan dan aktiviti para pemenang Wanita Ikon Malaysia (WIM) untuk dua tahun yang akan datang dan seterusnya,” jelas Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, Dato Normaziah Sheikh Mohamed yang juga adalah bekas Juara Wanita Ikon pertama pada 2007.

Selain ikon-ikon wanita yang hadir, termasuk Ahli Jawatankuasa Kelab Wanita ikon Negeri dan agensi-agensi utama di Terengganu selaku pemerhati seperti Tekun, Yayasan Pembangunan Usahawan, SME Corp., Mara, dan YPK, Jabatan Pembangunan Wanita.

Semangat tinggi yang ditunjukkan oleh setiap ikon dan para peserta, menurut Dato Normaziah yang turut merasmikan bengkel tersebut, menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan mereka. Dato Marziah juga menyatakan bahawa beliau meletakkan keyakinan padu bahawa mereka akan merangka satu pelan strategik yang mantap dan boleh digunapakai dalam setiap aktiviti dan program yang akan mereka laksanakan demi membawa perubahan.

Program-program tersebut menurut Dato Normaziah, bakal memperkukuhkan lagi peranan wanita dalam segala sudut termasuk dunia perniagaan, kerjaya secara meluas dan juga kepakaran dalam pucuk kepimpinan selain tujuan utama untuk meningkatkan taraf hidup sendiri dan keluarga.

Usaha ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda dan merangsang semangat muka-muka baru mengikut jejak langkah ikon-ikon mereka yang berjaya seterusnya membina kesinambungan dalam menjayakan misi mendidik dan memperkasa wanita seluruh negara.

Daripada hasil blueprint tersebut KWIM akan bergerak ke seluruh negara bersama-sama jentera dan pakar ikonnya, melalui roadshow yang terancang rapi ke setiap negeri di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak untuk menyalurkan ilmu, pengalaman dan berkongsi kepakaran masing-masing. Demikian jelas dua juara ; Wanita Ikon Malaysia 2024/25, Dr Sharifah Marzety Adibah Al Syed Mohmad dan Bella Mustari Ikon Muda Malaysia 2024/25.

Secara terperinci, objektif bengkel ini adalah untuk menjadi pusat penjana sumber dan informasi daripada kertas kerja setiap Ikon Negeri. Seterusnya melahirkan kebersamaan dengan fokus kumpulan sasar KWIM yang menyeluruh mengikut kepakaran masing-masing.

Berkongsi Pengalaman dan Kepakaran

Bengkel ini juga bertujuan mencungkil kepelbagaian bidang dan kekuatan setiap ikon negeri dan diharapkan dapat menjadi panduan dalam penyelarasan program-program mengikut kumpulan sasar.

Dengan cara itu keseimbangan fokus setiap ikon dan negeri dapat ditentukan. Selain itu ia usaha bersama yang menumpukan kepada CSR Kumpulan Sasar bagi ikon-ikon negeri bersama-sama menuju satu matlamat bagi membantu dan memberi peluang pekerjaan serta perniagaan melalui program bersepadu seperti business matching dan sebagainya.

Melalui fokus yang tinggi dan keikhlasan untuk menjayakan objektif bengkel tersebut, pada hari terakhir menyaksikan satu sesi rumusan yang mantap dan berjaya apabila pelan gerak kerja yang memberangsangkan telah terlaksana. Pendeknya, setiap ikon tidak sabar untuk melaksanakannya di negeri masing-masing apabila pulang nanti.

Program tiga hari tidak sahaja dipenuhi dengan pengisian perbincangan melampias otak tetapi diceriakan dengan lawatan ke Zetty Roses & Farms yang menyediakan hamparan taman rose atau mawar yang menyeronokkan.

“Bengkel selama tiga hari itu membawa para ikon dan peserta berkampung di sini. Dimulakan dengan sesi ice breaking dan suaikenal yang mana para ikon berkongsi pengalaman-pengalaman pahit dan cabaran getir hingga menempa kejayaan. Pada beberapa sesi khusus bengkel, banyaklah pengkisahan tentang keperitan dan cabaran yang dilalui oleh setiap ikon,” jelas Dr Marzety.

Daripada penceritaan peribadi secara Ikhlas memberikan impak yang kuat dalam usaha mereka menghasilkan satu blueprint yang sesuai untuk dijadikan panduan bagaimana aktiviti dan program bersepadu yang harus dilaksanakan mengikut acuan dan kekuatan masing-masing.

“Ini adalah salah satu aktiviti bersantai sambil berkongsi pengalaman. Dengan lawatan ini mereka juga sebenarnya belajar kerana para ikon dapat menyelami bukan sahaja keindahan dan haruman mawar yang pelbagai spesies, warna dan rupa bentuk, malah saling berkongsi pandangan dan info,” kata Dr Marzety bangga.

Beliau cukup teruja dan puas hasil kejayaannya itu dapat dikongsi bersama ikon-ikon lain malah dapat menyelami pengalaman jatuh bangun serta babak-babak pedih dan peritnya kehidupan yang dilaluinya sejak kecil dan bagaimana beliau bangkit daripada kemiskinan hingga mendapat ijazah, master dan Phd, dan hinggalah berjaya membina sebuah empayar perniagaan hari ini.

Hanya bermula dengan sebuah taman ros kecil di pekarangan rumah ia berkembang menjadi berekar-ekar dan mendapat sambutan kunjungan masyarakat setempat dan kini pengunjung dari seluruh Malaysia. Malah sekarang, Zetty Roses Garden adalah antara tumpuan pelancongan apabila berada di Terengganu.

Kini Dr Marzety mengembangkan cabang perniagaannya melangkaui bisnes kafe yang menyediakan pelbagai makanan menggunakan bunga mawar, baja khusus bunga mawar dan giat menjalani program dan menjadi agen Umrah melalui syarikat ejen pelancongannya yang kian berkembang maju.

Rata-rata, ikon yang terlibat mendapati bahawa sudah tiba dan tepat masanya untuk wanita berdikari, berkongsi ilmu dan membawa wanita lain menganjak paradigma kehidupan dengan aspirasi tinggi, dan mencipta legasi yang membanggakan!
Bersama, mereka berazam akan melangkah menuju masa depan yang lebih cerah dan penuh dengan peluang!

BERSIAP SEDIA TUBUHKAN KOPERASI DAN AKADEMI

Selain merangka pelan kerja induk, KWIM turut merangka pelan ekonomi dan bakal mewujudkan koperasi bukan sahaja bertujuan membantu wanita luar bandar dalam pelbagai aktiviti terancang tetapi berhasrat mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan.

Pada Bengkel tersebut setiap finalis Wanita Ikon Malaysia dan Wanita Ikon Muda 2024/25 diwajibkan membentangkan kertas kerja yang berkaitan kepakaran dan perkongsian pengalaman serta kelebihan masing-masing. Hasil butiran tersebut kemudiannya dicerna menjadi data yang digunapakai untuk menghasilkan blueprint Hala Tuju KWIM.

Menurut Dato Normaziah dan Dr Marzety, sebuah Koperasi Kelab Ikon Wanita akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Menerusinya ia mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan wanita terlibat. Ia juga secara tidak langsung katanya bertindak sebagai inisiatif mengangkat martabat wanita di luar bandar

“Alhamdulillah hasil daripada bengkel ini telah memberi impak dan memberikan “Wow! Factor” yang mengujakan. Pertama, hasil bengekl telah dirumuskan perancangan untuk menubuhkan satu koperasi dan seterusnya akan ada satu Centre Point yang bakal berpusat di Pulau Pinang untuk membantu wanita-wanita yang memerlukan bantuan di sana,” jelas Dr Marzety yang begitu terangsang dan tidak sabar untuk turun padang menjayakannya.

“KWIM juga mengambil keputusan untuk menubuhkan satu akademi Wanita Ikon di mana para ikon dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan bakal menggembling tenaga untuk menurunkan ilmu dan pengalaman,” tambahnya. yang mana akan bermula di Terengganu sebagai projek perintis.

Di akademi ini para ikon muda dan pelapis akan diberi bimbingan dan digilap dari awal melalui program-program utama yang akan dilaksanakan kelak. Akademi ini adalah satu projek berimpak tinggi, kejayaan di Terengganu ini akan diteruskan ke setiap negeri oleh Ikon Negeri masing-masing mengikut acuan dan keperluan semasa.

Akhir kata, Dr Marzety dengan terujanya berkongsi satu lagi berita menarik dan pastinya ditunggu-tunggu oleh wanita Sabah dan Sarawak, iaitu satu expo dan karnival secara besar-besaran bagi membantu dan memperkasa ekonomi kaum wanita di sana.

Related posts

Danial dan Eleena

adminwm

UPGRADING SAMSUNG FOOD

adminwm

OBESITI PUNCA PELBAGAI PENYAKIT

adminwm

Leave a Comment