GAYA HIDUP

WICKED Filem Alam Fantasi Penuh Drama

Dibuai alam fantasi yang penuh emosi filem muzikal Wicked: Part 1 memberi pengalaman cetusan pelbagai perasaan; marah, sedih, hampa, gembira dengan sedikit sentuhan kelucuan yang bersahaja. Bukankah itu yang anda mahukan dalam sesebuah karya? Atau setidak-tidaknya dalam sebuah cerita dongeng? Cuma endingnya masih samar dan kita tunggu Wicked: Part 2 yang dijangka akan menyusul tahun depan.

Bagaimana tidaknya, filem ini dimulakan dengan ‘permainan emosi’ penonton, ia mengisahkan sebuah persahabatan dua gadis yang mana seorangnya lahir begitu cantik dan sempurna sementara yang seorang lagi dilahirkan berkulit hijau.

Dapatkah anda membayangkan apabila seseorang itu dilahirkan berkulit hijau? Apabila mereka bertemu di Universiti Shiz, mereka punyai perbezaan ketara dalam segala segi dan awalnya menjadi musuh ketat tetapi entah bagaimana, takdir menyatukan mereka menjadi sahabat karib yang begitu rapat bagaikan isi dan kuku.

Bagi kebanyakan penonton tentu saja hati anda terdetik dan minda anda merewang jauh, apakah kesudahan minat yang berputik di antara Elphaba dan Fiyero kekasih Galinda? Bagaimana Galinda menghadapinya? Apakah pula peranan Morrible dalam kancah percintaan itu yang didorongi oleh dendam masing-masing?

Wicked 1, adalah filem pertama daripada dua siri yang diadaptasi daripada muzikal Broadway ini patut ditonton oleh mereka yang meminati teater atau filem muzikal yang menjamukan para penonton dengan lakonan berkesan, muzik yang mantap kostum serta aksesori menawan yang menjadi fakto-faktor utama kejayaan sesebuah filem atau teater muzikal.

Dua watak utamanya Ariana Grande sebagai Galinda dan Cynthia Erivo sebagai Alphaba yang mana kedua-duanya terkenal mempunyai penguasaan vocal mantap akan membuat ramai teruja untuk mengheret diri ke panggung! Selain itu si kacak Fiyero yang dilakonkan oleh Jonathan Bailey yang turut memiliki vocal mantap serta pelakon Hollywood yang berasal dari Malaysia, Michelle Yeoh yang turut berlakon dan memainkan watak penting untuk mengangkat watak-watak utama Wicked: Part 1, tentu saja merangsang minat anda untuk menonton.

Pembukaan penceritaan filem yang dipenuhi aksi magis dan emosi. Dengan vocal mantap Ariana Grande, terus memahat keterujaan yang membuat mata tidak berkelip; sejujurnya setiap saat pengalaman menonton, tiada babak yang membosankan dari awal hingga akhir, walaupun tiada episod yang boleh dianggap action pack.

Bagi yang belum tahu teater atau membaca novel ini, Wicked: Part 1 ialah sebuah filem fantasi muzik epik Amerika 2024 yang diarahkan oleh Jon M. Chu daripada lakon layar Winnie Holzman dan Dana Fox. Filem ini adalah bahagian pertama daripada dua bahagian filem adaptasi daripada pentas muzikal dengan nama yang sama oleh Stephen Schwartz dan Holzman, yang seterusnya diasaskan secara santai daripada novel 1995 Gregory Maguire dan diberikan jodol yang sama.

Dibintangi oleh Cynthia Erivo dan Ariana Grande sebagai watak utama dengan Jonathan Bailey, Ethan Slater, Bowen Yang, Marissa Bode, Peter Dinklage, Michelle Yeoh, dan Jeff Goldblum yang memainkan watak sokongan, Wicked dijangka akan mendapat sambutan.

Kisah Persahabatan Yang Menyayat Hati

Untuk permulaan, Wicked bukan sekadar kisah magis dan keajaiban. Ia sarat dengan emosi yang cukup mendalam. Kesedihan terasa terutama pada persahabatan antara Elphaba dan Glinda. Dua gadis yang jauh berbeza dari segi paras rupa dan perwatakan, mereka melalui cabaran, kekecewaan, rasa takut, dan akhirnya penemuan diri masing-masing.

Yang pasti dan mengujakan, Ariana Grande yang selama ini terkenal sebagai penyanyi pop, telah membuktikan keupayaannya bukan sahaja dalam memainkan watak Galinda malah telah mengangkat lagu-lagu yang dipertanggungjawabkan ke atasnya dengan begitu baik sekali!

Michelle atau Madame Morrible, yang ditonjolkan wataknya agak awal dalam Wicked, apabila beliau diperkenalkan sebagai Guru Sihir dan mengambil keputusan mengakui kesilapan Alphaba yang punya kuasa merosakkan barang dan persekitarannya apabila marah.

Babak itu berlaku apabila Alphaba membuat kerosakan dengan magisnya kerana marah adiknya ditarik daripada pengawasannya di Shiz University. Kemarahan tersebut membuat dia telah meranapkan perabot dan barang-barang hingga bertebangan di university itu.

Daripada detik itu Morrible telah tahu keistimewaan yang ada pada Alphaba dan terus mempelawanya menjadi anak muridnya untuk mempelajari ilmu magis dan berjanji membawanya berjumpa dengan Wizard of Oz dan yang mana juga membawanya ke Emerald City. Hakikatnya Morrible tidak sedikitpun berhasrat membantunya tetapi sebaliknya mahu mendidik Alphaba menggunakan kelebihan magisnya itu untuk memperkukuhkan lagi kuasa The Wizard of Oz.

Walaupun dalam Wicked: 1, muslihatnya Morrible telah pun terungkap apabila dia bekerjasama dengan The Wizard of Oz, seorang Juru Sihir palsu yang menipu orang menggunakan silap matanya dan memukau masyarakat Qz sehingga mereka percaya bahawa dia adalah Juru Sihir tersohor, kuat dan berkuasa. Sifat jahat semulajadi Moribble dikatakan akan terus menyerlah dan menjadi fokus dalam Wicked: Part 2.

Morrible lakonan Michelle Yeoh

Peranan Kostum

Dari sudut penyediaan kostum boleh dikatakan masih bermain dengan fantasi seperti renda, ropol dan lisu pada pakaian. Namun begitu ianya bukanlah seperti baju yang berlebihan klasiknya malah terdapat suntikan milenium yang sedikit longgar dan santai. Bukan macam gaun kembang Cinderella yang berlebihan dan nampak tidak selesa.

Kasut & Perhiasan ALDO Yang Klasik Dengan Faminisme Milenium

Dari segi penataan aksesori seperti kasut, beg tangan, anting-anting, rantai dan gelang serta perhiasan rambut masih dikekalkan mewah dan feminine penuh fantasi namun ada kelonggaran dari sudut penggunaan fabrik, hiasan dan juga penataan gaya yang turut diselitkan ciri-ciri dan citarasa milenium yang agak sedikit ringkas namun klasik dan napak selesa.

Sentuhan jenama kasut dan aksesori Aldo dikatakan pilihan tepat apabila jenama itu telah membuktikan kepakaran dan ketelitian mereka dalam menghasilkan kasut dan aksesori Wicked: Part 1.

Ciptaan Aldo yang feminin penuh fantasi

Muzik Dalam Wicked

Apalah ertinya sebuah filem muzikal jika tanpa penataan muzik yang sempurna. Seperti mana filem teater muzikal sebelumnya yang banyak bergantung kepada kekuatan muziknya malah menjadi faktor penting bagi menghidupkan watak. Lagu-lagu Wicked boleh dikatakan berjaya memperkukuhkan sesuatu babak dan mampu merialitikan, relevannya kepada watak-watak dan plot. Wicked juga turut menghasilkan beberapa karya yang boleh dianggap hit song seperti “The Wizard and I”, “What is This Feeling”, “Popular” dan “Defying Gravity”.

Kekuatan vokal Erivo telah memperkukuhkan gravitinya dalam babak nyanyian lagu “Defying Gravity” dan yang lain-lainnya ke layar perak. Tetapi apakah keistimewaan lagu ini dalam Wicked? Ia dikatakan sentiasa menjadi lagu kegemaran yang mengangkat dan menghidupkan pementasan Broadway Wicked yang bermula pada 2003. “Defying Gravity” dikatakan penuh emosi dan ditambah dengan efek pentas atau groundbreaking stage effects, merupakan satu cara bijak untuk mengakhiri filem muzikal ini.

Keseluruhan muzik dalam filem Wicked telah dihasilkan oleh pencipta legenda Stephen Schwartz, yang telah berusaha begitu keras dan terperinci dalam usahanya untuk menggabungkan kedua-duanya The Wizard of Oz dan gaya persembahan genre Broadway novel Wicked hasil karya Gregory McQuire itu.

Yang pasti hasil soundtrack Schwartz bukan sahaja berjaya menyatukan kedua-dua genre filem dan teater Broadway tersebut tetapi dengan menarik sekali melalui muziknya beliau membantu menghidupkan dua watak utama Elphaba dan Galinda langsung mengangkatnya ke level yang lebih meyakinkan dalam penceritaan Wicked.

Dengan kejayaan itu, dijangkakan Wicked: Part 2 (2025) akan terus disemarakkan dengan impak yang menakjubkan dan lagu penutup “Defying Gravity’ juga dijangkakan menjadi pembukan Wicked bahagian kedua dengan penuh kejutan,

Michelle Yeoh yang baru memenangi Oscar ini, walaupun tidak memainkan watak utama, kehadiran Michelle tetap diakui mampu memberi impak besar dan mendokong filem ini menjadi lebih berprestij. Dengan pengalaman beliau yang meluas dalam industri filem, Yeoh telah membawa aura keunggulannya yang luar biasa pada Wicked.

Apapun sebaik filem itu diakhirkan dengan Alphaba merewang dengan penyapu saktinya ke langit, apa yang tersisa kala melangkah keluar teater, terbit rasa puas dan tidak sabar menunggu kelangsungan penyudah karya novel Gregory Maguire itu untuk bahagian keduanya. Kecuali lah anda sudah membacanya, anda pasti tahu.

Related posts

Khasiat Bawang Putih

admin

Kes Penyakit Mental Di Tahap Kronik

Mahani Awang

Ganjaran RM1 Juta Menanti Pembeli-Belah

admin

Leave a Comment