Malam yang penuh catatan sejarah dalam salutan gemilang di Bandar Enstek, suasana penuh elegan menyambut tetamu istimewa oleh RHM Design & Construction Sdn. Bhd. Wakil media, rakan industri, vendor dan pelanggan setia hadir dalam sebuah jemputan eksklusif yang mengimbas perjalanan lalu dan menyelami masa depan baharu RHM. Malam tersebut bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-10 syarikat berkenaan, malah menjadi pentas melancarkan ibu pejabat baharu serta memperkenalkan segmen premium RHM Luxe yang dinantikan.
Para tetamu dibawa menelusuri galeri kreatif RHM, menyaksikan persembahan visual projek-projek ikonik, termasuk penglibatan mereka dalam Menara Berkembar Petronas, serta merasai sendiri pengalaman dalam zon khas RHM Luxe. Malam itu disempurnakan dengan sebuah majlis makan malam penghargaan — ringkas, bergaya, dan menyentuh hati semua yang hadir kerana ia menandakan permulaan era baharu syarikat reka bentuk dalaman Bumiputera ini.
10 Tahun Transformasi Dari Operasi Kecil ke Nama Besar Industri

Ditubuhkan pada tahun 2015, RHM bermula sebagai sebuah pasukan kecil namun berwawasan besar. Dari ruang kerja sederhana, mereka membina reputasi melalui kerja yang konsisten, disiplin tinggi dan pendekatan pengurusan yang jauh lebih tersusun berbanding kebiasaan industri. Hari ini, selepas sedekad penuh dedikasi, RHM telah menyiapkan lebih 1000 projek kediaman dan komersial di seluruh negara, satu pencapaian luar biasa bagi sebuah firma 100% Bumiputera dan 100% wanita.
Kejayaan paling membanggakan mereka termasuk penglibatan dalam projek reka bentuk dalaman di Petronas Menara Berkembar, sebuah peluang berprestij yang jarang hadir kepada syarikat muda tempatan. Namun bagi RHM, projek itu bukan sekadar pengiktirafan; ia adalah bukti bahawa hasil kerja berstandard tinggi dan sistem operasi yang kukuh mampu membawa mereka ke pentas nasional.
Pelancaran ibu pejabat baharu RHM di Bandar Enstek menjadi titik penting dalam naratif 10 tahun mereka. Ruang dua tingkat ini direka bukan hanya untuk keselesaan dan estetika, tetapi sebagai sebuah pusat operasi holistik yang memperkasa kreativiti dan kecekapan kerja. Ia merangkumi galeri pameran, ruang konsultasi yang lebih profesional, studio kolaboratif untuk pasukan kreatif, serta zon premium khusus untuk RHM Luxe.
RHM Luxe: Evolusi ke Dunia Premium


Segmen eksklusif ini diwujudkan untuk memenuhi permintaan pelanggan premium yang mahukan sentuhan mewah, material curated dan layanan bertaraf tinggi. Di bawah RHM Luxe, pengalaman pelanggan bermula dari konsultasi sehinggalah susun atur akhir diperhalusi dengan ketelitian luar biasa.
Menurut Pengasas RHM, Nurul Amira Mohd Rashid, “menjengah usia 10 tahun dalam industri, kami mahu membawa RHM ke tahap yang lebih eksklusif dan matang. RHM Luxe bukan hanya unit baharu, ia adalah evolusi. Kami mahu memberikan pengalaman yang benar-benar curated, refined dan premium.”
Dalam ucapan perasmian, Nurul Amira turut menegaskan bahawa RHM tidak pernah bergantung pada kreativiti semata-mata. Kejayaan sebenar datang daripada sistem dan struktur yang dibina sejak hari pertama. Dalam industri yang sering berdepan isu koordinasi lemah dan proses tidak seragam, RHM menonjol melalui SOP menyeluruh, kawalan kualiti berlapis dan komunikasi projek yang konsisten.
“Hasil cantik sahaja tidak cukup. Apa yang membezakan kami adalah bagaimana kami menguruskan projek. Sistemlah yang membina keyakinan terhadap kami sepanjang 10 tahun ini,” ujarnya lagi.
Malam perasmian berakhir dengan penuh optimis. Tetamu pulang dengan keyakinan bahawa RHM kini berada di tahap yang jauh lebih matang, eksklusif dan berdaya saing. Bagi RHM sendiri, ulang tahun ke-10 bukan destinasi tetapi ia adalah permulaan kepada dekad baharu yang lebih memandang ke depan.
Dengan HQ baharu, portfolio berprestij, sistem operasi yang stabil dan pelancaran RHM Luxe, RHM Design & Construction kini bersedia menerajui industri reka bentuk dalaman Malaysia dari kelas profesional ke segmen premium.
