kesihatan

Beban Denggi Wanita, Tidak Semudah yang Disangka 

Dr Hon Mun Cheng, pakar perunding pediatrik, dan pesakit denggi Hawiah Azit berkongsi pandangan mengenai denggi dan kesan teruknya terhadap wanita, sempena Hari Kesihatan Sedunia 2025 yang disambut bulan ini, dengan matlamat mengutamakan kesihatan jangka  panjang dan kesejahteraan wanita 

“Saya alami pendarahan berterusan. Apabila minum, saya boleh nampak darah dalam botol,  bahkan air liur pun terasa darah,” kata Hawiah mengimbau pengalaman menghidap denggi teruk  yang masih terpahat di ingatan 

Demam denggi terus menjadi masalah kesihatan awam yang utama di Malaysia, dengan ribuan kes dilaporkan setiap tahun. Pada 2024 sahaja, sebanyak 122,423 kes dengan 117 kematian dicatatkan, yang  meneruskan trend peningkatan kematian sejak 2021. Iklim tropika dan kepesatan pembandaran di negara kita mewujudkan persekitaran yang ideal untuk membiakan nyamuk, sekali gus menyumbang  kepada penularan berterusan denggi dan menimbulkan risiko jangkitan yang tidak berkesudahan. 

Walaupun denggi boleh menyerang lelaki dan wanita, namun penemuan terkini menunjukkan wanita  mungkin lebih terkesan dek penyakit ini – bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga dari segi sosial dan  ekonomi. 

Kesan Denggi terhadap Wanita 

Denggi mungkin tidak mendiskriminasi, tetapi kesannya terhadap wanita boleh menjadi parah  disebabkan faktor fisiologi, sosial dan ekonomi. 

“Wanita lebih berkemungkinan mengalami denggi yang teruk dan demam denggi berdarah disebabkan  oleh faktor fisiologi – sistem imun kita cenderung untuk membentuk tindak balas yang lebih kuat  terhadap virus, menyebabkan berlakunya beban virus yang lebih tinggi dan peningkatan keradangan,”  jelas Dr Hon Mun Cheng, pakar perunding pediatrik. “Selain itu, isipadu darah wanita umumnya lebih  rendah, menjadikan mereka lebih terdedah kepada renjatan hipovolemik, iaitu komplikasi berbahaya  denggi yang teruk.” 

Dr Hon turut menekankan peranan kebocoran kapilari dalam tahap keparahan denggi di kalangan wanita. Oleh kerana salur darah wanita secara semulajadi membenarkan lebih banyak cecair melepasi dindingnya, maka mereka lebih mudah mengalami lebam dan pendarahan dalaman. Keadaan ini amat  membimbangkan khususnya pada wanita yang diserang demam denggi teruk ketika haid, kerana  mereka berisiko mengalami pendarahan berlebihan, di samping gejala lain seperti sakit perut, muntah  berterusan, pendarahan mukosa contohnya gusi dan hidung berdarah, dan kebocoran plasma. 

Faktor-faktor ini ternyata meningkatkan risiko komplikasi yang teruk, memerlukan pemantauan perubatan yang rapi, terutamanya di kalangan wanita dengan kiraan platelet yang rendah atau  mengalami anemia – keadaan yang lebih lazim berlaku pada wanita berbanding lelaki. 

Dr Hon menjelaskan bahawa wanita hamil berhadapan dengan risiko yang jauh lebih besar jika dijangkiti denggi, yang boleh membawa kesan serius kepada ibu dan anak. Beliau menyatakan denggi  semasa kehamilan boleh menyebabkan bayi mempunyai berat lahir yang rendah, kelahiran pramatang,  kelahiran mati, dan peningkatan risiko kematian ibu. Malah, virus denggi boleh berjangkit kepada bayi  dalam rahim, yang berpotensi mengakibatkan denggi teruk dengan gejala pendarahan pada bayi.9 10 11 

Kesan Sosial dan Emosi pada Wanita 

Selain risiko fisiologi, wanita juga sering menanggung beban sosial dan emosi yang lebih berat apabila  membabitkan soal demam denggi. Sebagai penjaga utama dalam kebanyakan rumah tangga, wanita  bertanggungjawab menjaga anak-anak, ibu bapa yang sudah tua, dan ahli keluarga yang sakit. Bagaimanapun, apabila mereka sendiri jatuh sakit, sokongan yang diterima agak terhad atau terpaksa  meremehkan gejala yang dialami demi meneruskan tanggungjawab menjaga keluarga. 

“Melengahkan rawatan boleh membawa kesan besar kepada diri sendiri kerana denggi merebak dengan pantas, dan tanpa rawatan yang tepat pada waktunya, komplikasi denggi boleh mengancam nyawa,”  kata Dr Hon. 

Keadaan akan semakin lebih teruk jika akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dihadkan oleh  kekangan kewangan, kekurangan kemudahan penjagaan anak, dan faktor sosioekonomi lain. Wanita  dari kelompok berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai cara untuk mendapatkan rawatan  manakala mereka yang mempunyai pekerjaan tidak formal pula berdepan dengan masalah kewangan  jika tidak dapat bekerja. Ini boleh menyebabkan wanita menangguhkan rawatan perubatan, sebaliknya  memilih untuk mengutamakan keluarga daripada kesihatan mereka sendiri. 

Faktor yang saling berkait ini mewujudkan satu kitaran di mana wanita menjadi lebih terdedah kepada kesan denggi yang serius hanya kerana mereka mengalami kesukaran untuk mengutamakan kesihatan  sendiri. 

Kisah Pejuang: Kesengsaraan Akibat Denggi yang Teruk 

Bagi Hawiah Azit,  ibu, 45, perjuangan melawan denggi yang teruk adalah antara  pengalaman dahsyat dalam hidupnya. 

“Ia bermula dengan demam biasa diikuti sakit kepala yang teruk selama beberapa hari. Ibu dan bapa membawa saya ke klinik keluarga berhampiran rumah dan saya hanya diberikan parasetamol, tanpa  sebarang ujian susulan. Lepas dapat ubat, kami pun balik ke rumah,” katanya mengimbas kisah lalu.  “Pada usia 22 tahun, tidak banyak yang saya tahu mengenai denggi, jadi saya cuma ambil parasetamol,  minum banyak air dan berdoa supaya demam cepat kebah.” 

Walaupun berasa tidak sihat, dia tetap balik ke kampung untuk memenuhi jemputan perkahwinan, di  mana keadaannya bertambah teruk. Dia kemudiannya didiagnos menghidap denggi di sebuah hospital  berhampiran. 

“Pada waktu itu, hidung dan gusi saya sudah berdarah, dan saya rebah dalam bilik air. Apabila mereka  memindahkan saya ke Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh, keadaan saya sangat lemah, tidak  mampu naik sendiri ke katil. Tahap platelet darah saya terus menurun. Kepala rasa sangat sakit dan  badan pula menggigil teruk, sehingga saya terfikir yang saya akan mati.” 

Hari-hari berikutnya juga menyeksakan. “Saya alami pendarahan berterusan. Apabila minum, saya  boleh nampak darah dalam botol dan air liur pun terasa darah. Selepas dua minggu, saya rasa sangat  tidak bermaya – lesu fizikal dan emosi.” 

Selepas keluar dari hospital pun, dia mengambil masa yang lama untuk memulihkan kembali kekuatan  badan dan selera makan. “Dulu saya selalu bermain bola tampar dan bersenam pada hujung minggu  tetapi serangan denggi yang teruk mengubah segalanya. Saya tidak lalu makan, dan berminggu-minggu  terasa lesu.”  

“Kini, sebagai ibu dan isteri, saya sentiasa bimbangkan keluarga saya. Saya mempunyai anak  perempuan berusia 15 tahun dan suami pula adalah orang yang berisiko tinggi dengan penyakit  komorbid, apatah lagi sudah dua kali dia menghidap denggi,” kata Hawiah. 

“Ketika muda dahulu, banyak yang saya tidak tahu. Tetapi kini berbeza. Saya sedar betapa pentingnya  penjaga utama keluarga diperkasakan dengan ilmu pengetahuan. Pengalaman lalu membuatkan saya sentiasa berwaspada tentang pencegahan denggi – jadi apabila mengetahui tentang vaksinasi, saya  pastikan keluarga saya divaksin.” 

Memperkasakan Wanita Melawan Denggi 

Memandangkan wanita menanggung beban yang lebih berat, maka sangat perlu untuk melengkapkan  mereka dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai sumber bagi membolehkan wanita melindungi diri  sendiri dan keluarganya. 

Dr Hon menegaskan kepentingan pendidikan dalam mengenali gejala awal denggi. “Wanita perlu diperkasakan dengan maklumat yang betul supaya mereka boleh memahami risiko dan mengambil  tindakan awal. Jika anda mengalami demam yang berterusan, sakit badan yang teruk, ada gejala  pendarahan, atau kelesuan berpanjangan, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera.” 

Penting juga memastikan wanita mempunyai sokongan yang diperlukan untuk mengakses penjagaan  kesihatan. Menyokong mereka yang terkesan dek denggi adalah tanggungjawab kolektif yang boleh dicapai melalui kerjasama antara jiran tetangga dan anggota masyarakat yang lain. Sama ada ia  berbentuk bantuan kewangan, sokongan penjagaan anak, atau kefleksibelan di tempat kerja,  menghapuskan halangan terhadap penjagaan perubatan boleh meningkatkan hasil rawatan bagi wanita  yang terkesan dek denggi. 

Melangkah Ke Hadapan sebagai Satu Komuniti 

Walaupun wanita sering menerajui usaha pencegahan denggi di rumah, namun mengekalkan kesihatan  adalah tanggungjawab bersama – satu tanggungjawab yang melibatkan seluruh keluarga, komuniti, dan  setiap rakyat Malaysia untuk memberikan impak yang berkesan. 

Usaha yang berteraskan atau digerakkan oleh komuniti tetap penting, seperti menjaga kebersihan  kawasan perumahan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, di samping langkah peribadi  contohnya dengan memakai baju dan seluar panjang, dan menggunakan alat penghindar serangga untuk  mengelakkan gigitan nyamuk. Bahkan, Dr Hon turut mengesyorkan pesakit mendapatkan nasihat  doktor mengenai vaksinasi, dan menjadikan langkah ini sebagai sebahagian daripada pendekatan  bersepadu mencegah denggi. 

Pakar mengatakan bahawa meningkatkan pengambilan vaksin dalam komuniti boleh membantu  mengurangkan kes denggi yang teruk dan kemasukan ke hospital, meringankan tekanan pada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan. Oleh itu, vaksinasi boleh memainkan peranan penting dalam  mengurangkan beban denggi, khususnya bagi golongan berisiko tinggi, termasuklah kanak-kanak kecil,  orang tua, mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada, dan orang yang pernah mengalami  jangkitan denggi. Melindungi diri dengan vaksinasi juga akan memberi manfaat kepada mereka yang  tinggal di dalam atau pergi ke kawasan yang tinggi kadar jangkitan denggi, tambah Dr Hon. 

“Nyamuk tidak mengenal batasan sosial atau ekonomi – sesiapa sahaja boleh mendapat denggi, dan  mustahil kita dapat meramal siapa yang akan sakit teruk. Malah tidak ada satu cara perlindungan yang  berkesan sepenuhnya, atau satu rawatan khusus untuk denggi,” kata Dr Hon. “Inilah sebabnya  pencegahan sangat penting, dan ia mesti menjadi usaha komuniti – apabila kita melindungi diri sendiri,  kita juga melindungi orang lain.” 

“Langkah menangani denggi ini sejajar dengan matlamat Hari Kesihatan Sedunia untuk meningkatkan usaha mengutamakan kesihatan jangka panjang dan kesejahteraan wanita, termasuk  menamatkan kematian yang boleh dicegah di kalangan ibu dan bayi baru lahir. 

Bak kata Hawiah, “Isu denggi tidak boleh dipandang ringan, kerana demam denggi yang teruk membawa kesan yang sangat berat, terutama pada wanita. Ia menyakitkan, berbahaya, dan boleh  mengubah kehidupan selama-lamanya. Tetapi dengan kaedah pencegahan yang betul, kita boleh  melindungi diri sendiri dan orang tersayang.” 

Melalui pendidikan dan pemerkasaan yang berterusan, baik individu mahupun komuniti, serta sistem  penjagaan kesihatan dan agensi kerajaan, boleh saling bekerjasama untuk mencegah denggi. Dengan  mengamalkan langkah pencegahan bersepadu, daripada kawalan vektor ke vaksinasi, kita boleh menuju  ke arah masa hadapan di mana denggi tidak lagi membebankan wanita dan komuniti rentan yang lain.  

Related posts

Apa Itu Mati Pucuk Lelaki?

adminwm

Minyak Bijan Untuk Kulit Cantik…

admin

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KELUARGA – PKPK

admin

Leave a Comment