kesihatan

Kesaksamaan Dalam Rawatan dan Penjagaan Kanser Payudara

  • APPISx SEA (Inisiatif di bawah Perikatan & Perkongsian Inovasi dan Penyelesaian untuk Para Pesakit | Alliance & Partnerships for Patient Innovation and Solutions, APPIS).
  • Memperkasa pemimpin pesakit dengan memberi tumpuan kepada bimbingan perjalanan rawatan bagi pesakit dan menangani cabaran kanser payudara sebagai satu kolektif Asia Tenggara.
  • Merungkai dialog penting bagi memajukan akses yang saksama melalui kerjasama dan inovasi selama 2 hari.

Pemimpin advokasi dari seluruh Asia Tenggara berhimpun di Malaysia untuk menghadiri mesyuarat APPISx SEA pertama bagi menerokai kaedah baharu meningkatkan mutu penjagaan buat wanita yang menghadapi kanser payudara, yang kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita di kesemua 10 negara ASEAN. [1]

Dianjurkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Perikatan & Perkongsian Inovasi dan Penyelesaian untuk Para Pesakit (Alliance & Partnerships for Patient Innovation and Solutions, APPIS), acara dua hari itu menemukan pemimpin pesakit dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam untuk berkongsi amalan terbaik, membincangkan cabaran yang dihadapi, dan bekerjasama mencari penyelesaian bagi mencapai kesaksamaan dalam rawatan serta penjagaan kanser payudara di seluruh rantau ini.

Mesyuarat yang bertema “Amalan Terbaik dalam Navigasi Pesakit dan Penyelesaian Pembiayaan Inovatif untuk Akses yang Saksama bagi Penjagaan Kanser Payudara di Asia Tenggara” ini membincangkan pelbagai isu penting seperti sokongan pesakit, pembiayaan, kesedaran, dan akses kepada rawatan, dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menegaskan lagi solidariti dan matlamat peserta.

Bekerjasama untuk Perubahan 

Semua peserta memanfaatkan sebaiknya peluang berada di mesyuarat ini dengan mengikuti bengkel, pembentangan kajian kes, dan perbincangan meja bulat yang dirangka untuk memperkasakan pemimpin dalam menyokong perkhidmatan penjagaan kanser payudara yang lebih baik di negara mereka.

Tetamu Kehormat, Yang Berbahagia Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad dari Kementerian Kesihatan Malaysia, yang hadir untuk pelancaran Pink October peringkat kebangsaan dan menyaksikan MoU berkenaan berkata: “Kanser payudara masih menjadi cabaran kesihatan yang besar di Malaysia, dengan lebih 5,000 kes baharu dan mengorbankan 1,600 nyawa setiap tahun. Isu ini bukan hanya dihadapi oleh kami – ia turut dialami di seluruh Asia Tenggara, di mana akses kepada diagnosis, rawatan, dan sokongan yang tepat pada masanya masih tidak seimbang.

Platform APPISx SEA, yang diterajui oleh Novartis dengan sokongan NCSM, merupakan langkah perintis ke arah menyatukan pemimpin dan pejuang advokasi pesakit di rantau ini. Dengan memupuk kerjasama dan inovasi, kami membuka jalan supaya wanita mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik, pemeriksaan lebih awal, dan masa hadapan yang lebih cerah. Bersama-sama, kita akan lebih gagah dalam perjuangan melawan kanser payudara.”

Kol. Bersekutu (PA) Prof Madya Dr. Murallitharan Munisamy, Pengarah Urusan NCSM, menekankan kepentingan kerjasama serantau:

“Mendengar perkongsian pesakit dan pejuang advokasi dari seluruh Asia Tenggara membantu kita untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi di setiap negara. Dengan bekerjasama melalui acara seperti APPISx SEA, kita boleh meningkatkan mutu penjagaan kanser payudara dan menyediakan sokongan yang menyeluruh dan bermakna kepada pesakit yang memerlukan.”

Tindakan Segera Diperlukan

Kanser payudara kekal sebagai kanser yang paling lazim dalam kalangan wanita di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Walaupun tahap kesedaran dan pemeriksaan semakin meningkat, tetapi ia terus meragut beribu nyawa setiap tahun, dengan kira-kira 300,000 kes baharu kanser payudara dan hampir 140,000 kematian direkodkan  pada tahun 2020.i

Kadar kematian yang tinggi ini amat ketara di Filipina, Malaysia, Singapura, Vietnam dan Indonesia, yang menyaksikan kadar kematian tertinggi akibat kanser payudara pada tahun 2022. Di Malaysia sahaja, seramai 1,681 wanita meninggal dunia kerana kanser payudara pada 2024 – mengukuhkan lagi wujudnya keperluan mendesak untuk penjagaan yang lebih baik.[2]

Judith Love, Presiden Asia Pasifik, Timur Tengah, dan Afrika di Novartis, tegas mengajak untuk segera bertindak:

“Terlalu banyak keluarga di Asia Tenggara yang merasai kesedihan dan keperitan apabila kehilangan ibu, anak dan kawan-kawan akibat kanser payudara – namun, masih terdapat jurang besar dalam tahap kesedaran, akses, dan sokongan. Memandangkan ia antara ancaman terbesar terhadap kesihatan wanita, kita mesti menggandakan usaha untuk memastikan pesakit menerima rawatan yang diperlukan, serta berpeluang hidup sejahtera dan lebih lama.   Di Novartis, kami percaya kemajuan dalam penyampaian penjagaan kesihatan bermula dengan kerjasama. Melalui platform seperti APPIS, kita boleh memperkasakan pemimpin advokasi pesakit dengan pengetahuan, akses, rangkaian dan alat-alat yang diperlukan untuk memacu perubahan dalam komuniti mereka.”

Rancangan Masa Hadapan

Dapatan dan pandangan daripada APPISx SEA 2025 akan membimbing usaha-usaha baru untuk menangani cabaran-cabaran utama, termasuklah:

  • Menambahbaik akses kepada pemeriksaan dan rawatan.
  • Merapatkan jurang pembiayaan untuk menyokong pesakit yang memerlukan.
  • Meningkatkan program advokasi supaya dapat sampai ke komuniti dengan berkesan.

Hasil mesyuarat ini akan didokumentasikan dalam Kertas Putih, yang berfungsi sebagai sumber untuk menangani ketidak kesamaan dalam penjagaan kanser payudara dan panduan kepada usaha kerjasama pada masa hadapan.

Related posts

QUINOA: BUTIRAN KECIL, IMPAK BESAR PADA KESIHATAN

adminwm

NASI DAN PERLUKAH ANDA MAKAN SETIAP?

adminwm

FAHAMI APA ITU PRAMENOPAUS, PERIMENOPAUS, MENOPAUS

adminwm

Leave a Comment