GAYA HIDUPkesihatan

Bagaimana Diabetes Mengubah Hidup Saya?

Dua puluh tahun yang lalu, saya dimasukkan ke hospital akibat denggi. Selepas menjalankan beberapa ujian darah, doktor menyampaikan suatu berita yang mengejutkan, iaitu saya turut menghidap diabetes Jenis-2. Perspektif saya berubah dalam sekelip mata. Saya baru sedar bahawa selama ini, saya memandang remeh kesihatan saya.

Sebelum itu, pengetahuan saya tentang diabetes dan kesannya tidaklah begitu mendalam. Ketika itu, saya masih muda dan ingin menikmati kehidupan saya tanpa sebarang kongkongan. Bagi saya, itu bermakna mempunyai kebebasan untuk makan apa sahaja, terutamanya makanan segera dan minuman bergas. Berat badan saya pada masa itu adalah 160 kg.

Saya tidak mahu melepaskan makanan ringan kegemaran saya, tetapi menghidap diabetes bermakna saya tiada pilihan lain, maka saya tahu perubahan tentunya tidak akan datang dengan mudah. Lebih-lebih lagi, menusuk jari untuk menguji paras glukosa bukan sahaja menyakitkan tetapi juga menyusahkan.

Menurut doktor saya, pengurusan diabetes adalah komitmen sepanjang hidup dan beliau menasihati saya agar lebih kerap bersenam selain mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat. Setiap hari, keputusan saya berkaitan dengan penyediaan dan kuantiti makanan mampu memberi kesan ketara kepada paras glukosa saya.

Namun begitu, perubahan gaya hidup yang drastik mula membuat saya rasa tertekan dan letih. Tanpa sedar, saya terjebak semula dengan tabiat lama saya. Saya kembali makan tanpa kawalan dan menjalani gaya hidup kurang aktif. Saya kecewa dan sedih dengan diri sendiri sehingga terasa mahu berputus asa.

Titik perubahan

Tahun-tahun berlalu sehingga pada suatu hari, ibu saya yang bimbang akan kesihatan saya menggalakkan saya untuk menjalani ujian HbA1c buat kali pertama selepas sekian lama,  untuk mengukur paras glukosa saya. Kami terkejut apabila mendapat tahu paras glukosa saya mencecah 19.1 milimol seliter (mmol/L), iaitu paras tertinggi setakat itu dan jauh melebihi julat normal 5.7 mmol/L ke bawah.

Pada saat getir itu, saya tahu saya harus membuat perubahan drastik ke atas kehidupan saya dengan segera.

Walau bagaimanapun, mengurus paras glukosa yang turun naik tanpa bimbingan dan sokongan yang betul adalah sangat mencabar. Selepas seketika, saya mendapati diri gagal lagi untuk mengawal keadaan saya dan seakan-akan tiada sebarang kemajuan, tidak kira seberapa keras saya berusaha.

Detik perubahan berlaku enam tahun lalu apabila saya dimasukkan ke hospital disebabkan paras glukosa yang terlalu tinggi, yang ketika itu mencapai 16.1 mmol/L. Pada masa itu, saya yang lebih matang dan telah mendirikan rumah tangga, sedar bahawa saya harus mengubah gaya hidup saya kerana ia membabitkan soal hidup dan mati.

Saya mula mencari maklumat dalam talian untuk memahami tabiat yang perlu saya amalkan bagi menguruskan diabetes saya dengan lebih baik. Makin banyak saya belajar, semakin saya teruja. Saya mendapati bahawa teknologi telah berkembang pesat sejak saya didiagnosis, dan terdapat pelbagai peralatan yang dapat membantu saya memantau paras glukosa saya serta memahami perkara-perkara yang perlu saya lakukan untuk kekal sihat.

Saya kini mengamalkan rejim pemantauan yang konsisten dengan memeriksa paras glukosa saya tujuh kali sehari. Ini membolehkan saya lebih cakna tentang pengambilan makanan saya. Saya mula mementingkan diet yang berkhasiat dan sihat, termasuk meningkatkan pengambilan protein dan mengurangkan pengambilan karbohidrat, di samping memilih makanan sihat seperti beras perang dan sayur-sayuran. Selain itu, saya turut menerapkan Glucerna ke dalam rutin harian saya, yang merupakan satu suplemen pemakanan diabetes.

Selain pemakanan sihat, saya rajin bersenam, mengambil ubat mengikut masa ditetapkan, dan berjumpa dengan doktor saya secara konsisten.

Usaha keras saya akhirnya membuahkan hasil. Bacaan paras glukosa saya telah bertambah baik, dan ini memberikan saya motivasi untuk berusaha meningkatkan kesihatan diri.

Mengawal Diabetes

Pada 2021, saya menyertai Program Perubahan Gaya Hidup Glucerna (GLCP), sebuah program intervensi selama empat minggu yang merangkumi kaunseling diet, pemakanan diabetes, senaman dan pemantauan glukosa secara berterusan.

Sepanjang program itu, saya menjalani sesi perundingan maya pada setiap minggu bersama pakar diet yang telah banyak memberi sokongan dari segi pelan makanan berdasarkan keperluan diet, kegemaran, dan matlamat kesihatan saya. Saya digalakkan untuk mencatatkan jurnal bagi memantau bacaan paras glukosa harian dan pengambilan makanan saya, selain menjejaki perkembangan mingguan saya. Saya turut meningkatkan tahap senaman saya dengan berlari di atas treadmill selama 45 minit hingga satu jam setiap hari. Ia merupakan satu perubahan drastik daripada gaya hidup saya yang tidak aktif sebelum itu.

Program itu mendatangkan hasil yang pantas dan ketara. Saya mula berasa lebih sihat, dan selepas sebulan mengikuti program itu, berat badan saya telah susut sebanyak 5 kg dan paras glukosa saya kekal stabil pada sekitar 6 mmol/L.

Saya juga belajar tentang cara merawat episod paras glukosa rendah atau hipoglikemia dengan berkesan, yang merupakan salah satu cabaran terbesar buat saya. Melalui program tersebut, saya dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dan pembelajaran dengan orang lain yang menghadapi cabaran yang sama. Komuniti ini merupakan sumber inspirasi untuk saya dan membuat saya berasa tidak bersendirian dalam perjalanan ini.

Sebuah Pengajaran

Pengalaman saya dalam program itu memberikan banyak pengajaran kepada saya, seperti kepentingan gaya hidup sihat, mengawal porsi setiap jenis makanan, mematuhi jadual makan, bersenam secara konsisten, serta mengambil formula khusus diabetes yang mengandungi nutrisi lengkap dan seimbang seperti Glucerna. Bagaimanapun, pengajaran paling penting yang telah saya pelajari adalah, diabetes itu mampu diurus.

Kini, saya lebih komited untuk mengekalkan paras glukosa saya dalam julat sasaran iaitu purata 6-6.3 mmol/L. Malah, saya bertekad untuk merendahkannya lagi dan telah menetapkan matlamat yang jelas dalam hal ini, dan saya yakin saya pasti dapat mencapainya. Begitu jauh perjalanan saya dengan diabetes, sehingga berjaya menurunkan berat tertinggi daripada 160 kg kepada 100kg pada masa ini. Kini, saya mampu mengawal diabetes saya dengan lebih baik dan berasa lebih bertenaga.

Saya ingin berkongsi kisah dan pengetahuan saya dengan orang lain yang sedang bergelut dengan diabetes. Mengamalkan perubahan gaya hidup yang positif telah mengubah kehidupan saya dan keluarga. Perjalanan saya ini khususnya telah memberi inspirasi kepada bapa mertua saya yang telah hidup bertahun-tahun dengan diabetes, sekali gus menggalakkannya untuk membuat perubahan gaya hidup.

Semoga perkongsian ini akan memberi inspirasi kepada semua pengidap diabetes untuk membuat perubahan gaya hidup yang positif. Saya ingin menyedarkan orang ramai bahawa walaupun menghidap diabetes, anda tetap boleh menjalani kehidupan yang sihat, bahagia dan bermakna.

Related posts

Hukum Ibu Sengaja Tidak Menyusukan Anaknya Tanpa Sebab Munasabah

adminwm

Sokong Bendera Putih

admin

OPPO Pad Air to Debut Together with the Reno8 Series 5G Launch

adminwm

Leave a Comment