Meskipun penyakit ini boleh terjadi tanpa tanda gejala yang banyak, ia masih dapat dikesan melalui pemeriksaan berkala demi memastikan para ibu dapat melalui proses kelahiran yang selamat
Ketika bakal ibu sedang menantikan kelahiran anaknya, kesihatan kedua-dua ibu dan anak haruslah menjadi keutamaan namun terdapat juga situasi yang boleh membuat keduanya berada di dalam bahaya. Hal ini termasuklah penyakit yang kurang dikenali seperti Praeklampsia, dan perkembangan penyakit ini yang lebih jarang berlaku iaitu Eklampsia.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nor Elyana Noordin berkongsi bahawa praeklampsia ialah sebuah komplikasi kehamilan yang bercirikan oleh tekanan darah tinggi serta petanda kerosakan pada organ lain, yang selalunya berlaku di buah pinggang di mana ia merembeskan protein (proteinuria). Ia disebabkan oleh pembentukan salur darah yang tidak normal dalam plasenta dan saluran darah si ibu – namun begitu, punca sebenarnya masih belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.
“Eklampsia ialah permulaan sawan untuk wanita yang sedang hamil dan merupakan komplikasi teruk bagi praeklampsia. Praeklampsia lazimnya berlaku sewaktu fasa antenatal, lebih-lebih lagi ketika si ibu sedang berada di trimester ketiga kehamilan mereka. Sebanyak 80% daripada sawan eklampsia berlaku ketika proses melahirkan anak atau dalam jangka masa 48 jam selepas melahirkan anak. Dr Elyana turut menjelaskan bahawa mengikut statistik, kelaziman kes praeklampsia dan eklampsia berlaku adalah sebanyak 4.6% dan 0.3%.
Di Malaysia, eklampsia mewakili 6% daripada punca kematian para ibu pada tahun 2020 dan mengambil tempat keempat bersama kelahiran luar rahim (ectopic pregnancy) selepas obstetric embolism, postpartum haemorrhage dan gestational hypertension with significant proteinuria.
Tanda gejala bagi praeklampsia
Menurut Dr Elyana, eklampsia dapat dielakkan dengan rawatan yang diberikan pada masa yang tepat, serta melalui pemeriksaan berkala kerana terdapat tanda gejala dan parameter klinikal yang dapat membantu untuk menghindari komplikasi praeklampsia yang lebih teruk.
“Kesihatan wanita hamil yang mengalami praeklampsia harus dipantau secara kerap melalui pemantauan bacaan tekanan darah, pemeriksaan darah dan ujian protein urin untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi yang bakal dilahirkan sentiasa berada di tahap yang baik. Jika bacaan tekanan darah tinggi masih tidak boleh dikawal walaupun selepas mengambil ubat-ubatan secara optimal atau bacaan keputusan ujian darah adalah tidak normal, bayi di dalam kandungan harus dilahirkan supaya praeklampsia tidak akan menjadi lebih teruk dan bertukar ke eklampsia,” ujar Dr Elyana.
Walaupun praeklampsia boleh berlaku tanpa sebarang tanda gejala, bacaan tekanan darah harus diberi perhatian ketika wanita hamil sedang menjalani pemeriksaan antenatal. Tanda gejala yang juga boleh berlaku apabila praeklampsia menjadi semakin teruk ialah sakit kepala yang keterlaluan, masalah penglihatan, sakit di bawah tulang rusuk, loya teruk dan muntah-muntah, berat badan naik secara mendadak, dan bengkak (oedema) pada wajah atau tangan.
Siapa yang berisiko untuk mendapat praeklampsia?
Mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi atau penyakit buah pinggang sedia ada mempunyai risiko untuk mendapat praeklampsia. Mereka yang mempunyai penyakit lupus atau antifosfolipid juga berisiko tinggi untuk mendapat praeklampsia.
Faktor lain termasuklah kehamilan pertama, sejarah keluarga yang mengalami prakelampsia, berusia lebih 40 tahun, mempunyai jarak 10 tahun dari kehamilan sebelumnya, hamil dengan lebih dari seorang bayi (kembar atau kembar tiga) atau bacaan indeks jisim tubuh (BMI) 35 dan ke atas.
Dr Wong Yen Shi, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari SMCV berkongsi bahawa terdapat risiko sebanyak 15% untuk seorang wanita mendapat praeklampsia sewaktu kehamilan kedua jika beliau mengalami praeklampsia sewaktu kehamilan pertamanya. Dr Wong juga menerangkan bahawa terdapat gaya hidup yang dapat membantu mengurangkan risiko untuk mendapat praeklampsia.
“Untuk wanita yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, adalah amat penting sekali untuk memastikan bacaan tekanan darah anda terkawal sebelum membuat keputusan untuk hamil. Aspirin boleh digunakan untuk mengelak atau melambatkan praeklampsia berlaku. Selain itu, bersenam dan mengamalkan diet seimbang adalah penting untuk kesihatan secara amnya, namun ia tidak dapat menghalang praeklampsia dari berlaku,” kongsi beliau.
Bagaimana untuk merawat praeklampsia dan eklampsia?
Dr Wong menerangkan bahawa rawatan yang paling berkesan untuk merawat praeklampsia adalah dengan cara melahirkan bayi tetapi jika usia kandungan masih belum mencukupi, keadaan ini boleh dikawal melalui ubat darah tinggi, ujian darah dan ujian protein urin serta pemeriksaan berkala untuk memantau keadaan ibu dan bayi.
“Jika usia kandungan sudah mencecah 37 minggu atau lebih, bayi boleh dilahirkan melalui kaedah induksi kelahiran atau pembedahan caesarean. Bagi bakal ibu yang usia kandungan belum mencecah 37 minggu tetapi sudah mengalami komplikasi praeklampsia, mereka perlu melahirkan anak dengan segera. Melahirkan anak dan plasenta merupakan cara terbaik bagi merawat praeklampsia. Selain itu, magnesium sulfat juga digunakan untuk mengelak dan merawat eklampsia,” ujar Dr Wong.
Apakah kesannya ke atas perkembangan bayi?
Memandangkan penyakit ini berpunca daripada plasenta, praeklampsia boleh menghalang bayi dari mendapat bekalan darah yang mencukupi. Sebagai kesannya, bayi akan bersaiz kecil yang juga dikenali sebagai fetal growth restriction kerana ia tidak dapat membesar secara normal di dalam rahim.
“Praeklampsia dan komplikasinya boleh meningkatkan peluang untuk mendapat kelahiran pramatang dan antara komplikasi yang boleh dialami oleh bayi pramatang termasuklah celebral palsy (gangguan pergerakkan yang tidak boleh dirawat), masalah pembelajaran, masalah pemakanan atau usus serta gangguan penglihatan atau pendengaran,” tambah Dr Wong.
Meskipun pengalaman hamil dan melahirkan anak adalah berbeza bagi setiap ibu, cara terbaik untuk menghindari praeklampsia seterusnya eklampsia adalah dengan cara diagnosis awal. Penjagaan pranatal dan postnatal adalah kunci utama. Pesakit harus menjalani pemeriksaan yang konsisten dan harus memberitahu doktor jika mereka mengalami sebarang simptom baru untuk memastikan mereka dapat melahirkan anak dengan selamat.
sila lawati www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).