DONE, SEEN & HEARDGAYA HIDUP

FENOMENA ‘ALAMAK RAYA LAGI’

Alamak! Gediknya. Itu kata hati kala mula-mula menonton telatah sesetengah netizen dalam video ‘Alamak Raya Lagi’ yang mereka muatnaik. Namun lama kelamaan seronok pula menontonnya, malah iramanya asyik berulang di kepala. 

Begitupun Syawal sudah melabuhkan tirainya, ramai yang masih teringat-ingatkan Aidilfitri  2024 yang istimewa itu. Sepertimana ramai yang terlajak beraya, fenomena lagu ‘Alamak Raya Lagi’ tentunya masih kedengaran dan membuat hati berbunga riang, tapi cuma,apa yang seronoknya dan apa pula yang cumanya? Masing-masing punya pendapat dan pandangan tersendiri.

Seronok dengan gelagat netizen pelbagai aksinya. Cuma yang peliknya kenapa pula lagu ini liriknya sungguh negatif. Jika semua lagu Raya seronok dek Syawal yang bakal diraikan tapi yang ini disambut dengan ‘Alamak!’. Satu kata seruan yang biasanya digunakan pada situasi negatif atau bahasa pasarnya,‘tak syok’.

Biasanya lirik lagu Raya menceritakan segala yang indah dan menarik, misalnya kuih-muih lazat yang terhidang dengan ketupat dan rendangnya sekali, tetapi yang ini kuihnya tak menjadi, menganyam ketupat pun tergesa-gesa sementara rendangnya pula hangus. Selalunya orang tak sabar dan ghairah bab persiapan baju Raya tapi yang ini baju Raya pun terlupa beli. Tidak cukup dengan keadaan yang haru biru itu, kain samping si ayah pula dah kena sorok dan tiket bas untuk pulang ke kampung beraya pun tak sempat beli. Alamak! Memang tak berayalah nampaknya! 

Ramai juga yang mengecam dan memberi pandangan negatif hal lirik lagu ini hingga ada yang memuat naik cover lagu ini dengan lirik dicipta sendiri dalam kata-kata indah lagi positif. Begitupun setelah buat sedikit homework, barulah faham kisah di sebalik penciptaan lirik tersebut. Rupa-rupanya lagu ini dicipta pada 2022 yang mana ia merupakan sebuah lagu dan sketsa yang merakamkan keadaan kelam kabut umat Islam di Malaysia beraya tergempar sehari lebih awal daripada yang ramai jangkakan. 

Masih ingat lagi, sebaik pengisytiharan diumumkan pasaraya bersesak dengan pelanggan beragama Islam yang ‘berlumba’ membeli-belah, malah ada yang tidak sempat dan dek kerana kehabisan barangan yang dicari di semua pasaraya pada malam tersebut, ramai akhir membuat persiapan alah kadar. Itulah punca kisahnya lagu ini dan bagaimana klip videonya terhasil. 

Berlatarkan irama lagu dan meniru aksi kumpulan De Fam, dalam video ‘Alamak Raya Lagi’ kumpulan tersebut, masing-masing seronok apabila pos mereka viral dan menjadi trending dalam media sosial khususnya Instagram dan FB gamat dengan pelbagai versi dan aksi.

Menariknya, gerak tari dan gelagat mereka tak ubah seperti aksi asal De Fam sementara ramai juga yang menokok tambah dengan idea tersendiri menjadikan video asal arahan Ashrafiqal Aleef itu kian popular dan menular. Banyak klip video tersebut melucukan hingga viral dan mendapat puluhan ribu viewers dalam beberapa hari saja hari sahaja sebaik dimuatnaik.

C:\Users\Wani\Desktop\AGY 1.jpg
C:\Users\Wani\AppData\Local\Packages\Microsoft.Windows.Photos_8wekyb3d8bbwe\TempState\ShareServiceTempFolder\AGY 2.jpeg

Ada yang merakamnya sendirian, berdua, berkumpulan dengan kawan-kawan, sementara ramai memilih beraksi dengan ahli keluarga. Tidak cukup adik, abang dan kakak, sepupu sepapat, ipar-duai, dipujuknya sekali. Emak dan ayah pun tidak terlepas, tidak mengira lagi makcik dan pakcik, hingga ada juga mengheret atuk nenek sekali beraksi sama. 

Apa yang boleh dikatakan, video-video tersebut menyeronokkan dan menarik untuk ditonton bahkan melucukan. Setiap kali tonton video klip yang dimuat naik membuat hati bertambah ghairah dan adakala tergelak sendiri dengan telatah masing-masing baik yang divideokan mahupun gelagat mereka yang di belakang tabir.

Ini membuat jari membuka TikTok, IG atau FB sebab nak mengintai kalau-kalau ada klip video terbaru yang dimuat naik netizen. Yang pastinya, trend tersebut bak tsunami yang melanda dan terus menular serta mendapat pujian ‘like’ yang diluar dugaan serta komen yang memberangsangkan lagi positif.

Undang Teguran

Namun begitu apabila terlalu banyak yang dimuat naik mulalah ada pandangan dan teguran-teguran daripada beberapa pihak termasuk alim ulamak yang berasa kurang senang. Memanglah ada sesetengah video aksinya melampau dan melanggar hukum hakam dengan baju sendat, mendedah, melondeh dan aksinya pula berlebih-lebih dan kurang sopan membuat sesetengah berasa kurang senang. Sudah tentulah ia mengundang teguran dan cemuhan. 

Sejujurnya memang patutlah ditegur, begitupun saya tidak mahu sentuh bab hukum hakam dan biarlah diserah pada mereka yang bertauliah dan lebih arif. Namun daripada pengamatan, kebanyakan video yang dimuat naik tidak pula menjolok mata dan jika ada warga emas dan yang tua-tua pun ramai yang sekadar menggerak-gerak sikit tubuh dan tangan saja. Tidak melampau mana. Just a sporting spirit dan sekadar berseronok dengan ahli keluarga, apa salahnya.

Sebaliknya tabik dengan beberapa video menarik yang mengajak seluruh keluarga beraksi termasuk yang muda dan tua tetapi menariknya tanpa mengenepikan nilai-nilai budaya dan adab kesopanan.

Antaranya ialah video raya Agy bersama keluarganya yang menarik, segar dan meletup popular. Video klip tersebut membuat saya kagum, tergelak sendiri, dan pada masa sama rasa seronok melihat keakraban dan gelagat ahli keluarga yang bersahaja dan begitu sporting. Orang kata yang muda-muda tu memanglah teruja gelagatnya tapi yang tua-tua pun nampak bersahaja.  

Apa yang ingin disentuh ialah setiap video secara selamba mempamerkan nilai-nilai kemesraan dan pertalian kekeluargaan, keakraban persahabatan yang tinggi dan patut digalak, dibanggakan dan dihargai. Lagi pula bukan mudah merakam dan mengendalikan bakat amatur beraksi dan tidak ramai ahli keluarga yang sporting lebih lagi yang sudah berusia tidak biasa dengan kamera. Lagi tabik pada sesetengah ‘pengarah’ amatur di belakang tabir yang berjaya menghasilkan video ala pakar.

Harumkan Nama Malaysia

Di sebalik kontroversi, kecaman, teguran dan macam-macam, lagu Raya ini terus menular di luar jangkaan. Sedikit sebanyak ia telah mengharumkan nama negara apabila ada netizen dari Jepun dan Korea memuat naik versi masing-masing termasuk dalam bahasa Cina oleh rakyat Malaysia.

C:\Users\Wani\Desktop\jepun.jpeg
C:\Users\Wani\Desktop\alamak korea.jpeg
C:\Users\Wani\Desktop\arl jepun.jpeg

Hakikat kejayaan lagu ini dan kumpulan De Fam, teringat pula lagu Isabella yang dipopularkan oleh Amy dan kumpulan Rock Search pada 1989. Isabella telah mencipta fenomenanya tersendiri apabila ia menjadi terkenal sehingga ke tanah seberang sekitar Nusantara dan telah dialih ke dalam beberapa bahasa termasuk Cina oleh Raymond Chooi, Inggeris oleh Diane Karren, Jepun dan, Korea.

Bayangkan betapa hebat dan gempaknya Isabella seandainya lagu yang dicipta oleh M.Nasir dan liriknya yang ditulis oleh arwah Bob Lokman ini tercipta hari ini, dan dengan kecanggihan teknologi tentulah ia akan menjadi viral secara global, sampai ke Paris dan Hollywood sudah tentunya.

Related posts

Bagaimana Diabetes Mengubah Hidup Saya?

adminwm

Apalah Maknanya Tom & Jerry Tanpa Keju?

admin

Cara Anda Minum Madu Salah, Patut Lah Tidak Menjadi Ubat

admin

Leave a Comment