DONE, SEEN & HEARD

Menjelang 31 Ogos, Sempurnakah Merdeka Kita?

Pejam celik, Ogos berkunjung lagi. Bulan paling bersejarah, berharga dan bermakna bagi rakyat Malaysia ini memberi seribu harapan dan segunung impian. Sedihnya, kita masih di ambang dilema tentang pengertian dan pengisian merdeka kita. Ditokok-tambah oleh faktor kekangan luaran di peringkat global seperti pandemik, ekonomi dan politik, kita bagai terus terbelenggu.

Persoalannya, merdekakah kita? Cukupkah sekadar menaikkan Jalur Gemilang yang berkibar megah secara fisikal sedangkan jiwa rakyat  tertekan, lemas dan terus tenggelam bersama arus deras perkembangan yang tiada kepastian.

Kebelakangan ada pula teori dan faktor yang mengocak minda dan menyentuh jiwa rakyat Malaysia; kenyataan Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan kemerdekaan sebenarnya tidak dituntut daripada mana-mana pihak termasuk orang British sekalipun menimbulkan seribu kekeliruan dan pertanyaan. Memang ada teori dan faktanya yang menarik lagi tersendiri berkaitan hal itu, namun begitu ada terbit rasa terkilan, mengapa hari ini baru dipersoalkan? Apapun biarlah pembaca yang mengupas dan menjadi jurinya.

Menilai tahap pencapaian kemerdekaan secara rambang bagi sesebuah negara dalam ertikata yang sebenar, perlulah mengambil kira banyak faktor dari sudut pembangunannya. Antaranya, sahsiah masyarakat, pendidikan, ekonomi, budaya, agama, politik dan tatacara kehidupan yang membentuk peradaban masyarakat terbabit.

Kita tahu yang semua faktor tersebut saling kait-mengait untuk membangunkan sesebuah negara. Kita juga sedar bahawa perkembangan politik sesebuah negara itu begitu penting untuk menjulang atau sebaliknya menelungkupkan kedaulatan serta kestabilan negara di mata negara jiran juga di peringkat dunia. Pertumbuhan ekonomi dan perdagangan pasti turut terkesan hasil daripada pergolakan politik sebuah negara.

Tangga 31 Ogos 2022 hadir dengan seribu harapan. Namun, adakah sambutan tahun ini membawa seribu makna kepada rakyat seperti yang diraikan pada detik-detik keramat tahun 1957 atau turut memberi semangat 1967 yang diasak dengan jiwa ‘Malaysia Baru’ atau membibit kegemilangan Malaysia di zaman Tun Mahathir 1997 yang terus menuju mercu tanda ‘The Glorious Malaysia’ di awal millennium?

Sebagai rakyat Malaysia, apakah erti kemerdekaan bagi anda untuk tahun 2022 ini? Begitupun kemerdekaan memberi pelbagai pengertian dan harapan kepada setiap warganegara di mana-mana negara di dunia.

Saya ada terbaca coretan Kamal Shukri Abdullah Sani, Pengerusi Biro Pembangunan Insan dan Komuniti, Majlis Perundingan Melayu (MPM). Walaupun ianya satu pandangan peribadi penulis, namun saya setuju dalam banyak perkara, baik dari segi pembangunan negara, ekonomi, mahupun kemajuan dalam pendidikan negara, persoalan yang beliau ajukan sesungguhnya mewakili peratusan besar rakyat Malaysia.

Antara yang dipersoalkan, cukup merdekakah kita dengan kewujudan kira-kira 10,000 institusi sekolah dan tertubuhnya 22 universiti awam yang sejumlahnya dikatakan berprestasi tinggi, sedangkan puluhan ribu graduannya masih menganggur. Sedihnya ada pula yang bekerja dengan pendapatan di bawah paras kemiskinan, sekadar menjadi pemandu Grab dan menjadi penghantar makanan?

Usah pergi jauh, kita kupas sahaja sesuatu yang kita buat setiap hari dan dan begitu dekat dengan kita iaitu bahasa. Entah sampai bila kita harus berdolak-dalik tentang penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi Malaysia dan mengenepikan kedaulatanya hanya untuk menjaga hati sesetengah pihak? Atau kita sendiri malu untuk mengguna dan merasmikannya?

Setiap kali tukar Menteri Pendidikan, setiap kali timbullah isu untuk memperkukuhkan dan menguatkuasakan penggunaan bahasa Malaysia, tetapi sejak merdeka hingga lah ke hari ini, isu Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang wajib digunakan di mana sahaja dan khusus untuk urusan rasmi masih diperdebatkan dan tidak pernah diseragamkan kecuali urusan yang membabitkan pihak kerajaan.

Sedihnya puluhan dan ratusan institusi pendidikan swasta juga yang punya pengaruh antarabangsa wujud secara sendiri-sendiri atau secara berkembar tidak langsung mempedulikan aspek bahasa, mahupun nilai-nilai yang ada kaitan jati diri.  Dan tidak memperdulikan juga aspek budaya sebagai teras negara ini. Paling sedih, ada pula pihak yang bertanggapan isu bahasa Malaysia terlalu remeh dan harus diketepikan demi menuju pencapaian secara global.

Siapa Yang Merdeka?

Sesebuah negara dianggap merdeka dan makmur apabila ekonominya mantap dan stabil. Walaupun berlaku inflasi secara global, negara tersebut tetap teguh mengharung segala cabaran, baik dari dalam mahupun luaran. Mungkin ekonominya turut tergugat namun ia tidak akan terus menjunam. Apakah erti merdeka bagi ekonomi negara yang keadaan pasangn pendek, surutnya memanjang dan berterusan menguncup?

Sesetengah berpendapat semua negara dunia waktu ini sedang mengalami pasang surut. Dan teruk lebih lagi sewaktu juga selepas pandemik Covid-19 ini, segalanya tidak menentu. Jadi bolehkah kita terima ini sebagai alasan untuk bersenang hati dan terus bersabar?

Sesuatu yang pasti, pergolakan politik hari ini tentu sahaja memberi implikasi tidak bagus kepada ekonomi Malaysia bukan sahaja sepanjang 2022, malah memandangkan pada ketika negara masih lagi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), perkembangan ekonomi kita sesungguhnya membimbangkan.

Walaupun kita tahu kementerian dan agensi kerajaan sedang dan akan terus berusaha melaksanakan pelbagai program pemulihan ekonomi sedia ada, dan memperkenalkan program baru yang sesuai, namun perubahan Kabinet serta perkembangan krisis politik yang tiada kesudahan, suka atau tidak sudah pasti juga akan menjejaskan usaha memulihkan ekonomi kita.

Pertumbuhan ekonomi dan perdagangan tidak dapat mengelak daripada terkesan akibat pertelingkahan kuasa politik dan ekonomi. Indeks rasuah yang begitu tinggi hingga dilabel negara paling tinggi kes rasuahnya cukup untuk memberikan impak negatif kepada para pelabur dan amat buruk untuk industri pelancongan. Penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam pengurusan penghakiman di peringkat tinggi yang semakin berleluasa juga amat membimbangkan dan mencemar kedaulatan negara.

Justeru, perkembangan negatif dan pergolakan politik berterusan seperti yang kita alami di negara Malaysia kini, membuatkan pelabur berpotensi tinggi mengalih tumpuan kepada negara jiran. Seperti yang kita sedia maklum telah terbukti banyak syarikat gergasi yang telah bertapak di negara ini sejak berdekad lalu telah berpindah operasi ke negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

Lebih membimbangkan, usaha kerajaan sedia ada menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensinya yang bertungkus-lumus cuba membawa masuk atau menarik minat pelabur berimpak tinggi ke Malaysia akan hanya menjadi kerja yang sia-sia.

Selain faktor-faktor penting seperti pendidikan, ekonomi dan politik yang disebutkan, kemerdekaan dalam pembangunan kemajuan sains dan teknologi negara juga perlu dititikberatkan. Kita perlu bertanya, sejauh manakah pembangunannya melestarikan budaya dan jati diri rakyat? Ataukah ia telah membawa keruntuhan dalam banyak sudut kehidupan?

Akhir kata, dengan slogan “Keluarga Malaysia – Teguh Bersama”, rakyat Malaysia berbilang kaum perlu peka dan jelas dalam fasal perlembagaan negara Malaysia tercinta ini, misalnya tentang perkara-perkara yang membabitkan kedaulatan Raja-raja Melayu, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Apalah ertinya Merdeka jika ia membawa bersamanya keruntuhan agama, menurunnya nilai dan jati diri, hilangnya budaya dan terhapusnya bahasa ibunda.

Related posts

KISAH MENTERI JADI MODEL – Sudah-sudahlah Mencaci!

admin

Mengenang Ramadan Kenapa Perlu Lebih Sepi?

admin

I Will Stay Relevant As For Now

admin

Leave a Comment