DONE, SEEN & HEARD

DONE, SEEN & HEARD/Mahani Awang

Akhirnya Najib Ke Penjara
23hb. Ogos 2022. Kuala Lumpur – Pagi ini bermulanya detik bersejarah pedih buat negara. Sejak menjelangnya subuh hujan lebat dan renyai silih berganti bagai mengiringi degup jantung seluruh rakyat Malaysia yang seketika reda dan sebentar berdebar deras. Cemas dan lemas menanti saat-saat pengumuman yang ditunggu-tunggu sekian lama.

Akhirnya keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berakhir dengan linangan air mata gembira bercampur sedih. Gembira kerana keadilan telah dilaksanakan namun sedih kerana ia sejarah pahit buat negara.

It is obvious that the whole nation felt relieved with tears of joy. For hundreds of Najib’s followers, it could be said, it was an unfair trial for Najib. A thing for sure, I have to say that many felt happy and content because justice had been served to the people of Malaysia. Personally I was relieved too because it is timely for the country to move on with future plans and work on agendas without having to worry about the biggest corruption scandal and most talked about criminal breach of conduct in the country.


Ramai yang bergenang air mata dengan penuh rasa bersyukur kerana sekian lama penantian hasil perbicaraan yang bagaikan tiada kesudahan ini menutup tirainya. Lega, puas dan bersyukur bukan sahaja kerana keadilan telah dimartabatkan tetapi juga dengan hasil penghakiman ini memberikan satu impak positif serta ternyata membuktikan bahawa sistem perundangan dan kehakiman negara masih boleh dipercayai dan kekal dilindungi daripada sebarang campur tangan atau desakan mana-mana pihak khususnya pertubuhan politik negara.


Ini satu indikasi yang baik untuk rakyat Malaysia terus fokus kepada hal-hal lain yang lebih penting dan membuat seluruh rakyat Malaysia kini mampu menghela nafas lega. Lebih bermakna lagi, ia memainkan peranan besar buat kredibiliti dalam sistem kehakiman negara di mata dunia. Ini merupakan satu titik penting dalam usaha mengubah politik negara yang lebih beramanah, berintegriti dan demokratik. Ia juga akan meletakkan semula negara di peta dunia sebagai negara yang berdaulat, harmoni dan saksama.


Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim supaya menarik diri daripada mendengar rayuan akhir Najib adalah kunci kepada ketelusan dan hasil kehakiman yang diyakini. Syabas buat YAA Tengku Maimun dan teamnya!

Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) yang mempengerusikan panel lima hakim
Foto – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia

Menurut Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati permohonan itu gagal menunjukkan terdapatnya unsur-unsur bahaya yang nyata bahawa kedudukannya akan menyebabkan perlakuan berat sebelah dan permohonan itu mestilah menunjukkan bahawa kenyataan oleh pihak ketiga itu akan menjejaskan penemuan mahkamah. Dalam perkara ini, mahkamah mendapati permohonan tersebut gagal bagi menunjukkan terdapatnya bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan perlakuan berat sebelah.


Mahkamah Persekutuan akhirnya menolak rayuan terakhir Najib dan beliau diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Begitupun, ia bukan keputusan sepenuh buat Najib dan ramai masih belum berasa lega kerana kes tersebut hanyalah sebahagian daripada kes-kes korupsi serta penyelewengan yang dilakukan oleh beliau dan ramai ahli-ahli politik lain yang masih bebas dan belum diadili.

Pandangan PM dan Dua Bekas Perdana Menteri


Begitupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menafikan wujud desakan supaya beliau campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ramai yang masih berteka-teki dalam perkara itu. Perdana Menteri menyatakan penafian itu ketika ditemui selepas menyempurnakan acara penutup Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan (MOF), pada hari yang sama.
“Tiada…tiada (desakan campur tangan),” itulah kata beliau kepada pihak media. Begitulah sikap beliau yang akhir-akhir ini memang selalu mengelak daripada membuat apa-apa kenyatan berkaitan kes Najib itu.


Ramai membuat komen positif terhadap sikap Ismail itu kerana tindakan tersebut adalah yang terbaik dan Ismail sepatutnya menyerahkan kepada hakim yang menentukan. Hasil penghakiman yang memutuskan Najib ke penjara dan didenda setimpalnya, dilihat sebagai satu keputusan terbaik dan sikap Perdana Menteri Malaysia itu menzahirkan bahawa beliau berkecuali dan punya pendirian serta prinsip dalam hal tersebut.


Sementara itu bekas Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib itu bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan.


Kenyataan beliau itu ekoran daripada hasil pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM2.6 billion dan termasuk kes-kes rasuah yang membabitkan Pengerusi BN serta kes-kes berprofil tinggi lain masih lagi belum selesai dihakimi sepenuhnya dan masih tiada penutupnya. Namun beliau berasa lega dan memuji tampuk kehakiman yang mantap dan boleh dipercayai yang telah mengendalikan kes tersebut dengan penuh dedikasi.


Oleh kerana sebab-sebab yang tersebut, keluhuran kebebasan badan kehakiman negara perlu terus dilindungi supaya tiada cubaan campur tangan atau adanya desakan politik daripada mana-mana pihak dari dalam mahupun luar supaya dapat memastikan keadilan sentiasa dalam penghakiman kes-kes berprofil tinggi seperti 1MDB ini penghakiman setimpal serta sistem kehakiman dapat ditegakkan.
“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri,” katanya. Begitupun ada desakan politik supaya beliau campur tangan dalam kes tertentu berprofil tinggi, beliau tegas dan menolaknya. Akhirnya beliau terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsipnya.

“Tiada…tiada (desakan campur tangan),” itulah kata beliau kepada pihak media yang ingin mendapat penjelasannya.” – Ismail Sabri.

“Kebebasan dan integriti badan kehakiman sepertimana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi.” – Tan Sri Muhyiddin Yassin
Najib dipenjara: “Ini bukan sesuatu yang menggembirakan, saya naikkan dia jadi PM” – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyatakan kesal dan mengakui hukuman yang dihadapi anak didiknya, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sesuatu yang menggembirakannya. Memang tidak mudah bagi beliau untuk menerima kenyataan itu kerana beliau bertanggungjawab menaikkan Ahli Parlimen Pekan itu sehingga bergelar Perdana Menteri.


Begitupun Tun kesal kes perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ini telah mengambil masa yang begitu lama untuk diselesaikan. Pada pandangan beliau, kes berkenaan yang berlarutan sehingga empat tahun itu mengakibatkan banyak kes membabitkan ahli politik lain juga telah turut tertangguh.


“Ada pepatah Inggeris yang berkata ‘justice delayed is justice denied’ yang boleh kita terjemah sebagai keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai,” pintas beliau kepada sebuah media mengenai kes tersebut.


Tun Mahathir juga turut menjelaskan kemungkinan bagi Najib membuat comeback dalam politik bukan sesuatu yang mustahil. Begitupun masa depan politik Najib kini malap namun peratusnya membuat penampilan semula banyak bergantung kepada kemungkinan pengampunan Diraja dan juga keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang walaupun peluangnya tipis. Tun juga turut bersuara, jika UMNO menang dalam pilihan raya akan datang menjelang 2023, parti dan kerajaan pasti akan merayu untuk pengampunan buat Najib.

Dr Mahathir gembira dengan kerajaan sekarang, yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO, yang tidak mengganggu prosiding kehakiman. Sikap ini menurut beliau penting dan satu tindakan yang baik oleh Perdana Menteri itu. Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk terus berfungsi dengan baik dan adil.

Nasib Zahid dan Siapa Lagi Akan Ke Penjara Selepas Najib?

Sebuah media tempatan melaporkan, ekoran daripada keputusan mahkamah menolak rayuan akhir Najib, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan pertemuan gempar dengan ketua bahagian UMNO seluruh negara di ibu pejabat parti itu. Namun, mesyuarat tergempar antara ketua bahagian UMNO dengan pimpinan tertinggi parti itu gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan Najib.
Dilaporkan juga, ramai ketua bahagian hadir mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, tidak bersetuju dengan arahan mendesak Perdana Menteri campur tangan. Memandangkan kedudukan Zahid sendiri yang berada berada bagai telur di hujung tanduk, Zahid dan beberapa lagi kroni dikatakan bakal menyusul jejak Najib.


Syabas Rakyat Malaysia!
Seperkara yang harus kita semua sedar dan patut berasa bangga adalah sikap dan budi bicara seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa serta kaum kerana sentiasa berhemah dan tidak cepat melatah untuk mengadakan aktiviti negatif yang melampau seperti rusuhan besar-besaran dan sebagainya bersabit dengan keputusan kes Najib itu. Sebaliknya mereka bersyukur dan berazam untuk terus berusaha mencapai keharmonian dan kemakmuran buat negara Malaysia yang dicintai. Syabas rakyat Malaysia!

Related posts

APAKAH MASA DEPAN KAMI? Apabila Sistem Pendidikan Tercabar, Patriotisme Terkubur dan Lumpuhlah Tamadun

admin

Cebisan Rasa 2021: Segan Jadi Melayu, Malu Ngaku Rakyat Malaysia

admin

Mengenang Ramadan Kenapa Perlu Lebih Sepi?

admin

Leave a Comment