EYE ME

Demi Mencari Kebahagiaan

“Kamu jangan pernah bertindak seolah-olah hidupmu itu milik seorang lelaki. Hidupmu itu adalah milikmu sendiri.” – Chimamanda Ngozi Adichie.

Selalu bila kami santai-santai di cafe, sembang dua saudara sepupu ini berkisar tentang keluarga, keadaan politik negara dan bila keadaan mula tegang (tentulah bila kekadang tidak semufakat), kami larikan tajuk kepada fesyen dan dunia kecantikan, yang lebih menyenangkan untuk mengembalikan akrab silaturahim.

Begitu pun pertemuan yang satu ini lari, menjadi lebih peribadi. Yang saya sendiri tidak senang kerana saya tidak suka dikatakan menjaga tepi kain orang, tetapi bila dia sendiri tidak pasti mahu balik ke rumah mana, saya pelik. Bukankah tempat tinggal isteri ialah di rumah yang sama dengan suami? Dua bulan lalu katanya dia tinggal di Shah Alam (menumpang rumah ipar), dua minggu selepas itu di KL (rumah ibu), kemudian di alamat yang lain pula, hahh. Ditanya suaminya di mana, jawabnya, entah, tak tahu, mungkin tinggal bersama keluarga abangnya. “Aunty, dia sendiri pun tidak mahu mengambil tahu tentang saya. Saya hidup atau mati dia tidak peduli. Keluar rumah dan tiada khabar berita.”

Saya yang jauh lebih tua daripadanya malah saya anggap dia bagai anak sendiri rasa bertanggungjawab untuk melihat hidupnya lebih teratur. Tiada guna bersaudara tetapi tidak mampu waima memberikan nasihat.

Saya sebenarnya tidak boleh ‘brain’ bilamana suami isteri (tidak bermadu) keduanya tinggal di Lembah Kelang tetapi masing-masing tinggal sendiri. Tidak boleh terima di akal saya seperti teman baik (yang sudah pun kembali ke Rahmatullah), dulu berniaga bersama, tetapi kemudian pulang ke rumah masing-masing. Ada tinggal di rumah tetapi tidak di bilik sama. Isteri masak dan makan sendiri sementara suami beli cuma sebungkus nasi untuk dirinya walhal di rumah ada isteri dan anak yang lapar. Isteri bepergian tanpa diketahui suami, dan suami tidak pulang ke rumah berminggu malah berbulan, tetapi isteri tidak pun cuba menghubung dan begitulah sebaliknya. Betul saya tidak boleh nak hadam keadaan yang sebegini.

Saya boleh faham jika seorang bekerja di Utara dan seorang di Selatan tetapi tidak faham suami minta tambang atau dibayar minyak kereta jika dia kena balik ziarah isteri dan anak-anak. Amat tidak faham bilamana suami teman yang tinggal di luar negara, bila pulang ‘check in’ di hotel walhal kondo mereka tersergam indah.

Soalan saya, “Why get married if you’re committed to acting single?” Marriage is sharing your life with your loved one, enjoying the journey along the way, and arriving at every destination together. Perkahwinan adalah mengenai dua insan bersatu dan berkongsi segalanya, bukan seorang sahaja yang berasa dia menanggung semua di bahunya. Bukan begitu?  

“Stop! Aunty tak mahu mendengarnya lagi.”

 “But I love him very much!” 

“Love? Dan membiarkan diri disepak terjang. Hidup dengan pemabuk, main perempuan, dadah, kaki pukul, pemalas, tidak bekerja, agama ke laut, tidak hormat emak kamu, tidak menyediakan bukan sahaja makan pakai, tempat berteduh pun tidak ada. Aunty tengok tidak ada satu kebaikan untuk menunggunya lagi.” 

Dear, life is short, we are ageing day by day. Kamu nak anak bukan? 

You don’t want to be with somebody who is constantly hurting you and making you anxious. You want somebody confident, who truly wants you and loves you in a healthy way. Kamu tidak mahu laki yang asyik mencederakan kamu, yang cheat, lie or ghost you, the one who don’t appreciate your worth or respect your boundaries, yang membuat kamu lebih banyak menangis daripada tersenyum. Why would you pretend to love him? Ingat, ada lelaki tidak akan malah tidak mahu melepaskan isterinya kerana dia mahukan akses kepada tubuh isterinya? Kerana itu dia mengulangi kata cinta kepada kamu. Sorry dear, nasihat aunty jangan tunggu esok untuk membuat keputusan.Time to move on, choose happiness.”

Matahari kian terbenam. Puas dapat meluahkan rasa hati hanya kerana mahu melihat dia bahagia. Empat tahun sudah cukup lama menunggu seseorang itu untuk berubah. Saya berharap senja di hari itu mengajar bukan sahaja dia tetapi kita semua bahawa sesuatu yang terlihat indah sebahagian besar hanyalah bersifat sementara. Seperti sifatnya senja itu sendiri, ia menakjubkan tetapi sekejap. Langit matahari terbenam berbicara tentang seribu warna, kamu fikirlah untuk memilih warna apa yang disenangi supaya ia dapat menerangi hidup di kemudian hari. 

Seorang wanita harus menjadi dirinya sendiri, menjadi mandiri. Jangan membiarkan orang lain mewakili berbicara dan jangan bergantung pada orang lain berjuang untukmu. Ini kata-kata yang saya petik daripada isteri mantan bekas Presiden Amerika, Michelle Obama. Kalau kamu melakukan kesalahan, segera sedar dan mohon dengan cara yang penuh kasih, bukan memalukan dirimu sendiri. Kesabaran itu ada dua macam, satu sabar atas sesuatu yang tidak kamu inginkan dan sabar menahan diri dari sesuatu yang kamu ingini” – Ali Bin Abi Thalib. “Orang yang kuat bukan mereka yang selalu menang. Melainkan, mereka yang tetap tegar saat jatuh,” kata pendeta Kahlil Gibran.

Bukan kamu ego jika kamu memilih untuk bersendiri dan mencintai diri sendiri, malah itulah yang terbaik kerana memilih kebahagiaan bukan kesengsaraan.

Isteri, selama mana kamu mampu sabar, jikalau dapur tidak berasap? Selama mana mampu pinjam duit mak ayah untuk kelangsungan hidup? Sampai bila hendak bergantung kepada ipar duai untuk memberikan tempat berteduh? Dan bila ada duit, bukan dibelikan makan, tetapi habis untuk dadah. Bila dadah tidak dapat sampai bila hendak bertahan dimaki dipukul kerana tidak memberikan duit untuk dadahnya? Kalau sebatang rokok pun terpaksa dibeli oleh isteri, sehingga bila isteri hendak menanggungnya? 

Lepaskanlah supaya esok lusa, barangkali kamu akan menemui cinta sejatimu, dia mungkin boleh membuat kamu hidup tenang, senang.

Saya gembira kerana keputusan yang sekian lama dipendamkan dikotai. Suara yang memujuk dan mohon dia bersabar lagi supaya orang itu berubah sudah tidak dihiraukan lagi. Suara yang mohon belas kasihan dan berjanji menjadi lebih baik, telah ditutup telinganya ketat supaya tidak lagi ada rasa kasihan dan sedih. Dia tidak mahu beremosi, dan memberitahu dirinya, hidup adalah sebuah perjalanan bukan sebuah pertandingan. Dia hanya mahu mengorbankan hidupnya untuk Allah, kerana hanya Allah sahaja yang boleh memberinya syurga.

Dia mengatur langkah ditemani peguamnya untuk menyelesaikan masalah hidupnya. 

Biar rebah, jangan berubah

Biar terbuang terus berjuang

Ujian adalah tarbiyah daripada Allah

Semakin dekat kepadaNya

Semakin kuat ribut taufan melanda

Usah resah bila diuji

Pasti kebahagian bakal dimiliki

Kerana janji Allah itu pasti. 

Related posts

This Is Wirda

Wirda Adnan

Semoga 2019 Lebih Bermakna

Wirda Adnan

HARTA PALING BERHARGA ADALAH KELUARGA

Wirda Adnan

Leave a Comment