Hero Ku

Jarang aku bercerita mengenaimu ayahku, entah mengapa aku pun tidak tahu. Mungkin kerana bicaramu dulu kurang anakmu ini ambil peduli. Lagipun mak yang lebih kami dekati. Tak ada duit, pada mak kami meraih simpati, minta pada dia sekalipun kami tahu emak tidak punya wang sendiri. Tidak bekerja makan gaji, tidak diminta pun olehmu (apak) supaya keluar mencari rezeki. Kerja mak hanya sebagai suri, menyediakan segalanya daripada A hingga Z. Mak pula, kerja memasak, mencuci, mencari kayu api, menumbuk tepung untuk dijadikan roti, menjahit baju untuk dipakai hari-hari, jemur baju di bawah sinar matahari, itu semua kerja mak yang apak serah bulat-bulat pada sang permaisuri, dia tahu kopi dan roti mesti sedia setiap pagi.

Apak, orangnya berfikiran jauh sekali. Di ketika orang kampung yang rata-rata menghantar anak mereka ke sekolah yang jaraknya cuma boleh berjalan kaki, tetapi apak kami punya misi tersendiri. Dia tidak mahu anak-anaknya bergaul sesama budak kampung yang rata-rata semuanya Melayu, anak-anak petani. Dia mahu anak-anaknya mengenal bahawa di dalam satu kelas ada budak Melayu, Cina, India, ada Muslim, Kristian, Hindu dan Buddha. Dia mahu anak-anaknya mengenal bangsa lain selain Melayu, belajar dan bersaing sesama bangsa, menjadikan kawan bukan saja budak Melayu tetapi mereka yang bukan sebangsa seagama. 

Sungguh keterbukaan pandangan mak dan apak mengenai hidup berbilang bangsa dan budaya, agama. Walaupun begitu hal agama amat ditekankan. Jangan perleceh tiba waktu solat, puasa dan sebagainya, yang haram jangan dihalalkan dan yang halal jangan pula diharamkan. Mengapa mesti benci pada Cina, pada India, pada sang sami, pada DAP contohnya? Itu kepercayaan masing-masing, sekalipun hati kecil berkata alangkah eloknya semua sehaluan.   

Untuk ke sekolah yang lebih 10 km dari rumah, sebenarnya belanja bukan murah. Awalnya kami dihantar ke sekolah dengan motosikal tetapi bila ahli keluarga bertambah sudah tentu kena naik bas. Masa itu apak tidak punya kereta. Bersekolah aliran Inggeris bererti juga dikenakan yuran bulanan, walaupun pendapatan apak tidak tetap tetapi diusahakannya juga bagi membolehkan kami ke sekolah yang belanjanya tinggi, demi untuk kesenangan hari depan kami. Dan satu lagi supaya anak-anaknya sedari kecil diberikan kebebasan mengenal dunia. Bayangkan kalau kami ke sekolah Melayu sebelah rumah, setakat itu sahajalah pergaulan dan kawan-kawan kami.

Apak seorang yang berpegang kepada jati diri, pegang pada janji dan kepada pegangan hidup yang murni, yakni tidak mudah dibeli untuk mengundi orang itu orang ini. Apak bijak sekali, dia tahu siapa yang boleh dipercayai, dan boleh dijadikan ahli dewan Negeri, Adun, dan Perdana Menteri. Haknya sebagai rakyat dan ahli masyarakat begitu penting baginya, jangan terpilih insan yang sekadar hendak memenuhkan periuk nasi sendiri, sedangkan yang di luar lapar dan tidak dipeduli. 

Teringat satu malam apak memberitahu mak. Lepas ini katanya dia hendak membeli kereta kerana tidak tahan sejuk terdedah angin malam bila memandu. Apak selalu diserang sakit lelah, jadi untuk dia ke sana ke mari, molek sangat menaiki kereta sendiri. Lagipun katanya dia bakal dinaikkan pangkat sebagai penyelia sekolah orang dewasa. Ya apak mengajar di sekolah dewasa, dan nanti sebagai penyelia apak perlu keluar ke marata tempat lagi, wajar sekali punya kenderaan sendiri.

Saya teringat satu hari apak pulang wajah suram. Katanya kenaikan pangkat ditarik, hanya kerana mereka mahukan apak kekal menjadi ahli parti (UMNO) sedangkan apak pada waktu itu lebih kepada parti lawan, PAS. “Kalau Pak Nan hendakkan jawatan ini, sain borang ini, wajib sokong UMNO dan blah-blah, atau terima kasih sahaja, tiada jawatan.” Apak jawab, “Terima kasih juga, tidak apalah saya tidak dinaikkan pangkat dan dibuang kerja, saya tetap dengan pendirian saya.”

Apak diberhentikan kerja sedang itulah sahaja punca pendapatan bagi menanggung anak yang kian bertambah dan membesar. Dia memilih untuk berbakti semula kepada tanah, menanam pokok koko di belakang rumah dan sementara koko berbuah mengusahakan tanaman pisang yang ada jugalah sedikit hasilnya. Namun rezeki apak tidak berkurang malah bertambah kemudiannya. Apak dijemput dari satu madrasah ke satu madrasah, dan masjid ke masjid untuk mengajar ilmu agama. Alhamdulilah dengan sedekah yang diperolehi, akhirnya apak mampu membesarkan rumah dan membeli serba sedikit dekorasi serta membeli kereta yang dihajatinya selama ini.

Menariknya keluarga besar kami tidak sehaluan dalam memilih parti ketika mengundi. Bapa saudara sulung yang saya panggil Wak, arwah Ustaz Baharuddin Latif adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) malah antara orang yang bertanggungjawab kepada pertubuhan parti PAS. Bapa saudara yang kedua kami panggil De (Abdul Hadi) pula orang kuat UMNO (tak tahu apa jawatannya) seorang lagi ibu saudara, Wan Rahmah juga orang kuat UMNO. Mak dan apak PAS, dan bapa saudara seorang lagi yang saya panggil Achek, Subky Latif orang PAS tetapi… seingat sayalah mereka adik beradik saling menyayangi, saling menghormati. Rumah kami menjadi tempat berkumpulnya adik beradik bila mereka semua balik kampung dan memang kerap pun balik kerana tuk dan opah masih hidup. Bila berkumpul riuh rendah, kadang kadang bertikam lidah kerana masing-masing mestilah mahu mempertahankan kedaulatan parti mereka. Akan tetapi apabila tiba sesi bersurai, kembali senyum dan bersalam. Dan kalaulah tiga malam mereka di kampung, tiga malam lah riuh rendah dengan pelbagai pandangan daripada setiap mereka. Pendek cerita dan bila diingatkan kembali, saya amat kagum pak-pak saudara khasnya dan apak… yang berpegang kepada kepercayaan politik masing-masing tetapi darah daging tetap darah daging, jangan kerana politik adik beradik bermusuh dan keji mengeji, dengki dan benci, dan melaknati sesama sendiri. Saya bangga punya famili yang begini, dan ya, lidah mereka tidak bercabang. Namun saya yakin kalau apak masih hidup dia tidak mungkin menyokong parti sama, kerana parti itu pada keluarga Adnan tidak ada lagi integriti.

Terlanjur bercerita hal politik, dan melihat senario politik sekarang, sebagai rakyat Malaysia, saya berasa amat kecewa lagi sedih. Saya sendiri benci kepada perkauman. Kita ada perlembagaan dan ia tidak sesenang itu dicemari, lalu kenapa takut kepada bangsa mereka? Saya mendengar tape-tape daripada lidah yang bercabang, hari ini, kata begini, dan lusa begini pula bunyinya dan sehingga sanggup memintas pintu belakang. Kita tidak lagi tinggal dalam negara yang aman, kecam mengecam, hina menghina, bercakap dusta dan rasuah memuncak. Insan penipu, perompak, itulah yang hendak kita sanjungi. Sedih orang Melayu khasnya sudah tenggelam dalam kerakusan dunia material. Sudah tidak boleh membezakan betul dan salah, semua kerana gila kuasa dan tamak haloba.

Apak hero kami, tetapi saya tidak nafikan akan datuk sebelah mak (datuk sebelah apak meninggal ketika masih kecil) yang memang disanjung tinggi oleh orang kampung, malah seluruh daerah Manjung. Dulu sebut Naib Khadi Tuan Hj Abdul Latif hampir semua kenal tambahan pula sebagai Naib Khadi dan guru agama. Rumah datuk yang bersebelahan rumah kami tidak pernah tiada tetamu, pagi petang siang malam. Jam tiga pagi kadang-kadang masih terang benderang, kerana atuk adalah tempat rujukan orang kampung atas segala permasalahan peribadi, keluarga juga hal-hal keagamaan dan tempat orang kampung bernikah. Masih saya ingat masa atuk meninggal dunia, lautan manusia menziarahi.

Di kesempatan ini juga saya tidak lupa akan jasa bapa-bapa saudara khasnya Subky Latif kerana beliau lah saya di sini menjadi penulis hingga kini. Kerana dia (bekas pengarang di Utusan Melayu), saya bercita-cita seawal usia lima tahun mahu menjadi wartawan sepertinya, ya hanya kerjaya ini yang saya mahu, saya impinkan dan terus menjadi orang media selagi nyawa dikandung badan. 

Ketepikan kem politik, kerana di kem mana pun yang kami berada, alhamdulillah hubungan bapa saudara anak saudara, dan sepupu sepapat tetap teguh, walaupun saya sendiri sering impikan semua kami dalam satu kem politik sama. Pasti akan lebih rancak bersembang, dan setiap hati dapat dijaga, silatulrahim tetap sampai bila-bila.

 

Kredit Gambar:
Wan Idhar

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON