EYE ME

Pulanglah, Jenguk Orang Tua Mu

‘Sesibuk apa pun, sejauh mana pun pergi, keluarga tempat pulang. Wang dan populariti tidak mampu membayar kebersamaan dengan keluarga.

Biasanya seminggu atau sehari dua sebelum puasa, kami sekeluarga akan balik kampung menjenguk mak apak dan adik beradik yang lain. Dan selepas apak mak meninggal pun amalan balik kampung diteruskan.Sayangnya tahun lalu dan tahun ini kerana tidak dibenarkan merentas negeri,  rasa terkilan sangat. Dulu kalau suami dan anak tidak boleh ikut serta, saya tidak peduli. Yang penting saya mesti jenguk kampung halaman, mohon ampun maaf dulu dengan mak apak dan adik beradik sebelum masuk Ramadan dan seronok kan hati mereka dengan memenuhkan peti sejuk serta almari stok makanan.  Dan sejak mereka pulang ke Rahmatullah singgah dulu ke tempat ‘bersemayam’ untuk membersihkan kuburan. Sekali lagi sebelum Raya tiba, nak merasa juga berpuasa dalam suasana kampung kalau tidak dapat menyambut awal Ramadan dengan mereka. Tidak sama suasananya di kota. Emak sewaktu dia sihat rajin membuat kuih muih; perigi buta, badak berendam, lipat liyat dan seri muka mak tiada tandingnya kerana itu saya tidak lagi suka  kuih seri muka sebab tidak seenak air tangan mak. Saya boleh membariskan nama kuih muih yang mak pakar membuatnya, manakan sama yang dibeli di bazar-bazar Ramadan, yang kadang-kala belum bersahur sudah basi. 

Bersahur, satu lagi kenangan yang indah,  tidak ada istilah tidak mahu bangun sahur, selagi tidak bangun selagi itu mak bising. (jangan biarkan apak bertempik).  Dan amalan bersahur adalah sunnah, ia amat digalakkan. Ia pemisah (Perbezaan) di antara puasa dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Nabi S.A.W bersabda, ‘bersahur lah kerana di dalam sahur itu ada berkat. Jangan meningalkan sahur walaupun hanya seteguk air, sesungguhnya Allah memberi rahmat dan para malaikat mendoakan ke atas yang bersahur.’ Bagi keluarga saya kini, jangan tidak bersahur, si mak ini macam mak saya dulu juga tidak habis mengetuk pintu bilik, pernah mak menyiram air ke muka saya masa kecil kerana tak bangun-bangun. Nasib anak saya tidak diperlakukan begitu.

Menyebut amalan bersahur ramai yang memilih tidak bersahur. Bila mak ayah tidak rajin berbuat demikian bagaimana nak melatih anak-anak berpuasa? Anak lima enam tahun khasnya ‘wajib’ dilatih, waktu kecil inilah si anak perlahan-lahan menahan lapar sehingga sampai mereka mampu berpuasa sehari suntuk. Mahu tidak mahu si ibu dan ayah perlu berkorban waktu tidur mereka bagi mengalakkan anak makan sahur. Saya sedih melihat ada budak-budak darjah lima, darjah enam belum mula berpuasa.  Tingkat satu, tingkatan tiga juga tidak berpuasa. Ditanya alasan mereka, “mak kata nanti besar berpuasa lah.” Ditanya mengenai bersahur, senak perut ada yang tidak tahu apa itu bersahur, kerana tidak pernah melihat mak ayah berbuat demikian. Okaylah mereka dewasa boleh berpuasa walaupun tidak makan  Akibatnya anak masuk ke sekolah menengah, malah sampai bekerja tidak berpuasa, sebab tidak dilatih daripada kecil. 

‘Banyak yang sibuk mengejar harta hingga lupakan keluarga padahal tanpa kita sedari keluarga ialah harta yang tak ternilai, indahnya kebersamaan.’

Saya dapat rasakan kepada yang tidak punya kampung, mereka cemburu melihat orang berduyung-duyung baik kampung terutama di musim Raya. Kali pertama besan saya datang beraya di kampung, sukanya dia (katanya dia tidak punya kampung, lahir dan dibesarkan di kota). Walaupun persekitaran kami tidaklah so kampung, tiada sawah bendang, tiada sungai-sungai yang mengalir di tepian, dan pondok-pondok beratap nipah, tetapi cukup membuat mereka anak beranak gembira menyedut udara kampung dan sempat membeli makanan laut, sayur-sayur kampung. Bukan tiada di sini tetapi berbeza perasaan bila dapat menikmati suasana tenang. Kepada yang masih punya ibu ayah dan saudara mara di kampung, bawa lah anak mengenal asal usul mereka, titipkan kasih sayang mereka kepada ahli keluarga dan jangan biarkan mereka hanyut dengan kehidupan kota semata. Ya bawa lah menatap tanah perkuburan nenek-nenek mereka.

Saya teringat teman bercerita tentang kakaknya yang tidak pernah balik kampung beraya, jauh sekali di bulan puasa malah bulan-bulan yang lain pun tidak. Setahun sekali pun belum tentu menjenguk ibu ayah, Opah dan atuk yang rindukan cucu-cucu  mereka terpaksa memandu perlahan-lahan Proton buruk ke Kuala Lumpur kerana teringin sangat nak tengok cucu-cucu mereka. “Mengapa tidak balik?” tanya saya kehairanan. “Sebab suaminya mesti nak Raya di rumah ibu bapanya, dan yang membuat saya geram rumah ibu ayahnya cuma 20 minit dari rumahnya.  Dijenguk setiap hari, tiba Hari Raya masih memilih untuk berada di rumahnya. Itu namanya selfish. Hari terakhir si kakak beraya di kampung katanya 30 tahun yang lalu kerana kebetulan pernikahannya tiga hari sebelum Raya, selepas itu kakaknya hanya balik tiga empat tahun sekali, itu pun susah, dan bukan pun pada Hari Raya. Saya tahu si kakak hidup mewah, berderet kereta mewah dan anak-anak pun sudah ada lesen memandu, jauh sangat ke Kuala Lumpur dengan Kuala Kangsar?  

Kenapa tidak balik sahaja kalau suami sibuk? Kamu boleh memandu ke sana sini, tetapi bila bab balik kampung untuk menjenguk mak ayah berkira sangat.  Kata teman kakaknya malu kalau balik bersendirian tanpa  ditemani suami, apa orang kampung akan kata? Aduh masih ada orang kita yang berfikiran begini, takut dicop sudah menjanda sebab balik sendiri-sendiri. Kalau begitu saya ini sudah beratus-ratus kali lah dikatakan janda, sebab tidak balik bersama bersuami. Kalau pun sudah menjanda, apa masalahnya? Malu? Apa yang hendak dimalukan? 

Ada juga suami yang memang tidak membenarkan isteri balik menjenguk ibu ayahnya kecuali dia ada bersama. Apa hal? Kalau kamu sibuk atau tidak senang di rumah mentua yang buruk, tidak ada penghawa dingin, kamu benarkan lah anak isteri balik? Ada ibu mati kerana rindu kepada anak cucu. Ada ayah merajuk sebab habis hartanya menyekolahkan anak-anak sampai anak berpangkat CEO dan Menteri tetapi balik kampung menjenguk mak ayah langsung tidak. Kalau balik pun beberapa jam sahaja dan sekadar memerap di rumah, saudara mara, oh bukan tugasnya untuk menziarahi mereka. Ini kah orang yang kata mereka prihatin hal rakyat bila mana mak ayah sendiri pun dibiarkan uzur tidak berjaga. “Sebab mak degil, ajak duduk dengan anak menantu tidak mahu, dia nak sangat duduk bersendiri biarlah.” Biasa kita dengar jawapan yang begini.  Helo beginilah, saya hendak tanya, bila kamu tua nanti, kamu hendak tak duduk dengan anak-anak sedang rumah kamu sendiri besar dan cantik, dibina atas duit peluh sendiri. Mereka mesti selesa di rumah sendiri. Dan saya sendiri tidak pernah berasa hati bila mak tidak mahu tinggal dengan anak-anak kerana saya tahu hati dan nyawanya di rumahnya, dan di rumah dia, dia lebih selesa. Saya teringat bapa saya takut sangat kalau datang ke rumah anak-anaknya, takut dia mati di rumah kami kerana dia tahu di mana tempat meninggal di situ dia harus dikebumikan. 

Cerita kakak kawan saya tadi belum habis. Menarik sang suami pula berkahwin lagi, oh malah dia sudah punya dua madu, dan suami tidak pulang-pulang berminggu-minggu (menyambut puasa, menyambut Raya di rumah bini-bini muda) tetapi si kakak masih tidak pulang. Alasan sama, tunggu suami free baru balik. Tapi hati seorang ibu akan sentiasa mengingatkan anak cucu, sehinggalah umur orang tua itu 80 tahun masih terpaksa memandu demi kerinduan. Apa punya anak yang sanggup melihat ibu ayah bersusah payah? Dan sang suami apa hal kamu yang tidak tahu adab, kalau tidak mahu balik biarkan isteri dan anak-anak menziarahi kaum keluarganya. Sungguh saya pelik, dan petang itu panjang pula khubah saya dengan teman… “suruh kakak you balik, sampai bila nak tunggu mak ayah sendiri yang datang menjenguk. Orang kampung bukan kunu dan ingat kerjanya nak menjaga tepi kain orang. Cukup memberi alasan bodoh!”

‘Tak perlu menjadi kaya untuk menambah keharmonian di dalam keluarga. Berikan apa yang bisa diberikan untuk keluarga walau hanya sekadar berkumpul bersama, bercanda bersama keluarga kita.’

Sejak berkahwin, ada masanya saya akan balik bersama anak dulu, bagi memastikan hidangan Raya siap di meja, jika adik beradik yang lain beraya dulu di rumah mertua mereka. Selalunya kami membuat giliran siapa menyambut Raya pertama di kampung dan siapa pula akan beraya dengan mentua terlebih dahulu. Sedih juga kadang-kadang tidak dapat berhimpun semua sekali tetapi hendak buat macam mana. Namun yang pasti jangan dibiar emak beraya sendirian, dan menunggu anak-anak yang tidak kunjung tiba. Tiba masa nanti anak-anak kita pun akan meninggalkan kita kalau kita tidak ajar berbakti dan mengasihi orang tua.

‘Doa ibu itu mampu menebus langit, sangat mustajab di hadapan Allah Ta’ala. Maka muliakan ibumu.’ Islampos.

 Saya sudah hidup lama untuk melihat pelbagai ‘hukuman’ orang yang meminggirkan ibu ayah mereka dan mendapat balasannya sewaktu hidup lagi. Ada kenalan yang bukan sahaja meminggir maknya tetapi derhaka kepada si ibu, sanggup menaniya si ibu sewaktu hidupnya. Alasan masa dia kecil pun bukan ibu yang membelanya, alasan lagi mana mampu membela ibu sedangkan hidupnya juga susah. Dibiarkan si ibu sendirian, lalu jiran-jiran lah, sesiapa yang sempat  mengambil tahu makan minum dan menjaga kencing beraknya. Dan hari ini dia sudah pun menerima balasannya. Kelima-lima anaknya, seorang pun tidak mahu bertanggung jawab ke atas orang tua mereka. Anak-anak pandai tetapi seorang pun dikira tidak berjaya, ada bercerai berai turun naik mahkamah, dan ada anak walaupun sudah sampai ke menara gading tetapi jadi penagih, ada yang kelulusan tinggi tetapi jadi penganggur, dan ada yang kerjanya tidak habis menipu orang dan keluar masuk lokap. Apakah itu balasannya kepada ayah mereka yang derhaka, dan ibu mereka yang tidak mahu menjaga mertuanya kerana tidak mahu dibebankan lagi dengan kerja yang banyak,   kerana dia hanya mahu melayan anak-anaknya, fikir-fikir? Penyudah, anak yang dilayan bagai menatang minyak yang penuh seorang pun tidak menjadi. Seorang pun tidak sanggup menjaganya dan menanggung makan minumnya. Sedih dan Allah hendak tunjukkan balasannya di dunia lagi dan itu belum di akhirat.

Sesungguhnya kedua orang tuamu telah menjadikanmu seorang RAJA ketika kamu masih kecil. Maka jadikan keduanya sebagai RAJA ketika mereka telah lanjut usia.’ pinterent.com

Related posts

The Future Starts Today, Not Tomorrow

Wirda Adnan

Kamu Cantik!

Wirda Adnan

Nasihat Tahun Baru

Wirda Adnan

Leave a Comment