EYE ME

Jangan Lupa Anda Adalah Wanita

Lapan haribulan Mac 2021, Hari Wanita Sedunia (International Women’s Day). Hari ini hari bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperolehi golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik bahasa, budaya, ekonomi dan politik. Hari ini sebenarnya juga hari meraikan kejayaan sendiri. Anda telah berjaya menimba ilmu, ilmu dunia ilmu akhirat, itu sudah tentu satu kejayaan yang besar tiada tolak bandingnya. Anda anak yang membahagiakan ibu bapa malah menjadi kebanggaan mereka, itu adalah sebesar-besarkan hadiah yang dimahu oleh kedua orang tua kita. Anda telah berjaya membina sebuah keluarga, punya suami dan anak-anak, melayan dan membahagia akan mereka, itu pasti satu kejayaan yang begitu bernilai buat diri dan keluarga. Sebagai pekerja turut sama membina mengukuhkan syarikat, ini sebahagian daripada usaha menyumbang kepada mengukuhkan ekonomi negara. Atau sebagai majikan, bersyukur sangat kerana Allah melimpahkan rezeki yang banyak kepada anda untuk dikongsi dengan orang lain bersama anak isteri dan ahli keluarganya. Sebagai rakyat pula anda taat kepada perlembagaan negara, sesuatu yang menjadi perkara wajib bagi setiap ahli masyarakat. Sebagai orang yang beragama, anda patuh kepada suruhanNya, dan tidak mengacau bilau kan kepercayaan dan hak beragama orang lain, ini adalah sebaik-baiknya insan di dunia ini dan tempat yang menantinya, inshaAllah adalah di syurga.

Kepada semua wanita, juga kepada ibu mentua yang saya sanjungi dan sayangi, ibu-ibu saudara khasnya Su dan Mak Teh, yang kedua-dua baru kehilangan suami yang pergi buat selama-lamanya, kepada kakak dan adik-adik perempuan saya, besan, menantu dan bakal menantu, anak-anak saudara, sepupu-sepupu dan kawan-kawan yang sejantina, selamat meraikan hari ini yang dididikasikan untuk kita. Marilah kita terus menjadi insan yang berguna di sisi masyarakat, yang keberadaan kita disenangi dan dimuliakan dan saat kita dipanggilNya nanti, kita akan terus dikenang atas sumbangan dan jasa kita. Anak-anak kita yang telah kita didik daripada kecil menjadi insan berguna bukan sekadar menangisi pemergian kita tetapi terus menyedekahkan Al Fatihah dan bersedekah untuk kita sementara diri mereka dan keturunannya terus dididik menjadi orang beriman. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Wanita adalah tiang negara, jika baik wanitanya baik pula negara itu, tetapi jika jelek wanitanya, maka jelek juga negara itu.”   

Wanita, kita ini diibaratkan sebutir permata yang sangat bernilai. Islam menaikkan darjat wanita dari dasar bumi hingga pada akhirnya syurga diletakkan di bawah kakinya. MashaAllah, begitu mulianya kita di sisi Allah. 

Ya, anak perempuan yang satu ketika dulu di zaman jahiliah dibunuh hidup-hidup, kerana dipercayai membawa musibah, yang sebaik diketahui yang lahir itu bayi perempuan saat itu juga nyawa si bayi akan melayang. Kejamnya. Namun Islam mengangkat darjat wanita, dipelihara maruahnya, diperintahkan kepada kaum lelaki untuk memuliakan dan menghormatinya, disyariatkan dalam Islam hak-hak isteri selepas kematian suaminya, itu antara lainnya. (Ini jauh berbeza di zaman jahiliah di mana wanita tidak sedikitpun diberikan harta pusaka peninggalan suaminya yang meninggal dunia. Kerana wanita dianggap tidak membantu apa-apa dalam peperangan dan kebanggaan kabilah. Wanita diperlukan hanya untuk memuaskan nafsu sarakah lelaki). 

Dan sebagai ibu, wanita sekali lagi diangkat darjatnya, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepada?” Maka Rasulullah s.a.w menjawab, “ibu kamu adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya.” Baginda ditanya lagi, “Ibu kamu,” jawab baginda.  Kemudian, ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (riwayat Muslim). Sebegitu tingginya pengiktirafan  seorang wanita yang menjadi ibu.

“Wanita bukanlah pakaian yang bisa kamu pakai dan kamu lepas semahumu. Mereka terhormat dan memiliki haknya.” Umar bin Al Khattab 

Namun tidak semua wanita beroleh ‘kemenangan’ ini, sebaliknya ramai sekali hidup penuh sengsara di tangan lelaki yang bernama suami. Diperlakukan dengan kejam, dihina, disepak terajang, dilayan bagaikan binatang. Begitu durjana sang suami yang tidak takut dihumban ke neraka jahanam. Ramai yang menganggap kuasa di tangan mereka, mereka boleh berbuat sesuka hati. Ada isteri tetapi dijadikan hamba di dalam rumah sendiri. Punya isteri tetapi isteri tidak boleh bersuara, tidak boleh memberi pendapat jauh sekali nasihat. Ada isteri tetapi sang isteri dikerah membuat segalanya, sehinggalah sebiji gelas kotor pun tidak akan dibasuhnya kerana menggangap mencuci mengemas itu tanggung jawab sang isteri. 

Ada suami bukan pun dia yang membawa balik makanan untuk dihidangkan di  atas meja, tidak duit dia pun. Duit isteri juga yang membeli segalanya, yang membayar api, air, hutang puitang kereta dan pinjaman rumah. Bukan pun dia yang mengeluarkan belanja persekolahan anak-anak, semua ditanggung oleh sang isteri, tetapi pulangnya isteri dari pejabat, belum pun sempat si isteri menukar pakaian, dia sudah dikerah untuk menghidangkan makanan kerana suami lapar. Dia juga diminta mengosok bajunya yang ronyok, aduh… dia yang bekerja mencari rezeki, dia juga yang membuat segalanya tanpa bantuan suami, dan dia juga yang dimaki hamun jika terdapat sebarang kekurangan  melayaninya dan anak-anak. 

Membawa saya kepada satu lagi peristiwa yang menyayat hati, yang tidak mungkin dapat saya lupakan sehingga bila-bila bila mana teman dibunuh oleh suami sendiri. Teman terlalu baik orangnya,  peribadinya sesiapa yang mengenali akan berasa senang bersamanya. Seorang wanita jelita, tinggi pendidikannya, daripada keluarga orang senang, memegang jawatan penting di sebuah syarikat gergasi. Malang baginya, apakah kesalahan besar yang dilakukan sehingga sanggup kau ambil nyawanya, ada kata kejadian ngeri itu disaksikan oleh anak-anak.  Dan sehingga kini bila mana saya teringatkan arwah, air mata pasti mengalir. Sering saya terkenang tinggal serumah dengannya dan banyak cerita kami kongsikan bersama; tentang penghidupan, tentang hari depan, tentang lelaki pastinya kerana masing-masing punya cita rasa, punya angan-angan dan menyimpan kisah silam. Ya Allah lapangkan kuburnya dan tempatkan lah nanti dia di syurga FirduasMu.

Wanita, kadang-kadang kesabaran mu melampaui batas. Seorang teman, seminggu dikurung oleh sang suami di bilik kecil, dicampakkan sebungkus roti dan sebotol air. Bayangkan seminggu dia hidup dengan roti paun kosong dan air paip yang diisi dalam botol. Air yang tidak ditapis atau dimasak terlebih dahulu. Mungkin dia nak bininya mati kebuluran. Walaupun akhirnya dia berjaya meloloskan diri dari tingkap yang sempat di gergaji oleh temannya yang sedar sang suami menyeksa teman baiknya, tetapi sang isteri masih mahu kembali ke pangkuan suami. 

Mengapa? “Kasihan dia dan anak-anak aku tidak makan, siapa yang hendak masak?” Sedangkan dirinya hampir mati kebuluran dan disiksa sebegitu rupa, dia lupa. “Aku tidak mahu menjadi penghasut tetapi jikalau sudah sampai diri disiksa, mengapa kamu bodoh sangat masih nak hidup bersama?” tanya sang teman. 

Remember, Woman, you were born

Life giver, miracle creator, magic maker

Remember, Woman, remember

You are more than you can see

Remember, Woman, remember

You are loved endlessly

Remember, Woman, your power and grace

The depth of your deep sea heart

Never forget you are Woman, divine as you have been from the start – Reeseleyva

Dan Islam khasnya meletakkan wanita sebagai satu makhluk yang harus dihormati dan dijaga dengan penuh kasih sayang.  

Akhir kata saya ingin mengingatkan akan pesan Rasulullah kepada umatnya. “Lelaki dan wanita dijadikan berpasang-pasangan, saling memerlukan di antara satu sama lain.” 

Sabda baginda seterusnya,  “Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah bahagian yang di atas. Sekiranya kamu cuba luruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkuk selama-alamanya. justeru berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Related posts

LELAKI INI

Wirda Adnan

Rindu Serindunya ke Baitullah Al Haram

Wirda Adnan

Insan Yang Bergelar Bapa

Wirda Adnan

Leave a Comment