GAYA HIDUP

Sambutan Hari Wanita Sedunia

Wanita Mendepani Cabaran Pasca Covid

Pada ketika ini ramai wanita yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan, perniagaan terjejas teruk atau tidak kurang juga yang terpaksa akur dengan pemotongan gaji walaupun melakukan kadar kerja yang sama. Dalam keadaan terdesak ramai wanita mencari pekerjaan atau berjinak-jinak dengan skil alternatif yang bukan langsung bidang lazim mereka, asalkan dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

Mereka mempelajari selok-belok bidang keusahawanan sebagai ikhtiar, ada yang menjual pelbagai jenis makanan dari rumah dan juga secara online, mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan dan macam-macam lagi termasuk mengambil upah menjahit dan mempelajari teknik mengurut yang boleh mereka lakukan mengikut kesesuaian waktu sambil memantau pembelajaran on-line anak-anak mereka di rumah.

Selain masalah ekonomi wanita juga berdepan dengan pelbagai masalah dan isu dalam kehidupan norma baharu. Seperti pendidikan, kesihatan hinggalah kepada hal-hal kebajikan masyarakat setempat yang dia tinggal. Berikut adalah beberpa perkara yang dikenal pasti akan terus mencabar kaum wanita dalam mengharungi kehidupan norma baharu.

Pendidikan dan Norma Baharu

Pendidikan penting dan ada kaitannya dengan wanita. Sebaik dilahirkan di muka bumi, apa yang diperlukan seseorang ialah Pendidikan. Khidmat golongan wanita begitu terserlah dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, begitupun dengan Covid-19, peranan wanita dalam hal ini semakin tercabar.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memaksa anak-anak belajar di rumah dan mereka berhadapan dengan sesi pembelajaran norma baharu yang di luar kebiasaan, yang mana sesi pembelajaran dijalankan melalui medium aplikasi atas talian seperti Whatsapp, Microsoft Team, Google Classroom, Zoom dan sebagainya.

Situasi sebegini atau norma baharu ini menyebabkan para wanita terutamanya ibu memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan pembelajaran anak-anak mereka. Sama ada dia seorang yang mahir dalam bidang IT dan teknologi atau tidak, mereka perlu tahu serba sedikit tentangnya dan peka terhadap sebarang kelas secara atas talian yang perlu disertai oleh anak-anak mereka (yang mana maklumatnya juga disampaikan secara atas talian) di samping memantau juga kerja sekolah yang diberi oleh guru.

Mereka juga perlu menyediakan bahan pembelajaran dan menyiapkan anak-anak untuk menyertai kelas secara atas talian ini dan ini belum lagi mengambil kira maslaah seperti anak-anak yang datang daripada keluarga miskin dan kekurangan peralatan pembelajaran seperti telefon, tablet dan laptop. Ini merupakan cabaran hebat yang didepani oleh wanita hari ini.

Bagi guru-guru juga pendidikan norma baharu ini memberi cabaran-cabaran baru yang mereka tidak pernah lalui sebelumnya. Selain itu, pada waktu-waktu tertentu, tugas seorang guru kala pandemik ini juga perlu diambil alih oleh seorang ibu. Persolannya bagaimana jika seseorang ibu itu bekerja dan tiada di rumah? Mujurlah kala pandemik ini dan berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ramai yang berkerja dari rumah.

Begitupun bagi mereka yang bekerja dari rumah dan terpaksa juga pada masa yang sama memantau dan membantu anak-anak dalam pembelajaran kelas on-line dan kerja rumah mereka sambil berselang-seli melaksanakan kerja pejabat, bukanlah sesuatu yang mudah. 

Lebih berat, apabila terdapatnya segelintir daripada masyarakat yang kemungkinan tidak berada dalam kawasan yang diliputi oleh rangkaian internet dan sebahagian yang lain pula terdiri daripada keluarga yang tidak berkemampuan untuk memiliki alat komunikasi seperti telefon pintar, komputer riba dan sebagainya. Dalam situasi ini, para ibu memainkan peranan mendidik anak-anak sekadar yang termampu agar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Oleh yang demkian, peranan ahli keluarga, suami/bapa khususnya dan masyarakat amat diperlukan. Jika anak-anak yang dibesarkan ketika pandemik terhalang pembelajaran mereka disebabkan ayah tidak membantu ibu-ibu yang punya jadual kerja padat dan kepenatan dengan kerja-kerja di rumah, tidak mustahil kita mungkin terlepas pandang dan terpaksa menerima hakikat generasi lepasan sekolah era ini tidak berpengetahuan untuk menyara diri mereka apa lagi menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan masa depan Malaysia!

Dunia Sosial, Khidmat Kemasyarakatan & Polisi

Masyarakat menurut definasi memberi maksud atau ciri-ciri sekelompok manusia yang boleh dibentuk sifatnya atas dasar kempentingan bersama, ras, agama, bangsa, keturunan, pekerjaan, penempatan dan kemahuannya. Hampir keseluruhan usaha ke arah ini memerlukan kegiatan sosial dan di sinilah pentingnya peranan kaum wanita. Baik dalam bentuk tugas mahupun secara sukarela, khidmat sosial wanita dalam aktiviti memupuk keserasian sosial adalah semulajadi.

Sejarah dunia telah mencatatkan, peranan wanita dalam masyarakat khususnya pada waktu darurat seperti peperangan misalnya amatlah besar. Misalnya Rufaidah binti Sa’ad yang mengajar kaum wanita di zamannya selok-belok merawat pahlawan perang. Di India, China dan Nusantara juga telah muncul pahlawan-pahlawan wanita dan di barat juga telah ada pahlawan-pahlawan wanitanya seperti Florence Nightingale contohnya dan ramai lagi.

Yang pasti kehidupan bermasyarakat hanya dapat diamati dengan adanya interaksi sosial, hubungan harmoni dan timbal balik antara indvidu dalam masyarakat tersebut. Begitupun setiap proses interaksi dan hubungan sosial biasanya wujud dengan sumbangan keprihatinan kaum wanitannya. Pembelajaran bagi setiap individu untuk berkopromi, memungkinkan terbentuknya kerjasama yang mana pada akhirnya menghasilkan keserasian sosial, dan yang mana kajian mendapati semua itu bermula di rumah. Di sinilah kaum wanita memainkan peranannya.

Dalam kancah politik negara hari ini yang gemar bermain sentimen perkauman dan agama, kehidupan sosial antara kelompok dan kaum kian tegang dan cenderung untuk mencetuskan sebarang kemungkinan negatif. Di sini jugalah peranan wanita untuk membina keserasian sosial semakin diperlukan.

Sebagai pendidik di rumah wanita berperanan besar untuk mendidik anak-anak dan generasi muda tentang harga sebuah keharmonian dan hidup bertoleransi. Apabila terbit interaksi dan kefahaman yang tinggi dan kemesraan antara kelompok dan kaum, maka kehidupan sosial akan cenderung ke arah penyatuan dan kedamaian.

Hari ini program pembangunan wanita menjadi agenda utama hampir semua kerajaan di dunia kerana pemimpin dan pentadbir yakin bahawa peranan dan sumbangan kaum wanita amat penting dalam menjaya setiap program kerajaan dan negara masing-masing.

Seperti yang kita tahu, bidang perubatan adalah bidang yang paling mendesak ketika penularan pandemik wabak COVID-19 ini. Mana tidaknya, peningkatan kes positif virus ini semakin mendadak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Justeru, wanita memainkan peranan yang sangat penting terutama mereka yang berada dalam lapangan kerja perubatan.

Ketika penularan virus ini, para jururawat, doktor dan pegawai perubatan wanita melakukan pengorbanan dengan meninggalkan keluarga dan berada di barisan hadapan semata-mata untuk menangani penularan wabak ini. Justeru, wanita memainkan peranan cukup besar dalam bidang perubatan dan membantu golongan lelaki menghadapi keadaan yang kritikal ini.

Kesimpulannya, wanita mempunyai peranan dalam berhadapan dengan situasi penularan pandemik wabak COVID-19 ini. Peranan mereka dalam bidang-bidang khidmat sosial, pendidikan dan perubatan amat diperlukan bagi membantu golongan lelaki sama ada sebagai kakitangan sokongan mahupun petugas barisan hadapan yang utama.

Khidmat daripada wanita dalam menangani penularan wabak ini adalah amat diperlukan kerana ada tugas-tugas yang memerlukan budibicara dan tangan wanita sahaja seperti dalam bidang perubatan yang memerlukan doktor wanita untuk merawat pesakit wanita. Malahan tenaga mereka juga sangat diperlukan kerana mampu menjalankan tugas tertentu dengan penuh kelembutan dan tanggungjawab.

Justeru itu, sumbangan tenaga daripada golongan wanita adalah sangat diperlukan dalam berhadapan dengan wabak ini dan mereka juga berperanan dalam bidang-bidang yang mendesak kepada keperluan bantuan tenaga daripada mereka.

Berikut adalah beberapa program ditegaskan dan dilancarkan seluruh dunia sekian lama dan disarankan supaya diteruskan, sama ada diaktifkan oleh pihak kerajaan sepenuhnya atau dijayakan dengan kerjasama NGO:
  • Kepekaan gender, yakni memperbanyak program pendidikan mengenai undang-undang dan seumpamanya yang melibatkan kaum wanita. Jika di Malaysia, ia termasuk Kefahaman hal-hal Perundangan (Awam & Syariah) dan program peningkatan kepekaan gender
  • Program pendidikan Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Awam.
  • Meningkatkan program dan aktiviti cintakan tanahair dan yang menjurus kepada pemupukan nilai harmoni dan toleransi di kalangan masyarakat baik sesama kaum dan untuk berbilang kaum.
  • Program kesedaran mengenai hak-hak wanita dan tindakan selanjutnya.
  • Latihan Peningkatan Kemahiran. Latihan kemahiran asas dan strategik untuk wanita. Bidang latihan termasuk menjahit, membekal makanan, pertukangan tangan, pemprosesan makanan dan memasak.
  • Memperbanyak program keusahawanan untuk wanita.
  • Pengenalan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) meliputi program pengenalan dan pendidikan ICT juga program latihan pembangunan laman web.
  • Program yang menjurus kepada kesedaran dalam pendidikan dan pembaikan sistem pendidikan untuk semua lapisan wanita
Pembangunan, Ekonomi Dan Polisi

Di bidang ekonomi pula, penglibatan wanita dalam kegiatan ekonomi mengalami perubahan dan peningkatan yang cukup drastik. Sekian lama ramai wanita tidak lagi bergantung sepenuhnya pada suami mereka dalam memenuhi keperluan ekonomi diri dan keluarganya. Sejak di tahun-tahun 80-an lagi wanita bersaing dalam pelbagai bidang yang bukan dominannya.

Hari ini kejayaan itu sudah dianggap biasa kerana wanita sudah maju setakuk lagi; mereka menjana pendapatan bukan sahaja untuk dirinya sendiri sebagai satu usaha kelangsungan hidup tetapi membina empayar dalam dunia perniagaan di dalam negara juga ada yang sampai ke peringkat antarabangsa yang mana di bawah naungan empayarnya ada ratusan malah ribuan pekerja.

Farah Khan,  Datin Vivy Yusof dan Neelofa… bina empayar dunia perniagaan dalam negara dan juga di luar.

Secara tidak langsung mereka bukan sahaja memenuhi keperluan ekonomi keluarga mereka, membuka peluang pekerjaan kepada ramai, khususnya masyarakat di sekitarnya, malah juga menjana pendapatan jutaan ringgit untuk ekonomi negara.

Begitupun kajian menunjukan dalam setiap krisis ekonomi, termasuk krisis kewangan Asia yang berlaku pada 1997, kita melihat pemberhentian pekerja wanita jauh lebih tinggi daripada lelaki. Mengapa ini terjadi? Ia adalah kerana masyarakat masih melihat lelaki sebagai ketua keluarga, lebih berkepentingan dan juga lebih ‘baik’ dalam kerja mereka. Tanggapan dan sikap sebegini menjadi lebih berat lagi jika ketua mereka adalah lelaki.

Atas kenyataan tersebut, pihak yang terbabit khususnya badan dan pertubuhan kebajikan dan kesejahteraan yang memperjuangkan hak wanita bertegas dan mendesak pihak berkuasa untuk mengambil langkah yang lebih adil dan terperinci dengan meneliti langkah-langkah dasar dan mahu ia diterapkan dalam setiap sudut dan usaha, juga untuk respon kerajaan terhadap mana-mana krisis contohnya pademik Covid-19.

Dalam jangka pendek, ini bererti apabila diperlukan, satu langkah kecemasan dapat diaplikasikan tanpa menjejaskan hak-hak kaum wanita sementara dari sudut jangka panjang ini bererti pihak berkuasa harus memastikan wujudnya sistem arus perdana yang berfungsi sempurna yakni satu sistem pengaksesan gender yang boleh diyakini dan digunapakai untuk semua sektor dan kapasiti.

Pihak berkuasa juga disarankan supaya memastikan semua polisi dan penyesuaian yang menjurus ke arah pemulihan ekonomi melalui analisis gender dan setiap perician secara mantap yang mana dengan itu kesan perbezaan gender antara lelaki dan wanita dapat dikurangkan, dinilai dengan adil dan menjurus kepada perancangan yang sempurna lagi saksama.

Antara usaha tersebut ialah berkaitan pengurusan kewangan. Pada waktu ini memang terdapatnya banyak kursus yang dianjurkan pihak kerajaan secara percuma berkaitan dengan pengendalian kewangan untuk mereka yang berniaga, makan gaji mahupun suri rumah agar mereka tahu bagaimana merancang dan mengurus kewangan mereka.

Peniagawati… pertubuhan yang diketuai oleh Dato Azlin Ahmad Shaharbi ini aktif mempromosi dan mencari peluang kerjaya niaga ahi-ahlinya di dalam dan luar negara.

Semua langkah-langkah ini bertujuan menyediakan pihak berkuasa dan juga mana-mana pihak yang berkenan tentang implikasi gender dalam menangani bukan sahaja ketika dilanda pandemik malah pada bila-bila ketika dan waktu membuat polisi.

Jika diteliti, kaum wanita adalah barisan hadapan dalam pertembungan mengatasi pandemik dan mereka mewakili 70 peratus tenaga kerja sektor penjagaan kesihatan, yang mana juga mendedahkan mereka kepada risiko bahaya jangkitan yang lebih tinggi.

Dalam bidang kepimpinan dan bahagian proses pembuat keputusan baik dalam sektor penjagaan kesihatan mahupun lainnya, mereka juga adalah kumpulan yang masih dikira under-represented. Oleh kerana masih wujudnya ketidaksamarataan gender, maka inilah dilema yang masih menghantui wanita.

Pendek kata, dalam semua bidang, kerjaya wanita baik dalam bidang perniagaan ataupun makan gaji, mereka juga lebih terdedah kepada diskriminasi daripada kaum lelaki. Bagi mereka warga emas juga, lebih ramai wanita tua yang hidup sendirian, berpendapatan rendah yang mana ini meletakkan mereka dalam golongan berisiko tinggi dari segi economic insecurity. Tidak dinafikan kaum lelaki juga mengalami permasalahan ini namun kaum wanita memerlukan pembelaan yang lebih ketara.

Bagi mengurangkan ketidakselamat dari segi pendapatan, pihak kerajaan patut memikirkan untuk memperluaskan akses memberi faedah kepada penganggur dan golongan yang kurang bernasib baik. Ini adalah antara yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia dengan memberi bantuan wang sara hidup pada mereka yang terkesan oleh pandemik dan diberhentikan kerja.

Dari sudut kewangan, bantuan sara hidup, sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit sebanyak para penganggur dan ahli keluarga masing-masing meneruskan kehidupan harian mereka di rumah sambil ia juga membantu pemilik perniagaan runcit menambah sokongan kewangan untuk bertahan hingga keadaan kembali baik. Walaupun ada yang mempertikikan jumlahnya, bantuan tersebut tentu saja membantu ibu bapa melangsungi tanggungjawab menyara anak dan ahli keluarga di bawah tanggungan mereka.

Dari segi fleksibiliti dalam waktu bekerja dan skop kerja kaum wanita juga perlu ada kelonggaran supaya ibu bekerja dapat meluangkan masa dan memberi fokus kepada keluarga pada waktu-waktu tertentu misalnya kala pandemik di mana pemantauan ibu-ibu diperlukan di rumah malahan kelonggaran memberi cuti kepada ibu-ibu agar mereka dapat tinggal di rumah dan memberi sokongan moral kala di saat genting seperti waktu anak-anak menduduki peperiksaan penting seperti UPS, PT3 dan SPM misalnya, amatlah dihargai.

Politik

Hari ini pembabitan wanita dalam arena politik semakin bertambah jumlahnya kerana golongan itu menyumbang 60 peratus perayu undi yang mampu mengubah landskap dalam menentukan pembentukan kepemimpinan negara ini. Ini adalah senario di Malaysia dan status yang sama juga sedang berlaku di banyak negara barat dan membangun, di mana wanita memainkan peranan besar mencorak arena politik negara masing-masing.

Memetik laporan BH Online pada satu siri bicara, ‘Forum Pembabitan Wanita Dalam Politik’, anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).tidak lama dulu, Pensyarah Kanan Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (CITra), Universiti Malaya (UM), Dr Fatimi Hanafi, berkata kajian menunjukkan wanita semakin diterima dan diberi peluang sama rata sama ada sebagai perayu undi dan calon dalam pilihan raya.

Beliau juga menjelaskan, setiap tahun jumlah wanita yang terbabit dalam politik juga semakin meningkat, termasuk dilantik sebagai wakil rakyat mahupun sebagai menteri dalam barisan Kabinet, sekali gus mewakili golongan itu secara keseluruhannya.

Mengikut rekod, pembabitan wanita dalam politik semakin ketara selepas reformasi pada 1999 yang berkaitan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hingga menobatkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau lagi, kebangkitan wanita dalam konteks politik boleh dilihat meningkat grafnya apabila Dr Wan Azizah bertanding dalam pilihan raya. Selepas itu, kemunculan ramai wanita muda menjadi calon untuk pilihan raya hingga ke hari ini.

Persoalannya hari ini, ada pihak bertanya, apakah peningkatan pembabitan secara besar-besaran ini berlaku atas dasar desakan jiwa kental wanita untuk memperjuangkan hak rakyat, kaum wanita khususnya, atau satu fenomena yang terjadi atas dasar sentimen, yakni sifat wanita yang mudah tercuit dan tersentuh hati mereka dengan apa yang telah berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terbitnya rasa simpati terhadap Dr Wan Azizah sebagai isteri beliau dan ibu kepada anak-anak yang sedang membesar?

Wan Azizah dan Nurul Izzah (kiri). Tun Dr Mahathir dan Wa Azizah (kanan)

Apapun jawapan yang anda pilih, kita boleh berasa lega ekoran keterbukaan parti-parti lain juga yang boleh menerima orang muda khususnya wanita sebagai calon begitu menyerlah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. Hasilnya kita patut berbangga dan gembira kerana berlakunya perubahan besar selepas PRU14 apabila ramai calon wanita terpilih dan diberi penghormatan.

YBhg Tan Sri Dr Rafidah Aziz kekal sebagai pemimpin politik wanita berwibwa sepanjang zaman…

Seperti yang disebut oleh orang poltik, dunia mereka penuh dengan drama, sepak terajang dan skandal. Golongan mereka sering kali menjadi mangsa serangan pelbagai isu dan keadaan mahupun serangan secara peribadi. Jika mental dan fizikal seseorang itu tidak kuat, maka mereka akan dengan mudah tertekan, murung dan akhirnya akan mengalah. Inilah sebabnya kita lihat ramai yang akhirnya mengundurkan diri dari arena politik.

Tanggungjawab dan Keprihatinan Masyarakat Diperlukan

Tidak kiralah apa jua bidangnya, bagi wanita untuk berjaya dengan cemerlang, khsusunya wanita yang menguruskan rumah tangga dan berkerjaya, sokongan para suami, majikan, masyarakat dan pihak berkuasa adalah sangat penting dalam memastikan tahap kestabilan emosi dan prestasi wanita secara keseluruhan.

Sesuatu yang mungkin sukar tapi boleh dilaksanakan ialah dengan berkompromi, sebagai contoh, para suami haruslah meninggalkan alam norma kebiasaan di mana para isteri membuat segala kerja rumah dan mendidik anak-anak. Mereka patut cuba belajar membantu dengan sama-sama membuat kerja rumah dan juga mengambil sedikit tanggungjawab mendidik anak-anak seperti memantau pembelajaran anak-anak di rumah jika tidak pandai membuat kerja rumah seperti mengemas apa lagi untuk memasak.

Di kala PKP inilah mereka boleh memahirkan diri dan berjinak-jinak dengan membuat kerja di rumah seperti mencucui pakaian dengan belajar bagaimana menggunakan mesin pembasuh pakaian misalnya, mencuci pinggan dan mengemas rumah. Bantuan ini lebih lagi diperlukan daripada para suami yang telah diberhentikan kerja dan tiada kemahiran lain untuk mencari pekerjaan dan para isteri pula yang menjadi bread winner.

Dalam tempoh ini juga, masyarakat setempat khususnya, berperanan untuk peka dan prihatin dengan nasib kejiranan masing-masing. Menghulurkan bantuan kepada mereka pada masa-masa yang mereka perlukan khususnya yang kurang bernasib baik dalam bentuk wang ringgit, tenaga mahupun sekadar sokongan moral yang boleh membantu dan mengurangkan penderitaan emosi yang mereka alami mengikut kemampuan masing-masing.

Bagi majikan pula agar tidak terlalu menekan pekerja wanita di bawah syarikat atau institusi kelolaan mereka untuk menyiapkan pelbagai tugasan sama seperti keberadaan mereka kala di tempat kerja. Kelonggaran tempoh masa bekerja dan kuantiti kerja perlulah diselaraskan dengan baik antara majikan dan pekerja termasuk mengambil kira kemudahan fasiliti pekerja kala di rumah.

Antara lainnya tentulah peranan Kerajaan, sejak PKP diumumkan, kesannya sangat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan penilaian  Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 50 peratus menyatakan sangat terkesan keadaan mereka baik disegi kewangan, emosi mahupun kehidupan mereka.

Keprihatinan pihak kerajaan menghulurkan pelbagai bentuk skim bantuan sara hidup dan juga pakej bantuan membangunkan semula perniagaan baik dalam skala kecil hinggalah yang besar telah sedikit sebanyak memberi harapan baru untuk rakyat khususnya kaum wanita untuk terus maju dan cemerlang sebagai pemangkin yang menjadi harapan negara untuk bangkit semula dan mengharungi segenap sudut cabaran Pasca Covid-19.

Related posts

Hikmah Ramadan, Dapat Berhubung Semula Dengan Bapa Selepas 22 Tahun Terpisah

admin

RUMPUT CINA/RUMPUT SITI KHADIJAH  ALTERNATIF TERBAIK KEMOTERAPI 

adminwm

Apa Itu Mati Pucuk Lelaki?

adminwm

Leave a Comment