DONE, SEEN & HEARD

What Another Year Of Extreme Horror After 2020!

‘Begitu pun kita diuji sehebatnya namun kita tetap berdoa dan tidak lupa mensyukuri setiap rahmat yang dikurniakan. Walaupun sekadar secebis kebaikan atau sezarah rezeki, kerana kita tahu bersyukur. Itu adalah harapan yang membawa kita melangkah seterusnya dan setiap langkah kita bagaikan dikejar bayang-bayang sendiri.’

Seingat saya bagaikan baru semalam Done, Seen & Heard menemui anda untuk keluaran Januari 2021. Terasa benar masa berlalu pantas. Kelmarin saya berbual dengan sahabat saya Nisry dan juga ibu mertua tentang kepantasan hari yang silih berganti. Mereka juga rupa-rupanya berpengalaman sama; rasa macam kelmarin hari Jumaat, semak tarikh, eh! Esok dah Khamis? Jumaat bertandang lagi.

We all ask the same question and that makes us worry! Kerana antara perkara yang ketara bila tiba akhir zaman, kita akan berasa waktu itu berlalu amat pantas sekali. Cuma satu doa kita, moga detik pengakhir itu memihak kepada kita, diambil nyawa sedang kita bersujud penuh takwa.

Selepas Covid-19 dan sedang pakar saintis mencari penawar serta mengkaji virus ini, kita diserang dan uji pula dengan varian Delta. Lebih kurang enam bulan kemudian dunia digemparkan pula lagi dengan serangan varian baru, Omicron. Persoalannya sampai bila kita akan terus begini? How can we prevent new variants? Why getting vaccinated matters? Patutkah kita divaksin dan apakah implikasinya terhadap manusia sejagat? Pelbagai hasil ujikaji telah diviralkan dan terlalu banyak cerita juga hal-hal konspirasi yang kita baca, tapi hingga ke saat ini, dunia tiada jawapannya.

Dengan sisa-sisa kalut, kemelut pendemik dan cabaran yang terhasil, membuat satu dunia terkesan. Hari ini, kita bangun tidur dan usahakan apa yang termampu, tik tok, tik tok, setahun telah pun berlalu. While we struggle and do our ‘check and balance’, the clock is ticking, and here we are embracing the whimsical of January 2022 and reminiscing about 2021. What another year of extreme horror that was after 2020. Dengan gempa bumi, tanah runtuh dan tsunami di serata dunia serta banjir teruk yang kita lalui menutup tirai 2021 dengan penuh ngeri. What an uncertainty faced by the earthlings!

Mengimbas coretan dalam rencana tahun lalu itu saya juga turut merakamkan kisah dan pengalaman pahit yang kita lihat, baca, dan lalui sepanjang 2020 hinggalah menjelangnya 2021, bagaikan kita hampir tidak dapat mengungkap walau satu pun kenangan indah sepanjang setahun tersebut. Bagi sesetengah yang kehilangan pekerjaan, kehilangan pasangan hidup dan ahli keluarga mereka, sesungguhnya waktu-waktu tersebut menjadi satu pengalaman pahit dan titik hitam menyayat hati dalam sejarah hidup masing-masing.

MasyaAllah! Begitupun kita diuji sehebatnya, namun kita tetap berdoa dan tidak lupa mensyukuri setiap rahmat yang Allah kurniakan walaupun secebis kebaikan atau sezarah rezeki, kerana kita tahu bersyukur itu adalah harapan yang membawa kita melangkah seterusnya dan itulah tanda masih adanya keimanan dalam dalam jiwa yang akur pada qada dan qadar Ilahi.

Tidak silap, saya juga turut menyentuh perihal tidak berbicara tentang perkara-perkara atau topik universal seperti konspirasi vaksin, The New World Order – Dunia Satu Kerjaaan atau the coming of The Third World War, kerana ia bukan sahaja sesuatu ideologi yang mengerikan tetapi amat melemaskan jika setiap hari kita diasak dengan benda yang sama. Ekonomi juga bukan satu topik yang menarik untuk dibualkan masa kini. Ramai yang keadaannya bagaikan kais pagi makan pagi dan kedudukan ekonomi kebanyakan orang bagaikan telur dihujung tanduk bila syarikat yang mereka bekerja terpaksa mengecilkan operasi dan lebih teruk gulung tikar.

Mahu berbicara hal politik, lagi karut. Hari-hari orang bercakap fasal ahli politik rasuah yang melemaskan. Misalnya, sudah dijatuh hukum tetapi masih berlegar merasmikan upacara majlis, malah turut berucap di pentas yang punya kepentingan antarabangsa dan bebas keluar negara. Ini membuat keyakinan rakyat semakin tipis terhadap sistem kehakiman negara yang semakin gelap masa depannya jika sesuatu yang tegas tidak dilakukan.

Dulu kita boleh saja sedapkan hati dan berkata-kata sendiri, tak mengapa kita ada mahkamah kehakiman yang akan menegakkan keadilan dan membela rakyat, dan kita ada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, tetapi dengan kes-kes yang terbongkar di kalangan orang atasan dalam SPRM kini, telah menimbulkan  pelbagai persoalan. Terlalu banyaknya ketidakpastian, membuat kita berasa lemah dan putus harapan untuk melihat Malaysia baru yang cemerlang, gemilang, terbilang serta bebas rasuah.

Suka atau tidaknya, dengan kehendak yang maha kuasa, kita terus diuji dan diuja. Tekanan untuk mengambil dos vaksin booster hari ini juga telah menjadi polemik yang dibahaskan di merata laman web dengan pelbagai teori konspirasi yang mengelirukan masyarakat.

Yang pasti ramai juga yang tegar dengan keputusan tidak mahu mendapatkan booster atau vaksin dos ketiga, namun akhirnya terpaksa tunduk pada pihak berkuasa apabila membayangkan kekangan yang bakal dilalui jika tidak mendapat vaksin. Saya juga tidak terkecuali antara mereka yang telah menjalankan tanggung jawab tersebut. Bukan kerana apa, demi keprihatinan, rasa tanggungjawab or put others in danger.

Banjir Buka Pekung Pemimpin Buta Hati

Saya pasti kami tidak akan selamat kalau tunggu walau seminit pun lagi. Allahu Akbar! Ya, Permudahkanlah. Saya berbisik menguatkan hati sendiri dan kami segera mengharung arus deras yang mencecah pinggang. Sambil berpegangang tangan erat agar tidak seorang pun antara kami terlepas,” imbasnya dan menyambung, “Sepanjang waktu itu saya tidak henti-henti berdoa dan janganlah ada buaya di bawah ni, memang habislah kami dibahamnya. Sambil itu juga saya tidak henti-henti berpesan supaya jangan lepaskan tangan! Genggam kuat-kuat walau apapun terjadi!” pintasnya membuat saya menitiskan air mata kerana katanya sungai seberang jalan rumahnya yang melimpah itu sememangnya ada buaya dan penduduk kawasan tersebut sedia tahu.”

Berita Covid -19 yang berlarutan menular dan menjadi topik utama media sosial, bagaikan tiada siapa peduli lagi. Mereka yang setiap hari sibuk membuka laman web untuk mendapatkan berita terkini tentang perkembangan Covid -19 pun sudah tidak dihiraukannya lagi. SOP? Itupun ke laut, entah siapa saja yang mematuhinya.

Sebahagian daerah di Selangor telah menjadi huru-hara, kecuh dengan tanah runtuh dan banjir kilat yang besar tidak pernah diduga telah melanda Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Sebahagian negeri-negeri di serata negara telah ditenggelami, menjadi tasik dan lautan. Ini yang menjadi tumpuan dan topik hangat yang rakyat dan netizen. Ia tinggal titik hitam dalam sejarah yang penutup tirai 2021 untuk Malaysia.

Hujan lebat berterusan selama lebih 48. Seingat saya ia bermula lebih kurang 4.00 pagi Jumaat bersamaan 24 Disember 2021 dan berakhir lebih kurang 6.00 pagi Ahad, 26 Disember 2021. Anehnya  langit bagaikan merintis tiada henti, dan hanya reda buat seketika dengan gerimis halus sejam dua dan kembali lebat berjam-jam kemudiannya dan keadaan tersebut berterusan sebegitu hinggalah pagi Ahad yang dianggap keramat itu.

Curahan hujan tanpa henti itu telah menyebabkan sebahagian Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang, serta Bentong, Mentakab dan Temerloh di Pahang bagaikan tenggelam. Jumlah 48 korban yang dicatitkan setakat 27 Disember lalu dikatakan paling tinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia. Malah media dunia merekodkan banjir negara tahun lalu sebagai banjir  atau bencana alam terburuk.

Ramai orang yang terkandas dan tidak dapat pulang ke rumah kerana kenderaan mereka ditenggelami air pada hari itu. Ada yang terkandas ditempat kerja dan terpaksa menyelamatkan diri ke tingkat premis tempat kerja masing-masing. Kerana air pasang begitu pantas, tidak ramai yang terlepas. Disebabkan itu ramai yang terkandas satu malam dalam kesejukan dan tanpa makan dan minum hingga keesokan harinya. Bagi kawasan-kawasan yang teruk bekalan makanan hanya sampai kepada mangsa sehari selepasnya.

Yang menyedihkan dan membuat rakyat marah, pihak berkuasa dikatakan bukan sahaja tidak pantas untuk memantau keadaan, malah mereka sendiri bagaikan layang-layang yang terputus talinya; tidak tahu bagaimana untuk bertindak dan tiada hala tuju untuk mentadbirkan dan mengawal bencana tersebut. Begitupun rakyat Malaysia marah, merintih dan kecewa, mereka bersyukur dan bangga kerana telah mendapatkan bantuan daripada, rakyat Malaysia yang prihatin lagi dermawan.

Banyaklah kisah yang kita baca di laman-laman web yang meruntun jiwa, membuat rakyat marah dan tidak kurang juga yang melucukan. Contohnya Abang Viva yang menabur khidmat bot untuk mangsa dan Nelayan Cina dari Sekinchan yang membawa bot mereka untuk membantu mangsa banjir yang terkandas di tingkat atas rumah dan bumbung mereka. Kisah abang-abang  dan adik-adik Grab, Shoppe dan LalaMove yang membantu sukarelawan membawakan makanan sumbangan orang ramai ke kawasan yang sukar dan menyelamatkan binatang tersebar meluas.

Kisah seorang pemuda India yang prihatin dan kreatif membantu mangsa banjir dengan membawa generator untuk mengecas bateri telefon bimbit dan pengalaman Ustazah Hasmah Harun yang bertemu dengan keluarga yang Al Quran mereka masih kering dan bagaikan tidak terjejas langsung walaupun air naik penuh satu rumah hingga mencecah setengah dinding. Di sebuah rumah yang lain pula, bilik khas yang keluarga tersebut gunakan untuk bersembahyang kering dan bersih sedang satu rumah mereka ditenggelami air itu meninggalkan selut, menjadi viral.

Dari kiri (atas):  Pemuda India yang prihatin dan baik hati menggunakan generator bagi membantu masyarakat setempat mengecas telefon bimbit mereka. Pengalaman pelik Ustazah Hasmah.

Banjir teruk dan arus teras bukan sahaja menenggelamkan kereta dan kenderaan berat malam membawanya jauh daripada tempat asal ia di parkir. Anak-anak muda yang membantu secara sukarela yang kami temui di Masjid Kg Seri Aman, Shah Alam.

Mana Pergi Wakil Rakyat?

Dalam cerita lain ada lelaki Melayu dari Teluk Intan pula membawa tiga bot dan ditemani rakannya yang juga pemandu bot ke Lembah Klang untuk menyertai misi menyelamat mangsa banjir dan seorang sikh dari kuil Guadalajara telah mengumpul para sukarelawan memasak untuk mangsa banjir.

Banyak NGO dan individu yang telah turun dari pelbagai latar belakang dan negeri demi membantu mangsa-mangsa banjir. Mereka sanggup berkorban wang ringgit, tenaga dan nyawa demi membantu mangsa-mangsa banjir. Pengorbanan ini wajib dipuji dan dicontohi oleh setiap lapisan rakyat Malaysia.

Keutuhan saling membantu tanpa mengira bangsa, agama kaum etnik dan darjat ini juga jelas terpamer apabila jiran tetangga yang terkandas dan terpaksa menyelamatkan diri di kediaman dan bermalam di atas bumbung lebih 24 jam hingga bantuan tiba untuk menyelamatkan mereka.

Di manakah perginya wakil-wakil rakyat dan ahli politik yang yang rancak berkempen dan berjanji sehidup semati dengan rakyat di saat rakyatnya amat memerlukan mereka? Batang hidung wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)?

Bantuan kecemasan daripada pihak kerajaan yang tiba agak lewat telah memungkinkan hal ini. Mungkin disebabkan banyak daerah yang terjejas teruk pada waktu yang sama dan misi bantuan telah diarahkan ke tempat-tempat yang telah diramal akan mengalami banjir teruk, tanpa menyangka Lembah Klang sebenarnya yang menjadi kawasan terburuk.

Bencana alam termasuk banjir besar yang melanda beberapa negeri sehingga meragut hampir 50 nyawa dan lima lagi dilaporkan hilang, mengakhiri 2021 yang turut menyaksikan rakyat bersatu hati serta bangkit dan saling membantu selari dengan semangat Keluarga Malaysia.  Kelemahan-kelemahan utama yang begitu ketara berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini jelas menyedihkan dan membimbangkan. Tindakan lembab dan bantuan yang tiba lewat dari pihak  Kerajaan Persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ditambah pula dengan penyelerasan yang kucar kacir serta tiada penyelarasan tugas yang berpusat di pihak atasan dan pihak kerajaan serta dengan agensi-agensi tempatan ternyata merumitkan lagi keadaan.

Rakyat bagaikan anak ayam kehilangan ibu dan krisis tersebut telah menambah rumit lagi proses bantuan kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka yang sukar diurus. Yang pasti akauntabiliti kerajaan harus dipersoalkan.

Rakyat amat tersentuh dan berterima kasih kepada angkatan dan anggota keselamatan negara yang dikata terpaksa bertindak sendiri menggunakan fasiliti dan kemudahan yang mereka ada. Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu mangsa yang terkesan. 

Begitupun kita cemas dan kecewa, rakyat boleh berbangga, bukan apa, dalam keadaan diri masing-masing juga tersepit, ramai yang turun padang membantu mangsa banjiri tanpa mengira, bangsa, agama atau pangkat. Pelbagai kisah diviralkan sepanjang musim banjir yang mencakupi setiap peringkat kehidupan rakyat Malaysia sepanjang seminggu ‘langit merintis’ di sebahagian besar negara. Entah dari mana datangnya, bantuan daripada ‘rakyat untuk rakyat’ itu bertali arus tidak putus-putus dan menular di laman internet.

Rakyat Malaysia kesal kerana kerajaan dan pimpinan yang gagal mempertontonkan kebersamaan mereka dengan rakyat sejak awal bencana ini dan mereka bimbang pemimpin-pemimpin ini tidak akan mampu memberi keyakinan kepada semua bahawa mereka boleh melonjakkan negara ke arah pemulihan yang bersepadu dan keluar daripada musibah yang melanda juga yang masih menjadi masalah kini, wabak yang masih mengganas. 

Pengalaman – Bila Turun Padang Baru Tahu

Jika kita tidak turun padang, kita tidak tahu betapa berat masalah yang menimpa mangsa-mangsa banjir ini. Saya kagum dengan semangat kekeluargaan sebenar yang telah ditonjolkan rakyat berbilang kaum tatkala dalam menangani malapetaka ini.

Sewaktu rakan-rakan antaranya Dr Mai Sargeant, Nora Muhamad dan saya serta beberapa orang ahli keluarga turut mengagihkan bantuan daripada kawan-kawan dan dermawan melalui NGO kami WARISTA, saya turut berpeluang dan mendengar kisah daripada mulut mangsa sendiri dan turut menyaksikan sendiri babak-babak yang luar biasa yang memaparkan sikap belas dan keprihatinan yang tinggi serta rasa tanggungjawab masyarakat walaupun dalam keadaan diri terhimpit dan terdesak.

Pelbagai cerita dapat kita dengar daripada yang sedih menyayat hati, mengerikan dan pelik hinggalah yang melucukan membaut kami terhibur. Walaupun penat dan ada ketikanya berasa sedih dan kecewa dengan sesetengah pihak. Sepanjang beberapa hari bersama mangsa banyak yang saya pelajari dan mahu jadikan iktibar untuk diri sendiri. Dalam pada itu tidak kurang juga pengalaman dan beberapa adegan di depan mata yang saya rasakan adakalanya sukar untuk dilupakan.

“Kak, dalam entah berapa jam air dah naik sampai ke paras betis,” cerita seorang ibu beranak empat, “Hati saya tidak sedap, dalam beberapa minit air makin tinggi. Saya segera arahkan anak yang sulung untuk mengalihkan motor ke tepi jalan berhampiran yang masih kering dan tinggi. Saya kumpulkan dokumen penting dan apa yang patut,” katanya menceritakan detik cemas bagaimana dia mengetuai misi menyelamatkan keluarga kerana suami tiada di rumah, “Bila anak saya kembali, air dah mencecah paras lutut.”

“Saya terus kerah anak lelaki yang besar dukung adiknya yang masih kecil. Saya tahu kudrat saya tidak mampu mengharungi air deras setinggi itu. Bagaimana pula nak mengendung anak? Kalau biarkan dia redah sendiri air yang tinggi tu, memanglah tenggelam dalam air yang dah lewat paras paha,” katanya menceritakan saat-saat cemas itu,

Sambil mendengar ceritanya, saya turut terus mengagihkan bantuan. Dalam tidak lebih satu setengah jam, semua 200 bungkus nasi tomato dan 100 bungkus nasi ayam selesai diambil oleh mangsa-mangsa banjir yang tiada kesempatan untuk memasak kerana sibuk mencuci rumah dan dapur mereka ranap ditenggelami air. Waktu itu jam 2.15 petang.

Dalam pada itu saya turut melayan permintaan seorang lelaki lewat 30-an agaknya, dengan mata sayu dan agak tersipu-sipu juga dia bertanya, “Kak ada pampers tak?” dia bertanya lampin bayi untuk anaknya. Saya terus bertanya pada penyelia pusat kawalan dewan tersebut, jawapannya nyata membuat matanya bercaya dan kami menghulurkan satu paket besar yang disumbang oleh orang ramai kepadanya. Dia mengucapkan terima kasih beberapa kali.

Sebelum dia beredar, saya bertanya, apakah cukup satu sambil melangkah untuk mengambil satu lagi untuknya. Dia menoleh dan menjawab, “Cukup, cukup kak, ni nanti habis saya datang lagi.” MasyaAllah bisik hati saya dalam keadaan tersepit begitu pun dia tidak terfikir langsung mengambil kesempatan dan merebut peluang yang saya ajukan apalagi untuk bersifat tamak. Dan saya bertanya juga apa lagi yang diperlukan kerana pusat tersebut bertimbun barangan makanan seperti biskut, roti, air mineral, peralatan mandian dan bahan mencuci rumah, sejadah dan telekung pun masih banyak malah pakaian yang disumbang masih bertimbun. Dia tersenyum, menggelengkan kepala dan berlalu. 

Namun wajahnya terus kekal di minda saya dan membuat diri kagum memikir mulianya peribadi hamba Allah ini. Saya dapat membaca apa yang ada di fikirannya, mungkin dia berbuat begitu supaya ramai orang lain dapat merasa sedikit bantuan yang sama dia terima. Mungkin juga budi bicara dan peradaban orang Melayu telah menebal di jiwanya; jika meminta berpatut-patut, ambil yang perlu saja dan jangan lupa tinggal juga untuk orang lain yang senasib.

Entah beberapa minit kemudian datang seorang hamba Allah, seorang wanita mengelek seorang anak dan seorang lagi dipimpinnya seraya berkata, “ Ada nasi lagi tak sambil matanya menjenguk-jenguk kotak-kotak kosong bekas diisi pek nasi dan meja yang sudah tiada apa-apa. Pilunya hati kami waktu itu tidak tertahan. Apapun kami terpaksa menjawab dan hanya mampu memberi roti dan biskut serta apa yang ada. Rupa-rupanya, anak-anaknya belum lagi makan dan dia ada empat orang lagi di rumah yang sedang menunggu. Allahu Akbar!

Dalam perjalanan balik saya terfikir sesuatu dan terus menghubung beberapa orang. Setiba di rumah saya menceritakan pengalam si ibu beranak enam itu kepada ahli keluarga. Ternyata mereka juga amat terkesan dengan cerita saya. Kakak saya Hendon dan adik Mariam, serta dua anak saudara Sheila dan Khairiah terpanggil untuk gotong royong memasak dan menyumbang barangan. Tanpa berlengah kami jalankan kerja.

Dengan sedikit baki daripada wang tabung WARISTA, dan sumbangan daripada beberapa ahli keluarga, Dr Mai dan saya mengambil keputusan untuk berbuat sesuatu. Kami gotong royong masak nasi putih dan lauk pauk. Ketua Editor WM Wirda Adnan juga turut turun padang dan datang awal pagi untuk menolong menyiang sayur dan mengupas bawang.

Alhamdulillah jam 1.00 tengahari keesokannya kami kembali ke pusat dan tidak sampai dua jam, 260 bungkus nasi yang kami sediakan selamat diagih-agihkan termasuk 200 bungkus nasi goreng yang turut disumbang oleh pihak lain pada hari tersebut.

Kesimpulannya, apa yang kita saksikan ialah betapa hebatnya rakyat Malaysia dalam membantu sesama rakyat apabila ditimpa musibah dan banjir kali ini. Rakyat mendoakan semoga semangat ini terus disemai dan menjadi tradisi dalam membina negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, aman dan sejahtera yang hidupnya harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama.

Walaupun kecil benar sumbangan kita waktu itu, tetapi kami berasa puas kerana dapat bersama masyarakat lain dalam waktu-waktu yang mereka amat memerlukan bantuan dan sokongan ramai. Persoalannya, apakah selepas ini? Bantuan seharusnya melangkau lebih luas hingga ke tahap memberikan sokongan moral dan kejiwaan serta bantuan pemeriksaan kesihatan. Ramai mangsa banjir yang memerlukan sokongan dari segi kejiwaan yang boleh mengembalikan semula semangat juang untuk meneruskan hidup mereka.

Syabas! NGO-NGO Jasamu Dikenang Selamanya

Alhamdulillah program pemeriksaan kesihatan yg dianjurkan oleh Yayasan Wanita Malaysia, WARISTA, M.P.P.K dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya, ROSE, Persatuan KanWork misalnya, berjalan dgn lancar bagi penduduk mangsa Banjir di Kg Seri Aman, Puchong seminggu selepas kejadian.

Program yang bermula daripada pukul 9.00 pagi hingga ke 3.30 petang itu menyaksikan kehadiran seramai 150 peserta dan diketuai oleh Dr Faiz, specialist dan team doktor-doktor dan jururawat-jururawat yang terlibat. Juga kepada ROSE dengan memberi perkhidmatan pemeriksaan serviks percuma.

Menggunakan teknologi terkini yang sangat mudah dan selesa. Program yang awalnya dianjurkan oleh Yayasan Wanita Malaysia itu juga adalah idea Pengerusinya Dato Normala A. Kahar dan Setiausaha Kehormat, Toh Puan Nora Muhammad yang banyak membantu penduduk di Kampung Seri Aman sejak berlakunya banjir dua  minggu yg lalu. Selain Dr Faiz, Dr Melisa  dan beberapa doktor serta tiga jururawat daripada PPUM turut serta membantu dari segi tenaga kerja & sumbangan.

Pendidikan dan Pengetahuan Gejala Malapetaka Wajib diterapkan Peringkat Tadika  

Satu saja, moga pihak Kerajaan bersikap lebih telus dan mengambil iktibar daripada peristiwa yang mengecewakan ini.  Perlu prihatin dan tanggung jawab yang tinggi kepada rakyat dan mengambil langkah pantas termasuk mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan menyiarkan misi dan aktiviti menyelamat supaya rakyat sentiasa mendapat maklum balas, berasa selamat dan tidak berada dalam ketakutan.

Antara lain, mungkin kita bersama-sama patut memberi penekanan kepada pengetahuan dan pendidikan mengenai menangani gejala malapetaka dalam apa juga bentuk untuk seluruh peringkat masyarakat. Jika kita perlu menerapkan pendidikan ini di peringkat sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah hingga ke peringkat tinggi. Ia mesti dilakukan supaya rakyat sentiasa bersedia dan tahu apa yang mereka patut dilakukan apabila  malapetaka menimpa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button