Berlokasi di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, pada tanggal 8 Oktober yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak sempena Ulang Tahun ke-25 Malaysian Association of Hotel (MAHO). Makam malam gemilang dan disimbahi gaya glamor ini dihadiri sekitar 660 tetamu jemputan yang terdiri daripada rakan kongsi perniagaan, rakan sekerja, pembekal perkhidmatan, pembekal dan mereka yang berkaitan dengan sektor perhotelan.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Pengerusi Tourism Malaysia, YBhg. Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood, Presiden MAHO YBhg. Tan Sri Teo Chiang Hong dan Pemilik hotel terkenal dari Low Yat Group, PERNAS International Hotels, Hotel Equatorial, YTL Hotels, UDA Holdings, Tan & Tan Co., dan Malayan United Industries (MUI).
Ketibaan para hadirian dialu-alukan dengan acara pembukaan persembahan dram oleh Hands Percussion. Seterusnya, tetamu dipertontonkan dengan klip video tentang perjalanan 25 tahun MAHO dalam perjuangan memartabatkan industri perhotelan di Malaysia menerusi pelbagai agenda dan kenangan yang dikongsi bersama.
Selepas itu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden MAHO YBhg. Tan Sri Teo Chiang Hong, yang berasa terharu dengan sokongan dan kehadiran ahli MAHO pada malam itu. Beliau juga mengharapkan jalinan kerjasama ini akan berterusan dalam setiap usaha dan gerakan yang dijalankan bersama-sama.
Mengambil alih pentas utama, Pengerusi Tourism Malaysia, YBhg. Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood dijemput naik untuk menzahirkan sepatah dua kata pada malam yang penuh bermakna itu. Antara ucapannya, “Perjalanan MAHO sepanjang 25 tahun ini adalah sesuatu yang luar biasa. Sebagai sebuah persatuan yang menghimpunkan idea terbaik dan pemain komited dalam industri perhotelan, MAHO telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap hospitaliti Malaysia. Dedikasi teguh anda untuk meningkatkan taraf industri perhotelan, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memupuk inovasi telah memberi kesan yang mendalam kepada sektor pelancongan kami.”
Beliau turut berkongsi bahawa Malaysia akan menganjurkan kempen Tahun Melawat Malaysia (VM) 2026 tidak lama lagi, dan adalah penting bagi semua pemain sector pelancongan, terutamanya hotel, untuk bersiap siaga bagi menyambut ketibaan pelancong yang dijangka akan mengerumuni negara ini. Sasaran Tourisme Malaysia untuk 2026 adalah untuk menarik sekitar 35.6 juta pelancong dan menjana penerimaan RM147.1 bilion.
Makan malam diselangi dengan persembahan hiburan seperti nyanyian dan tarian yang menceriakan lagi suasana malam itu. Tidak ketinggalan, upacara potong kek sebagai simbolik pelancaran acara dan sesi bergambar.
Kemuncak majlis diteruskan dengan acara pemberian anugerah dan pengumuman pemenang cabutan bertuah. Hadiah-hadiah ditaja oleh ahli kumpulan MAHO dan tiket penerbangan oleh Air Asia. Semua pemenang begitu teruja dan gembira dengan hadiah yang dibawa pulang seperti pakej pelancongan dan banyak lagi.
Majlis berakhir sekitar jam 11 malam dengan semua tetamu melahirkan rasa bangga dan berpuas-hati dengan kelangsungan majlis malam itu. Diharapkan acara ini akan dapat diteruskan tahun hadapan dengan lebih ramai penglibatan oleh pemain industri untuk sama-sama memperkukuhkan lagi hubungan sesama pejuang industri perhotelan negara.
Syabas untuk semua yang terlibat!
Satu malam yang membekas kenangan abadi.