GAYA HIDUP

Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 21

Kesamarataan Gender
Merubah Status Wanita Mampu Memperbaiki Kondisi Manusia Sejagat

Terdapat penemuan dan bukti menarik tentang kesamarataan gender; ia penting bagi menangani isu kemiskinan dan kelestarian pembangunan negara bangsa, juga manusia sejagat. Tepat sekali kenyataan ini dalam mengisi cogan kata sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 – ‘Lets all choose to challenge’.

Walaupun kenyataan tersebut mungkin sukar diterima segelintir masyarakat atau ada yang langsung tidak mahu menerima hakikatnya, Kejayaan wanita dalam banyak perkara, peranan serta penglibatan mereka ternyata mampu membangun mahupun meruntuhkan sesebuah institusi, masyarakat mahupun sebuah negaranya.

Penemuan ini satu mercu tanda bahawa wanita telah sampai ke satu tahap kecemerlangan dan membuktikan bahawa mereka telah bekerja keras selama ini, dan tuntutan hak kesamarataan dalam beberapa perkara yang mereka perjuangan sesungguhnya berasas, relevan dan demi kelasterian kehidupan manusia sejagat.

Dengan kenyataan tersebut maka tidak hairanlah mengapa kebanyakan agensi penganjur negara membangun, agensi antarabangsa, penderma bilateral, dan kebanyakan negara membangun mempunyai polisi mempromosi Gender Equality (GE) atau kesamarataan gender. Dalam kata lainnya, ini adalah satu pengiktirafan bahawa pembangunan dan perancangan untuk kemajuan baik di peringkat sekecil unit rumahtangga mahupun diperngkat negara dan global, tidak akan sempurna tanpa adanya pembabitan kaum wanita.

Dalam usaha Millennium Development Goal 3 (MDG3) terhadap perjuangan kesamarataan gender dan komitmen yang dikongsi secara global dan usahanya juga dalam isu memperkasa kaum wanita adalah menjadi satu agenda penting, perjuangan yang harus diteruskan, malah inilah masanya untuk dunia benar-benar memberi fokus kepada status wanita dalam usaha yang berterusan ke arah kesamarataan gender seterusnya menjadi agen pemangkin kepada kelestarian setiap sudut kehidupan.

How can the changing status of women help improve the human condition?  Mungkin ada yang menganggap kenyataan tersebut tidak munasabah, namun apabila dikaji sifat-sifat wanita yang terpuji seperti sensitiviti terhadap persekitaraannya, sifat keibuannya yang tulen, mudah mendengar dan bersikap terbuka, tekun, bertanggungjawab, rajin, bijak dan berjiwa kental adalah sebab yang meletakkan kaum wanita sebagai agen pembangunan dan pemangkin yang penting.

Jika status mereka diperlekeh dan fokus tidak diberikan kepada hak kesamarataan gender mereka, maka banyaklah institusi dan ekosistem dalam kehidupan menjadi pincang dan lama kelamaan mereput dan akhirnya runtuh.

Sebagai contoh, ambil sahaja institusi keluarga yang merupakan tunggak pendidikan dan asas dalam kehidupan seseorang insan, di sinilah bermulanya segala input dan pegembangan pola-pola atau acuan yang membentuk seseorang itu sempurna peribadinya, maju dan cemerlang.

Hari ini ramai pembuat polisi misalnya, berpendapat bahawa isu kesamarataan gender bukan lagi satu agenda utama dalam usaha memperjuang dan memperkukuh peranan serta kedudukan wanita dalam masyarakatnya hari ini kerana wanita boleh dianggap telah berjaya dengan cemerlangnya dalam misi tersebut.

Masih Dibelenggu Isu Kesamarataan Gender

Begitupun masih ramai pejuang bertegas bahawa di dalam pelbagai sudut kehidupan baik pekerjaan, ekonomi dan banyak hal lainnya, masih pada tahap yang belum memuaskan. Oleh yang demikian perjuangan ini mesti diteruskan dan isu kesamarataan gender mesti terus kekal menjadi teras dan agenda utama. Ini juga adalah dapatan The Millenium Project – Global Futures Studies & Research yang mana ia mendokumentasikan trend kedua-duanya iaitu indikator rasmi MDG3  dan beberapa set indikator yang dikembangkan telah memberi indikasi lengkap ukuran kesamarataan gender, khususnya dalam bidang memperkasa ekonomi wanita.

Tan Sri Dr Rafidah Aziz, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Datuk Seri Rohani Abdul Karim adalah antara pemimpin wanita yang berwibawa sementara Datuk Seri Rina Harun setakat ini masih belum menampakkan hasil yang memuaskan.

Begitupun dalam dapatan tersebut, mesej yang disampaikan dengan penuh harapan dan positif itu menyangkal kejayaan sepenuhnya dan sedar bahawa masih ada kekurangannya. Sebagai contoh kemajuan kesamarataan dalam sudut kemampuan wanita, memang telah terbukti mempunyai daya saing yang tinggi untuk berjaya malah cemerlang begitupun dari segi peluang untuk wanita dalam mata pencarian dan ekonomi, masih lagi terhad dan banyak yang perlu terus diperjuangkan.

Persoalannya, adakah wanita mempunyai kesediaan untuk berperanan dalam kelestarian pembangunan negara bangsa dan ekonominya? Soalan ini telahpun terjawab sejak beberapa dekad lalu, yang mana hari ini banyak usaha masa lampau menunjukkan hasil yang berkesan lagi cemerlang.

Wanita bukan sahaja berjuang untuk dirinya, keluarga, masyarakatnya, malah secara global juga mereka mempunyai networking yang hebat dan saling berhubungan antara satu sama lainnya tidak mengira bangsa, agama dan kedudukan politik negara masing-masing semata-mata untuk memperkasa wanita dan berhasrat menjadikan dunia ini tempat yang lebih menyeronokkan, kondusif, harmoni dan selamat didiami .

Dunia Perlu Faham Perjuangan ini!

Usaha memperkasa wanita telah sekian lama dilancar dan terus menjadi agenda utama pertubuhan dan penggerakan wanita di serata dunia. Malah lebih satu abad lalu perjuangan hak kesamarataan ini telah menjadi penggerak paling kuat dalam evolusi sosial dan diterima sebagai perlu dalam usaha menangani semua cabaran di peringkat rumahtangga hinggalah ke peringkat masyarakat dan global.

Wanita ibarat tunjang dalam sesebuah institusi sama ada dalam keluarganya, tempat dia bekerja, masyarakat, pentadbiran mahupun di peringkat negara. Dalam situasi getir ketika ini, pastinya mereka sentiasa tercabar dan peranan yang mereka perlu galas juga semakin bertambah dan kompleks. Tambahan pula jika seorang wanita itu adalah petugas barisan hadapan terutamanya pentadbir perkhidmatan awam pihak berkuasa mahupun swasta dan sebagai doktor perubatan atau jururawat misalnya.

Sebagai pentadbir dan pemimpin, kewibawaan wanita tidak boleh dipertikaikan lagi. Sebagai contoh yang kukuh, pemimpin-pemimpin wanita di peringkat dunia juga telah muncul cemerlang dalam menangani dan membendung penularan wabak Covid-19 untuk negara masing-masing.

Jika dikaji, apalah yang dihairankansangat apabila peranan wanita menjadi semakin penting? Sejak pada zaman Rasulullah S.A.W, lagi telah ada wanita yang muncul hebat misalnya Ummahat al-Mukminin dan wanita seperjuangan yang terlibat dalam memberikan khidmat sosial kepada masyarakat ketika dalam keadaan darurat dan tenaga serta kepakaran mereka diperlukan.

Pihak berkuasa dan pentadbir negara dunia mesti faham dan akur bahawa golongan wanita adalah penyumbang besar dalam aspek kebudayaan dan peradaban malahan boleh dianggap sama rata dengan lelaki dalam sesetengah bidang. Sejak berzaman wanita telah tercatat dalam sejarah sebagai pendekar yang turut berjuang dalam medan pertempuran, mengubati luka mujahid, mendermakan harta dan perhiasan mereka untuk membantu pasukan perang.

Oleh itu, sifat dermawan dan keberanian wanita khususnya tidak boleh dipandang remeh kerana sejarah telah membukti wanita punya peranan dalam setiap sudut pembangunan dan kehidupan dan sangat menonjol peranan mereka menerusi pembangunan agama, budaya dan sosial.

Dalam menghadapi situasi semasa ini, pastinya golongan wanita mempunyai peranan yang besar terhadap kelangsungan hidup seharian.

Mendepani masalah ini, antara lain yang difikirkan mesti dijadikan teras dan termasuk dalam agenda pentadbir kala membuat polisi dan perancangan adalah seperti berikut:

  • Menyuntik kesedaran terhadap kesamarataan gender mestilah disokong oleh setiap ahli keluarga yang lain dan orang sekeliling termasuk media untuk memainkan peranan. Ini bererti program dan usaha yang menjurus kepada kefahaman isu tersebut perlulah ditingkatkan dari masa ke semasa sesuai keperluannya.
  • Wujudkan polisi yang boleh mengubah struktur sosial yang boleh membantu kaum wanita memenuhi dan mencapai keperluan mereka untuk memenuhi tanggungjawab dalam keluarga juga kerjaya.
  • Tingkatkan pembabitan kaum wanita dalam rundingan membentuk keamanan dan bantuan pentadbiran luar.
  • Aplikasi kan sekatan bagi perjanjian yang tidak patuh kepada hak-hak kaum wanita.
  • Wujudkan dan laksanakan undang-undang yang melarang  sikap negatif terhadap wanita seperti menilai wanita sebagai warga kelas kedua,  biadab, keganasan dan kekejaman terhadap wanita.
  • Menyokong pendidikan bagi anak-anak gadis khususnya dalam pendidikan STEM yang perlu untuk mendepani era revolusi industri 4.0 dan kesejahteraan pendapatan di masa akan datang.
  • Mengikut keadaan, disarankan supaya penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di peringkat pra sekolah dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh majikan.
  • Kesamarataan imbuhan bagi kesamarataan nilai atau skop tugas mestilah dibuat secara bersepadu dalam undang-undang.
  • Menangani isu menstereotipkan gender dalam dunia pekerjaan profesional  juga dalam kelangsungan kehidupan harian.
  • Menyokong dan berjuang pada polisi kerajaan yang menggalakkan para graduan wanita untuk memulakan perniagaan, yang mana usaha ini telah banyak dilaksanakan dengan menganjurkan kursus-kursus bisnes yang juga disokong dengan dana business start-up melalui agensi ekonomi kerajaan seperti PENJANA, Matrade dan HRDF telah menunjujukkan hasil yang baik.
  • Dari segi keselamatan popularkan mobile-phone apps mampu bertindak segera untuk melaporkan sesuatu keganasan kepada polis dan memastikan aduan disusuli dengan siasatan teliti dan pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.
  • Wujudkan dan anjurkan program di peringkat antarabangsa yang memberi fokus kepada “Menghormati Hak Wanita’.
  • Memastikan hak wanita dalam pemilikan hartanah dan kewangan
  • Perjuangkan kempen anti-mengstereotip gender dalam media
  • Tingkatkan peratusan eksekutif wanita dalam dunia kewartawanan dan media.

Tanggungjawab dan Perjuangan Yang Belum Selesai

Dalam keadaan dunia yang kian mencabar hari ini, wanita memainkan peranan penting dalam respons penjagaan kesihatan dan dalam hal-hal kesihatan mendepani Covid-19.

Sebagai kesimpulan, meskipun masih terdapat suara-suara sumbang yang menyangkal banyak fakta positif yang disebutkan tadi malah berpendapat semua isu dan tuntutan tersebut sudah lama diperjuangkan dan sudah tiba masanya kaum wanita berehat dan bersara daripada perjuangan mereka, masyarakat dunia perlu ingat bahawa banyak lagi usaha yang belum berjaya sepenuh dan masih perlu diteruskan.

Antara usaha mengangkat martabat wanita yang akan terus menjadi teras utama dan masih kekal sebagai agenda penting ialah isu kesamarataan gender. Mungkin secara luaran dan rambang wanita dilihat telah berjaya mencapai impian dan menggapai matlamat yang mereka perjuangkan selama ini, namun hakikatnya masih banyak lagi perjuangan yang belum selesai.

Justeru, agenda memperkasakan wanita perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan golongan wanita terus relevan serta berperanan penting dalam pelbagai bidang, pembangunan ekonomi dan setiap sudut kehidupan bagi menjamin kesejahteraan manusia sejagat.

Gambar: sumber internet

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button