Kawan-kawan ada yang bertanya, “you Raya ke tahun ini?” Pada saya sedikit janggal akan pertanyaan demikian, kerana setiap umat Islam setelah sebulan menjalani ibadah puasa, tibalah waktu untuk berhari raya. Malah haram bagi umat Islam, menahan diri daripada lapar dahaga dan menutup nafsu syahwat pada tarikh 1 syawal. Hari Raya hari bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah. Malah mengikut sejarah Hari Raya Aidilfitri diraikan sempena kemenangan tentera Islam dalam perang Badar dan kejayaan umat Islam menunaikan puasa dalam bulan Ramadan ketika perang berlangsung. Kalau pun saya masih dalam ‘iddah’, empat bulan 10 hari, di mana isteri yang kematian suami dihalangi untuk keluar ke mana jua pun sebaliknya duduk di rumah, tetapi sama sekali tidak boleh menutup pintu rumah dan menghalang tetamu datang beraya.
Raya tetap raya malah wajib meraikan setiap yang sudi berkunjung sebagai menghormati kehadiran Aidilfitri. Begitulah agama Islam menggalakkan perpaduan sesama kaum. Apa jua bangsa dan latar belakang agama, inilah masanya kita menjalin silaturahim. Berbeza agama Hindu misalnya, malah budaya kaum Cina juga jikalau di dalam keluarga ada yang meninggal dunia, tempoh berkabung mereka selama setahun, dan orang yang melakukan pembakaran (selalunya anak beradik dan adik beradik serta keluarga terdekat), dilarang menyambut sebarang perayaan). Jangan sama kan agama kita dengan agama mereka, terikut-ikut dan jahil.
Kunjung mengunjung diiringi buah tangan, makan bersama mengeratkan lagi perhubungan. Tiada istilah tidak beraya, kerana Raya dalam Islam bukan berparti, menyanyi berdansa, sebaliknya dalam suasana tenang bertanya khabar berita, menjamu selera, duduk bercerita sambil menghidupkan adat dan budaya dalam tata susila masyarakat Melayu Islam. Meraikan hari mulia ketika berpuasa, kita hidupkan hari-hari dengan ibadah, berbuka dengan juadah yang kadangkala tidak ditemui pada hari lainnya. Elak berlebih-lebihan sehingga membazir, tetapi janganlah dihalangi mereka yang ke bazar Ramadan. Pihak tertentu menyediakan kemudahan, gunakan sebaiknya, (tetapi entah mengapa ustaz ustazah utuber ini menghalang sangat ke bazar, seperti satu kesalahan besar pula. Bukankah si penjual mencari rezeki di situ, yang mampu, bantu dengan membeli, malah ajar diri bersedekah kepada jiran tertangga dan panjangkan sedekah itu ke surau dan masjid dan kepada rumah-rumah kebajikan. Bagi si penjual beringat juga, sedikit untung semestinya tetapi elak letak harga gila-gila, malah diniatkan juga sedikit daripada jualan sebagai sedekah jariah… percayalah anda pulang dengan rezeki melimpah.
Raya tiba, adat budaya harus dibangga sementara tata susila dijaga. Sebagai tetamu, hormati tuan rumah dengan berpakaian kemas tidak menjolok mata. Mengapa ada yang bangga menunjuk peha dan buah dada? Lelaki dengan bulu dada terdedah, hendak tunjuk pada siapa? Bukankah berkurung dan berkebaya pakaian kita dan baju Melayu siap sampin melestarikan etika Melayu kita. Tidak mahu berkurung tradisional, pilih kurung potongan moden, baju Kedah dan baju Pahang misalnya, sangat cantik. Saya tidak beberapa suka tengok orang berjubah, berkaftan di Hari Raya tetapi jauh lebih sesuai daripada berjean, t shirt, dan lebih buruk sleeveless dan short pant and short skirt. Bagi tetamu bukan Melayu pilih sesuatu yang modest, atau pakaian tradisional anda. Alangkah manisnya saya melihat YB Hannah Yeoh memilih baju kurung moden kala ziarah menziarahi di Hari Raya. Malah ahli parlimen Segambut ini pernah tampil berselendang sewaktu mesyuarat bersama Universiti Monash, Melbourne Australia. Ditanya mengapa berselendang katanya, “Menghormati rakan-rakan muslimnya, kerana sebelum ke sini kami (delegasi) melawat kolej Al Taqwa.”
Si tuan rumah pula, please look good sebaiknya juga seperti tetamu dengan pakaian orang Melayu. Dan kalau kamu sedar betapa cara berpakaian kamu menjadi satu hal teramat penting dalam diari hidup, kamu tidak akan melecehkan diri dalam bab berpakaian. “Aku selalu percaya bahawa fesyen tidak hanya membuat wanita cantik, tetapi juga menyakinkan mereka, memberi mereka kepercayaan diri.” Yves Saint Laurent. Sabda Nabi SAW, Islam memperlakukan wanita dengan hormat dan bermartabat, maka jangan mahu menerima apa pun yang lebih rendah daripada itu. Kalau cara berpakaian membuat orang jelek, harga dirimu jatuh ke tanah. Tidak perlu bangga berpakaian mahal jika pakaian itu membuat kamu nampak murah.
Dan ke majlis rumah terbuka, saya hairan ada yang datang dengan pakaian meleret menyapu lantai dan rumput, sekalipun diadakan di hotel enam bintang. Ini bukan majlis red carpet Academy Awards, fahamlah, ini bukan majlis Anugerah Filem Malaysia! Saudari, tidak kira kamu artis terkenal, it is so salah bila tetamu nampak seluruh belakang dan ketiak kamu… ya Hari Raya is one of the many special occasions that should be celebrated the right way, in style. Tidak siapa mengatakan dengan berbaju Melayu kamu tidak fashionable dan special, melalui pelbagai siluet dan rekaan, pasti kamu akan rasa cantik, sesuai majlis dan paling penting kamu tidak dijadikan bahan tawa atau mengata para netizen.