Teringat, terdengar perbualan Hisham (arwah) dengan kawan-kawannya satu petang. “Tanggungjawab I ni semakin besar.” “Dua-dua anak you sudah kahwin, ada apa lagi, pandai-pandai mereka hidup sendiri,” balas salah seorang daripada mereka. “Listen, bapa Janna sudah lama meninggal dunia, dan Lisa pula, sejak kecil ibu ayahnya berpisah dan mereka langsung tidak berhubungan, balik ke Jepun rasanya. So I have two women (besan) dua menantu perempuan and plus one at home under my care, but the best part, aku is still the hero.” Mereka ketawa.
Teringat katanya, “Sayang, nanti tahun baru kita ajak dua besan pergi holiday sama. I am sure by then I dah sihat, ambil satu homestay yang besar, lima atau enam bilik dan kita boleh get-together, teringin nak habiskan masa bersama-sama.”
Dengan Suzlina (ibu Janna) sempat juga dia mengenalnya lebih dekat, tetapi dengan ibu Lisa, peluang bercerita terhad, kerana selepas Imtiaz dan Lisa berkahwin masanya lebih kerap dihabiskan di hospital. Kerana itu dia berhajat sangat, tahun 2024, keluarga kecil kami ini bertambah dan menjalin lebih kemesraan.
Hajatnya juga sekeluarga pada hari-hari penting seperti tiba Ramadan berbuka bersama, berjamaah tarawih dan tiba Raya menziarahi satu sama lain. Rindunya hendak memeluk dan tidur dengan cucu kesayangannya Sheraaz dapat dirasakan. Semenjak menjadi atuk, dunianya Sheraaz, siang malam pagi petang ada sahaja cerita Sheraaznya. “I nak satu keluarga yang rapat bahagia, jangan ada perpisahan, atau saling tidak bertegur sapa. Jangan ada perasaan dengki mendengki sesama adik beradik dan ahli keluarga yang lain. Dengan sepupu-sepupu jaga hubungan keluarga, anak kakak, anak adik, abang semuanya sebahagian daripada kita. Listen, my cousins and my aunties and uncles are everything to me. They are the ones running to me at any course, just like you and Tisham and Imtiaz.”
Sebagai anak tunggal, bermain sendirian, bercakap sendirian dia rasa banyak yang kurangnya, sepi, tak happy malah waktu sama sifat selfish menebal dan mahu control.. sesiapa sahaja dalam ruang kumpulannya. Ini diakuinya sendiri.
Apa pun angan-angannya tidak kesampaian, arwah meninggalkan kami sebelum tahun baru menjelang, tetapi kata-katanya tetap tersemat di hati. “Family is family, memori bersama famili to me is everything. Seperti kata Micheal J. Fox, “Family is not an important thing. It’s everything.”
Tersentak sekejap, jarang Hisham berbicara begitu tetapi di akhir-akhir hayatnya dia selalu bercakap tentang kehidupan, tentang pentingnya ahli keluarga untuk sentiasa bersama, tentang tidak membezakan ahli keluarga, kaya atau miskin sama sahaja.
Anak-anakku, ingatlah keluarga adalah tempat kita mendapat cinta, kebahagiaan, dukungan dan kekuatan tanpa syarat. Keluarga tempat perlindungan, keluarga adalah orang yang selalu ada untuk kamu dan akan selalu mencintai kamu tanpa syarat. Ingat kekayaan akan pergi, kesihatan juga menurun, dalam susah siapa yang menghantar kamu ke hospital, yang membayar bil-bilnya, yang menanggung penderitaan, menjaga siang dan malam? Berapa kawan yang sanggup duduk di sisi kamu saat kamu sangat-sangat memerlukan bantuan ke bilik air, membasuh dan menukar najis? Berapa ramai kawan yang kamu habiskan masa lengang kamu, menyanggup menemani kamu yang sendirian di bilik hospital atau di rumahnya? Kalau bukan keluarga siapa yang mampu menolak kerusi roda kamu yang keluar masuk hospital?
Keluarga seperti cabang di pohon, ia tumbuh di arah yang berbeza, tetapi akarnya tetap satu.Kerana itu Rasulullah sendiri bersabda, seorang yang memiliki keluarga tanpa diragu lagi adalah kekayaan terbesar yang dimilikinya. Maka anak-anakku, hargai momen dan luangkan waktu memastikan bahawa cerita yang kamu buat adalah salah satu yang akan kamu banggakan dan lihat kembali dengan senyum dan tawa. Desmond Tutu (pemenang Nobel Peace Prize 1984 kerana usahanya menyelesai dan menamatkan apartheid), menyebut, “Kamu tidak memilih keluargamu. Mereka adalah pemberian Tuhan bagimu sebagaimana kamu bagi mereka. They’ll always be the one source of love we’ll have to earn; the place we run to for help and comfort; and the steady constant in the inevitable tides of change. Cinta ahli keluarga menguatkan semangat untuk terus hidup dan merekalah yang akan meraikan kejayaan kita.”
Seorang teman tersedu-sedu bercerita mengenai adiknya yang tamak haloba dan hati busuk. “Bayangkan Wirda, ayah saya sedang sakit manakala emak pula stroke dan saya tidak dibenarkan menziarahi mereka. Alasan mak ayah tidak suka perangai saya yang mereka kata memalukan keluarga. Betul satu ketika saya memang bukan anak baik tetapi saya sedar tanggung jawab saya pada keluarga, saya mahu berbakti kepada keduanya sebelum terlambat. Apa salahnya saya menziarahi dan menjaga mereka? Mengapa pagar tidak dibuka? Saya tunggu berjam-jam di luar rumah minta simpati. Rupanya ayah sering bertanya saya, ingin sangat menatap wajah ini, sebaliknya adik padamkan hasrat ayah. “Ayah pun tahu perangai kakak… waktu-waktu begini pun dia masih nak enjoy bukan nak menjengok.” Membuat baju ayah basah dek air mata. Mak dan ayah wang pencen besar, takut saya ambil. Saya pula ketika itu baru bercerai, takut saya duduk rumah agam itu untuk dijadikan hak milik sendiri. Waktu dalam jagaan adik, banyak harta mak ayah dipindah milik. Tahu bila saya dapat menatap mak ayah yang meninggal selang beberapa bulan? Ya, di masjid seperti tetamu lain, malah berita kematian pun dikhabarkan oleh saudara mara. Yang sedih semua menuduh saya anak derhaka, dan bersimpati dengan adik yang konon penat menjaga, walhal dia enjoy dengan duit mereka, party sana sini, mengharapkan pembantu yang menjaga.” Mengapa sampai begitu jadinya?
“Daripada ‘Aisyah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).”
Remember, Allah loves those who maintain strong ties with their relatives. A strong family can withstand any adversity, be kind to your parents, your siblings, and they will pray for you even when you are not around. Rasulullah bersabda, bila Allah memberi kamu kesenangan, berbagi dahulu kepada diri kamu dan keluarga.
Lalu apa anak-anakku, penting perbaiki diri kamu, isi hati kamu, sifat buruk kamu prasangka kamu dan lisan kamu.
Ketika melihat kesalahan orang lain, lihat pada diri, boleh jadi kesalahan kamu, lebih banyak daripada kesalahan orang lain. Jangan pernah menganggap diri lebih baik daripada orang lain kerana hanya Allah yang paling kenal siapa diri kita. Pada ahli keluarga bukan sekadar hubungan darah, jika salah seorang sedang susah, yang lain harus membantu, ya tolong selesaikan apa yang patut. Jika ada orang menganiaya ahli keluarga, pertahankan, jaga keluarga kita, milik kita. Meluangkan masa bersama-sama keluarga dapat mengeratkan hubungan silaturahim, membentuk keluarga bahagia seyugia menambahkan rasa kasih dan sayang dalam keluarga.
Dan ingat apa pesan daddy kamu, ‘jaga mummy baik-baik, dada dan dadi, mereka harta terbesar.”
Rabbanaghfirlanaa wali ikhwaanini, allaziina sabaquuna bil iimaan, walaa taj’al fii quluubinaa ghillal lillazina aamanu, rabbanna innaka rauufur rahim (al Hashr. 10
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami sebarang perasaan hasad dengki dan dendam terhadap mana-mana orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau amat Pelembut dan Pengasih.
Selamat Tahun Baru