EYE ME

Sebuah Kisah dan Teladan

Dia keliru akan dirinya, menjadi lelaki atau perempuan? Besar penderitaannya ini. Isi di dalam jiwa dan raganya lembut. Dia merasai sifat keperempuannya melebihi sifat kelakiannya, tetapi namanya demikian diberikan dengan bin bukan binti. “I’m a girl, born in a boy body,” selalu inilah keluhannya.

Maka dia selalu berada di dalam dua situasi, melayan hati nuraninya, dia mahu keluar menjadi wanita jelita, membalut badannya dengan busana anggun dengan sesempurnanya. Dia mahu melentikkan bulu matanya, memancungkan hidungnya yang pesek, memerahkan bibirnya supaya lebih menggoda, lebih daripada itu mahu merendam selalu tubuhnya dalam susu kerana diberitahu jika rajin mandi susu dan mandi bunga, kulit akan mulus dan berseri-seri.

Begitu pun bagaimana bisa dia melakukan kalau misai dan bulu-bulu di dagunya jika tidak dicabut dicuci akan nanti melata, oh benarlah dia jantan bila biji halkum menonjol. Sungguh dia benci akan kejadiannya yang begini. Dia sering menyoal sang PenciptaNya, menuduhNya memporak perandakan hidupnya.

Empat sebilik bersama rakan-rakan lelakinya di kolej, dia tidak pernah rasa senang bila selalu diperli, sesekali dia ditelanjangkan oleh mereka. “Tengok apa yang kamu ada, sedarlah siapa diri kamu sebenarnya?” Kadang dia diterajang, kata mereka, supaya aku menjadi lebih kuat, dipaksa mengangkat benda-benda berat, supaya kata mereka kejantanan aku menyerlah.

Mereka sekuat hati tidak mahu aku melayan kehendak naluri. “Ingat kamu anak jantan… ”Bila dia menangis diperlakukan begitu, kawan-kawannya ketawa, “Jangan dilayan godaan syaitan. Malulah pada Tuhan, Allah berkehendakkan kamu menjadi seperti kami, anak jantan yang bermaruah.”

“Pulang ke rumah, begitu juga situasi aku, emak dan ayah memaki hamun kalau aku mula menunjukkan sifat keperempuan aku. “Kamu anak jantan Malik. Jangan hendak mengada-ngada. Ambil parang ni, pergi ke belakang rumah tebang pokok pisang, buahnya pun sudah masak”. Hari esok, “Pergi kait kelapa … oh aku merasa seperti hamba abdi diperlakukan mak ayah sebegini. Mereka langsung membuat aku bertambah benci kepada keduanya. Hey, aku kah yang minta dilahirkan begini? Perut siapa yang mengandungkan aku jadi macam ni. Perut mak kan, benih ayah kan? Salah siapa kalau aku memilih untuk menjadi seperti yang aku rasa?” “Cuti semesta selalu menjadi cuti penuh penderitaan, membuat aku mahu cepat kembali ke kolej.”

“Tanpa aku sedari rupanya bapa aku mempunyai rancangan yang lebih dahsyat daripada apa yang aku sangkakan. Dia tidak mahu aku terus melayan sifat lembut ku ini, sebab keadaan di sekitar sudah seolah membenarkan dan menjadikan ia biasa. Maka satu hari aku dibawa keluar dari kolej tempat aku belajar. Dan memutuskan aku untuk pergi jauh ke negara asing, belajar agama.”

“Dan mereka tidak menyenangkan hidup aku di sana, aku terpaksa menambah pendapatan dengan bekerja untuk menyara hidup aku di sana, malah aku perlu bekerja di hari minggu bagi mendapatkan lebihan wang membayar yuran dan membeli buku.”

“Ya, itulah riwayat hidup saya yang anda semua tidak tahu,” kata ustaz itu kepada ahli jemaah. “Saya akhirnya berjaya melawan naluri lembut yang ada di dalam. Saya sedar inilah yang sebenarnya saya. Allah menguji diri saya terlalu banyak tetapi waktu sama Allah menyayangi saya. DIA mengenalkan saya kepada beberapa fasa hidup.”

“Ketika saya di kolej ketika saya ditelanjangkan dan diterajang, saya jadi kuat demi menyelamatkan diri. Ketika saya bersama famili, jangan sekali saya layan diri dengan sedu sedan dan tangisan bila dipaksa bekerja kasar. Jari jemari ini sehingga kini kasar dan menggerutu. Bayangkan pada usia belum baru masuk ke sekolah menengah saya sudah dipaksa membuat kerja-kerja orang lelaki, menebas rumput, memanjat pokok rambutan yang ada semut dan kerangga, oh sakit Tuhan sahaja yang tahu. Dan saya jadi kuat.”

“Dan ketika ibu saya sakit, saya melayan dia, memandi dan sebagainya, menyuapkan dia makanan, menjaganya setiap malam dengan tidur yang tidak cukup, tapi ia menambahkan lembut di hati saya. Ia membuat saya lebih kasihan, sifat kewanitaan menyerlah pada diri ini. Hem kalau saya jantan mana saya mahu membasuh najis emak. Ya saya gembira kerana adanya perasaan yang lembut dan penuh simpati ini. Saya dapat menjadi anak yang baik, dan lebih memahami perasaan, contohnya kepada isteri saya kini. Saya sedar untuk menjadi seorang ibu, dengan enam anak sebenarnya tidak mudah. Saya sedar betapa besar pengorbanan emak kepada kami sekeluarga. Dan kini saya sedar pengorbanan isteri saya terhadap keluarga saya. Melayan anak-anak tanpa bantuan sesiapa, malah saya sendiri pun jarang sempat memberikan waktu kepada mereka.”

Seluruh ahli jemaah tersedu. Ada yang mengalirkan air mata mendengar cerita ustaz kami. Siapa sangka insan yang pada satu ketika setiap minggu memberikan ceramah agama kepada kumpulan kami ini punya pengalaman yang sebegitu tragis. “Kalau dulu saya membenci kawan-kawan lelaki yang tidak ada rasa kasih dan simpati, khasnya yang bertiga itu, selalu saya kata saya terhutang budi kepada mereka. Bayangkan kalau mereka melayani saya seperti kehendak hati, menyuruh pula saya mengurut badan mereka yang keletihan, memasak dan mencuci bilik, dan membenarkan saya pakai baju perempuan dalam bilik, adoi saya akan jadi Sajat nombor dua kot.”

“Dan bayangkan kalau ibu dan bapa saya merelakan saya dan membelikan saya pakaian seperti mana kehendak saya. Membelikan saya anak patung dan mainan budak perempuan? Bayangkan juga kalau mak juga benarkan saya berkongsi baju adik perempuan, dan layan saya seperti anak perempuan? Saya akan jadilah seperti mereka yang mungkin sudah pun melakukan pembedahan seperti teman transgender yang lain.”

Begitu rupanya cara terbaik untuk mendidik anak sebelum mereka memilih dengan rela hati menjadi siapa mereka sebenarnya.

Semalam saya bertemu teman lama. Jika dia tidak menegur saya, saya pasti tidak kenal siapa dia sekalipun berselisih bahu. Dia sudah jadi lelaki sepenuhnya. Pakaiannya diubah sama sekali. Tiada lagi bersolek berdandan, tidak lagi memakai skirt ketat dan mendedahkan dadanya. Tidak lagi dia melembut dan melentikkan badannya dan suaranya juga sudah lebih jantan. “Aku sedar aku telah membuat terlalu banyak kesilapan dalam hidup ini dan yang paling besar ialah menderhaka kepada ibu. Aku tidak tahu bagaimana untuk meminta ampun, kerana saat keduanya pergi, aku masih seperti aku yang mengikut gerak hati naluri. Mereka marah dan aku membenci sehingga ke mati pun aku tidak sempat minta ampun.”
Air mata saya yang mengalir mendengar ceritanya. “Aku insaf, menerima apa yang telah dikurniakanNya untuk aku,” katanya lagi.

Benar, kalau ya pun hendak bebas, dan meluangkan kebebasan bersuara dan kebebasan menjadi diri sendiri, cukup setakat itu sahaja, jangan bertindak di luar kejadian azali.

Related posts

Merdekakah Kita?

Wirda Adnan

A Loving ‘Heart’

Wirda Adnan

Nikmat Allah Yang Kita Lupa

Wirda Adnan

Leave a Comment