Terkenang satu cerita, “Ni ori ke fake, dia memegang seperti mahu mengesahkan Birkin yang saya bimbit. Saya merenung tepat ke matanya, gosh, perempuan ni belum lagi bertaubat, tetap dengan sifat irinya, dengki dan tidak mahu kalah. Dia sahaja yang rasa dia kaya, dia mampu, dia cantik dan sebagainya. “Tak kisah you nak fikir apa pun, I tidak pernah hendak bersaing dengan siapapun.” Dia berlalu pergi.
Macamnya saya punya ramai musuh. Oh tidak, cuma yang seorang ini, yang tidak menyenangi sesiapa sahaja yang dia rasa menjadi saingannya. Saya kenal dia pun di satu majlis, kerana ramai yang menyapa dan mahu bergambar dengan saya, dia semacam tidak senang hati. Saya mendengar dia bertanya, “Perempuan itu siapa?” (referring to me). Dia bukan artis kan?” Mengapa ada yang hendak bergambar dengan dia?” Teman berbisik memberitahu jawapannya kepada si perempuan ini, “You ingat artis saja orang hendak berebut bergambar? Beginilah cik Ita, kamu ini usia sudah separuh abad, cukup-cukuplah hendak bersaing hal yang remeh temeh, kalau dia pakai fake sekalipun tiada untung dan ruginya kamu. Menarik bag orang untuk check brandnya, untuk pasti ketulenannya, menyebuk bertanya jenama kasut dan baju orang, itu biadap, amat tidak beretika, mencermin keperibadian yang buruk, huduh.”
Betul hari ini masih ada lagi manusia lagi seperti si Ita ini, tidak senang tengok kesenangan orang. Semua dia hendak tahu, perabot dan langsir rumah orang dia sibuk tanya harga, sampai ke dapur dan bilik air orang pun dia hendak tengok. Nak tahu jenama WC di bilik air, Johnson Suisse, Kohler Odeon atau Sorento ke, masyaAllah amat menjelekkan. Bila si teman bercerita lagi fasal si Ita lagi, saya suruh dia tanya balik, tak mahu tanya kah aku pakai seluar dalam warna apa? Hah.
Teman, kita ini hidup di abad ke 21. Kini orang bercakap hal Artificial Intelligence (AI). Ilmu ini yang patut kita hadam. AI yang meluas membantu seribu macam kemudahan; kerja lebih cepat, perniagaan menjadi efisien, peningkatan keselamatan antaranya, waktu sama bisa menghancurkan pelbagai usaha kita jika tidak bijak menyelenggarakannya. Bila robotik dan automasi mengambil alih kerja, manusia hilang kerja. Anak cucu kita nanti akan merana. Tetapi sama ada kita suka atau tidak AI sesuatu yang ‘unstoppable’ maka yang terbaik kita mesti ambil tahu tentang AI supaya kita tidak ketinggalan. Bukan menyibuk hal rumah tangga orang, bukan cemburu bila melihat ada rakan yang drive Ferrari, tetapi fikir bagaimana dia asalnya budak kampung bisa drive Lamborghini Aventador lp 720.
Betul saya terkesima di kala hadir pada majlis sidang media Wanita Ikon 24/25, bertemu dengan mereka yang terpilih mewakili negeri masing-masing bagi merebut Anugerah Wanita Ikon 24/25. Menilik biodata dan membaca warkah jatuh bangun mereka, keperitan dan kepayahan dilalui, ia mengusik hati ini. Wanita Ikon dari Miri Sarawak Fitriah Rahbi asal menjual kuih di kampung, kemudian membuka syarikat perkapalannya sendiri dan tidak berhenti di situ, beliau membuka kilang kecil di belakang rumah sehinggalah mengeksport produk halwa terung asam ke Amerika Syarikat. Transformasi anak kampung menjadi usahawan global.
Seorang lagi Norriza Yusof hidup di Felda, yang tiada air dan bekalan elektrik, menjual nasi lemak dan aiskrim dan petik kelapa sawit. Dan tahu siapa dia sekarang? Dia adalah CEO dan Pengasas dua syarikat Consultancy Sdn Bhd dan AL Aqyas Group Sdn Bhd, menghasilkan tiga buku mengenai kewangan, masyaAllah. Ya kesemua 11 Wanita Ikon ini bukan sahaja berjaya mengubah penghidupan keluarga mereka tetapi membina empayar sendiri. Waktu sama berkongsi rezeki dengan masyarakat tempatan juga komited dengan kerja-kerja amal. (Baca lagi kisah hidup wanita-wanita Ikon Malaysia di majalahWM).
Maka itu wahai wanita jika terbit cemburu di hati, cemburulah kepada bagaimana wanita-wanita ini bangun mencipta sejarah sendiri. Seperti Presiden KWIM, juga pengasas Wanita Ikon Malaysia, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed (Azie) asalnya daripada kehidupan yang amat daif, yang makan sekali sehari, yang ceritanya dikahwinkan pada usia amat muda supaya tanggungan ibunya berkurangan tetapi siapa dia di hari ini? Saya tabik, mengenalinya daripada pembantu di sebuah syarikat kecantikan, berakhir dia memiliki syarikat tersebut dan melebarkan empayar kepada pelbagai perniagaan lain. Kini bila-bila masa dia boleh bersara dan senyumnya lebar kerana isi di banknya kukuh. Dan dia, suami serta anak-anak boleh berpuluh kali pusing dunia jika mahu.
“Each time a woman stands up for herself, without knowing it possibly, without claiming it, she stands up for all women.” Maya Angelou.
Wanita hebat dapat menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang. Ini yang dilakukan oleh Dato’ Azie. Sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon Malaysia yang pertama, dia tidak mahu anugerah itu tersimpan dalam peti sejarahnya dan wanita amnya lalu tampil meneruskan pengiktirafan ini. Kerana dengan ini ia bisa menaikkan semangat mereka yang tinggal di desa mahupun di kota untuk terus berusaha setinggi langit dunia. “As society sees what women can do, as women see what women can do, there will be more women out there doing things, and we’ll all be better off for it.” — Sandra Day O’Connor,
Sayugia, beliau mahu lebih ramai lagi wanita berjaya menggenggam anugerah demi anugerah. “Women have always been the strong ones of the world,” katanya memetik kata-kata Coco Chanel.
Wanita kita adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling indah antaranya. Yang berhak atas segala cinta, hormat, dan kesetaraan. Jangannya kita sesama wanita menjadi musuh, menjatuhkan maruah sesama sendiri, berdengki berdendam. Andai mampu memaafkan, buatlah kerana Allah akan membalas setimpalnya.
Dan mengapa saya membawa cerita si Ita di awal rencana ini, kerana what goes around comes around. Allah ada caraNya untuk menyedarkan umatNya yang bongkak dan memandang orang lain rendah, yang tidak senang melihat kesenangan orang lain. Sedih, dia hari ini terpaksa menadah tangan, meminta kepada sesiapa sahaja yang sudi memberi untuk mengisi perut sehari-hari, dan ubatan untuk dibeli. Karma preserves balance, no debts goes unpaid, no act of service is turned a blind eye to.
Ya Allah,tunjukilah aku akhlak yang baik, tidak ada yang dapat menunjukkan baiknya akhlak tersebut kecuali Engkau. (hadis riwayat Muslim)