EYE ME

Wirda – Time For New Beginnings

Tahun baru seperti buku kosong. Pena ada di tangan anda. Inilah kesempatan anda menulis kisah yang indah untuk diri sendiri. Let us fill them with all the forgotten things from last year — the words we forgot to say, the love we forgot to show, and the charity we forgot to offer.

Dua Puluh Dua Puluh Dua apakah kita akan mengisi riwayat yang lebih indah di dalam buku kita ini sesudah dua tahun rata-rata ‘berperang’ dengan pelbagai cabaran hidup; corona virus dan banjir besar di beberapa negeri di bumi Malaysia khasnya? Dua petaka yang meninggalkan kesan terbesar dalam hidup kita. Dua petaka yang meragut banyak nyawa dan menambah lumpuh ekonomi negara. Dua petaka yang ramai terkesan dan tidak mungkin terhapus di dalam ingatan. 

‘This past year has not been easy for you too, Wirda.’ Saya akui, namun begitu saya memanjat syukur kerana Dia memelihara dengan baik saya dan ahli keluarga. Syukur tidak ditarik sepenuhnya keselesaan kami, alhamdulillah. 

Sayugia, buku hidup ini mahu saya isi sebanyak-banyaknya dengan kasih sayang; paling utamanya kepada Yang Maha Agung Sang Pencipta Alam ini. Ujian dan cubaan sesungguhnya membawa kami semakin dekat kepadaMu ya Allah. Ujian alam yang menimpa untuk kami menjadi lebih tebal iman. ‘Ingatlah, bahawa sesebuah musibah yang membawamu makin dekat kepada Allah itu lebih baik daripada nikmat yang membuatmu makin menjauh daripada Allah.’ Dr. Bilal Philips. 

All I want is a simple life full of love and contentment. Ya, hidup tanpa cinta tiada maknanya. Man yuhibbuka  lan yatrukuka walau kuntu syaukan baina yadaihi – orang yang benar-benar mencintaimu tidak akan pernah meninggalkanmu sekalipun engkau menjadi duri yang menghadang di hadapannya. 

Betapa indahnya jika engkau menemui hati yang tidak pernah menuntut apa apa daripada mu kecuali sebatas keinginan untuk melihatmu dalam keadaan baik. (orang ini ayah dan ibumu). Dan saat kamu hilang dari matanya, dia merindui lalu mencari di dalam lubuk hatinya yang engkau selalu berada di sisinya. Sayangi mereka, kini mungkin mereka tidak bermaya untuk bangun sendiri, itu menuntut kamu memberikan kasih tidak berbelah bagi.

Runtun hati melihat ibu ayah yang dinyahkan oleh anak dan dibiarkan melarat. Allah melaknat kamu yang derhaka kepada ibu bapa. Keredhaan Allah tergantung keredhaan orang tua kamu, dan murka Allah pun tergantung pada murka kedua orang tua,” hadis riwayat al Hakim.

Alhubbu kal harbi, minas sahli an tus’ilaha, walaakin minas sha’bi an tukhmidaha, ertinya cinta itu ibarat sebuah perang, amat mudah mengobarkannya, namun amat sulit untuk memadamkannya. 

Sungguh jangan diabaikan mereka yang ada di sisi; suami isteri apakah kamu masih berentapan? Dan tidak tahu menghargai satu sama lain? Tidak tahu berterima kasih atas pengorbanan masing-masing? Suami, cukup-cukuplah untuk mengasari isteri kamu, satu ayat yang kasar keluar dari mulut kamu itu akan menyentap hati, dan jika asyik dimaki hamun selalu, bagaimana dia mahu mencintai kamu? Kasih sayang akan hanyut dibawa oleh hati yang lara, kasih dan sayang musnah dengan tempelak kamu. Isteri mana yang mampu menunggu kalau hidup dalam sengsara?

Isteri, cukuplah jangan terlalu meminta-minta. Andai sebanyak itu sahaja kemampuannya jangan kamu besarkan lagi periuk nasi kamu itu. Saat musibah menimpa, dan kerjaya tertangguh, bersama hutang keliling pinggang, banyakkan bersabar. Belajar menerima dugaan Allah. Berdoalah, Allah mendengarmu. Bersabarlah, kerana Allah akan menjawab doamu pada waktu yang tepat. Disebut Imam al Ghazali, “untuk mendapat apa yang kamu suka, pertama kamu mesti sabar dengan apa yang kamu benci.” Dan katanya lagi, “bersabar, bersyukur dan ikhlas adalah rahsia kebahagiaan.”

Bencana banjir besar baru-baru ini membuktikan ramai orang kita yang berhati mulia. Kita saksikan sendiri, ada bergadai nyawa membantu mangsa. Bukan sekadar bantuan wang ringgit ramai turut sama bermandi lumpur ke kediaman mangsa, ke rumah-rumah ibadat dan sebagainya. Penderitaan mangsa dirasai bersama. Banggalah pada dirimu sendiri bila kita dapat berbakti walaupun sedikit. Janji pada diri untuk lebih memberi daripada menerima. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Rezeki diberiNya ada bahagian untuk orang lain. Lupakan kepedihan, tetapi jangan pernah lupakan kebaikan. Selama kamu masih berdiri, hulurkan tangan kamu itu pada orang yang jatuh.  

Memanjat 2022, ajar hati untuk kuat apabila diuji. Ajar hati untuk rendah diri bila dipuji.

Dan ajar hati untuk istighfar selalu pada Ilahi. Anda boleh memilih untuk mengubah keadaan hidup anda sekarang atau membiarkan keadaan hidup anda mengubah anda. Anda boleh mencapai matlamat anda sama ada dengan mencari jalan atau membuat jalan sendiri. Ya satu lagi jaga lisan, berfikir sebelum berbicara, terkadang kekhilafan ucapan boleh merosakkan hubungan. Sebuah hadis menyebut, ‘kebanyakan dosa manusia itu disebabkan kerana lidahnya.’ Ibu Qayyim menyebut, “Lidah seseorang itu dapat memberitahu tentang hatinya.” Imam Syafie pula menjelaskan, “Lidahmu jangan kamu biarkan menyebut kekurangan orang lain, sebab kamu pun punya kekurangan dan orang lain pun punya lidah.” Sama-sama fikirkan.

Sebagai mengisi buku yang masih kosong, saya pilih beberapa kata semangat untuk kita bersama fikir dan lakukan.

Kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya. Ia adalah kekuatan untuk anda.

Usah biarkan kata-kata negatif menghalang kejayaan. Jadikan ia pembakar semangat.

Setiap orang lain perjalanan hidupnya. Mungkin apa yang anda inginkan belum lagi dapat. 

Sentiasa ingat pada-Nya tanpa mengira waktu kita senang ataupun susah.

Anda memiliki dua pilihan sepanjang hayat. Sakit kerana ingin berubah atau sakit kerana tidak berubah.

Anda menjadikan dunia ini lebih baik dengan anda sendiri menjadi lebih baik.

Anda menuai apa yang anda tanam.

Anda merupakan arkitek masa depan anda.

Anda tidak boleh mengawal apa yang berlaku pada diri anda. Namun anda boleh mengawal sikap anda apabila sesuatu perkara terjadi. 

Anda tidak dapat mengawal orang lain namun anda dapat mengawal diri anda sendiri.

Anda tidak perlu berharap kepada nasib. Anda perlu berharap kepada tindakan yang tepat. Anda tidak perlu menguruskan masa kerana masa tetap 24 jam sehari. Apa yang perlu anda lakukan adalah menguruskan diri anda sendiri. 

Anda yang menentukan sama ada diri anda menjadi bertambah kuat atau lemah.

Jangan biarkan rasa kecewa dan putus asa menghantui diri. Yakinlah, pasti ada sinar selepas kecewa.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Usah berputus asa dan berprasangka buruk. Percaya Allah menyayangi kita dan akan memakbulkan doa orang yang berusaha.

Ketika ini (saat rencana ini saya tulis) saya berada di ruang menunggu bilik Radiology (ibu mertua menjalani rawatan Magnetic Resonance Imaging (MRI). Kerana jemu, saya melayan kuiz diri sendiri di google. Terkesima. Saya tulis apa yang saya baca ketika ini. 

Finding a girl like Wirda happens once in a lifetime. And you will never be able to forget her. She’s the type or person who can face her problem alone but will do anything to make sure her loved ones don’t have to do the same. She doesn’t sugarcoat or beat around the bush because she would rather be brutally honest than one of those fake nice people. You never find a bigger heart in the world. If you are loved by her you’re lucky but never take advantage of her kindness. Her anger is dangerous once her trust is broken.’ (Ha ha betul lah tu, sedikit gambaran mengenai Wirda Adnan.)

‘Wirda, you play an essential role in many people’s lives and you are often under stress, but you smile, even when you’re exhausted. Now it’s time for you to be rewarded, 2022 will be full of love and lights! A big dream will finally come true for you. Wirda.’

Saya berserah kepada Allah, saya merancang dan mengusahakan, namun Allah yang menentukan segalanya.

Selamat Tahun Baru.

Related posts

Rindu Serindunya ke Baitullah Al Haram

Wirda Adnan

Ramadan, Persiapkan Diri Menjadi Lebih Baik

Wirda Adnan

Jangan Lupa Anda Adalah Wanita

Wirda Adnan

Leave a Comment